Kenapa EGO itu wujud dalam diri : Cara melenturkan EGO gaya aku

Hari ni, aku merupakan seorang remaja Melayu Islam yang kini dah menginjak 19 tahun. Secara rasminya, aku dah 19 tahun bernafas di bumi Allah S.W.T ni, dan secara rasminya aku telah berjumpa dengan pelbagai jenis manusia yang memiliki pelbagai jenis ragam dan karenah, yang kengkadang aku sendiri pening kepala, jatuh cinta mahupun mendapat kehormatan aku.

Sepanjang kehidupan aku, aku banyak bergaul dengan kengkawan yang berlainan negeri, berlainan bangsa, yang berlainan agama, cuma setakat ni tak pernah lagi ada kengkawan yang berlainan negara. Mungkin suatu hari nanti kot?

Namun, disebabkan aku orang Melayu yang beragama Islam, so secara lumrah dan kosmologi alam dan suasana, majoriti kengkawan aku adalah Melayu Islam belaka.

Dahulu, aku seorang yang hanya berpegang kepada satu karakter sahaja. Maksud aku, sekarang aku cenderung menjadi manusia yang banyak karakter, sebab pengalaman aku berjumpa dengan pelbagai jenis manusia, membuatkan aku berpendapat, kita mesti berkarakter mengikut suasana pergaulan kita.

Begini maksud aku. 

Dahulu aku memiliki karakter sebagai seorang manusia yang pemarah. Maknanya, aku bukanlah seorang manusia yang mudah untuk orang berurusan, pendek kata kalau tak kena pada caranya, aku mudah melenting.

Akibatnya, aku mula dilabel sesetengah kengkawan aku, sebagai seorang pemarah. Aku pernah dapat sebuah buku yang bertajuk 'Bagaimana Nak Mengawal Kemarahan' daripada seorang kawan aku sebagai hadiah besday aku. 

Dan akibatnya, buku itu aku musnahkan disebabkan aku rasa macam diperli, huhuhu.

Bila aku berorganisasi, kemarahan menjadi perkara yang paling penting dalam aku menjadi seorang pemimpin. Pendek kata, apa yang tak kena, memang aku bagi camtu je, sian anak-anak buah aku. Padahal anak-anak buah aku adalah kawan yang sama baya, sama sekolah, sama kelas.

Akhirnya, aku dilabelkan sebagai seorang yang pemarah, dan organisasi yang aku pimpin menjadi hancur lebur, aduhai.

Dalam persahabatan, dahulunya aku cenderung menjadi seorang kawan yang dominan. Maknanya aku sentiasa nak keinginan aku sebagai kawan, dipenuhi oleh kengkawan aku yang lain. Dalam diam, kemarahan aku mula bercambah kepada ego pulak.

Disebabkan kelebihan yang Allah S.W.T berikan kepada aku, ego aku semakin tinggi. Aku merasakan akulah orang paling hebat di mana mana tempat yang aku pijak, terutamanya kalau aku pergi apa apa jenis kem, kem kepimpinan ke, kem tu, kem ni.

Akibat daripada keegoan aku, yang bercampur baur dengan sifat marah, aku banyak kehilangan kengkawan yang terasa tahap gaban dengan perangai aku. Akibat daripada ego dan sifat marah, aku dilabel sebagai manusia yang susah untuk dibawa berbincang, dan manusia yang berlagak.

Apabila Allah S.W.T menguji aku dengan pelbagai situasi, terutamanya situasi yang memaksa aku untuk tak bersifat dengan karakter sebenar aku, iaitu dengan mencampurkan ego dan amarah, baru aku sedar, sebenarnya, betapa aku ni seorang yang tersangat hina.

Why aku kata begitu? Sebelum aku jawab, aku nak timbulkan satu persoalan. Salahkah kalau kita tak bersifat dengan sifat kita sendiri? Senang cakap, salahkah kalau kita tak jadi diri sendiri?

Jawab aku, sifat sebenar kita bukan semuanya baik, tapi, dalam kita bermasyarakat, berkawan dan berorganisasi, kadang-kadang sifat sebenar kita boleh buatkan orang jadi benci, hilang respect kat kita, silap-silap kita cenderung mencipta banyak musuh.

Namun, dalam certain-certain situasi, kita perlu bersikap dengan diri kita yang sebenar. Benda ni hanya dapat dicapai dengan pengalaman kehidupan yang banyak, pendek kata, dengan pengalamanlah kita akan belajar semua benda ni.

