Tahun 2016 : Milik kita

Assalamualaikum korang semua. Alhamdulillah, akhirnya aku dikurniakan kesempatan untuk berkongsi dengan korang semua, wuhahaha.

So, itu bermakna aku officially berada dalam cuti sem. Baru je 2 hari aku kat rumah, dan aku rasa dah lebih 2 kali juga aku bermusafir ke tandas. Tu baru namanya makanan Negeri Sembilan, haha.

Alhamdulillah, kini aku dikurniakan oleh Allah S.W.T kesempatan dan masa lapang yang banyak - khususnya bersama family tercinta - dan macam yang aku janjikan, aku akan terus menulis lebih banyak post untuk aku kongsikan bersama korang semua.

Yela, aku tahu mungkin ada antara korang yang merindui post aku, tak kurang juga ada yang merindui aku, wuhaha.

Jadi maafkan atas kekurangan aku, dalam kesibukan aku sebagai seorang budak U - bajet busy je - dan terima kasih kerana terus menyokong penulisan, pendapat dan luahan aku walaupun aku seorang yang penuh dengan kekurangan.

Terima kasih, semoga Allah S.W.T memberkati kita semua. Semoga penulisan-penulisan aku ini bermanfaat untuk kalian, khusus untuk diri aku sendiri.

***

Malam ini, aku menulis dalam kurang satu jam yang terakhir sebelum tibanya 1 Januari 2016. Sedar atau tak mahu nak sedar, masa begitu pantas bergerak mengalahkan komuter kat Malaysia.

Walaupun officiallynya kita dah pun masuk tahun baru - 1437 Hijrah -, dah bulan Rabiul Awal pun, tapi aku yakin majoriti manusia lebih terkesan dengan 1 Januari daripada 1 Muharam.

Pendek ceritanya, suka atau tak, kita terpaksa menerima hakikat bahawa masa memang pun bergerak dengan pantas. Dan suka atau tak, itulah petanda yang dunia ini semakin menuju ke penghujungnya.

Selepas aku selesai dinner bersama semua ahli family aku, makan pun lauk simple je - sardin, kacang panjang campur telur, telur dadar dan ikan masin - tiba-tiba otak aku mula laju memutarkan kembali kenangan ala-ala throwback dari Januari 2015 hinggalah saat aku menulis post ini.

Tak dapat tidak, tahun 2015 aku dipenuhi dengan pelbagai cerita, episod, filler ala-ala Naruto - tak tahu bila nak habis filler tu - dan banyak gila genre, ada sedih, ada hepi, ada serius ada gila dan macam-macam jenis lagi.

Aku yakin benda ni tak berlaku kepada aku seorang je, aku yakin korang juga mesti terfikir perkara yang sama.

Semestinya, dalam kurang 1 jam untuk berakhirnya tahun 2015 yang penuh dengan suka duka ni, tak dapat tidak satu muhasabah mesti dilakukan, kena buat post mortem.

Kenapa? Asal kena buat post mortem, nak bedah mayat ke apa? Wuhahahaha.

Bukan nak bedah mayat, tapi nak bedah tahun 2015 ni, supaya kita tahu mana satu kelebihan, mana satu kekurangan, supaya kelebihan 2015 tu kita boleh proceed ke tahun 2016, dan kelemahan 2015 tu takkan kita ulang lagi dalam tahun 2016.

Supaya kita tak jadi mayat hidup yang berterusan mengulang kesilapan yang sama, berulang kali.

***

Dalam 365 hari aka 1 tahun, mesti ada 2 je perkara yang berlaku dalam kehidupan kita. Pertama, kita buat sesuatu yang membahagiakan diri sendiri, ataupun kita panggil the right choice. Kedua, kita buat sesuatu yang mendukakan diri sendiri, ataupun kita panggil mistake.

Jadi, dalam masa korang sedang membaca post aku ni, cuba korang imbas, cuba gerakkan otak korang tu sikit, ingat dan recall kedua-dua item tu.

Cari la sehingga dasar otak yang paling dalam. Dan dalam masa yang sama, carilah juga sehingga ke dasar hati korang yang paling dalam.

Manusia ni tak sempurna, sebab itulah kesilapan itu wujud walaupun kita memiliki kelebihan-kelebihan yang banyak. Walau camana kita cuba untuk lari daripada kesilapan, cuba menjadi manusia yang perfect, kesilapan itu tetap akan datang kepada kita.

Kesilapan yang hadir itu, sebenarnya adalah pengalaman yang begitu berharga untuk kita. Daripada situ kita tahu, mana yang berbahaya kepada kita, sejauh mana kesannya, akibatnya kepada kehidupan kita, dan juga kepada kehidupan orang lain.

Jadi sebab itulah pentingnya post mortem tu tadi, sebab kesilapan itu menjadi pengalaman yang sangat penting kepada kita, supaya kita takkan ulang lagi dalam masa yang seterusnya.

Kalau kita tak jadikan ia pengalaman, ambik mudah, maka jadilah kita manusia yang menjalani kehidupan yang penuh hambar, tak seronok, dipenuhi air mata, hati yang luka, sedangkan kita boleh elak daripada ulang mistake yang sama.

Kan seorang mukmin itu takkan jatuh lubang yang sama 2 kali?

Aku sendiri melakukan begitu banyak mistake, yang membodohkan diri sendiri, yang melukakan diri sendiri, dan aku berdoa dan berusaha agar tahun 2016 ni aku takkan ulang kesilapan yang sama.

Tidak mengapalah, jika banyak mistake yang kita buat dalam tahun ni. Manusia mana yang boleh lari daripada melakukan kesilapan?

