Keberkatan Syawal : Bersama kita mendekatkan yang jauh-jauh

Assalamualaikum waramatullah, buat korang semua pembaca yang aku sayangi sekalian. Segala puji bagi Allah S.W.T, kita diberi peluang yang sangat banyak, untuk sama-sama menghadapi bulan Syawal yang penuh barakah dengan seribu satu kegembiraan.

Malah, bukan tu je, disambut bulan Syawal ni dengan seribu satu juadah, dalam seribu satu rumah terbuka. Wow!

Bercerita pasal rumah terbuka ni, aku rasa tahun ni macam dah sedikit maju rumah-rumah terbuka sekarang. Kalau dulu, kalau 10 buah rumah kau pergi, 10 tu juadah dia konfirm lemang rendang ketupat kuah kacang. Sekarang, aneka juadah beb! Rumah satu spageti, rumah dua laksa, rumah tiga mee kari.

Maka, bila setiap rumah terbuka yang aku pergi ni, dia buat juadah-juadah yang memang berbeza daripada rumah-rumah yang lain, jadi walaupun aku dah kenyang, tapi perut ni sentiasa ada ruang dan peluang untuk diisikan, wuhahaha.

Maka penyudahnya, jamban sentiasa menjadi tempat persinggahan melebihi aku singgah kat masjid. Dan sekarang ni, perut aku mula sakit, rasa macam nak cirit-birit, mungkin sebab makan tak ingat dunia, juga akhirat.

Mana taknya, hari ni kambing golek, esoknya kuah kambing. Terus hilang pertimbangan.

Aku rasa, masih belum terlambat di 19 Syawal ni, untuk aku ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin, Kullu 'Am wa Antum Bi Khoir, semoga raya kita semua tahun ni lebih meriah dan barakah daripada tahun-tahun terdahulu, dan mostly, aku nak mohon maaf atas kelemahan dan khilaf juga mostly, sebagai penulis blog ni.

Maafkan aku sebab lambat post, kadang-kadang sebulan dua baru satu post, juga kadangkala atas komen-komen dan luahan yang urgent perlu dibalas, tapi aku balas juga sebulan dua. Tu belum kira email-email yang late dan tak berbalas. 

Aku doakan moga-moga kesemuanya baik-baik belaka. Dan in sha Allah, aku akan lebih gigih dalam menulis, jadi teruskan support aku ok?

***

Maha Suci bagi Allah S.W.T, aku betul-betul rasa gembira dalam raya tahun ni, kerana bukan sahaja aku berjaya menamatkan bulan Ramadhan, yang aku kira betul-betul mencabar, dan juga bukan my best Ramadhan. Dengan 2 kali demam, dengan ibadah yang kurang, mungkin kerana kepanasan yang melampau.

Melepet je aku kat umah, terbaring kepanasan macam kambing yang dibakar untuk dihidangkan kepada tetamu rumah terbuka. Oh kambing!

Tahun ni merupakan tahun kedua aku diberi peluang oleh-Nya, untuk penuh berpuasa dan beraya selama sebulan solid tanpa kurang, dan apa yang membuatkan aku betul-betul rasa seronok dalam raya tahun ni, adalah sebab aku dapat beraya di rumah-rumah mereka yang aku kira lama aku tak jumpa.

Dalam lima atau enam tahun camtu. Termasuklah saudara-mara, para cikgu dan asatizah, dan kawan-kawan lama.

Tahun ni kami kurang beraya, tak macam tahun-tahun terdulu. Tahun ni masih lagi balik kampung ayah dalam 4 hari camtu, dan kalau tak silap kitorang pergi dalam 6 7 buah rumah camtu. Kesemuanya adalah adik beradik ayah, dan sepupu sepapat beliau.

Sampai je rumah, kitorang terus puasa 6, dan aku raya lambat sehari daripada ibu dan ayah, sebab, masa puasa pertama, aku bawa 2 orang kawan melawat bandar Seremban, dan tanpa disangka-sangka member tu payung milo ais pulak.  Disebabkan aku tak jumpa alasan-alasan nak lari tak nak minum, akhirnya aku teguk sampai dengan ais-ais sekali.

