Syukur : Nikmat beraya di rumah bersama family
Assalamualaikum warahmatullah, buat korang semua pembaca yang aku sayangi sekalian. Doa aku, agar korang semua sentiasa berada dalam limpahan rahmat-Nya, dan bukannya tersepit dalam limpahan makanan dan minuman yang terumbang-ambing dalam perut sebab banyak gila makan.
Owh, sebelum tu aku pergi lebih jauh, aku rasa dengan melihat uruf atau kebiasaan Rakyat Malaysia yang merayakan Aidulfitri selama sebulan, sehingga wujudlah istilah Raya Pertama, Raya Kedua, Raya Keempat belas, Keseratus blah blah,
So di Raya Kesembilan ni, aku nak ucapkan Selamat Hari Raya Aidulfitri kepada semua pembaca aku terutamanya, samada yang aku tak kenal tak pernah nampak pun, dan juga yang aku kenal selalu bersembang atau tak.
Maafkan aku atas semua kekurangan aku, samada kekurangan sebagai seorang manusia, seorang kawan sahabat, mahupun kekurangan aku sebagai seorang penulis, blogger.
Agak lama juga aku tidak menulis, walaupun cuti semester aku sudah pun slow-slow nak masuk sebulan. Tinggal lagi dua bulan aku bercuti, menghabiskan cuti, pishang, luang masa bersama keluarga dan juga kucing aku (nanti aku akan ceritakan).
Aku akui, aku bukan seorang blogger yang konsisten. Sebagai manusia yang memegang mazhab, aliran atau ideologi seorang manusia yang sentiasa ikut mood dalam majoriti perlakuan, majoriti post-post aku di sini ditulis dengan mood dan perasaan.
Dalam 30 hari bulan Ramadhan lepas, aku tak tulis walau satu post pun, samada berkaitan dengan Ramadhan atau tidak, malah Satu Syawal pun, aku masih lagi tak tulis apa-apa, sehingga kadangkala aku sendiri memikirkan tentang ke mana hala tuju blog aku ni, adakah ia akan kekal sepi begini?
Dan percayalah, aku sentiasa terfikir bilalah aku nak post masa tu, dan akhirnya waktu berbuka pun masuk.
Oleh itu, buat para pembaca yang benar-benar menunggu penulisan aku yang tidak seberapa ni, maafkan kekurangan aku ni, dan doakan aku agar sentiasa diberi kekuatan bukan sekadar idea atau isu yang nak aku sampaikan, malah juga kerajinan, sebab tu yang paling penting.
Aku boleh katakan, media sosial yang betul-betul aku ikuti hanya Twitter dan Ig sahaja. Jadi, hubungilah aku kat situ dan semarakkan mood aku agar menulis, ok?
Oh, ni sudah jelas bukan mahu memancing follower ok? Hahahahahahatolongfollowpleasehahahaha.
***
Tak keterlaluan aku katakan, kalau Raya aku tahun ni tak berapa nak ceria. Tahun ni aku sekeluarga hanya beraya di rumah, sebagai tanda menghormati ibu yang baru kehilangan ibunya. Kata ibu, dia tidak bersemangat untuk beraya tahun ni, bagaimana dia boleh bergembira sedangkan dia sedang sedih?
Jadi kami sekeluarga menghormati ibu, dan kami beri sokongan padanya dengan tak balik kampung tahun ni. Walaupun ayah sedikit serba salah kerana tak pulang ke kampung macam kebiasaannya.
First Raya memang agak spoil, tahun ni aku mengenakan pakaian baru, setelah 2 tahun tak tempah. Jadi korang bayangkanlah, aku baru je pakai baju tu, dan tempat nak letak lubang tu masih keras lagi. Ibu aku pula bagi butang yang besar amat, jadi tak boleh nak masuk butang tu.
Memang pakai butang besar ni sangat bergaya - tambah-tambah lagi macam orang yang kacak seperti aku -, tapi nak masukkannya bukan senang beb! Dan menambah rencah lagi, satu permata butang tu tercabut, dan kelam-kabut ibu mencari butang baru.
Nasib baik bersepah butang aku, so takde hallah. Lagipun kaum ibu ni serba tahu dan sentiasa bersedia. Thumb up para ibu!
Bila dah gerak dalam lebih kurang dua minit dari rumah, baru aku sedar yang aku tertinggal sampin, ah sudah! Lalu ayah patah balik walaupun jelas ayah marah, dan seluruh isi kereta kesenyapan sebab marah satu sama lain. Aku marahkan kakak, ibu dan ayah marahkan aku, kakak berdiam diri hahaha.
Dipendekkan cerita, selepas puas kitorang bergambar, kitorang pun pulang ke rumah macam aku dan ayah baru balik daripada Solat Jumaat. Aku tengok movie lepas tu, dan terlelap. Bangun-bangun dah asar.
Malamnya aku buka Ig, dan aku hanya tersenyum tawar melihat deretan gambar-gambar yang penuh dengan suasana gembira orang beraya. Aku, hanya menghabiskan lemang yang ayah beli petang tu.
