Eidul Adha Mubarak : Ikhlaslah dalam berkorban, kerana kejayaan perlukan PENGORBANAN

Assalamualaikum warahmatullah, buat semua pembaca yang aku sayangi sekalian. Semoga korang semua sentiasa berada dalam rahmat dan inayah Allah S.W.T, sentiasa sihat dan ceria, meskipun jelas bukan aku atau perbuatan aku yang menyebabkan korang semua sentiasa tersenyum hahaha.

Tidak lengkap post atau blog aku ni tanpa muqadimmah yang berisi syahdu dan melankolik memohon kemaafan atas kelewatan atau kesenyapan atau janji-janji palsu yang hanya dicapatikan instead of janji-janji ditepati.

Maka sayugianya dalam hari baik, bulan baik, mood baik, perut kenyang, pekena aneka daging yang disedekah oleh mereka yang berkorban - semoga kesemua korban itu diterima Allah S.W.T amin -, maka ayuhlah kita bermaafan haha.

Dalam raya Aidil Adha yang pertama ni, selepas aku kekenyangan makan nasi beriani siap lauk ayam merah dan rendang daging, jamuan yang disediakan oleh pihak Felo Asrama di universiti aku - semoga Allah S.W.T merahmati mereka semua yang terlibat, terutama yang menyumbang makanan itu -,

Ditemani pula dengan keseronokan bayu-bayu sejuk yang rupanya adalah tanda-tanda dari Ilahi bahawa hujan akan turun selebat-lebatnya, dan sedar-sedar aku lena dibuai kekenyangan setelah 2 hari direct aku kehilangan pagi dek diselimuti gebar khinzir,

Dan 20 miss call daripada bakal pembantu agama - amin - mengejutkan aku dari lena lantas menghampar sejadah menunaikan Zuhur, maka, sukalah aku untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha, Selamat Hari Raya Haji dan Selamat Hari Raya Korban.

Nah ambik, muqadimmah yang panjang dari aku haha. Rasa sebab tak puas makan daging yang berkat ni kot hurmmmmm.

Dipendekkan cerita, alhamdulillah, setelah 3 bulan aku memerap otak yang sekiranya otak ni anggur mungkin dah jadi kismis atau lebih teruk lagi menjadi wine atau arak, maka selamatlah aku kembali sebagai mahasiswa universiti.

Dipendekkan cerita lagi, aku juga berjaya menemui tempat berteduh, iaitu of course sebagai penghuni kolej kediaman, dengan status halalan toyibban dan bukanlah pati atau pendatang tanpa izin.

Dan dipendekkan lagi ceritanya, aku tidak pulang ke rumah beraya walaupun alhamdulillah aku mendapat solid tamaman cuti raya seminggu macam budak sekolah, di mana actually lecturer-lecturer kesayangan aku yang lebih excited nak cuti seminggu daripada pelajar haha.

Maka pagi raya aku berlapar, tanpa ada rendang atau teh panas yang disediakan ibu untuk merebut pahala sunat sebelum solat raya, mandi dalam rumah kolej kediaman yang hanya didiami aku sebagai seorang manusia - lone ranger macam biasa - dan aku tidak tahu siapa lagi yang bersama aku di sini.

Atau apa yang bersama dengan aku kat sini.

He he he he he he *masukkan soundtrack seram*

***

Alhamdulillah, aku berjaya tiba di masjid universiti sebelum solat raya. Terima kasih kepada junior aku yang ada kereta, maka aku menggunakan kesenioritian aku untuk menumpang dengan megah dalam kereta beliau.

Sambil-sambil bertakbir, aku teringat bahawa ni kali kedua aku tak balik rumah beraya Aidil Adha, dan aku tertanya, mungkin suatu hari bila aku dah besar samada belajar di luar negara mahupun berkeluarga, aku juga takkan mampu pulang beraya di rumah untuk Aidil Fitri.

Masa tu baru rasa raya perantauan, dan moga-moga muka aku masuk dalam Berita Harian, ruangan ucapan raya tu. Life goal beb!

Usai solat Raya, khatib kali ini ialah seorang lecturer yang bertitle Doktor, walaupun beliau belum pernah mengajar aku - dan mungkin takkan pernah mengajar aku kerana bidang kami yang berlainan -, tetapi aku mengenali beliau dengan baik walaupun beliau tak pernah mengenali aku.

Walaupun dengan suara yang bukan hamasah seumpama menyampaikan khutbah menyalakan semangat peperangan para tentera, namun dengan intonasi yang lembut dan kekuatan dan ke'deep'an khutbah beliau, ternyata ia membuatkan aku berinspirasi untuk mengupdate blog ni.

Selepas selfie dalam dua tiga shot - sebab orang hensem senang ambik gambar - yang aku kira bolehlah dapat dalam 100 - 150 like Facebook, aku pun merantau bersama junior aku tu, dan menggunakan kesenioritian aku untuk membawa aku untuk brekfes, kerana aku betul-betul lapar.

