Selipar aku DIREMBAT di Masjid : Sesuatu bala yang kecil boleh menghasilkan bala yang besar

Assalamualaikum semua pembaca yang aku sayangi sekalian, aku sentiasa doakan agar korang semua sentiasa berada dalam perlindungan Allah S.W.T. Mostly, aku doakan agar hari-hari korang sentiasa dipenuhi dengan senyuman, walaupun mostly hari-hari korang tu dipenuhi dengan perkara atau insiden yang memang tak mencipta senyuman.

Macam biasa, seribu kemaafan atas begitu sepi daripada menulis. Aku tahu ramai yang menunggu - walaupun rasa hanya seorang dua -, malah aku pun menunggu, bilalah aku akan menulis. Walaupun dah menghadap depan laptop sejam dua.

Hahaha, kini aku berada di penghujung cuti midsem, dah in sha Allah aku akan berangkat pulang ke Terengganu malam ni. So, aku dah pun ucapkan selamat tinggal kepada tilam kesayangan, bilik, dan mostly kepada kereta.

Serius function bila ada kereta. Kau boleh pergi ke mana-mana tempat yang kau mahu. Duit yang kau hanya perlu risaukan hanya duit minyak. Dengan RM10, kau dah boleh memandu tempat-tempat yang jauh.

Di universiti, aku umpama burung yang kehilangan sayap. Lalu aku terkurung di dalam bilik, tanpa menghidu udara yang segar dan hanya menghidu bau kepam baju yang disidai dalam bilik dan bau asap rokok yang entah dari mana datang dibawa angin.

Oh, serius bukan baju aku. Baju aku memang takde bau kepam. Semua downy walaupun aku tak beli sebab mahal.

Boleh dikira dengan tangan kanan, berapa kali aku keluar setiap kali semester dengan kereta sewa. Dengan kereta sewa, aku perlu risaukan kos sewa dan minyak. Jadi aku takkan keluar, melainkan hal yang mustahak sahaja.

Sebab itulah jika sebulan aku pulang bercuti, maka hanya dua tiga hari sahaja aku takkan memandu. Samada aku membuta ataupun memang malas nak menghadapi sesak-sesak bandaraya. Malah aku betul-betul suka memandu, tak kira auto mahupun manual.

Kerana sebuah kancil pun boleh bertukar jadi Mazda FC RX7, jika aku yang memandu, hahaha.

Alhamdulillah, aku baru sahaja pulih daripada demam. Barangkali sudah tentu ia satu kafarah daripada Allah S.W.T atas dosa-dosa aku yang banyak. Macam biasa, sebuah kitab dan satu assignment yang aku bawa pulang ke rumah, sudah pun menepati jangkaan, bahawa aku takkan buat.

Walaupun puas aku memasang azam sebelum pulang, tapi badan aku seolah macam dah diset ke mod rehat.

Sebab itulah aku memang respect, kepada pelajar sekolah rendah dan menengah yang boleh score tinggi dalam peperiksaan awam besar macam UPSR, PT3 atau SPM, walaupun mereka duduk di rumah.

Tabik spring beb!

Dan beberapa jam lagi, aku akan menaiki bas untuk kembali ke medan perjuangan. Dengan deretan test dan assigment, malah komitmen-komitmen yang sedang menunggu aku di pintu pagar universiti.

Doakan aku, kerana aku merasa sedikit payah dalam semester ni. Dengan banjiran udara negatif yang aku hirup ke ruang dada hampir setiap hari di kelas, aku sedikit bergelut antara masa silam, ego, rasa tak selesa dan kelemahan diri sendiri.

***

Hari ni, aku memilih untuk menunaikan solat sunat Jumaat di masjid lain, kira-kira setengah jam dari rumah aku. Aku terlelap di waktu pagi sekejap, lalu bangun sendiri kira-kira pukul 12 tengahari lebih, dicampur pula dengan perut yang nak membuang sesuatu, memang melambatkan aku untuk pergi awal ke masjid.

Perut aku memang camtu, dia tak boleh tahu aku nak cepat. Ada je nak membuangnya.

Walaupun jalan sedikit sesak, tapi aku berjaya tiba di masjid ketika azan kedua. Lalu dengan sosok jubah yang baru aku beli dua tiga lepas - aku nampak hensem dan berkarisma memakainya -, aku menunaikan ibadah wajid di situ.

Usai solat, aku berhajat untuk berjumpa En Anwar Muttaqin, Presiden Pertubuhan Mahasiswa Negeri Sembilan (MANIS), selain daripada dah lama tak berjumpa dan berbincang, aku nak berikan beliau keropok lekor sikit.

Sebab kat rumah aku dah banyak sangat keropok lekor, dah hari-hari pula makan keropok lekor. Seperti memberi isyarat kepada aku untuk cepat-cepat bawa seorang gadis Terengganu yang cun melecun, sebagai calon isteri, ke rumah.

Ehem-ehem, ok abaikan!

Presiden suruh aku datang rumah dia, sebab rumah dia memang dekat dengan masjid. Dan, pada ketika aku mahu melangkah keluar untuk pergi ke rumahnya, saat itu aku mendapati,

SELIPAR AKU HILANG!