Dan jangan terkejut, sehingga hari ni masih lagi takde orang yang datang berkunjung kat rumah aku, samada saudara-mara mahupun kawan-kawan kitorang. Mungkin aku rasa, sebab kami dah berjumpa di kampung, jadi sebab tu diorang semua tak datang rumah.

Walaupun aku rasa sedih, mostly tiada kawan-kawan yang wasup call nak datang rumah, tapi kesedihan tu aku hilangkan dengan menghabiskan kuih-kuih raya kat rumah, so hari-hari ibu aku refill dengan gigihnya, seolah-olah macam 2 bas yang datang beraya kat rumah aku.

Hahaha *gelak tapi air mata bergenang dududududu*

Owh abaikan side story aku, kan lari point pulak. Kembali kepada titik perbincangan post ni.

Tahun ni, aku beraya di rumah cikgu dan asatizah aku, datang open house kawan-kawan, walaupun hanya memandu kereta Kancil edisi lama - first car ayah - seorang diri je.

Walaupun hanya kereta lama dan tak boleh pergi jauh, tapi kereta yang aku sayangi nilah yang membantu aku mendekatkan mereka-mereka yang jauh ni.

Dan, bila mana aku katakan 'mendekatkan yang jauh-jauh', actually dia ada dua maksud. 

Pertama, mereka-mereka yang jauh-jauh dari mata, sebab aku dah lama tak jumpa, dan mereka tetap dekat di hati aku sentiasa. Dan kedua pulak, terbalik. Mereka yang dekat-dekat di mata aku, tapi jauh daripada hati aku.

Dan post ni, aku memberi penekanan kepada keduanya, tapi post ni lebih menekan maksud yang kedua.

***

Sepanjang kehidupan kita, terutamanya dalam 365 hari 24 jam tanpa henti - tak termasuk dengan tahun lompat -, kehidupan kita dikelilingi oleh ramai manusia. Samada umur yang sama, lebih tua, mahupun lebih muda.

Dikelilingi oleh mereka yang ditanda dengan status dan kepentingan yang berbeza kepada kita. Ada yang statusnya adik beradik, kawan-kawan dekat, sahabat, just kawan-kawan kelas, ibu ayah, kesayangan, cikgu, dan macam-macam lagi.

Dan, semestinya, sebagai seorang manusia yang tidak sempurna, sudah tentu kita tidak dapat menawarkan perhubungan yang sempurna kepada mereka ni semua, tanpa mengira apa status mereka, kan?

Mesti ada perbalahan, pergaduhan, kata-kata yang kita keluarkan kepada mereka yang diadun rasa marah dan kecewa, ataupun dendam, mahupun kata-kata yang dikeluarkan kepada kita.

Dan sebahagiannya, ada perbalahan hari ni diselesaikan hari ni. Ada yang diselesaikan esoknya. Dan ada yang diselesaikan sebulan dua. Ada yang mengambil masa bertahun. Dan mungkin, ada juga yang tidak dinoktahkan sehingga hari ni.

Maka, maha suci Allah S.W.T, Syawal yang hadir ni bukan just datang sebagai hari kemenangan, meraikan mereka-mereka yang berjaya melaksanakan perintah Allah S.W.T - dengan sebulan berpuasa -, tapi juga muncul untuk mengendurkan tali yang tersangat tegang, mengelakkannya dari putus sehingga tak dapat disambung lagi.

Termasuklah aku, sebagai seorang manusia yang serba kekurangan dan mempunyai banyak had, masih banyak lagi tali-tali yang tak dapat aku sambungkan, samada mungkin aku tidak mampu tidak mempunyai daya, ataupun mungkin rasa kecewa dan puas tu telah mendahuluinya.

Namun aku sedaya upaya menyahut seruan Nabi S.A.W, menjadi manusia pemaaf seperti baginda, juga cuba sedaya upaya meraih kasih sayang Allah S.W.T bagi mereka yang memaafkan kesalahan orang lain :

"Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik."

Surah Ali Imran : 134

***

Adatnya di negara kita tercinta Malaysia ni, kita bermaafan dalam bulan Syawal. Selepas je menjamah dalam tiga empat ketul nasi himpit bersama kuah kacang - memberi isyarat kepada perut bahawa tidak lagi berpuasa -, mengenakan pakaian raya baju Melayu, baju kurung atau kebaya, terus duduk berlutut dan bermaafan sesama ahli keluarga.

