MerdekAidiladha : Melakukan PENGORBANAN untuk mencapai KEMERDEKAAN

Assalamualaikum warahmatullah, buat korang semua para pembaca yang aku sayangi sekalian. Apa khabar korang semua? Doa aku agar kita semua sentiasa berada di bawah lembayung perlindungan Allah S.W.T, daripada kesemua malapetaka, dan sentiasa kekal ceria selamanya.

Wuhahaha *gelak tak ikhlas*, macam biasalah, sudah tentu muqadimah post kali ini aku mulakan dengan adegan bermaaf-maafan ala-ala sebelum ke masjid untuk solat Hari Raya. 

Ya ya ya ya, aku sedar bahawa dua bulan (mungkin lebih) aku tak update sebarang post, walaupun tiga bulan lebih aku menghabiskan cuti yang berbaki kurang seminggu ni di rumah, dan mostly aku berjanji aku akan lebih fokus untuk menulis sementelah kurang masa (bajet busy) masa semester lepas.

Tapi aku hanya manusia biasa, yang penuh dengan kekurangan. Namun percayalah, aku ada niat untuk menulis, idea-idea aku macam rombongan lembu yang beratur, cuma tinggal nak disembelih je, dilapah dilahap, untuk menjadi sebuah post yang sempurna.

Namun, nafsu untuk main game (aku tengah kemaruk Batman sekarang, so aku main Batman: Arkham Origin) mebuak-buak, lalu menenggelamkan semangat menulis aku. Macam aku cakap tadi, aku hanya manusia biasa, yang penuh dengan kekurangan *main game Batman macam orang gila*.

Btw, aku rasa masih belum terlambat untuk aku ucapkan selamat menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-60 tahun, dan juga Selamat Hari Raya Aidiladha 1438 Hijrah.

***

Merdeka tahun ni, seperti tahun lepas, aku sambut di tempat sendiri. Juga sama seperti tahun lepas, aku berbaris dalam kontinjen yang terakhir sekali (tu pun selepas agak ke'pishang'an menunggu) sebagai Belia Negeri Sembilan.

Walaupun aku pelik kenapa track tahun ni agak jauh, dan juga kenapa KFC (setiap kali Merdeka KFC akan sponsor snack plate) tahun ni agak tawar *tak bersyukur*, namun alhamdulillah atleast aku bukan membuta je atas katil, menyambut kemerdekaan dalam mimpi walaupun diri masih tak merdeka daripada jajahan rasa kantuk yang menggila.

Bayangkan, pada malam sebelum Khamis tu, tiba-tiba aku diserang rasa susah nak tidur. Tak tahu samada aku excited nak berbaris, ataupun dah puas tidur walaupun rasanya tak tidur petang (kot) hari tu. Tapi seriously, aku masih tak dapat lelapkan mata walaupun dah puas ber'9gag' dan ber'Batman' sebelum tu.

Sedikit sebanyak, ia membuatkan aku risau, sebab takut pengsan ke apa walaupun aku just berbaris dan bukannya berkawad untuk bertanding. Kan pengsan mahunya viral esok lusa hahaha. Tak hingin aku, kalau nak viral biarlah benda yang baik macam Anugerah Lelaki Terkacak atau Kaya Tiba-Tiba.

Tu lebih bagus kalau aku nak viral. #lawakhambar

Namun, segala puji bagi Allah S.W.T, walaupun aku dapat lelapkan mata sekejap, bangun pukul 5 pagi lebih untuk bersiap, aku masih berjaya habiskan track perbarisan dan juga snack plate yang tawar hahaha.

***

Aidiladha aku pula bermula dengan bebelan ibu, yang agak berputus-asa mengejutkan aku sebab masih lagi tak bangkit daripada katil yang lembik dan busuk (kot). Sehinggalah ibu mengugut untuk biarkan aku pergi seorang sahaja solat Hari Raya.

Entah datang dari mana kekuatan itu, aku bangun dah bersiap. Rilek ah benda boleh settle hahaha .*gelak sebab selepas kena bebel*

Setelah bersalaman, sebagai meneruskan adat Hari Raya, aku bertolak satu family ke masjid yang agak dekat dengan rumah, lepas je jalan kaki. Oh, lepas di sini bermaksud masa aku kecik-kecik dahulu. Sekarang larat je *meragui* tapi dah ada kereta kenapa nak jalan kaki pulak? #bajet

Dan aku agak terkesima, bila melihat masjid begitu penuh dengan jemaah yang bukan bumiputera. Majoritinya warga Bangladesh dan Indonesia. Aku pula yang rasa macam warga asing dalam masjid tu. Nasib baiklah tiada warga Bangladesh yang aku perasan dia kerja di kedai mamak tempat aku lepak, minta order nak aku minum apa.

Dan nasib baiklah juga, tiada warga Indonesia yang ucapkan Salam 1:0 selepas Malaysia kalah dengan Thailand Final Sukan Sea yang lalu. Kalau tak ada yang kena korban nanti!

