STRESS : Semua perkara nampak macam susah, selagi tak siap dan tak mula!

Assalamualaikum warahmatullah buat semua pembaca yang aku sayangi sekalian. Alhamdulillah, setelah hampir sebulan aku biarkan blog ni terus gelap tanpa disinari post-post aku yang menyinari alam, maka pada malam ni, ya, pada malam ni, izinkan aku kembali menulis wuhahahaha.

Pergh, muqadimmah yang penuh hambar. Tapi, bait-bait muqadimmah ni aku karang dengan hati yang gembira dan senyuman yang sampai ke telinga seperti Joker. Kerana apa?

Kerana aku berjaya menghadapi minggu-minggu yang begitu padat, memenatkan, hampir setiap malam tidur lambat, selera makan hilang, hati kecamuk, jiwa kacau, stress itu stress ini. Sehinggalah aku turut sama menstresskan kesayangan-kesayangan aku hahaha.

Sebelum pergi lebih jauh, duhai pembaca-pembaca yang aku sayangi, aku ingin memohon beribu-ribu kemaafan dan ampun, kerana aku biarkan blog ni kosong tanpa post-post baru.

Mostly sebab berjanji tapi tak tunaikan, untuk lebih banyak post selepas cuti. Allahhu akbar. Maafkan aku, sesungguhnya benarlah kata orang :

"Jangan berjanji ketika anda sedang bergembira, jangan membuat keputusan ketika anda sedang marah."

Maka, ampunkanlah aku yang hina ni. Izinkan aku untuk menebus kesilapan tersebut dengan deretan post-post selepas ini. *janji baru dicipta, entah boleh tunai ke tak*

Oh, kembali kepada post. Jujur aku cakap, sebenarnya masa 1 Muharam lepas, aku hampir-hampir keluarkan satu post. Sebab walaupun stress-stress aku, aku tak pernah lupa pada blog dan penulisan. 

Tapi, bila aku buka blog, tulis post, tiba-tiba mood aku lari. Sebab aku yakin korang semua tahu bahawa aku menulis dari hati. Jadi, aku tutup dan aku pilih untuk surf 9Gag, dengan menggunakan data sebab wifi universiti tak berapa nak menghiburkan hati.

Then data habis, lagilah tak menghiburkan hati.

Beberapa minggu lepas, aku betul-betul stress. Yelah, aku dah pun bercuti selama 3 bulan lebih. Jadi otak aku yang ibarat enjin Nissan Gtr R35 ni, masih lagi sejuk dan tak panas-panas - masa tulah -.

Memang lambatlah panas, duduk kat rumah makan, tidur, anime, repeat. Mana ada buka buku, assigment semua. Sebab tulah habis je kelas, aku akan terbungkang tidur. Apatah lagi kalau kena pula subjek yang aku rasa macam padat semacam je input dia.

Sejak aku diploma lagi, universiti aku ni memang tak berubah stail pemberian assignment dia. Assignment dia datang bukan acah-acah schedule dan sistematik, tapi bila dia nak datang, ambik kau! Kalau aku ambik 7 subjek, hari tu jugak semua 7 subjek ada assignment.

Serentak aku dapat haha.

Dan, dan dan, yang menambah stress aku bila kerja itu berkumpulan, maka aku perlu menghadapi karenah sebahagian ahli group yang acah busy, yang acah berkaliber, mostly yang tak berapa nak serius dan tak berapa nak beri komitmen yang mantap.

Tak berapa aku nak sukalah perangai begitu haha.

So, semua benda tu menambahkan stress aku. Macam menggali satu lubang yang kosong, dan kau timbus lubang tu dengan macam-macam benda sampai tak muat dah lubang tu, dan akhirnya melimpah.

Dan even worst, bila aku luah kepada kesayangan, siap termarah pula. Wow, bahaya tu. Tak pasal-pasal beliau yang tak bersalah pula jadi mangsa. So, belajarlah untuk melihat seseorang yang kita sayang sebagai tempat meluahkan masalah, biar sejuk.

