Apa khabar 2021?

 Assalamualaikum wrh. wbt, buat semua pembaca yang tersangat aku sayangi. Pembaca yang tidak pernah aku kenal di luar alam maya, pembaca yang aku tak tahu adakah ada yang setia atau sekadar singgah menyinggah, dan juga pembaca yang sudi berkongsi cerita suka dan duka dengan aku.

Siapa pun anda, aku nak ucapkan jutaan terima kasih. Sedar tak sedar, dah hampir sedekad blog ni terwujud, di mana first time aku mencoret di blog ni pada umur 17 tahun, sweet seventeen gituh! Macam yang dah aku bagitahu dulu, ni bukan blog pertama aku. Ni ialah blog yang kekal setelah beberapa kali percubaan.

Disebabkan aku agak dikenali di sekolah menengah (agak ke?) sebagai seorang mamat jiwang puisi madah pujangga (walaupun BM pernah fail sebab silap tanda OMR), memberi nasihat cinta kepada budak bocah hingusan walaupun aku pun lebih kurang noob jugak, walaupun takdelah sampai macam Otis yang memberi 'terapi seks' macam dalam siri Sex Education kat Netflix,

Kerana itu aku mula menulis di blog pertama yang fokuskan 100% pasal cinta. Tapi tulah, boring juga sebab apa je yang boleh diceritakan seorang budak tingkatan 3 tentang cinta? Sembang kari boleh ah, walaupun sembang kari kadangkala kari yang enak.

Dan walaupun aku telah meninggalkan blog ini dalam hiatus yang panjang kerana terpengaruh dengan Kentarou Miura (creator manga Berserk favourite aku), haha takdelah sembang kari. Aku lama tak menulis sebab malas of course, kerana aku ialah seorang penulis yang menulis dengan jiwa. Ada jiwa, ada post. Takde jiwa, takde post.

Siapa-siapa yang mengenali aku, akan tahu bahawa aku bukanlah seorang yang sembang kari. Kari aku diadun dengan pengalaman yang majoritinya duka dalam suka. Dari bab percintaan, persahabatan, tips-tips yang tak berapa nak jadi, kesemuanya ialah hasil adunan pengalaman.

***

Cuma, aku masih belum berkahwin. Alhamdulillah, percintaan aku dengan bakal zaujah (tunang dalam Islam sebab dia dah setuju nak kahwin kah3) kini bakal memasuki enam tahun. Sebuah tempoh masa yang lama, dan tolonglah doakan aku agar percintaan ni boleh memasuki fasa perkahwinan. Tolong doakan ok? Amin ya Allah.

Tiada banyak pun perkara yang boleh diceritakan pasal life aku dalam setahun area tahun 2020 sampai sekarang, dah masuk bulan Februari pun!

Pandemik Covid-19 memang takde belas kasihan. Aku sendiri antara mangsa keganasan virus sial ini, cuma aku bersyukur masih punya ayah yang bekerja, dan aku sendiri ada kerja walaupun hanya sekadar part time dan bukanlah perolehi income yang stabil macam dahulu.

Aku sendiri sedang berhempas pulas antara permainan masa dan pihak autoriti, dalam rehlah perjalanan Master aku. Nak cerita pun aku malas, cuma cukuplah untuk aku katakan Master aku akan ditamatkan dengan baik walaupun ada beberapa cerita yang kurang enak dan pahit untuk ditelan.

Biasalah, adat menuntut ilmu. Ada susah dan senangnya, walaupun yang aku macam malas, sebab masalahnya itu datang dari tempat menuntut ilmu. Apa-apa pun, biarlah kita noktahkan cerita itu di sini kah3. Rahsia!

***

Tahun 2020 tahun yang terpaling sendu. Bermula virus Covid-19 yang mula memberi salam perkenalan, kemudian tup-tup virus tersebut meratah satu persatu umat manusia tanpa mengira apa jua salam perkenalan. Persetankan salam katanya, hare betul!

Majoriti rakyat Malaysia pun bersetuju, virus yang lebih virus daripada Covid-19 ni ialah politikus yang menikus. Aku pening, dan kepeningan itu berakhir dengan malas nak ambil port dan pergi mampus. Semoga Allah membuka hati para pemimpin kita, dan andai hati mereka tertutup keras bagaikan kerang yang susah nak buka, biarlah isi kerang itu membusuk dan akhirnya dibuang sebab tak boleh makan!

