Bulan Ramadhan, bulan PELUANG

Assalamualaikum semua pembaca yang aku sayangi, apa khabar semua?

Aku doakan agar kalian semua diberkati oleh Allah S.W.T, dan dikurniakan kesihatan yang bagus tanpa diselangi dengan demam dan lain-lain penyakit.

Alhamdulillah, sebelum aku pergi lebih jauh, mari sama-sama bersyukur kepada Allah S.W.T, kerana hari ni masih lagi diberi kemampuan untuk kita meneruskan kehidupan, dengan pernafasan yang lengkap dua lubang hidung boleh menyedut oksigen.

Dan walaupun satu lubang hidung tersumbat disebabkan traffic jam ataupun masalah banjir yang melanda, hakikatnya andai masih lagi mampu membaca post ni, alhamdulillah, tandanya kita masih lagi hidup dengan kesempatan yang Allah S.W.T beri.

Dan dan dan dan lagi, alhamdulillah masih lagi diberi kesempatan untuk meneruskan puasa dalam 4 Ramadhan, dan esoknya akan masuk hari ke-5 pula. 

Nak dipendekkan cerita, actually memang aku nak menulis post ni dari selepas first tarawih lagi. Memang aku dah niat, selepas aku bahan dalam 3 4 biji karipap moreh, sampai ke rumah, akan aku terus menulis walaupun masih terpancar kesan sujud tarawih 8 rakaat.

Tapi benarlah, kita merancang, Allah S.W.T pun merancang, dan perancangan-Nya lebih baik lagi. Karipap moreh sehingga kini aku tak jumpa, dan kepenatan dalam berpuasa menyebabkan post ni asyik tertangguh tertangguh dan tertangguh.

Aku ingatkan, mungkin malam puasa 6 kot baru aku diberi hidayah dan soul untuk menulis, tapi like I stated before, perancangan Allah S.W.T tu lebih baik lagi.

So, aku rasa masih belum terlambat untuk aku ucapkan Selamat Berpuasa kepada korang semua, pembaca-pembaca yang aku sayangi, Ramadhan Kareem. Semoga Ramadhan kali ni jauh lebih thorbaik daripada Ramadhan lepas. Maafkan aq atas semua khilaf, khusus sebagai penulis yang late reply komen, late menulis sampai kecur air liur korang nak membaca dan lain-lain yang berkenaan.

Semoga dalam kita berpuasa ni, bukan hanya setakat menahan lapar dan dahaga, tapi menahan setiap inci tubuh badan kita daripada melakukan perkara-perkara yang menganggu pahala dan ibadah puasa kita.

Amin, of course tak dilupakan, semoga karipap moreh masjid tahun ni penuh inti, dan bukannya kosong macam Ramadhan lepas. Allahhu, harap komen ni membina ajk masjid. Hahaha.

***

Aku sedar, aku ni bukannya baik sangat. Kopiah pun tak atas kepala sokmo. Ilmu berkaitan dengan Islam pun tak banyak, tak amal, Allah, kalau nak cerita tentang dhoifnya aku ni, malu aku nak membuka scabbies di dada.

Maksud aku, alhamdulillah memang aku takde scabbies kat dada aku yang berkotak-kotak ni, tapi aku malu nak menceritakan aib aku. Biarlah tu antara aku dengan Pencipta aku juga kamu.

Namun, post kali ni, post pertama dan in sha Allah bukan last untuk bulan Ramadhan ni, lebih kepada luahan hati aku. Sepanjang 4 hari aku berpuasa, dan dalam tu jugak aku tak update blog, aku melihat, mendengar dan merefleksi diri aku tentang PELUANG, yang ada dalam bulan Ramadhan ni.

PELUANG? Apakah kalian tahu apa itu PELUANG? Orang putih sebut opportunity, orang Arab sebut fursoh, dialek Negeri Sembilan sebut poluang, dan walau bagaimana berbeza pun perkataan PELUANG ni, hakikatnya, ia merujuk kepada sebuah kesempatan.

Kesempatan yang kadangkala datang berkali-kali, hari ni ada, esok ada, bulan depan ada, tahun depan ada, sepuluh tahun lagi ada.

Dan kadangkala kesempatan, yang hanya datang sekali. Sekali je beb, tiada siaran ulangan seperti match-match bola sepak di RTM ataupun TV3.

Dalam 12 bulan yang ada dalam kalendar manusia, samada Geogrian mahupun Syamsiah ataupun Qamariah, bulan Ramadhan adalah bulan yang menawarkan begitu banyak PELUANG kepada umat manusia.