Bukan sebagai tempat melunaskan kemarahan terpendam sebab stress, tu memang takde yang sejuk beb! Silap-silap bergegar 'Arash. Pergh #SuamiKuBloggerSiapaMahuBahagia

Ok, aku tak kisah walaupun mesti korang semua sedang fikir aku dah kahwin ke selepas membaca hashtag tersebut walaupun belum lagi - amin in sha Allah -, tapi, segala puji ke-hadrat Allah S.W.T, kini pada malam ni, jari-jemari aku ligat menari atas keyboard lappy, menandakan minggu-minggu yang lepas yang penuh dengan stress, berat hati berat kepala, dah pun berlalu.

Maka aku raikan dengan sujud syukur kepada-Nya, dan lepas tu meraikan Hari Sukan Negara dengan exercise perut, memuaskan nafsu makan dengan sepinggan sotong celup tepung. #AmbeTeranungCelup

Kena belajar untuk menganjari diri sendiri selepas sesuatu hardwork dilakukan!

Aku masih ingat ada suatu hari tu, dalam stress tu aku turun ke cafe nak beli makanan. Kebiasaannya, aku memang jenis makan, walaupun badan kecik - tapi badan tetap maintain sado sixpack macam biasa -, tapi kerana stress, selera makan sedikit lari.

Kemudian, aku sahaja je meng'usha' kedai runcit universiti, dan tiba-tiba aku teringin nak makan ais-krim. Lalu aku buka peti, tiba-tiba ternampak coklat cadbury dan kit-kat. Maka tanpa berfikir panjang dan istikharah, aku beli 3 ketul, 2 cadbury dan 1 kit-kat.

Anehnya, bila aku makan sekali 3 coklat tu, dengan kemanisan yang menjalar di setiap rongga badan, tiba-tiba rasa stress itu hilang. Walaupun masih lagi terasa stressnya, tapi sekurang-kurangnya oklah dari tadi.

Rupa-rupanya baru aku tahu, makan coklat ni, banyak menghilangkan kesakitan.

Lalu, aku pun bersemangat ceritakan testimoni aku dan hipotesis aku tentang makan coklat menghilangkan stress dalam group Whatsapp family aku, dan ibu aku balas :

"Jangan makan banyak sangat, adik dah tembam. Ibu nak anak ibu kurus macam dulu."

***

"Semua perkara nampak susah, selagi mana tak siap!"

Aku sendiri dah lupa, dari mana aku mendengar quote ni. Tapi, sehingga sekarang, bila mana aku diserang rasa stress samada dalam berdepan deretan assignment, mahupun menganjurkan program-program, quote ni secara tak langsung buatkan hati aku lega.

Ya betul, we cannot argue with that fact! Selagi mana sesuatu pekerjaan kau tak siap lagi, masa tulah kau akan asyik nampak betapa susahnya lah nak siapkannya.

Contoh mudah, aku masih ingat betapa susahnya dahulu ambik SPM. Walaupun tak berjaya dapat result yang aku nak, tapi bila aku dengar ada budak nak ambik SPM, aku rasa macam "Ala rileklah spm senang je kot!"

Then budak-budak nak SPM pun tweet kat Twitter "Susah sebab ada KBAT!" *triggered*

Oklah, mungkin contoh aku ni tak berapa nak relevant, so izinkan aku untuk share contoh yang sesuai dengan tajuk post kali ni.

***

2 minggu sebelum hari ini :

Aku merupakan mahasiswa yang mengambil jurusan Bahasa Arab - siapa nak belajar Arab dengan aku, aku caj murah -, jadi memang tak boleh lari daripada pengajian kitab.

Hebatnya ulama lughah (bahasa) terdahulu, walaupun kadang-kadang bahasa penulisan mereka aku boleh fahami, tapi aku tetap payah nak tangkap apa yang mereka nak sampaikan. Jelas dekat situ taraf ilmu mereka dengan aku macam jarak angkasa dengan lantai bilik aku.

Macam biasa, mahasiswa ni sentiasa didedahkan dengan perbentangan, bertujuan nak mengasah bakat dalam bercakap, membentangkan sesuatu maklumat dengan smart jelas dan difahami, dan mostly untuk membuang rasa janggal dan malu.

Dan begitu juga aku, takkan pernah terlepas daripada perbentangan. Dan kali ni, aku dan group diarahkan Ustaz - sayang ustaz - untuk membentangkan suatu tajuk, yang dapat berdasarkan cabutan kawan aku.