Btw, aku tak post pon sebab aku takut aku akan riak bila mendapat like yang lebih dari expectation aku tadi.

Dalam perjalanan, aku mendengar khutbah di radio apa entah aku tak tahu, yang pasti ia adalah khutbah di Masjid Negara, dan khutbah tersebut mengisahkan antara sirah yang agung, iaitu kisah Pengorbanan Nabi Ibrahim A.S dan anaknya, Nabi Ismail A.S.

Dan kira-kira 15 minit kami on the road mencari kedai untuk mengeteh, tak diketemui sebarang kedai yang buka, ialah hari raya kan, melainkan KFC dan McD, dan nasib baiklah dalam dompet aku hanya ada sekeping 10 ringgit *masukkan soundtrack sedih*.

Dan akhirnya, aku berjaya mengisi perut dengan makanan-makanan yang sedap disediakan oleh Felo Asrama universiti, dan sekali lagi aku ingin menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kerana menjamu aku dengan makanan-makanan yang sedap di saat aku betul-betul lapar.

Majulah Felo Asrama untuk warga asrama universiti, sekian. Takbir!!!

***

Allah S.W.T menceritakan dalam Quranul Karim, sebuah kisah yang merupakan antara kisah-kisah yang agung dan sangat menakjubkan, tentang dua orang Rasul-Nya - Alaihuma salam -, di mana kedua-duanya memiliki pertalian darah sebagai ayah dan anak.

Ya, sebuah kisah yang agung di mana, acap kali diulang-ulang tanpa pernah rasa jemu menceritakan dan mendengarnya tiap kali tiba Hari Raya Aidil Adha, atau juga disebut Hari Raya Korban.

Nabi Ibrahim A.S berkahwin dengan Hajar, isteri keduanya, selepas diizinkan Sarah, isteri pertama baginda, kerana setelah hampir seratus usia baginda, baginda masih lagi belum dikurniakan cahaya mata, yang diharap-harapkan agar dapat mewarisi tugas baginda sebagai pendidik ummah dan penyampai risalah Tuhannya.

Dengan izin-Nya, maka Nabi Ibrahim A.S dikurniakan seorang zuriat yang soleh, yang juga seorang Rasul, hasil perkahwinan baginda dengan Hajar, iaitu Nabi Ismail A.S.

"Lalu Kami berikan kepadanya berita yang menggembirakan, bahawa dia akan beroleh seorang anak yang penyabar." (Surah as-Shaffat : 101)

Pada suatu hari, diceritakan oleh Allah S.W.T di dalam Quranul Karim, baginda A.S telah pun bermimpi bahawa beliau menyembelih satu-satunya anak kesayangan yang baginda ada, iaitu Nabi Ismail A.S.

Mimpi seorang nabi itu adalah wahyu daripada Allah S.W.T, maka Nabi Ibrahim A.S pun menanyakan hal tersebut kepada anaknya, Nabi Ismail A.S :

"Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?" (Surah as-Shaffat : 102)

Maka Nabi Ismail A.S, dengan rasa patuh dan taat kepada wahyu Allah S.W.T itu, dan tanpa mempersoalkan mimpi ayahnya, baginda A.S menjawab :

"Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar." (Surah as-Shaffat : 102)

Jadi, setelah kedua-dua mereka berserah, redha dengan wahyu yang diturunkan oleh Allah S.W.T, redhanya seorang ayah menyembelih hanya satu-satunya anak yang ditunggu setelah sekian lama, dan redhanya seorang anak yang akan disembelih atas wahyu Tuhannya. 

Maka, Nabi Ibrahim A.S merebahkan muka Nabi Ismail A.S di atas kelompok tanah, dan mereka berdua menjalankan penyembelihan tersebut sebagai seorang hamba yang patuh kepada perintah Tuhannya.

"Serta Kami menyerunya: Wahai Ibrahim!" (Surah as-Shaffat : 104) 

"Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan." (Surah as-Shaffat : 105) 

"Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata." (Surah as-Shaffat : 106) 

"Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar." (Surah as-Shaffat : 107) 

"Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian." (Surah as-Shaffat : 108) 

"Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!" (Surah as-Shaffat : 109) 

"Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan." (Surah as-Shaffat : 110)

"Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami yang beriman." (Surah as-Shaffat : 111) 

"Dan Kami pula berikan kepadanya berita yang menggembirakan, bahawa dia akan beroleh (seorang anak): Ishak, yang akan menjadi Nabi, yang terhitung dari orang-orang yang soleh." (Surah as-Shaffat : 112)

***

Benar, untuk berjaya, kita perlukan pengorbanan. Misalnya, untuk berjaya dalam pelajaran, mendapat result yang cemerlang, deretan A dan 4.00 dalam final exam, 4 flat dan hebat dalam bidang yang kita ambil, memerlukan pengorbanan yang sangat banyak.