Jadi janganlah terus dihimpit oleh beban mistake masa lampau, janganlah terus dibeliti rantai kelemahan diri sendiri, teruskan melangkah, dan warnailah tahun 2016 ni dengan membebaskan diri daripada kesilapan-kesilapan tersebut.

Mungkin kita akan buat lagi kesilapan dalam tahun hadapan, tapi at least janganlah kesilapan yang sama. 

Dengan melarikan diri daripada kesilapan, lari daripada keputusan-keputusan salah yang pernah kita lakukan, in sha Allah kita akan sampai ke keputusan-keputusan yang benar, dan disukai hati kita sendiri.

Lupakanlah kesilapan-kesilapan yang dah pun kita buat dalam 2015, tapi jangan pernah lupa akan kesannya. Letakkanlah noktah dalam kesilapan-kesilapan kita tu.

Supaya tahun 2016 ni kita akan terus tersenyum, tanpa dicemari oleh air mata dan darah luka yang sama.

***

Dalam 365 hari aka 1 tahun, mesti ada 2 je perkara yang berlaku dalam kehidupan kita. Pertama, orang membahagiakan kita, sehingga kita lupa akan kesedihan hidup. Kedua, orang mendukakan kita, sehingga kita lupa akan kegembiraan hidup.

Yup, itulah hakikatnya. Bukan semua orang sayang kat kita. Dan bukan semua orang juga benci kat kita. Di mana kita melangkah di setiap inci dunia, itulah hakikatnya.

Dalam kehidupan kita, kita akan lebih banyak menangis disebabkan perbuatan manusia lain yang menghiris hati dan melukakan perasaan kita. Kadangkala, perbuatan itu diulang-ulang dari tahun ke tahun yang lain, seolah-olah tidak ada tanda-tanda untuk berhenti.

Tapi, walau selama mana pusingan itu berlaku, tapi jangan pernah kalah. Jangan pernah berputus-asa.

Nangislah sebanyak mana yang kita mahu, berdarahlah sebanyak mana darah yang kita ada, tapi sesungguhnya kita belum mati lagi. Perjuangan kehidupan kita belum lagi tamat.

Jangan pernah kita lupa, tiada manusia-manusia lagi yang boleh mengajar kita erti kehidupan yang sempurna dengan lebih baik, selain daripada manusia-manusia yang melukakan kita tadi, berterusan tanpa henti.

Takde siapa.

Semua tu pengalaman beb! Sangat berharga, at least kita tahu bagaimana rasanya pahit hempedu. Tahu bagaimana sakitnya dilukakan.

Jadi, kita takkan buat perkara yang sama dekat orang lain. Biarlah kita yang dilukai, jangan kita yang melukai pula.

Mungkin, dalam tahun 2016 ni, manusia-manusia itu takkan berhenti melukakan hati kita, tapi at least jangan biarkan mereka semua menentukan corak kehidupan kita.

Kehidupan kita, biar kita yang corakkan. Kebahagiaan kita, biar kita yang nikmati sendiri. Persetankan mereka semua, pedulikan, tak payah layan, sebab haters ni everywhere, bersepah.

Yang penting terus sado, pekakkan telinga daripada caci maki mereka, dan jangan sesekali balas apa yang mereka buat tu. Kerana kita bukan mereka, dan takkan jadi seperti mereka.

Cubalah untuk memaafkan mereka, kerana mereka itu tak pernah merasainya pahitnya hempedu seperti kita. Jika kita tak mampu memaafkan mereka, maka janganlah membenci, kerana ia akan memakan ruang hati yang sepatutnya dipenuhkan dengan rasa sayang dan cinta.

Percayalah, Allah S.W.T itu Maha Membalas. Dan setiap kesakitan luka darah yang mereka buat itu, adalah jalan-jalan untuk kita menggapai erti bahagia yang sempurna dan hakiki.

Lupakanlah mereka yang membuatkan kita sedih, dan jangan sesekali melupakan mereka yang membuatkan kita ketawa. 

Hargailah mereka yang sayang dekat kita, dan sayanglah mereka sebagaimana mereka menyayangi kita.

Dan lupakan mereka yang melukakan kita, dan janganlah melukakan orang lain pula sebagaimana kita dilukai.

Biarlah tahun 2016 ni penuh dengan banyaknya kita mencipta senyuman orang lain, dan semoga kita juga akan terus senyum.

Walaupun sebanyak mana air mata kita yang keluar, walau sebanyak mana hati kita dilukai, walaupun dari tahun 2015 lagi.

***

Mengakhiri post, bunga api dah pun kedengaran menandakan tahun baru 2016 dah pun selamat sampai. Bolehlah tukar kalendar tu.

Kepada yang ada paper exam hari ni, jangan lupa hari ni 1 Januari 2016, bukan 2015, kan salah tulis pula, wuhahahaha.

Aku mendoakan, supaya Allah S.W.T memberkati tahun 2016 ni, dan diberikan kepada kita kegembiraan, dan dijauhkan kita daripada kesedihan.

Mostly, diberikan kekuatan untuk menghadapi cubaan, dugaan dan ujian 2016 yang lebih mencabar.

Walaubagaimana drama, episod, fillers dan genre yang berlaku dalam tahun 2016 ni, jangan sesekali berhenti daripada mengejar kebahagiaan kita sendiri.

Teruskan gembira.

Teruskan senyum dan ketawa.

Teruskan membahagiakan orang lain.

Teruskan membahagiakan diri sendiri.

Teruskan kuat menjalani kehidupan kita.

Teruskan bangkit selepas jatuh.

In sha Allah, tahun 2016 ni milik kita. Selamat Tahun Baru 2016.

Comments

Popular Posts

Terima Kasih Followers