Sepanjang aku hidup, aku bersahabat, aku berjumpa dengan bermacam jenis orang, kawan, sahabat. Kesemua mereka memiliki kelebihan yang buatkan aku rasa seronok berkawan dengan mereka, dan juga memiliki kekurangan yang buatkan aku rasa benci dan hilang respect kat mereka mereka semua.

Kenapa aku hilang respect kat mereka? Sebab aku merasakan mereka lebih mementingkan kepentingan diri mereka berbanding kepentingan orang lain. Di sebabkan itu, mereka mendapat ketidak respectan aku, bahkan mungkin juga manusia-manusia lain.

Dan aku mudah hilang respect, kepada manusia yang ego. Persoalannya, apakah ego itu tak boleh ada pada diri manusia?

Jawab aku, boleh, namun ego hanya berfungsi apabila hak-hak kita sebagai manusia diingkari, dicabuli, dirampas oleh orang lain. Contoh, bila orang curi barang kita, kita marah dia, sebab dia ambil hak kita. Dalam hal nilah, ego berperanan, kalau tak hak kita sentiasa akan dicemarkan orang lain.

Namun, ego yang berlebihan, itu yang paling dibenci manusia, terutamanya aku. Bagaimana ego yang berlebihan?

Ego yang berlebihan mengikut kamus kehidupan aku ialah : 

(1) Manusia yang rasa dirinya sentiasa betul 

Dalam kehidupan kita, kita jarang dan mungkin tak pernah nampak kesilapan diri kita. Hanya orang lain yang selalu dan cenderung nampak kesalahan kita. Disebabkan itulah, orang selalu menegur kesilapan kita, terutamanya orang-orang yang lebih berusia daripada kita.

Namun mengapa, bila kita ditegur oleh kengkawan yang sebaya dengan kita, mahupun yang muda daripada kita, kita merasa seolah-olah kita adalah betul, dan dia adalah salah? Ataupun kita tetap merasa perbuatan kita itu adalah betul, walaupun yang menegur kita itu ialah manusia yang berlainan jantina?

(2) Manusia yang tak boleh terima pendapat orang lain

Disebabkan kita sentiasa rasa diri kita betul, so bila orang lain melontarkan idea-idea, kita tak boleh terima dengan positif, walaupun idea-idea itu sememangnya yang terbaik, disebabkan ia tak keluar daripada minda kita sendiri.

Orang begini, bila menjadi ketua, akan hancurlah organisasi, sebab kuasa meluluskan ada padanya. Kalau sesuatu kerja tu dah dirancang rapi, tapi kalau ketua tak luluskan, tak guna jugak.

Manusia yang tak boleh terima pendapat orang lain, akan sentiasa mencipta hujah, untuk nak kata dia betul, untuk sentiasa membenarkan pendapatnya dan untuk menyalahkan pendapatkan orang lain.

Pendek kata, orang begini susah nak berurusan. Kalau dia berkahwin, dan pasangannya adalah seorang yang berlawan, maka pasangannya akan menjadi hamba. Kalau pasangannya sama jugak macam dia, jawabnya hari-hari pinggan, mangkuk, peti ais, tv, tingkap, sofa, ps, pc, ipad, android yang terbang dalam rumah.

(3) Manusia yang sentiasa rasa dia yang paling hebat

Ya, inilah faktor utama kenapa seseorang manusia itu ego. Bila belajar, dialah rasa dialah orang yang paling pandai. Bila berdebat dia rasa dialah yang paling betul. Bila dia ada pendapat sendiri, dia rasa pendapat dialah yang paling betul.

Apabila kita rasa diri kita adalah yang paling hebat, maka kita cenderung melakukan sesuatu perkara tanpa keikhlasan. Apabila kita rasa diri kita yang paling sempurna, maka kita cenderung sentiasa berhajat kepada pujian manusia.

(4) Manusia yang tak pernah mengaku kesilapan diri

Ya, orang ego adalah orang yang paling rare untuk mengaku kesilapan diri. Sebab mengaku kesilapan diri bermaksud dia mengiyakan kelemahan dirinya, sedangkan padanya, dia adalah yang terbaik, kan?