Masuk Raya yang Kedua, kitorang satu family start puasa 6 - sebab memang dah kebiasaan - sampailah kitorang dah pun selesai puasa 6, dan kitorang sambut sambil makan sushi yang aku belanja sendiri 100% (boleh rujuk Ig aku, like dan komen yang murni-murni je).
Dan setiap malam, aku tersenyum tawar melihat deretan gambar-gambar di Ig yang seronok tahap gaban beraya, ada yang masih berbaju Melayu lagi siap sampin lagi dalam Raya Kedua dan Ketiga. Dan aku hanya berseluar pendek di rumah tanpa baju, sambil berpeluh-peluh main kejar-kejar bola dengan kucing aku.
***
Masuk Raya Ketiga, aku putuskan untuk keluar beraya berseorangan, malam selepas aku berbuka puasa. Rumah pertama yang aku pergi, ialah rumah Ustazah aku ketika aku sekolah menengah. Specialnya beliau kerana beliau truly seorang pendidik, bukan just mengajar kau bagi A je. Bebelan-bebelan beliau banyak yang lekat dalam kepala.
Dan aku tak terperanjat bebelan-bebelan yang sama masih lagi beliau lontarkan kepada anak-anak murid beliau kini.
Malam Raya Keempat, aku ke rumah seorang lagi Ustazah. Dan korang tahu apa perkataan pertama yang beliau kata kat aku?
"Asal raya seorang, bila nak berdua?"
Dan malam-malam berikutnya aku setia keluar beraya berseorangan, ke rumah kawan-kawan yang mana aku tahu aku akan terhibur kerana gelak ketawa, bukannya yang hanya akan membiarkan aku melayan diri sendiri dan buatkan aku menyesal beraya ke rumah mereka.
Setiap kali Raya, aku sentiasa akan tertanya-tanya, siapakah manusia pertama yang akan datang beraya ke rumah aku? Sanak saudara ayah ke? Atau ibu? Atau kawan-kawan aku? Atau kawan-kawan kakak?
Atau orang datang merisik aku ke? #hambar
Dan persoalan itu terjawab akhirnya, apabila dua hari lepas, pada malam kami satu family dah pun selamat menghabiskan puasa 6, kakak ayah satu family datang beraya ke rumah. Walaupun tak cukup korum kerana dua anak mereka dah pun masuk bekerja.
Dan percayalah, tiada yang lebih menggembirakan aku di Hari Raya, melainkan para tetamu yang membawa berkat ke rumah aku dengan mengunjungi aku sekeluarga.
***
Hari ni, dah pun mula sesi persekolahan bagi negeri-negeri yang bukan Pantai Timur. So officiallynya, aktiviti atau program beraya akan sedikit slow, sebab dah tak boleh raya menggila sangat sebab malamnya kena tidur awal untuk bersekolah atau bekerja.
Jadi aku sendiri pun pening, nak beraya ke mana. Apa yang aku mampu, adalah tersenyum tawar melihat deretan gambar-gambar di Ig kawan-kawan sekolah lama aku yang konvoi beraya bersama. Begitu lebar senyum mereka, sehingga aku tertanya-tanya adakah senyuman itu makin lebar kalau aku ada bersama.
Entah, tapi aku berminat nak sembang-sembang pasal isu ni.
Dan sebenarnya, setelah korang membaca deretan cerita aku yang panjang mengenai Raya aku yang tak berapa nak ceria ni, adakah korang merasakan aku tak suka atau benci Raya aku ni?
Jawapan aku, tak. Walaupun aku berapa kali state yang Raya aku tak berapa nak ceria. Raya aku tahun ni hanya tak berapa ceria disebabkan aku merasakan family aku sendiri tak berapa nak ceria. Ibu obviously.
Namun, jauh di sudut hati, aku masih bersyukur ke hadrat Allah S.W.T, kerana masih lagi memberi peluang untuk aku beraya di rumah. Boleh tengok movie sampai terbaring kat atas sofa siap bersampin bagai, bersama my precious family.
Yup, aku masih mampu beraya bersama family, lengkap korum ahli pula tu!
Dan untuk itu, aku rasa sangat ceria walaupun Raya aku tak berapa nak ceria. Beraya di kampung, berjumpa dengan sanak saudara samada yang aku kenal, tak kenal, rapat, tak rapat, tetamu-tetamu yang datang ke rumah saban hari, para kawan sekolah atau universiti yang ajak aku konvoi beraya ke, semua itu hanya umpama telur atau daun-daun bawang yang orang tabur kat Maggi je.
Yang menambahkan keceriaan Maggi tersebut, yang menambahkan keceriaan Raya aku.
But, we still can eat Maggi without that, dan boleh tambah satu mangkuk lagi tanpa rasa bosan atau muak.
Dan untuk itu, aku masih bersyukur kepada Allah S.W.T, kerana bagi aku, beraya bersama family aku sampai lengkap satu korum,
Adalah Nikmat paling besar di Hari Raya.
***
Suatu hari, aku terfikir, bahawa tahun ni aku masih lagi dapat beraya bersama family aku lengkap satu korum. Mungkin dalam beberapa tahun lagi, aku dah tak dapat nak menikmati sebegitu.