Pun sama, kita noktahkan kat situ. Kau maki ke tohmah apa-apa pun kat mereka, diorang memang dilahirkan dengan kulit muka yang lebih tebal daripada (isi tempat kosong). Bertubi-tubi tohmahan pun, diorang gaji lima angka steady, apa barang boskur! 

Maka biarlah Raja Segala Raja iaitu Allah yang membalasnya.

Apa-apa pun, shout out untuk para pelajar kita, either budak sekolah mahupun budak universiti yang mengharungi alam pengajian dengan semangat juang yang lebih tinggi dari KLCC. Sampai panjat pokok mahupun bukit demi sesuap line data untuk menuntut ilmu.

Belum lagi cerita UPSR dan SPM tangguh, dan budak universiti yang diperkotak-katikkan dengan puluhan arahan yang u-turn je manjang! Kalau aku dah KO ah, dengan internet aku pun lebih kurang sendu jugak.

***

Apa-apa pun, kita dah memasuki hari pertama Februari tahun 2021 tahun baharu. Walaupun kita tidak bermula dengan cantik, cerita banjir tiba-tiba dan Covid-19 yang dah masuk season 3 (gelombang ketiga) ala-ala sinetron Bawang Putih Bawang Merah sampai 100 episod,

Tapi kita masih selamat dan dijaga oleh Allah daripada kegilaan virus Covid-19. Aku sendiri pun punyalah cuak dengan virus ni sampai ada sekali masuk hospital sebab serangan anxiety. Entah bila aku start ada anxiety pun tak tahu. Rasa macam ada Covid-19, check-check takde. Harapnya terus kekal sihat walaupun badan semakin mengembang. Six pack pun dah tolak-tolak tinggal satu je.

Ramai yang hilang sumber pendapatan, tak kurang juga ada yang hilang keluarga. Belum lagi yang kehilangan nyawa dek virus gila ini!

Apa-apa pun, teruskan bersabar dan berdoa, itu paling penting. Patuhi SOP dengan semampu boleh, mask kalau boleh tukar jangan dok ulang-ulang pakai. Walaupun tak keluar rumah pun, tapi kalau mampu tukar. 

Paling penting, kesihatan mental kena jaga. Mungkin serangan anxiety aku ni berpunca sebab duduk rumah terlalu lama, sebab aku ingat aku mampu stay at home selamanya, tapi tetap takde yang mengalahkan menghirup udara segar di luar rumah.

Banyak kisah yang kurang enak sebab pandemik ni, macam kematian Adik Amir (Al-Fatihah: dibaca), scam yang berleluasa macamlah takde rezeki halal kat Malaysia ni, dan juga kebodohan artis dan influencer (yeye je influencer ke acah) yang masih tiada batasan.

***

Mengakhiri post pertama dan mungkin terakhir tahun 2021 (hahaha aku prepare awal-awal), sekali lagi aku nak ucapkan terima kasih kepada semua pembaca yang masih membaca, komen dan dok share kat orang lain tentang kewujudan blog terpaling sendu ini.

Jangan risau, aku tetap akan menulis di blog ni walaupun sekarang aku merupakan penulis separuh masa masa sendiri ikut mood di SalamWeb Today. Cuma bila ada post tu, engkorang faham-faham jela haha.

Tu group aku dah buat, medsos aku pun dah tepik kat header blog (siapa hack mak dia hijau), jadi kalau perlukan respon pantas kasi DM kat situ. Kalau engkorang dok komen sini, mungkin sama je dengan engkorang kirim burung merpati ataupun berkomunikasi dengan asap (rujuk Sains darjah 4, entah aku main balun je).

Stay safe ok? Doakan aku sebagaimana aku jua mendoakan korang semua. Semoga bala Allah ni akan diangkat sesuai dengan izin-Nya. Jaga diri, minum air banyak, patuhi SOP ok?

P/S: kalau aku dah kerja tetap, memang priority pertama aku nak kahwin haha. Penat LDR boh!

Comments

Popular Posts

Terima Kasih Followers