Dan seriously, itu adalah tajuk yang aku rasa paling susah. Allahhu.

Tak dapat tidak, memang kena berjumpa dengan Ustaz, kerana memang mustahillah untuk kami bentang tanpa syarahan beliau. Kan tak pasal-pasal bentangkan ilmu sesat. Mostly, ia sangat bertentangan dengan polisi aku untuk bentang kat orang tapi orang tak faham sehabuk pun.

Hari pertama aku dan kawan-kawan set date nak ber'talaqqi' dengan Ustaz, Ustaz pun ajar satu-satu. Waktu masa tu memang serius tak ngam, pukul 1 dah pun masuk Zuhur. So faham-fahamlah, memang mengantuk.

Dan, bukan kami je mengantuk, Ustaz pun sampai terlelap hahaha. Jadi kerana kesian dan menghormati privasi beliau, kitorang pun minta izin beransur. Alih-alih keluar je dari bilik beliau, terus beliau kunci pintu dan tutup lampu.

Bijak permainan Ustaz haha.

Tapi, bagaimana nak bentang? Ustaz aku ni sibuk dengan PhD, malah beliau pula mengajar banyak subjek semester ni. Konfirm penat dan memang takde masa yang cukup untuk kami.

Malamnya, aku buka kitab, baca tajuk aku nak bentang. Dan aku tak faham satu pun. Dah tak faham bagaimana aku nak pindahkan kat slide? Aduhai, dah mula ah rasa stress. Bila kau baca sesuatu yang kau minat, tapi kau tak dikurniakan kefahaman dalamnya, maka dari situ aku mula rasa down.

Rasa macam bodoh. Sedih sangat masa tu.

Lalu aku berusahalah sedaya aku, dan akhirnya aku berjumpa dengan seorang lagi Ustaz - sayang ustaz - dan aku dengan rasa rendah diri, merayu agar masanya sibuk sebagai Ketua Pengajian, aku ambil sedikit.

Dan dalam kesibukan beliau, aku dapat belajar sedikit, sehingga aku mula faham tajuk aku yang susah tu, sedikit demi sedikit.

Setiap kali solat, aku sentiasa berdoa agar aku dikurniakan kefahaman dalam ilmu-ilmu Bahasa Arab, mostly supaya aku boleh sampaikan dan bentang bagi orang faham. Due date dah nak dekat, lagi 6-7 hari lagi nak bentang, dan aku masih tak mula pindahkan ke slide.

Sehingga seingat aku, ada suatu hari tu aku menangis dalam doa selepas solat. Masa tu aku solat kat surau, so aku pun cepat-cepat lap tak nak bagi orang nampak. Kan diorang ingat aku riak, padahal aku solat berjemaah pun masbuk rakaat terakhir.

"Semua perkara nampak susah, selagi mana tak siap!"

Quote ni bermain banyak kali dalam fikiran aku. Dan dengan itulah, aku mula buka dan lihat dalam hampir 17 muka surat yang perlu aku bentang dalam baki 6-7 hari ni, maka aku mula-mula nampak mana yang boleh aku buat dulu.

So aku buat yang senang, dan aku tinggalkan mana yang susah untuk aku tanya kat Ustaz nanti. Dan surprisingly, tak banyak pun sebenarnya yang susah, dalam 17-18 muka surat tu, rupanya hanya ada dalam 7 muka surat je aku tak faham.

Daripada situ, quote "Semua perkara nampak susah, selagi mana tak siap!" tu, aku tukar dengan :

"Semua perkara nampak susah, selagi mana tak siap dan tak mula!"

***

Setiap orang - terutamanya korang semua pembaca yang aku sayangi ni -, mesti ada komitmen-komitmen masing-masing.

Dan aku yakin, majoriti pembaca-pembaca yang sentiasa setia menunggu aku menunaikan janji ni, budak-budak universiti, pelajar sekolah, takpun pelajarlah mana-mana institut.

Mostly, kita rasa susah, time nak buat assignment. Kalau korang seorang yang aktif berpersatuan, maka diminta pula untuk handle program, di mana mungkin program tu bertarat tinggi, sampai kedengaran macam mustahil nak buat.