Mungkin aku sekeluarga akan beraya tanpa kakak, kerana kakak sudah berkahwin dan akan menyambut First Raya di rumah keluarga suaminya kelak.
Mungkin lepas tu aku pula yang tiada, kerana aku terpaksa akur dengan giliran isteri aku, nak sambut First Raya di rumah keluarganya pula, sebab tahun lepas family aku.
Lagipun kakak dah kahwin dan ibu kata aku boleh kahwin lepas dia kahwin. #luahanhati #takdekaitan
Bila dah berkahwin, giliran Raya akan berlaku. Jadi, kena ada toleransi antara dua. Tak boleh setiap tahun First Raya di sebuah rumah je, melainkan kalau suami isteri kampung sebelah-belah, satu jiran, satu neighbourhood.
Kalau nak balik kampung isteri pun dah 8 jam perjalanan, memang takkan dapat nak balik camtu je, melainkan korang ada kereta yang ada tambah roket kat belakang. Dan kalau jalan jem berjam-jam pun, kereta yang ada tambah roket kat belakang pun takde guna!
Dan sebagai seorang lelaki yang bercinta dengan perempuan yang jauh rumahnya 8 jam, aku berani katakan yang aku bersyukur masih lagi mampu beraya lengkap korum bersama family aku yang tercinta.
Mungkin tahun-tahun berikutnya, korum keluarga aku tak cukup dah. Mungkin dah takde dah di dunia ni - nauzubillah -.
Dan aku masih lagi mampu beraya dengan happy bersama ahli keluarga aku yang tercinta, cukup korum, semua sihat walafiat. dan untuk aku bersyukur, tersangat bersyukur,
Sehingga hilang semua kesedihan aku atas Raya yang aku claim tak berapa nak ceria ni. Sedangkan Allah S.W.T masih lagi tidak menarik nikmat yang aku sangat perlukan bagi menunaikan nikmat yang aku sangat mahukan.
***
Mengakhiri post, sifat Syukur ni akan mengatasi rasa Tidak Cukup dan Dengki.
Kadangkala kita rasa macam takde apa-apa. Bila tengok orang Raya bapak best, balik berkampung berhari-hari, lepak-lepak dengan sanak saudara, dapat duit Raya, upload kat Ig semua siap hashtag #RayaKanSebulan, terus kita rasa Raya kat rumah je ni, tak bahagia.
Padahal kita tak sedar dan tak nampak, betapa bestnya duduk kat rumah sebab ibu buat makanan sedap, dan boleh makan bersama-sama tanpa pakai cantik-cantik hensem-hensem bermekap bagai.
Kita dengki tengok kawan-kawan beraya konvoi sama, siap tak ajak dan upload gambar dengan caption #KawanTillJannah, terus kita rasa Raya kat rumah ni je ni, tak ceria.
Padahal kita tak sedar dan tak nampak, bahawa kita ni bukan dalam golongan yang dimaksudkan dalam caption #KawanTillJannah tu, sebab kalau betul-betul mereka nak ajak, mereka akan ajak betul-betul.
Dan kita sendiri pun tak yakin, adakah mereka betul-betul akan happy kalau kita ada sekali, kan? Dan adakah kita akan betul-betul happy kalau kita ada sekali, kan?
Oleh itu, kepada korang semua yang beraya dengan style yang sama macam aku ni, bersyukurlah!
Sebab ada orang yang tak dapat beraya dengan family, sebab belajar kat oversea, ataupun takde tiket nak balik, duit tak cukup nak beli.
Ada yang tak dapat balik beraya dengan family, sebab komitmen kerja, bertugas pula sebagai askar polis atau berkaitan dengan keselamatan, malah dia pula terpaksa mengorbankan cuti supaya cuti orang lain tak terkorban.
Ada pula yang kematian ahli keluarga, samada dengan kemalangan, sakit, dan macam-macam lagi?
Tu baru aku cerita bab tak Raya dengan family, ni ada yang sampai yang Raya pun takde rumah!
Rumah dibom, dibakar, rumah runtuh tsunami banjir gempa bumi bagai!
Dan untuk itu, bersyukurlah kerana masih dapat beraya, walaupun apa pun jua style. Dan aku truly sangat bersyukur, kerana masih lagi dapat beraya dengan cukup korum, berbanding ibu yang dah pun kehilangan ibunya.
Belajar untuk mensyukuri setiap nikmat yang kita ada. Sebab, harga untuk belajar mensyukuri nikmat yang kita ada ni terlalu mahal, sebab Allah S.W.T terpaksa tarik semua tu semula.
Sebab adat manusia ni, bila dah takde, dah hilang baru nak sedar. Jangan sampai jadi begitu sudahlah.
Selamat Hari Raya Aidulfitri Maaf Zahir dan Batin sekali lagi, semoga Raya kita semua tahun ni, adalah Raya yang terbaik untuk kita, walaupun kita happy atau tidak menyambutnya.
Duit Raya aku jangan lupa, kalau nak hantar aku bagi alamat nanti, ok?
Bila nak buat open house Siapa Mahu Bahagia? Korang belanja. Aku on je bila-bila.
Comments
Post a Comment