Selamat Hari Guru : Kuasa di sebalik RAPAT dengan guru

Assalamualaikum warahmatullah, pembaca-pembaca yang aku sangat sayangi sekalian.  Apa khabar korang semua? Sihat ke? Dah makan ke? Makan nasi ke makan hati? #hambar #dahlamatakmenulis

Ok, aku rasa cukuplah dengan basa-basi yang basi. Btw, aku ingin memohon seribu kemaafan atas hampir dua bulan juga aku tak update blog ni. 

Macam yang aku beritahu dalam Page Official blog ni, aku terpaksa menyepikan diri daripada penulisan sekejap - berundur diri daripada menulis walaupun boleh post Ig dan tweet Twitter - kerana aku bakal menghadapi musim peperiksaan a.k.a Final.

Dan memang dah tak bakal ah, aku dah pun malah sedang menghadapi musim peperiksaan. Petang tadi baru sahaja kepala aku berasap digoreng oleh - selalu terbalik aku yang menggoreng - subjek yang agak payah.

Dan segala puji bagi Allah S.W.T, aku akan menghadapi paper yang terakhir Khamis ni, subjek yang aku tersangat suka dan tersangat risau - sementelah carry mark yang tak berapa nak tinggi kerana sibuk dengan komitmen yang tak sepatutnya -. 

Jadi, aku memohon kepada korang semua, berikanlah doa-doa kalian buat aku, agar aku boleh menghadapi dan memperolehi result yang aku sentiasa idami. Mohon doa semua ok? *Angkat dua tangan melakonkan babak Goku yang minta semua kuasa untuk kalahkan siapa aku tak ingat*

Jadual final semester ni agak baik, aku ada banyak geb ('gaps' yang telah dimelayukan), takdelah banyak sangat, tapi dapat selang sehari pun dah cukup baik. Bukan apa, aku boleh studi dengan tenang, dan geb-geb ini boleh membantu aku,

Sekiranya aku terlelap kerana penat studi atau kerana penat tidur lagi, atau terbuang masa tanpa sengaja atau sengaja.

Dan untuk pengetahuan korang semua, untuk paper yang terakhir ni, aku masih belum studi. Tak baca apa lagi. But yet, sejak minggu lepas aku berazam untuk update special post pada hari ini.

Dengan muka yang berlagak, aku menyatakan hari untuk studi ialah esok. Pada awal pagi. In sha Allah, mudah-mudahan. *Muka yang tak berapa nak yakin*

Sudah tentu, special post tentang puluhan guru yang telah mendidik aku dari berak dalam seluar sehingga berak macam manusia, dari kenal alif ba ta sampailah tahu asal usul dan perubahan yang berlaku dalam perkataan.

Dan untuk itulah, aku mendedikasikan seluruh jiwa raga dan masa aku, untuk menzahirkan apa yang aku mahu zahirkan. Jadi jika korang masih belajar, samada tadika mahupun mahasiswa, post ini sangat sesuai dibaca.

Dan walaupun post ini dibaca selepas pukul 12 malam hari ni, ia tetap akan bermanfaat, selagimana korang semua masih bergelar seorang pelajar.

Hakikatnya, kita sentiasa seorang pelajar, kan?

***

16 Mei di seluruh dunia, Hari Guru akan disambut dengan meriah dan tersangat grand sekali. Semua kelas atau kuliah akan cancel, dan jika di sekolah, seluruh warga akan turun meraikan guru-guru, dari pelajar sehinggalah guru-guru sendiri.

Aku masih ingat, ketika aku bersekolah rendah, beberapa hari sebelum Hari Guru, ibu dan ayah akan membelikan hadiah-hadiah, untuk aku dan kakak berikan kepada guru-guru kami. Malam sebelum Hari Guru, ibu akan bersengkang mata untuk membalut kesemua hadiah tersebut.

Bangun je pagi ke sekolah, hadiah semua dah siap balut. Lalu keseluruhan hari itu aku dan kakak akan menjadi Santa Claus, dan memberikan hadiah-hadiah tersebut ke semua guru yang mengajar aku dan kakak.

Betapa banyaknya hadiah yang guru dapat, sehingga meja mereka tidak ada tempat lagi nak letak hadiah-hadiah tersebut.

Bila aku mula bersekolah menengah - aku tinggal di asrama ketika itu - setiap kali aku diberi peluang untuk 'outing', aku akan belikan hadiah-hadiah untuk kesemua guru yang mengajar aku. Jika ada 11 subjek, maka 11 hadiah aku akan berikan.

Dan tidak akan ada seorang pun yang terlepas, walaupun guru tu hanya mengajar aku subjek yang tak termasuk dalam exam macam Pendidikan Jasmani atau Sivik.

Malam sebelum Hari Guru, aku akan bersengkang mata, sebab aku tak pandai nak balut hadiah. Tambah-tambah lagi aku seorang yang perfectionist, lagilah susah nak membalutnya. Satu hadiah mungkin akan ambil masa berjam-jam. Pergh!