Mula-mula, memang rasa macam down. Macam-macam soalan timbul.

Aku boleh buat ke? Aku mampu ke? Asal macam susah? Aduhai boleh ke? Argh bagaimana ni? Alamak asal ada masalah?

So, untuk ringankan beban dan kerisauan tu, mulakanlah dengan langkah-langkah kecil. Tak perlu pun langkah-langkah besar atau buat benda-benda yang payah. Mula dengan buat benda-benda simple je.

Dari situ, korang akan sedar bahawa assignment atau program korang tu, dah mula progressing. Besar atau kecik tu nombor 2, yang nombor 1 nya dia progressing.

Then percayalah, lama-lama rasa stress atau kerisauan tu akan hilang. Malah korang akan mula nampak mana yang kena buat dulu, mana yang susah, mana yang senang.

Dan paling penting, kerisauan tu slow-slow akan menjauh pergi.

***

Mengakhiri post yang hampir sebulan jarak masa aku tinggalkan blog ni sepi, walaupun aku sedar perjalanan semester aku masih jauh, dan belum semua subjek aku dapat assignment lagi, tapi aku tetap bersedia dan menunggu kedatangan mereka dengan hati yang terbuka.

Sesusah mana assignment yang aku hadapi, aku akan kembali merenung waktu dahulu. Waktu aku pelajar semester lepas, dan ketika aku merupakan pelajar Diploma.

Waktu tu, ada sahaja assignment yang sampai 4 pagi tidur, ada sahaja yang sampai bergaduh dengan member, ada sahaja yang ada masalah itu dan ini, ada yang sampai kena reject, ada yang kena buat balik, ada yang buat research sampai terlupa makan dan mandi, ada yang sampai malam-malam keluar cari bahan,

Ada sahaja yang susah pada semester-semester lepas dan ketika aku mengambil Diploma, tapi aku berjaya sampai ke sini kerana aku dah melepasi semua itu.

Jadi, sudah tentu tiada masalah untuk aku hadapi ke semuanya. Adatlah, kesemua itu perlu aku tempuhi, tak boleh lari, kalau lari gila apa nak fail semester ni?

Dan mostly, adatlah jika kepenatan, menangis atau stress. Aku sendiri kadangkala berderet tidur lepas asar, tidur pula dengan kemeja pun masih tuck in siap kad matrik, mandi pun sehari sekali, kadangkala seharian tak mandi, lupa nak dinner then pagi-pagi kelaparan, macam-macam!

Tapi aku tetap tak paksa diri aku lebih-lebih. Rasa macam tak boleh go, rehat tidur. Then sambung balik, buat dan siapkan.

Dan surprisingly, malam ni aku menaip laju post ni buat korang semua, adalah kerana aku dah pun berjaya siapkan slide perbentangan aku tu.

Walaupun belum bentang dan masih perlu kepada pencerahan Ustaz, tapi aku tak lagi rasa stress ke apa, selain daripada sebab otak a.k.a enjin Nissan GTR R35 aku dah pun panas,

Tapi mostly sebab aku percaya :

"Semua perkara nampak susah, selagi mana tak siap dan tak mula!"

Jadi apa yang perlu aku buat adalah dengan mula melangkah, bukan dengan SEKADAR merenung betapa jauhnya jalan yang perlu aku lalui untuk sampai ke destinasi.

Bak pepatah Arab, barang siapa yang berjalan akan sampai. Betul kan?

Say NO to stress! Kalau stress makan coklat.

Kalau tak hilang juga, mengadulah kepada insan-insan tersayang, tapi jangan sampai marah-marah pula. Aku cepuk nanti.

Dan kalau tak hilang, mula slow-slow, tak perlu buat benda yang besar-besar. Yang penting progressing.

Dan kalau masih tak hilang, tak dapat tidak, kena bentang sejadah, ambik wudhu dan berdoalah.

Bukan doa supaya assignment siap secara tiba-tiba, but the strength to endure ur test bebeh!

Semoga semua urusan kita dipermudah-Nya, sestress mana, cuba untuk senyum ok?

Barulah manis macam coklat cadbury dan kit-kat. Tapi tak mahu banyak-banyak, nanti gemuk hahaha.

Comments

Popular Posts

Terima Kasih Followers