Sebelum aku cerita tentangkan luahan hati aku, izinkan aku yang tak banyak ilmu ni, membuat satu pengulangan maklumat tentang kelebihan bulan Ramadhan, iaitu bulan di mana pintu Syurga dibuka seluas-luasnya, dan pintu Neraka ditutup seketat-ketatnya.

Allah. Tidak cukup dengan itu, maka Allah S.W.T membelenggu musuh umat manusia yang utama, musuh utama yang cukup legend dan epic, orang lama, iaitu Syaitan Laknatullah. Syaitan tak dapat nak punch card, diberhentikan kerja selama 30 hari tanpa gaji, hasil dan keseronokan melihat umat manusia sesat disesatkan mereka.

Wow, kelebihan yang Allah S.W.T beri kepada umat manusia, hanya dalam satu bulan sahaja, 30 hari sehari semalam.

***

Suatu hari, seingat aku pada 2 atau 3 Ramadhan yang lepas, aku duduk berteleku di atas karpet masjid yang serba merah dan gebu, sambil memegang kemas Quran yang hampir 6 tahun aku miliki, menandakan suatu isyarat yang aku akan baca kejap je lagi.

Dalam beberapa minit sebelum aku memulakan tilawah, tiba-tiba aku termenung. Jauhnya menungan aku sehingga ke Acheh, tanpa perlu pasport mahupun menaiki flight berjam-jam.

Betapa aku dalam bulan-bulan terdahulu, hampir 24 jam aku dilitupi dengan urusan-urusan dunia. Belajar, buat assignment, berprogram sana sini, melayani karenah manusia yang pelbagai. Tak cukup dengan dunia, dosa dan noda ikut sama menutupi ruang-ruang kosong ku untuk urusan-urusan akhirat.

Quran, jauh berkilometer lagi jarak post-post yang aku scroll di 9Gag. Satu juz pun tak pernah sampai, apatah lagi 1/2 juz? Apatah lagi masjid, rumah Pencipta yang sering aku laungkan supaya menganjari aku dengan result 4 rata dalam final, hanya aku jejaki dalam Jumaat, yang kadangkala aku terbabas dihimpit dengan beratnya selimut dan tilam empuk.

Tapi hari ni, dalam bulan Ramadhan, aku duduk di atas tikar rumah Allah S.W.T yang penuh gebu, sambil menyelak Kalamullah yang kini melepasi beberapa juz, dan setelah puas aku termenung akan PELUANG yang aku  dapat dalam satu-satunya bulan yang ada dalam kalendar Hijriah, aku memulakan tilawah.

***

Hari pertama berpuasa untuk tahun ni, aku masih ingat betapa sukarnya aku menjaga mata. Mana taknya, aku duduk di Seremban yang majoritinya didiami oleh masyarakat bukan Islam, dan aku duduk di kawasan bandar yang pesat.

Memang, bukan aku nak salahkan mereka non-Muslim yang tidak mempunyai etika pemakaian yang agak sopan, kerana itu hak mereka untuk berpakaian dengan pakaian yang mereka rasakan selesa, walaupun berseluar pendek dan sleeveless dalam sejuk-sejuk ekon mall, tetapi, aku akui, ia satu cabaran yang agak sukar.

Dalam bulan-bulan lain, aku mengabaikan perintah Allah S.W.T untuk menundukkan pandangan. Selagi mana ia menjadi halwa mata, selagi itu tidak berkatup selagi tak kenyang menjadi rezeki mata.

Tetapi, mungkin Sang Perencana Rezeki sudah pun diberhentikan sekejap, malah mungkin juga dengan keberkatan bulan Ramadhan, peluang ni aku gunakan seakan automatik, aku menjaga pandangan, menjaga mata daripada meratah makanan-makanan yang tidak berzat dan merosakkan.

Pergi ke mall pada bulan Ramadhan aku kira, bukanlah satu perancangan yang baik. Selain mall berpotensi mengurangkan dompet dan duit pulus, mall juga berpotensi mengurangkan pahala puasa. Tapi, apakan daya, kalaulah aku mampu buat baju, jahit kasut, semuanya aku boleh buat sendiri, takkan aku jejak mall tu, hohoho.