Bila dia tahu dengan perbuatan dia, ada hati dan perasaan yang terluka, dia hanya mengambil sikap 'whatever', 'lantak kaulah', sebab dia tak pernah ambil kisah pasal hati dan perasaan orang lain. Yang penting hati dan perasaan dia ok.

Apabila kita ada kengkawan, mungkin kita akan ada kengkawan yang pengalaman dan ilmunya luas dalam sesuatu bidang, perkara atau hal. So, seandainya kita lemah, atau kurang pengalaman dalam sesuatu bidang, dan kita kenal kawan yang arif dalam bidang tersebut, maka apa salahnya kalau kita jumpa dengan dia, minta tunjuk ajar?

Adakah jatuh air muka untuk berguru dengan seseorang yang sebaya dengan kita?

Apabila kita ditegur atas kegagalan kita, kita memekakkan telinga, sebab hati kita rasa kita betul. Akibatnya, kita selamanya menjadi orang yang bodoh sombong, dan sentiasa duduk dalam kesilapan kita sendiri. Malah mungkin kita yang marah dan lukakan hati orang yang menegur kita pulak?

Akibatnya, orang malas nak tegur kesilapan kita, 'lantak kaulah', dan mungkin ada yang mendoakan supaya kita sendiri belajar daripada musibah yang kita cipta. Aduhai.

(5) Manusia yang tak pernah minta maaf kepada orang lain

Apakah itu minta maaf? Pada pendapat aku, minta maaf bukan kerana sebab kita salah, tapi sebab kita nak merapatkan jurang ukhuwah yang terjadi disebabkan sesuatu kejadian, salah faham atau pertelingkahan. Sebab tu kita minta maaf, sebab maaf terbukti melembutkan hati manusia.

Ingat, orang yang minta maaf, tak bermakna dia salah. So, bila ada kengkawan kita yang minta maaf kepada kita, jangan kita fikir kengkawan kita tu ada buat salah kat kita. Tapi, mungkin kita yang ada buat salah kat dia, namun disebabkan dia sayangkan persahabatan, maka dia sanggup merendahkan egonya, dan minta maaf kepada kita yang bersalah sebenarnya.

Pernah tak kita fikir camtu?

Dalam kehidupan kita, wujud probability atau kemungkinan untuk kita melukakan hati orang lain tanpa kita sendiri sedari, samada dengan jelingan mata kita, dengan perkataan kita, dengan pengakuan kita, dengan gurauan kita, dengan tulisan kita, dan bermacam-macam lagi yang keluar daripada diri kita.

Tapi kita je tak sedar, sebab mungkin ego kita dah menutupi mulut-mulut manusia yang nak tegur silap kita, tapi fedup dengan kita yang terlalu ego.

Kelima-lima karakter inilah yang membentuk EGO, mengikut pengalaman aku, kerna aku juga seorang yang ego.

Namun, kematangan dan pengalaman kehidupan aku mengajar, bahawa merendahkan ego itu terlalu banyak manfaat dan kelebihannya, terutamanya melibatkan soal keberkatan dalam kita bermasyarakat, berorganisasi dan bersahabat.

Sebab, kita adalah manusia, miliki perasaan, ada hati, kita bukan robot. Bila kita tampak di mata orang sebagai seorang manusia yang ego, secara automatiknya, kita menghilangkan rasa hormat manusia kat kita. Perlahan-perlahan, kita akan mula kehilangan kawan, dan kalau kita memiliki kawan sekalipun, adalah kawan yang terasa hati, kawan yang kutuk belakang, kawan di masa senang, kawan yang pengkhianat.

Maka, apa kata kalau kita berfikir sejenak, tentang betapa banyakkah hati-hati dan jiwa-jiwa yang terasa, terluka, disebabkan egois yang membeliti diri kita?

Dahulu aku seorang yang sentiasa ego, namun bila aku semakin menginjak dewasa, dan diuji dengan ujian dan musibah Allah S.W.T yang sayangkan aku, maka aku cuba untuk perlahan-perlahan menurunkan ego aku yang tinggi melangit ni. 

Cara yang aku buat ialah :

(1) Aku selalu berfikir bahawa ramai lagi yang lebih hebat daripada aku, tapi aku tak jumpa lagi

Dulu aku selalu rasa aku yang paling hebat, yang paling hensem (itu tipu, hiperbola je), paling pandai, pendapat akulah yang paling bernas, dan lain-lain yang semuanya aku hebat belaka, tapi bila aku berjumpa dengan orang, khususnya kengkawan sebaya yang jauh lebih hebat daripada aku, baru aku sedar, betapa ada lagi manusia yang lagi hebat daripada aku rupanya, aduhai.