Lalu aku seperti seekor ibu ayam yang kehilangan dua ekor anaknya, mencari sehingga tawaf sekeliling masjid beberapa kali, untuk mencari selipar aku.

Yelah, boleh jadi aku aku tersalah letak. Dan setelah sekian lama aku mencari tak menjumpainya, lalu aku membuat konklusi, ye, boleh jadi selipar aku dirembat orang.

Lalu muka menjadi merah kerana marah, hati menjadi berat kerana kecewa, lalu pergerakan spontan mengambil sepasang selipar masjid, untuk aku jadikan alas kaki.

Selipar aku yang hilang tu, baru je aku beli dalam dua tiga hari lepas, sebab selipar aku dah nazak tahap icu. Jadi, bila selipar aku hilang, aku terasa tersangat ralat, terkilan dan kecewa sebab tiga perkara :

Satu

Selipar tu aku baru je beli dua tiga hari lepas. Kata orang, masih berinai dan bergetah lagi ah. Aku tak jelajah lagi seluruh inci bumi dengan selipar tu.

Dua

Selipar aku hilang kat masjid. Pada hari Jumaat, baru lepas habis solat sunat Jumaat. Sudah tentu yang mengambil atau merembat selipar aku tu, juga menunaikan solat sunat Jumaat satu imam dengan aku.

Pergi masjid, beribadah, tapi balik masjid, bermaksiat curi selipar aku. Macam tak kena je.

Tiga

Memang selipar aku nampak baru, nak kata bau kedai memang takdelah dan mustahillah. Yelah, baru beli kan?

Tapi selipar aku tu bukan berjenama pun, beli pun RM10! Bukannya boleh trade selipar aku tu dengan I-Phone 7S ke, ataupun boleh cucuk kat ATM, ataupun jual kat bank dan beli sebiji Proton Perdana baru.

Malah dengan harga RM2.12 - campur GST -, pun boleh dapat selipar kat kedai 2 Ringgit. Jadi, satu lagi perkara yang tak masuk dek akal.

Lalu, aku membuat dosa dengan mengambil selipar masjid harta wakaf, malah lebih teruk mungkin ia juga selipar orang lain.

Dalam aku mengutuk pencuri selipar aku, mungkin aku juga sedang dikutuk kerana mencuri selipar.

Maka terpaksalah aku membeli selipar yang lain pula. Aduhai. Apa boleh buat, minyak masak naik sekarang (takde kena mengena)!

***

Sepanjang aku hidup di bumi Allah ni - daripada berhingus sampailah besar kacak sehingga mampu mengegarkan hati muslimah kerana melihat calon imam hidupnya - aku dah menghadapi pelbagai siri kecurian.

Dan majoritinya, ia bermula di tempat ibadah macam surau dan masjid. Jam hilang masa ambil wudhu, sudah-sudah jam dah takde. Sport shoes yang memang lawa nak mati warna indigo, hilang masa solat di stadium (masa tu acara olahraga zaman sekolah menengah), keluar surau kasut dah hilang.

Lalu aku terfikir, surau atau masjid sepatutnya menjadi tempat kita membina dan mencipta pahala dan mengugurkan dosa, menjadi tempat orang-orang begini membina dan mencipta dosa dan mengugurkan pahala.

Lebih teruk lagi, ia berlaku kerana mengambil kesempatan atas manusia yang sedang beribadah. Bila solat kenalah khusyuk, takde masa nak fikir pasal selipar kasut semua!

Aku masih ingat, aku juga sendiri pernah berpengalaman merembat selipar orang. Pergh, berpengalaman bunyi macam dah biasa buat.

Maksud aku, ada pengalaman dalam merembat selipar orang. Eh bukan, terembat, macam kes aku tadi.

Hanya satu sahaja yang terfikir dalam minda aku, sejauh manakah perbuatan aku ni, menyusahkan dan memberi bala kepada pemilik selipar?

Tak dapat tidak memang sumpah seranah caci maki semua memang wajiblah, dan free-free dia dapat dosa camtu, macam aku tadi, sumpah seranah dalam hati, padahal kat masjid. Cuma aku tak masuk balik dalam masjid, buat solat hajat, dan doakan si pencuri kena bala 40 tahun.

Aku taklah sampai tahap camtu.

***

Cuba bayangkan kalau si pemilik selipar tu adalah orang yang tengah rehat bekerja. Office dekat dengan masjid, so jalan kaki je, dan tukar kasut kepada selipar.

Selipar pula hilang, dah dia termenung bagaimana nak balik ke office, malah boleh spoilkan mood kerja dia, sampai kerja jadi tunggang-langgang, bila kerja tunggang-langgang bos marah malah sampai kena pecat, balik rumah marah-marah rembat isteri rembat anak-anak sebab kena pecat, isteri pula failkan penceraian dan lagi teruk anak-anak pula masuk hospital, dan blah blah blah.

Hanya kerana selipar dia hilang, dirembat!