Lalu esoknya aku akan menjadi seperti Santa Claus, dan memberikan hadiah-hadiah tersebut kepada guru-guru yang mengajar aku.

Korang bayangkan, hadiah part lain. Kad ucapan part lain. Bersengkang mata lagi, untuk menulis ayat-ayat pickup line cia-cia yang dari hati aku, bukan copy paste ke apa. 11 subjek, 11 guru, 11 kad ucapan. Pergh!

Dan, itu belum termasuk lagi guru-guru feveret. Yang aku sayangi, samada sebab banyak bantu aku, atau yang aku anggap seperti ibu atau ayah sendiri. Aku duduk asrama, jadi untuk pelajar seperti aku, hanyalah merekalah yang menjadi pengganti mereka sekejap.

Kalau guru-guru yang subjeknya aku fail ke apa, hadiah lain pula. Dan sudah tentu kad ucapan diorang mesti sweet tahap gaban seolah-olah ditulis dengan gula dan madu. Walaupun setiap kali mereka marah sebab aku fail, aku akan mengomel sendirian hahaha.

***

Kalau nak cerita, betapa rapatnya aku dengan guru-guru yang mengajar aku, sudah tentu aku takkan dapat mampu cerita, sebab penat tangan menulis.

Di mana aku pergi, samada sekolah rendah mahupun universiti, mesti ada guru yang akan aku rapat sangat-sangat. Oh, di tadika dan prasekolah tiada guru yang rapat, sebab aku pun masih berak dalam seluar masa tu.

Aku pun tak tahu, apa yang menyebabkan aku boleh rapat dengan guru tersebut. Tetapi yang aku tahu, layanan yang diberikan kepada aku tersangat genuine dan sangat ikhlas, tulus dari hati mereka.

Rapatnya mereka dengan aku, sehingga aku tidak lagi melihat mereka sebagai seorang guru lagi, tetapi aku melihat mereka sebagai seorang ibu, ayah, abang atau kakak (kalau guru tu muda).

Antara perkara yang paling menyeronokkan apabila rapat dengan seseorang guru, sudah tentulah rezeki kita tu akan jadi bertambah. Dan rezeki kat sini, aku maksudkan ialah dapat makan lebih. Dapat makan free samada dibelanja ataupun mereka bayarkan.

Setakat kena belanja, aku sendiri tersangat biasa. Hatta sehingga kini pun, jika aku diajak keluar makan untuk menemani lecturer pun, confirm free of charge. Aku tak perlu risau untuk bawa dompet, tak perlu risau duit takde ke apa.

Malah, ketidak lokekkan mereka membelanja aku, membuatkan aku lebih bersemangat untuk menjadi seperti mereka. Tanpa segan silu keluar not duit bayarkan makanan aku. Aku nak belanja orang pun main payah!

Namun, bagi aku, perkara yang paling menyeronokkan apabila rapat dengan seseorang guru ialah, peluang dididik secara langsung. Setiap cerita, pengalaman atau nasihat daripada mereka, korang dengar live daripada mereka, tanpa perlu korang kongsi bersama puluhan atau ratusan kawan sebatch.

Mereka akan ceritakan pengalaman belajar mereka, pengalaman cinta, pengalaman itu dan ini, kisah mereka bersama orang yang mereka benci, apa yang berlaku dalam kehidupan mereka, keluarga mereka dan macam-macam lagi.

Dan kisah mereka tersebut, bagi aku adalah perkara yang tersangat berharga. Aku dididik secara langsung, pengalaman mereka aku ambil dan cedok masuk dalam hati dan perbuatan aku.

Aku selalunya dipilih oleh guru, untuk teman mereka kalau mereka drive jauh. Contoh kalau ada tournament atau pertandingan apa-apa, tatkala kawan-kawan aku naik bas, aku pula naik kereta dengan guru aku. Kawan-kawan terus balik, kita berhenti pekena roti canai dan teh tarik.

Alasan guru, sebab nak jadikan aku teman berbual, sebab tak nak mereka mengantuk. Walaupun penyudahnya aku pun kengkadang tersengguk sebab kepenatan berprogram.

***

Aku menyedari, apabila aku rapat dengan guru yang mengajar aku, aku mampu score dengan cemerlang dalam subjek yang diajar. Setiap ilmu yang diajar masuk dan melekat macam ditepek dengan gam gajah.

Semakin aku membesar sehinggalah aku ke peringkat universiti, aku menyedari aku boleh score dengan baik subjek tu, kalau aku rapat dengan seseorang guru tu. Rapat di sini, daripada guru tu kenal nama aku dengan baik sehinggalah dapat minum teh sama-sama.

Tapi, kalau guru tu aku tak berapa nak rapat, belum masuk lagi aku terkutuk, terumpat dan lain-lain perkara yang tak elok aku buat kepada guru tu, subjek tu sangat susah nak score. Dan paling tinggi pun aku takkan mampu score A.