Berkorban masa, sentiasa ke library dan berjumpa lecturer. Berkorban perasaan dan hati bila lecturer marah dan tolak assignment atau tesis yang berbulan bersengkang mata buatnya. Belum masuk lagi bila kawan-kawan tak beri kerjasama maka terpaksa berseorangan buat assignment grouping.

Berkorban duit, beli kismis dan makanan tambahan, beli buku rujukan dan potostat nota. Berkorban tidur, berkorban itu dan ini, ohhhhh!

Namun ganjarannya ialah kita berjaya dalam pelajaran kita.

Misalnya, untuk menjadi seorang kawan yang bagus dan mendapat kawan yang bagus, maka ada benda yang perlu kita korbankan. Korbankan ego tinggi dan sifat rasa sentiasa betul, korbankan perasaan dan hati bila dikecewakan mereka yang tidak menghargai, korbankan masa untuk mereka yang hanya mempergunakan kita sahaja.

Namun ganjarannya ialah kita menjadi seorang kawan yang baik, dan kita betul-betul memahami apa erti seorang kawan yang baik. Menghargai setiap kebaikan orang khususnya yang bergelar kawan pada diri kita.

Misalnya lagi, untuk menjadi seorang pencinta yang bagus, maka ada benda yang perlu kita korbankan. Korbankan rasa sentiasa ingin diberi instead memberi, korbankan masa dan tenaga, korbankan hati dan jiwa bila hati dilukai orang yang dicintai, korbankan ruang hati bila percintaan tidak menjadi.

Namun, dengan itu, kita menjadi seorang pencinta yang betul-betul menyayangi, menghargai, sudi susah di saat senang, sudi menyenangkan di saat susah, menerima semua baik buruk, dan tahu apa ertinya cinta yang sebenar.

Ya, untuk menjadi seorang yang kental dan gagah, maka kita perlu melakukan pelbagai dan aneka jenis pengorbanan.

Maka persoalannya, adakah pengorbanan itu hanya tinggal pengorbanan? Jelas jawapannya adalah tidak!

Yang dikorbankan sudah tentu akan hilang, namun ganjaran yang datang selepas pengorbanan itu kadangkala setimpal, bahkan seringkali melebihi pengorbanan tersebut!

Maka mengakhiri post,

Jangan pernah takut untuk berkorban.

Lihatlah saat Nabi Ibrahim A.S mengorbankan satu-satunya anak yang dia ada, maka Allah S.W.T menganjari bukan sahaja seekor kibas yang besar dari Syurga, bahkan Allah S.W.t mengurniakan seorang lagi anak lelaki, seorang Rasul, dari isteri pertama yang tidak dapat memberi baginda A.S keturunan, iaitu Nabi Ishak A.S dari ibunya, Sarah.

Maka duhai sahabat-sahabat pembaca yang aku sayangi,

Saat kau menangis mengorbankan masa tidurmu atau masa lapangmu demi pembelajaran, maka jangan kau khuatir kerana pengorbananmu itu akan dibalasi dengan kejayaan.

Saat kau meraungi disakiti kawan-kawan yang tidak sejati dalam membina ukhuwah, maka jangan kau bimbang kerana pengorbananmu dalam memberikan begitu banyak jasa dan kebaikan pada mereka itu akan dibalasi-Nya dengan memberikan kau kesenangan dalam kehidupanmu.

Saat kau terbaring kepenatan dek cinta yang saban kali ditolak, maka jangan kau risau, kerana suatu hari kau akan menjumpai seseorang yang pantas layak untuk menerima dan membalasi setiap pengorbananmu itu.

Saat kau mengeluh keletihan demi pengorbanan untuk ibu dan ayah, untuk keluarga yang sudah banyak berkorban untukmu, maka ketahuilah bahawa pengorbananmu itu bukanlah satu pengorbanan yang kecil atau sia-sia sahaja, kelak suatu hari nanti, anak-anak kau pula yang akan berkorban untukmu.

Dan, 

Saat kau menghadapi 1001 kepayahan, kepenatan, luka jerih dan rasa betul-betul lemah tidak berdaya, dalam berkorban segala-galanya untuk agamamu dan Tuhanmu,

maka sesungguhnya Allah S.W.T menjawab :

"Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan." (Surah as-Shaffat : 110)

Tahniah atas semua pengorbananmu wahai si pengkorban, moga-moga kesemuanya diterima Allah S.W.T.

Dan jangan lupa untuk ikhlas dalam berkorban, seumpama Habil yang mempersembahkan binatang-binatang terbaik untuk dipersembahkan oleh Allah S.W.T, bukannya ibarat Qabil yang hanya mempersembahkan sayur tanaman yang kering busuk.

Kerana, pengorbanan itu hanya tinggal korban, andai tidak disulami oleh keikhlasan.

Selamat Hari Raya Korban :)

Comments

Popular Posts

Terima Kasih Followers