Isteri kepada suaminya, kemudian suami kepada isterinya, kemudian anak-anak kepada ayah mereka, kemudian kepada ibu mereka, kemudian sesama mereka pula.

Menggunakan skrip yang tak pernah berubah dari dulu :

"Selamat hari raya Aidilfitri maaf zahir batin, maafkan semua salah dan silap, halalkan makan minum."

Yang panjang-panjang tu samada dia ungkit buka kesalahan-kesalahan lama yang perlu dilayakkan permohon maaf, ataupun sebab selfie je nak post buat profile picture Facebook, Whatsapp, Twitter dan Insta.

Maka bila start je malam raya, maka penuh lah semua group wasup - kalau kau ada 30 maka 30 lah - dengan message-message Raya samada copypasta, mahupun karangan sendiri, tapi, perkara yang wajib adanya antaranya adalah pasal memohon maaf.

Wajib ada, kan?

Maka, bila kau mengikuti mak dan ayah pulang ke kampung mereka, perkataan pertama yang diucapkan bila mereka berdua bertemu saudara-mara mereka seperti adik beradik dan sebagainya ialah, memohon maaf atas kesilapan masing-masing.

Kenapa? Sebab itulah keajaiban bulan Syawal, rahmat dan berkatnya. Orang payah nak mohon maaf atas bulan-bulan lain, tapi dalam bulan Syawal, bermaafan sesama mereka tu menjadi budaya yang mesti ada, menandakan bahawa adat budaya ni bukan semuanya bidaah dan sesat, tapi ada yang menjadi rahmat dan barakah.

Maka dari bermaafan tu, timbullah kekuatan untuk menziarah rumah ke rumah saban hari. Sejauh mana pun rumah tersebut, samada berbeza wilayah, negeri mahupun negara, tapi kerana disebabkan Syawal - Hari Raya -, maka tiada yang mustahil, tetap sampai jua.

Menjadi kebiasaan dan satu adat yang masih lagi tak ditinggalkan rakyat Malaysia adalah merayakan Syawal bulan Raya ni selama sebulan. Walaupun masih ada para ustaz, pendakwah, blogger, pentweet mahupun budak wechat mengingatkan bahawa Syawal tu diraikan sehari je, tapi sehingga hari ni jalan raya masih lagi sesak dan jem, apatah lagi kalau hari Sabtu dan Ahad.

Sebab apa, sebab menziarahi rumah-rumah saudara mara dan sahabat handai, memenuhi undangan open house juga walimatul urus, dan bukan sekadar memenuhkan perut sahaja.

Maka, kesinambungan bermaafan dan menziarahi nilah yang bergabung, dan merealisasikan konsep 'Mendekatkan yang jauh-jauh' itu tadi.

Sebab, bermaafan sekadar wasup sahaja tak cukup, jika tak diselangi dengan ziarah.

***  

Macam aku mention dari awal, post ni lebih kepada mendekatkan mereka-mereka yang dekat di mata, tapi jauh di hati.

Disebabkan permasalahan, perbalahan, perbezaan pendapat, itu dan ini, menjadikan hati-hati yang dahulunya saling bertaut rapat, kini jauh jauh dan jauh, sehingga bukan lagi berjauhan, tapi telah pun mati dan dinoktahkan kehabisannya.

Putus saudara, putus sahabat, putus kawan, putus semuanya.

Semakin aku meningkat dewasa, dengan kemampuan memandu dan memiliki lesen, aku gunakan sebaiknya - walaupun kereta Kancil tak boleh pergi jauh -, demi mencapai falsafah Syawal yang mendekatkan mereka-mereka yang jauh ni.

Aku masih ingat, ketika aku masih kecil - bersekolah rendah bersama kakak -, ayah dan ibu jarang pulang ke kampung, disebabkan permasalahan yang berlaku antara mereka dengan saudara-mara.

Kadang-kadang 2 tahun sekali pulang beraya, sehingga kadangkala aku marah kerana Raya tanpa pulang kampung - just Raya kat rumah -, seakan-akan kosong dan tak bermakna.