Oh, sebelum tu, tujuan aku pergi ke mall hanya sebagai killing time sebelum jemput ibu aku daripada kerja. Alang-alang, aku window shopping sedikit baju raya, mohon jangan bash aku kata aku takde semangat Ramadhan, inni Soimun

Masuk je satu post mall, disambut oleh non-Muslim yang berpakaian seksi meksi. Oh, berlegar-legar mata aku menjaga pandangan. Nasib baik lah takde yang aku berkenan dalam post mall tu, kalau tak masha Allah, kurangnya pahalo poso den.

Namun, apa yang membuatkan aku sedih, bila aku masuk dalam beberapa post mall, yang jual baju yang jual seluar, aku disambut oleh promoter yang jelas bagi aku rupa Melayu, dan aku tahu di Malaysia setiap Melayu itu agamanya Islam, namun berpakaian seksi meksi, tanpa tudung, dan walau bertudung pun, seluarnya legging bajunya lengan pendek.

Maka hati mula terdetik, mula start judging itu ini, tapi aku cantas dengan cepat. Sebab biarlah pahala menjaga pandangan berkurangan, jangan pahala hati husnozun dan mendoakan kebaikan Muslim lain juga turut berkurangan.

Lalu aku keluar dari mall, sambil mengecop post mall yang akan aku datang balik, sebab nak beli baju raya. Ha, mohon jangan bash ana, inni Soimun!

***

Keesokan harinya, aku diberikan kesempatan oleh Allah S.W.T untuk menunaikan solat Zuhur berjemaah di masjid. Walaupun aku bangun agak lambat - kerana aku tidur balik selepas Subuh - tapi masih sempat takbir bersama imam walaupun singgah kat Shell memberikan makanan kepada kereta yang tak berpuasa seperti aku.

Usai solat, Al-fadil Ustaz menyampaikan satu tazkirah yang berdurasi setengah jam, kerana meraikan jemaah yang bekerja. Dalam tazkirah beliau, Al-Fadil Ustaz menyelar golongan peniaga yang meniaga di bazaar Ramadhan sehingga mengabaikan kefardhuan solat, kerana keletihan.

Tazkirah tersebut mengingatkan aku akan perbualan aku dengan ibu dalam perjalanan pulang kami ke rumah. Sambil aku drive, ibu menceritakan beberapa kawan-kawannya yang berniaga di dalam kedai, berniaga sehingga pukul 10, kerana bagi mereka, bulan Ramadhan adalah PELUANG mereka kaut untung lebih.

Ada yang cerita kat ibu, bahawa mereka tak dapat tunaikan tarawih sebab penat berniaga. Selepas Isyak terus terlelap kepenatan.

Dalam melayani cerita ibu yang berfungsi sebagai pengganti radio kereta yang rosak, aku bersyukur kerana Allah S.W.T menjaga ibuku daripada terjebak dengan mereka itu tadi. Dan dalam doaku, ibu tiba-tiba mengingatkan aku agar jangan lupa singgah kat bazaar, sebab ibu tak masak untuk berbuka.

Sampai je kat bazaar, masha Allah ramainya orang. Melihat ramainya orang yang membeli juadah di bazaar, termasuklah non-Muslim, mengiyakan tazkirah Al-Fadil Ustaz dan cerita ibu aku tadi. Non-Muslim yang semangat waja membeli juadah berbuka, percaya atau tak hohoho.

Sambil-sambil aku jenjalan dan tak tahu nak beli apa untuk berbuka, aku buka Whatsapp sekejap. Dan perjalanan aku yang asalnya menjadi laju, beransur perlahan, apabila membaca satu post yang dishare dalam grup Whatsapp kelas, menyatakan pesanan Ustaz yang menegah kita membeli juadah daripada mereka yang tidak menutup aurat.

Ustaz kata, setelah lebih 12 jam kita berpuasa sebagai ibadah kita kepada Allah S.W.T, penyudahnya kita berbuka dengan juadah yang disediakan dan dimasak oleh mereka yang tidak menutup aurat. Hilang keberkatan di situ.

Tanpa aku melihat shahih atau rasional kata-kata dalam Whatsapp tersebut, aku mengiyakan kebenaran qaul tersebut, dan penyudahnya aku hanya membeli juadah berbuka daripada peniaga lelaki sahaja.

Sambil-sambil tu, aku berpendapat kalau nak suruh peniaga bazaar Ramadhan tutup aurat, senang je. Boikot kedai dia, tak yah beli makanan dia selagi dia tak tutup aurat, hahaha.