Di sini jelas menunjukkan, jika korang menyintai guru, maka korang boleh score, faham, sehingga minat subjek tu.

Malah, sedar tak sedar, kuasa guru boleh membuatkan korang minat dengan sesuatu subjek tu, walaupun ia susah dan ia bukan bidang yang kau minati asalnya. Aku adalah buktinya.

***

Namun, perkara yang paling tidak menyeronokkan apabila rapat dengan seseorang guru ialah, aku dipandang sinis dan tak berapa nak ngam dengan kawan-kawan yang lain. Kadangkala aku dituduh mengampu, jual minyak, atau mengipas mereka demi tujuan peribadi.

Malah, bila aku menjadi mahasiswa, aku lebih suka dan cenderung untuk rapat dengan lecturer, walaupun aku sendiri tak berapa nak luang masa dengan kawan-kawan.

Sudah tentu, bukan kerana aku mahu dapat markah tinggi, nak A, atau apa-apa kebaikan untuk manfaat dan kepentingan diri sendiri. 

Tapi bila aku bersama kawan-kawan sebaya, topik perbualan hanyalah pasal perempuan yang paling lawa dalam batch, jenama rokok, apa cerita terbaru, kutuk si pulan si pulan. argh! Semua topik yang tidak membantu aku dalam menikmati kehidupan aku dengan lebih baik.

Malah, guru-guru lebih mengenali aku daripada kawan-kawan mengenali aku. Aku lebih banyak bercerita kepada mereka, daripada kawan-kawan aku sendiri.

***

Sedihnya, apabila aku kini seorang mahasiswa, aku tidak lagi mampu bersengkang mata macam masa aku seorang pelajar sekolah rendah dan menengah dulu. Bersengkang mata balut hadiah, tulis kad ucapan dan lain-lain.

Bila tiba Hari Guru, aku hanya mampu hantar Whatsapp kepada contact lecturer yang aku simpan, tu pun buat broadcast, copy paste mesej sebab malas nak menulis macam-macam. Tiada lagi hadiah yang aku beri macam Santa Claus, hanya sekeping mesej yang dihantar pada lewat Hari Guru.

Walaupun subjek yang aku ambil dalam satu sem tu tak banyak sampai 11, paling sikit pun 4, tapi aku tetap tak mampu nak sediakan sebarang hadiah hatta sebatang pen pun.

Pagi tadi, aku bangun melihat deretan kawan-kawan sekelas dan sebatch yang mengirimkan pesanan Hari Guru mereka, di dalam group Whatsapp subjek. Ada yang copy paste, ada yang buat ayat sendiri, dan ada yang tak wish langsung.

Lalu setelah aku kenyang dengan tidur yang panjang, aku luangkan hampir sejam masa untuk aku mesej kepada lecturer dan guru sekolah lama yang sempat aku hantar. Itulah yang mampu aku buat, sebagai seorang mahasiswa yang hina.

***

Mengakhiri post, walaupun actually malam ni aku nak update pasal adab-adab seorang pelajar dengan guru, tapi Allah S.W.T yang merancang segalanya, lalu post special ni hanya sebagai throwback kenangan-kenangan manis dengan guru-guru dan lecturer-lecturer aku.

Saat aku menulis ni pun, otak aku umpama filem lama yang menayangkan kembali ke semua kenangan itu.

Jangan takut untuk rapat dengan guru atau lecturer. Tak semestinya korang kena rapat dengan semua, tak semestinya sampai minum teh bersama atau dibelanja makan. Tak semestinya kena guru yang mengajar subjek yang berkaitan.

Cukuplah mereka mengenali nama kita, mengenali siapa kita, bagaimana perangai kita. Dan sebagai seorang pelajar, cukuplah dengan kita menunaikan hak-hak mereka, iaitu beradab dengan adab-adab yang high class ala-ala bangsawan gitu!

Selagimana korang bergelar pelajar, ambillah peluang ini, dan rapatlah dengan guru. Apatah lagi jika guru itu mengajar subjek-subjek yang berkaitan dengan kita, lagilah kena rapat.

Rapat bukan kerana mahu mengipas, mengampu, nak itu nak ini.

Tapi apa yang kita mahukan, hanyalah peluang dididik secara langsung, secara live, tanpa ada sekatan ataupun ramai manusia yang menipiskan peluang kita.

Sesungguhnya, untuk menyintai sesuatu subjek itu, haruslah gurunya dicintai. Mana mungkin seseorang itu berjaya, ketika mana ia hidup di dalam kemarahan gurunya.

In sha Allah, ada masa nanti aku nak kongsikan adab-adab seorang pelajar. Doakan kejayaan aku dalam final ok?

Selamat Hari Guru kepada semua guru di dunia. Tak lupa juga kepada deretan ex dan kawan-kawan yang hampeh, tak berguna dan sentiasa menyakitkan hati, kerana menjadi guru yang terbaik dalam bab percintaan dan persahabatn hahahahaha.

Comments

Popular Posts

Terima Kasih Followers