Maka, serta merta, aku rasa aku ni tak la hebat sangat, huhuhu.

(2) Belajar daripada orang yang hebat daripada aku dan minta tunjuk ajar

Bila aku dah jumpa kengkawan yang hebat tadi, aku rendahkan ego aku untuk menimba ilmu daripada dia. Sebab kalau aku ikut jugak ego aku, yang rasa aku lagi hebat daripada dia, jawabnya aku akan jadi bodoh sombong.

Aku berubah, menjadi seorang yang kalau aku nak belajar, aku sendiri akan berjumpa dengan orang tersebut. Aku tak berharap dia yang akan datang menghadap aku, atau sendiri terdetik nak berkongsi dengan aku, sebab memang mustahil, kan?

(3) Terima pendapat orang lain, dan minta orang tegur kesilapan diri kita

Bila aku berorganisasi, aku cenderung menjadi ketua. So, bila aku berkumpul dengan kengkawan yang menjadi anak buah aku, atau berdiskusi tentang assignment, aku selalu wujudkan suasana di mana kengkawan tak rasa aku sebagai seorang yang rasa pendapat aku je adalah bernas.

Bila aku keluarkan pendapat aku, dan pendapat aku direject, aku tak melenting. Bila kengkawan keluarkan pendapat mereka yang aku rasa macam tak sesuai, aku tak cepat tolak. Bila aku beri pendapat, aku tanya samada bernas atau tak, kalau perlu tolak jika tak sesuai.

Aku seorang yang ego, namun aku cuba merendahkannya dengan minta orang tegur. Sebab aku tahu, perbuatan aku mungkin ada yang terasa. Aku juga seorang yang pemarah, namun aku cuba bersabar bila dengar orang tegur kesalahan aku, walaupun telinga panas, tapi minda aku cuba untuk positif.

Ada manusia, suruh kita tegur kesalahan dia. Tapi bila kita tegur, dia pulak tak boleh terima dan marah kita pulak. Orang macam ni aku memang pelik, tersangat munafik, talam dua muka. Hahaha.

Bila orang tegur aku, aku memikirkan kerasionalan, betul salah teguran dia. Kalau aku rasa benda tu tak betul, aku suarakan. Tapi selalunya, aku mendiamkan diri, dan mendengar dengan sabar teguran dan kritikan yang orang beri kepada aku.

Bila aku berkawan dengan orang lain, aku sentiasa nak seseorang itu berlaku jujur, dan jangan menjadi kawan yang dayus, kawan yang biarkan aku tenggelam dalam kesilapan aku. Aku cuba menunjukkan kepada orang lain, betapa aku adalah manusia yang boleh ditoleransi, boleh dibawa berbincang, pendek kata, seorang yang cool, boleh terima pendapat orang lain.

(4) Jangan perendahkan orang lain

Kengkadang, bila aku rasa gurauan aku terlalu kasar, aku cuba minta maaf kepada dia. Meskipun memang kengkawan aku selalu bahan dia, tapi aku cuba elakkan diri aku daripada buat perkara yang sama, kalau gurau pun, gurau biasa-biasa jelah, hahaha.

Bukan apa, kengkadang kita cenderung lukakan hati orang lain, walaupun dengan bergurau. Macam aku cakap tadilah.

Apabila kita diberikan Allah S.W.T kelebihan, contohnya macam kita mungkin pandai daripada orang lain dalam certain subjek. Bila orang suruh kita ajar, ajarlah dengan perasaan yang rendah diri, dan niatlah dengan niat untuk berkongsi, bukan sebagai seorang cikgu yang mengajar anak murid yang memang tak tahu benda pun.

Bila orang minta kita suruh ajar, penuhilah pertolongan kepada mereka, walaupun yang menyuruh itu adalah orang yang mungkin kita tak berapa berkenan dengan dia. Kalau tak nak, disebabkan kita sibuk, ada komitmen yang lain, atau mungkin kita tak selesa dengan dia, tolaklah dengan sopan, dengan penuh kerendahan diri.