Tapi semakin aku membesar matang, melihat karenah dan perbuatan manusia, kelamaannya aku malas, redha dan terima sahaja di manakah tempat aku beraya tahun tu.

Namun, semakin juga aku membesar dewasa, ayah mula kerap pulang ke kampung, dan kedatangan ayah ke rumah saudara-mara acap kali Raya, membuatkan saudara-mara yang dahulunya jauh kembali rapat - slow-slow -, perbualan mereka penuh dengan riang gembira bukan lagi marah menyalahkan.

Maka, dalam perbuatan ayah itu, ia memberikan aku inspirasi dan semangat untuk turut mengikuti jejak yang positif itu. Mengetepikan segala sengketa lama, dan membuka helaian baru.

Aku buka kembali grup wasup sekolah lama, aku susun atur kalam dalam mengajak kembali aku dan kawan-kawan sama-sama mengukuhkan tali ukhuwah, beraya ke rumah guru dan asatizah bersama-sama.

Walaupun dahulu aku banyak disakiti mereka, dan walaupun faktor umur dan kematangan memaksa aku untuk kembali memujuk diri dan hati dalam memulakan langkah pertama dalam menyambung kembali tali yang putus, namun melihat, berbual dan bersama mereka semua, membuatkan aku rasa tenang dan gembira.

Membuatkan aku tanpa disedari, mata basah kedua belah, walaupun tak pasti aku sedih menangis ataupun sedih kepedasan.

***

Dalam baki 10 atau 11 hari Syawal, sebelum masuk ke bulan baru, selain daripada jangan melepaskan peluang berpuasa 6, meyahut seruan galakan Nabi S.A.W, aku mahu sama-sama mengajak korang semua untuk mengambil keberkatan bulan Syawal ni, kita ketepikan perbezaan pengalaman, fahaman dan ideologi, dan kembali mendekatkan hubungan yang jauh-jauh.

Aku sedar, untuk melakukan perkara ia mengambil bukan sekadar kekuatan diri sendiri, tapi juga kepada persediaan di sebelah sana pula, dengan perfect timing dan lain-lain.

Aku pun juga masih belum bersedia membina hubungan kembali dengan beberapa manusia yang dahulunya aku pernah rapat, mungkin hati masih lagi belum bersedia, dan mungkin juga fedup atau 'nak kau pula mulakan asyik aku je' tu sudah banyak menebal di hati.

Namun, aku berdoa, agar aku mampu menjadi seorang manusia yang pemaaf, dikurniakan kekuatan dalam menautkan kembali hati-hati mereka yang telah jauh dari hati aku ni, kerana kebahagiaan kehidupan tu terletak dalam senyuman yang sentiasa dijana oleh hati.

Seronok kan, di mana kita pergi kita tak bergaduh berbalah dengan siapa-siapa pun? Takde pun rasa menyampah, rasa dendam, rasa benci, boleh dengar semua orang bersuara, boleh melihat semua muka, dan boleh bergelak ketawa dengan semua manusia.

Takdelah bila dengar nama orang tu pun, kita rasa macam hari kita dah spoil gila nak mati.

Mengakhiri post edisi Raya ni, jom kita ambil peluang bulan Syawal ni, jangan lepaskan peluang tersebut, bermaafanlah dengan seramai manusia yang kita kenal selagi boleh, yang jauh-jauh tu kita dekatkan, yang dekat-dekat tu kita rapatkan.

Dalam makan pun beringat-ingat jangan sampai padat, jangan sampai jamban yang lagi banyak kau datang dari rumah orang, apatah lagi masjid. Aurat yang sana sini jangan terjojol tayang-tayang ke sana sini.

Jadikan Syawal ni adalah hasil daripada tarbiah Ramadhan yang dahulu. Biar Allah S.W.T berkat, bukannya laknat.

Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin, maafkan aku atas segala khilaf dahulu, mari kita buka buku baru, dan biarkan buku lama dimamah masa.

Moga-moga kau dan aku, sentiasa ditautkan hati, dekat, dekat dan dekat sesudah sekian lama jauh :)

Comments

Popular Posts

Terima Kasih Followers