***

Actually, post kali ni aku bukannya nak bercerita tentang pengalaman aku sambut Merdeka atau Hari Raya Korban tahun ni, sebab pengalaman aku pun biasa-biasa je, tiada yang menarik langsung.

Kalau menarik pun, cuma ibu buat mee hoon sup tulang masa 1st Hari Raya Korban, dan mee kari masa 2nd Hari Raya Korban. Tu jelah yang menarik hati dan perut, dan tak perlu aku nak karang panjang-panjang pasal keenakan dua juadah tu.

Tapi, apa yang aku nak kongsikan ialah, bagaimana cantiknya dua hari kebesaran negara disatukan dalam kalendar perayaan warga Malaysia, dan ia bukan sekadar cuti sahaja.

Hari Khamis, kita sambut Merdeka. Kita laungkan Merdeka berpuluh-puluh kali sampai serak-serak suara, tanda seronok. Esoknya pula iaitu Jumaat, kita sambut Hari Raya Korban. Kita laungkan Takbir Allahu Akbar berpuluh-puluh kali sampai menangis, tanda bahagia dan bersyukur (bukan  tanda mengantuk ya?)

Walaupun kita tidak terlibat dalam usaha-usaha kemerdekaan seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Sambathan, Tan Cheng Lock dan lain-lain, namun kita rayakan juga Hari Kemerdekaan dengan seronok sekali, kerana 60 tahun kita telah pun menikmati rasa kemerdekaan.

Walaupun kita bukanlah kalangan orang Islam yang bertuah yang sedang berwuquf, saie, tawaf menunaikan ibadah Haji di Makkah al-Mukarramah, namun kita rayakan juga kesemua empat hari Hari Raya Korban, dan menikmati daging-daging free daripada sedekah korban orang lain.

Dan aku ulang lagi sekali, betapa cantiknya dua hari kebesaran negara ini disatukan. Kerana ia sebenarnya, memberikan kita suatu simbolik yang cukup menarik, di mana simbolik ni lahir dalam ketika mana aku sedang mendengar khutbah Hari Raya Korban,

Iaitu kemerdekaan itu diraih dan dikecapi, selepas melakukan pengorbanan.

***

Siapa sahaja rakyat Malaysia yang tak pernah dengar cerita mengenai usaha-usaha kemerdekaan? Walaupun mungkin dah lupa kisahnya secara terperinci 100% disebabkan leka mendengar Despacito hari-hari, namun aku percaya semua daripada kita pernah dengar kisah tersebut.

Begitu pentingnya kisah ini, sehingga ia menjadi antara subtopik dalam pembelajaran Sejarah (aku pun dah lupa Tingkatan berapa), dan menjadi antara soalan yang famous ditanya dalam exam.

Siapa sahaja umat Islam yang tak pernah dengar kisah Nabi Ibrahim A.S bersama anakandanya Nabi Ismail A.S? Di mana Nabi Ibrahim A.S. diperintahkan Allah S.W.T untuk menyembelih satu-satunya anakanda yang tercinta, sepertimana yang yang termaktub dalam mimpi Baginda A.S.

Kisah yang agak menyedihkan, yang juga memberikan inspirasi tentang simbolik taat dan pengorbanan ni, merupakan antara kisah yang teramat penting sehingga dirakamkan oleh Allah S.W.T dalam Al-Quran.

Malah, kalau seorang umat Islam lupa sekalipun, setiap kali apabila Hari Raya Korban semakin dekat, kisah ini sering dijadikan topik utama dalam khutbah Solat Jumaat, samada sedar ataupun membuta, takpun main Whatsapp.

Dan daripada dua kisah ini, iaitu kisah Usaha-Usaha Kemerdekaan dan kisah Nabi Ibrahim A.S bersama anakandanya Nabi Ismail A.S ni, maka aku boleh buat suatu kesimpulan bahawa, untuk mencapai kemerdekaan, beberapa pengorbanan perlu dilakukan.

Bukan satu pengorbanan, bahkan beberapa pengorbanan, walaupun demi mencapai satu kemerdekaan sahaja!

***

Sebelum mencapai kemerdekaan, begitu banyak sekali pengorbanan yang dilakukan, samada pengorbanan dalam bentuk usaha titik peluh, wang ringgit, mahupun darah dalam beberapa siri peperangan.

Dalam usaha mencapai kemerdekaan, begitu ramai anak yang menjadi yatim, begitu ramai isteri yang menjadi balu, begitu ramai ibu bapa yang kehilangan anak lelaki mereka.

Itu belum lagi dicampur dalam serangan-serangan dalaman seperti serangan komunis Bintang Tiga dan musim kelaparan yang sangat mencabar, sehingga ramai rakyat Tanah Melayu yang terkorban.

Juga belum dicampur bagaimana usaha pemimpin-pemimpin negara pada ketika itu untuk menyatukan rakyat Tanah Melayu yang berbeza segalanya, daripada ideologi dan pendapat. Karenah beberapa bangsa tertentu, dan juga karenah, asakan dan cabaran yang didatangkan daripada British kepada pemimpin-pemimpin negara pada ketika itu.