Jika suatu hari kita dipuji, atau diangkat, dimuliakan orang lain, cikgu, pensyarah atau sebagainya, jangan bangga diri, mungkin hari itu adalah hari yang Allah S.W.T mudahkan, but bukan hari-hari Dia mudahkan. Serahkanlah pujian itu kembali kepada-Nya, jadi bajet sangat, kengkadang pujian itu bukan betul-betul layak dengan diri kita pun.

Amacam?

(5) Diri sendiri

Ya, inilah cara yang paling mujarab. Sebab aku tak menjumpai cara dan ubat yang paling berkesan untuk melenturkan ego yang tinggi, melainkan kita sendiri yang lenturkan.

Kengkadang kita banyak ilmu, atau seorang yang berkarisma dan hebat berhujah, atau mungkin memiliki fikiran yang out of the box, tapi ego inilah yang membunuh kesemua kehebatan itu. Sebab kita hidup dengan manusia, dan kejayaan, kemasyhuran dan kehebatan yang kita ada ni semuanya disebabkan reda dan keberkatan manusia.

Sebab tu ramai ulama yang memiliki ilmu yang hebat, hafiz Quran dan Hadith, miliki anak murid yang ramai, tapi bila memiliki ego, maka kemuliaan dirinya Allah S.W.T hilangkan camtu je.

Ada ulama yang berpendapat, terutamanya ulama tasawuf seperti Imam Ghazali berpendapat, biarlah seseorang tak memiliki ilmu yang banyak, yang hebat, asalkan dia memiliki akhlak yang hebat. Sebab penyakit orang yang hebat, adalah ego, tau?

Kita akan rasa sedih, bila orang label kita sebagai seorang tak boleh berurusan, ego tinggi ke, tak boleh terima pendapat, teguran, aduhai, aku pernah merasa, tersangat sedih kot?

Cukuplah sekadar tu, tapi harapnya, tulisan dan fikiran aku ni boleh dimanfaatkan oleh korang. Kalau aku salah, tegurlah aku, jangan jadi sahabat yang dayus eh?

Aku sentiasa menjadi diri aku sendiri, tapi aku mengubah karakter mengikut suasana, aku juga memiliki ego, namun aku belajar bahawa meninggikan ego aku adalah suatu perkara yang tak pernah berikan aku manfaat pun, hahaha.

Kepada kengkawan yang mengenali aku, tegurlah kesalahan aku, lenturkanlah ego aku, ajaklah aku ke arah Dia bersama, jangan biarkan aku tenggelam dalam ombak kesilapan yang aku layari sendiri, tolong (muka macam Puss The Boot dalam movie Shrek) eh sahabat-sahabat yang mengenali aku? Please?

Akhir kata, kenapa aku kata tadi, bila ego dan amarah aku bersatu dalam diri aku, aku rasa hina? Sebab ramai manusia yang dah merasa Neraka Allah S.W.T, disebabkan ego dan amarah mereka sendiri.

Bukankah apabila ego itu, ia boleh membawa kepada riak? Bukanlah apabila ego itu, seolah-olah kitalah yang paling gah di muka bumi Allah S.W.T ini?

Rendahkanlah ego kita, kita mampu mengubahnya.

Comments

  1. Terima kasih atas perkongsian.sangat berguna sebab saya sendiri sedang cuba merendahkan ego bila ditegur oleh rakan2.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Huhuhu, sama-sama. Takpelah, bila ada orang tegur, tak bermakna ia memang betul-betul kesalahan kita secara mutlak. Jadi kita kena muhasabah tntg tu, kalau betul ia salah kita, so kita terima. Kalau bukan, kita hanya berlapang dada.

      Lagipun, hanya kita je yang tahu, bila mana ego itu perlu, bila mana ia tidak.

      Delete
  2. Dgn menundukkan ego anda, anda telah menjadi hamba ALLAH yg hebat.. Tahniah

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul, tahniah juga atas perkongsian ni ye :)

      Delete
  3. Kawan sy pun ada juga yg sentap tahap gaban dgn sikap ego sy...huhhu srs susah nak rendahkan ego

    ReplyDelete
    Replies
    1. Susah, tapi in sha Allah tak mustahil

      Delete
  4. Even jumpa org yg lebih hebat...bukan ada rasa rendah diri malah xboleh terima kenyataan pla tu...hihi ...terbaiklah akk dpt berubah

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kena perlahan2 menerima sebab hari2 sentiasa ada orang yang lebih hebat daripada kita

      Delete

Post a Comment

Popular Posts

Terima Kasih Followers