***

PELUANG? Apakah kalian tahu apa itu PELUANG? Orang putih sebut opportunity, orang Arab sebut fursoh, dialek Negeri Sembilan sebut poluang, dan walau bagaimana berbeza pun perkataan PELUANG ni, hakikatnya, ia merujuk kepada sebuah kesempatan.

Kesempatan yang kadangkala datang berkali-kali, hari ni ada, esok ada, bulan depan ada, tahun depan ada, sepuluh tahun lagi ada.

Dan kadangkala kesempatan, yang hanya datang sekali. Sekali je beb, tiada siaran ulangan seperti episod Naruto mahupun Boboiboy kat TV3.

Kalau korang semua perasan, di tajuk post ni aku tulis 'Bulan Ramadhan, bulan PELUANG'. Peluang di sini aku tak susuri dengan perkataan 'kebaikan' atau 'buat pahala', sebab bagi aku, PELUANG di sini kesemuanya atas kehendak orang yang diberi peluang tu belaka.

Bagi hamba Allah S.W.T yang hidup matinya mengejar duit dengan berniaga, bagi mereka bulan Ramadhan ni lah bulan yang paling masyuk. Sehari boleh untung beratus-ratus, malah boleh sampai beribu-ribu. Ada yang sampai ambil cuti tanpa gaji, semata-mata untuk berniaga di bulan Ramadhan.

Bagi hamba Allah S.W.T yang bersibukkan dengan persiapan raya, kain langsir, sofa perabut baru, beli baju seluar raya baru, bagi mereka bulan Ramadhan ni lah peluang untuk mereka menukar segalanya. Bukan setakat tukar, tambah lagi sedia ada.

Namun, bagi sesetengah hamba Allah S.W.T yang hidupnya dipenuhi dengan dosa dan noda, mereka menunggu kedatangan bulan yang mulia ni. Setelah menempuhi 2 bulan iaitu Rejab dan Sya'ban, akhirnya mereka sampai di bulan Ramadhan yang mulia ni, setelah 58 saban hari berdoa agar diberkati dalam ketiga-tiga bulan dan disampaikan mereka kepada bulan Ramadhan ni.

Untuk apa? Untuk mereka khususkan satu bulan ni untuk beribadah. Untuk apa? Sebagai pengganti bulan-bulan mereka yang dipenuhi dengan dosa dan noda. Untuk apa? Sebagai masa mereka meraih keuntungan akhirat pula.

Untuk apa? Untuk menggunakan kesempatan dan PELUANG yang Allah S.W.T sediakan buat hamba-hamba yang Dia sayangi ni.

Kerana hakikatnya, sehingga kini, ada hamba-hamba-Nya yang tak berkesempatan menikmati kemuliaan bulan Ramadhan ni. Tibanya 1 Ramadhan, betapa banyak lubang-lubang kubur yang digali untuk menempatkan jenazah hamba-hamba-Nya yang tak diberikan kesempatan dan PELUANG.

Mengakhiri post dan luahan hati, aku tidak prejudis akan mereka golongan perniaga, samada di bazaar mahupun di mall. Cuma, apakah nilainya duit fulus dan keuntungan yang beratus beribu itu, jika peluang tarawih pahala ibadah yang berganda itu tak diraih bersama dalam bulan yang datangnya sekali dalam setahun ni?

Aku juga tidak perjudis kepada kaum wanita yang menjadi promoter atau perniaga di bazaar yang masih lagi tak menutup aurat meskipun dalam bulan Ramadhan ni. Cuma, adakah seronok mengurangkan pahala puasa mereka yang berhempas pulas menjaga ibadah puasa mereka, dan mana perginya rasa hormat kepada bulan Ramadhan yang mulia ini?

Bagi aku, jika tak mampu membantu Muslim lain meraih pahala di bulan Ramadhan, jangan kita yang mengurangkan pahala mereka pula.

Semoga ibadah dan puasa kita diterima oleh Allah S.W.T. Semoga kita dikurniakan kemampuan dan kekuatan untuk menunaikan ibadah kita kepada Allah S.W.T.

Mungkin hakikat karipap yang kosong inti acap kali moreh tidak dapat diubah, tapi percayalah, kita berkuasa mencipta Ramadhan tahun ni yang jauh lebih superb dan cemerlang daripada Ramadhan yang lalu.

Selagi mana kita menghargai PELUANG yang Dia berikan ini.

Selamat menunaikan ibadah puasa, sama-sama kita merebut PELUANG yang hanya datang setahun sekali ni.

Inni Soimun :)

Comments

Post a Comment

Popular Posts

Terima Kasih Followers