Cuba bayangkan kalau si pemilik selipar tu adalah orang yang tengah sakit kaki. Selipar pula hilang, tak dapat nak berjalan kaki ayam pun, sebab kaki sakit. Kalau dia berjalan juga, maka berdarah dan berlakulah pendarahan yang dahsyat, bawa ke hospital doktor kata kaki kena potong, dan blah blah blah.

Hanya kerana selipar dia hilang, dirembat!

Cuba bayangkan kalau si pemilik selipar tu adalah orang yang memang miskin, selipar tu jela hartanya. Selipar tu pula dibeli dengan hasil bekerja yang menggunakan seluruh tenaga empat kerat. Duit nak pakai banyak, nak makan nak bayar rumah nak bayar itu ini, lalu selipar hilang maka menyebabkan terpaksa guna duit makan untuk beli selipar, dan badan jadi kurus, dan blah blah blah.

Hanya kerana selipar dia hilang, dirembat!

Cuba bayangkan kalau si pemilik selipar tu adalah orang yang baru je beli selipar tu dua tiga hari lepas, tiba-tiba kena rembat. Lalu dia pun menangis kemarahan, dan disebabkan marah itu dia bertukar menjadi Hulk dan menghancurkan kawasan sekitarnya, lalu Malaysia pun hantar sepasukan tentera siap komando, malah Avengers turut datang ke Malaysia menangani masalah Hulk yang mengamuk gila, dan blah blah blah.

Hanya kerana selipar dia hilang, dirembat!

***

Kita kena ingat, bukan semua manusia mampu positif, Bukan semua manusia bila selipar dia dirembat, dia senyum dan menadah tangan ke langit lalu berdoa, "Ampunilah dosa dia kerana aku sudah pun memaafkannya, mungkin ini adalah kafarah dosa aku pada-Mu."

Kita kena ingat, bukan semua manusia kaya. Bukan semua manusia bila selipar dia hilang, dia senyum dan kata, "Nanti boleh beli baru, beli yang mahal sikit siap boleh letak mangga baru tak hilang."

Bukan semua manusia yang bila seliparnya dicuri, jadi lebih baik. Bahkan mungkin akibat seliparnya dicuri, maka ia melahirkan pencuri selipar yang lain pula, macam aku?

Memang, nampak lekeh. "It is just a sandal!"

Tapi kita kena sedar, bahawa setiap perbuatan kita ni ada kesannya, samada positif atau negatif, samada kesannya kecil atau besar, samada kesannya hanya kepada individu atau masyarakat mahupun negara.

Mungkin manusia yang seliparnya dicuri, menyebabkan dia belajar sesuatu daripada apa yang berlaku, lalu menulis blog tentangnya, buat buku dan dia menjadi dikenali malah dihormati kerana membantu orang lain. Malah ramai gadis-gadis yang beratur mahu dia jadikan isteri - ehem ehem habislah aku kena marah nanti hahaha -.

Mungkin juga, manusia yang seliparnya dicuri di masjid, menyebabkan dia tak lagi datang ke masjid malah berprejudis dan su'uzon bahawa orang yang sembahyang ni semua kaki pencuri, tak pun menyebabkan dia marah dah bergaduh kepada orang lain bertumbuk dan sebagainya.

Nampakkan, kesannya? Hanya dalam sepasang selipar buruk yang dirembat orang.

Mengakhiri post setelah sekian lama sehinggalah selipar aku dirembat orang, jangan lihat hanya sepasang selipar sahaja yang dirembat. Besarkan sedikit skopnya, dan lihatlah, contoh bagaimana jika kita sakitkan hati orang lain, walaupun dalam bergurau.

Apa kesannya kepada mood dan prestasi orang tu? Bagaimana harinya? Dia gembira atau tak. Tengok bagaimana kalau kita sebarkan aib orang dan ajak kawan-kawan memulaukan dan tak nak kawan buat assigment bergaul semua?

Apa kesannya, apa yang jadi kat orang tu? Dia ok atau tak.

Mana tahu, disebabkan perbuatan buruk kita yang kita rasa macam kecil, rupanya memberi kesan besar kepada orang lain, Nauzubillah, sampai dia tekanan stress pelajaran terganggu, atau lebih teruk, bunuh diri dan lain-lain.

Kita buat dia sedih, sebab kita rasa kita betul. Kita tak tahu berapa lama dia bersabar dan sebanyak mana hati dia terluka, walaupun kita rasa perbuatan kita tu kecil, biasa-biasa je.

Tepuk dada tanya selera duhai sahabat yang aku sayangi.

Sebab semua tindakan kita, boleh jadi kecil tapi kesannya kepada orang sangat besar. Malah dengan satu tindakan kita yang kecil, mungkin ia boleh mempengaruhi dunia.

Fikir dahulu sebelum bertindak, sebab tujuan hidup kita adalah untuk melebarkan senyuman manusia-manusia.

Bukan mengecilkan lagi senyuman tersebut sehingga tinggallah hanya sekeping bibir yang keras tanpa senyuman.

Dari mana, dari tindakan kita sendiri!

"Jangan rembat selipar Malik, lu rembat selipar Malik, gua rembat lu!"

Comments

Popular Posts

Terima Kasih Followers