Namun, kesemua pengorbanan itu, menyumbang kepada hari ini, di mana korang semua boleh membaca blog aku secara terang-terangan, tanpa perlu takut dibom atau diserang secara mengejut oleh tentera-tentera yang menjajah, seperti yang berlaku di Palestin, Syria dan lain-lain.

Kalau takut pun, cuma takut terguna data padahal wifi dah on.

Segala macam pengorbanan yang dilakukan oleh orang-orang yang terdahulu, walaupun aku rasa majoriti besar daripada mereka telah pun meninggal dunia, menyumbang kepada kemerdekaan yang kita kecapi selama 60 tahun ni.

Tu baru aku sentuh pasal kemerdekaan, belum lagi pasal kisah Nabi Ibrahim A.S bersama anakandanya, Nabi Ismail A.S.

Tiada seorang pun manusia dalam dunia ni yang tidak menyayangi anak sendiri, sedangkan binatang pun cukup sayangi kepada nak-anak mereka.

Cuma aku tak faham kenapa masih ada orang yang tegar membuang anak yang masih dilitupi uri ke lubang jamban, dan juga kepada hamster, kucing jantan dan ikan haruan yang memakan anak-anak mereka sendiri. Itu je yang aku musykil.

Seorang Nabi memerlukan seorang waris, dan waris itu mestilah seorang lelaki, kerana lelaki memiliki banyak kelebihan dan disebabkan itulah kaum lelaki yang dipilih oleh Allah S.W.T untuk menjadi utusan-Nya, iaitu para Nabi dan Rasul Alaihumsalam.

Dan setelah lama Nabi Ibrahim A.S menginginkan seorang anak lelaki supaya dapat meneruskan legasi dakwah baginda, akhirnya setelah pengahwinannya dengan Hajar, isteri kedua baginda, Nabi Ibrahim A.S dikurniakan anak yang bernama Ismail A.S.

Namun, walaupun rasa sayang melitupi hati baginda, yang akhirnya setelah sekian lama mahukan seorang anak pewaris legasi dakwahnya, dengan rasa taat meletakkan pisau di leher Ismail A.S, untuk menyembelih tanda menunaikan mimpi yang merupakan wahyu daripada Allah S.W.T.

Lalu di akhirnya, Allah S.W.T menggantikan Nabi Ismail A.S dengan seekor kibasyh yang besar, lalu disembelih oleh Nabi Ibrahim A.S tanda kemerdekaan mereka berdua daripada kegagalan menunaikan perintah Allah S.W.T.

***

Mengakhiri post yang setelah sekian lama sepi, untuk mencapai kemerdekaan, beberapa pengorbanan perlu dilakukan.

Untuk merdeka daripada sifat jahil dan bodoh, maka beberapa pengorbanan perlu dilakukan. Kita kena pergi sekolah walaupun penat belajar seharian, terpaksa menjawab 11 peperiksaan untuk subjek yang cukup berbeza satu sama lain. 

Perlu meraih result yang cemerlang, kadangkala dimarahi guru, kadangkala ada konflik bersama kawan dan lain-lain. Tu belum lagi ke universiti, kena struggle pointer, dapatkan 4 flat, kena marah lecturer, lecturer tak suka, merajuk, konflik kawan-kawan, duit tak cukup dan lain-lain.

Pengorbanan-pengorbanan tersebut yang menghasilkan seorang manusia yang bijak, alim dan berilmu.

Tu belum lagi aku cerita nak merdeka daripada kelemahan diri, ego, bajet bagus, kemerdekaan daripada dijajah rasa lemah diri, tak bersemangat, rendah diri dan lain-lain,

Sehinggalah untuk memerdekakan diri, daripada dijajah nafsu, kelemahan diri, bisikan-bisikan hawa nafsu dan Syaitan yang sentiasa menjajah diri kita tanpa henti.

Oleh itu, jangan rasa teragak-agak untuk melakukan pengorbanan, sebab tanpa pengorbanan, bagaimana kita mahu mencapai kemerdekaan?

Kemerdekaan yang dicapai tanpa didahului dengan pengorbanan adalah cerita dongeng. Kalau tercapai pun, ia hanyalah kemerdekaan yang sementara.

Untuk merasai lazatnya kemerdekaan, terlebih dahulu diri kita harus disakiti dengan kepahitan pengorbanan-pengorbanan.

Sebab diakhir pengorbanan-pengorbanan itu, sudah tentu kemerdekaan yang menanti. Bahkan boleh jadi, kemerdekaan-kemerdekaan yang menanti.

Moga-moga kesemua pengorbanan yang kita lakukan sehingga ke saat ini, Allah S.W.T ganjari dengan kemerdekaan-kemerdekaan, mostly merdeka daripada seksaan Neraka yang menunggu penghuni-penghuninya kini.

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Allahu Akbar Allahu Akbar Walillahilhamd!

Comments

Popular Posts

Terima Kasih Followers