Kini, berjalanlah kau SENDIRI sehingga tiba!

Assalamualaikum wrh. wbt buat semua pembaca yang aku sayangi. Walaupun aku rasa memang dah terlambat tahap tak boleh nak bawa berbincang, namun di kesempatan ini aku ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin sepanjang blog ini berjalan dalam kekurangan di segala sudut (lebih-lebih lagi aku)!

Raya memang tersangat kelakar tahun ini. Bayangkanlah, selepas berbuka aku bersama ibu dan ayah duduk sekejap sambil aku cuba mengangkat isu perdebatan antara Raya hari Isnin atau Selasa. Ibu aku lagilah, dah separuh tangga rumah dah dia naik, nak pergi ambil air sembahyanglah kononnya.

Kebetulan radio yang ayah pasang sebab nak dengar azan berbuka masih lagi tak tutup, then tengah leka menyembang sekali "Dengan ini mengumumkan tarikh Hari Raya blah blah Isnin"! Pergh pakat berpishang kita malam tu. Dengan rumah macam apa tak kemas lagi hahaha. Mujur aku dah potong rambut awal, kalau tak emo aku Raya!

Untuk Raya kali ini, ia bercampur antara suka dan duka. Part suka ialah, alhamdulillah selepas dua tahun beraya Covid di rumah, lagi-lagi tanpa akak yang jauh di perantauan tak dapat balik, akhirnya lengkaplah korum kami! Setelah ootd di 1 Syawal, akhirnya dapatlah aku tukar gambar DP Whatsapp group family setelah tiga tahun baju Raya lama.

Part duka? Yang itu biarlah aku simpan dan siapa yang tahu tahulah. Yang pastinya, aku masih lagi beraya selaku seorang bujang di usia berbaki tiga tahun sebelum 30 tahun. Tak cukup dengan bujang, ditambah pula dengan status 'penanam anggur tegar' setelah aku berhenti kerja tiga bulan yang lalu. 

Mujur aku sambung Phd, rasa dia punya sakit di hati itu terkuranglah sikit. Kalau tak, aduh boleh kena anxiety hari-hari. Status sambung Phd ini jelah yang mengubat sedikit lara di hati. Korang yang membaca ini doakanlah aku agar diberikan kerja yang boleh aku buat karier, bukan kerja nyambil-nyambil macam yang aku dah buat sepanjang tiga tahun selepas aku grad Degree.

2 Syawal barulah kami sekeluarga gerak ke kampung. Malam sebelum itu aku agak susah nak tidur. Mungkin sebab antaranya aku fikir takut diberikan soalan-soalan cepumas lagi dahsyat dan klise, lagi-lagi bab kahwin. Yelah, sepupu-sepupu aku boleh dikatakan slow-slow off market. Yang dah memang off dari dulu diorang pakat on menambah anak-anak, sampaikan aku pun tak kenal mereka dan mereka lagilah tak kenal aku!

Nasib baiklah, soalan yang sama masih aku dapat saban tahun kalau pergi beraya rumah saudara. "Kau belajar lagi ke?" Itulah realiti aku, semenjak bermula tadika umur 5 tahun sampai sekarang tak pernah berhenti lagi di institusi. Time grad Diploma, aku tengah sambung Degree. Time grad Degree, aku tengah sambung Master. Time grad Master, panggilan Phd kirim salam.

Cuma alhamdulillah, rasanya pak dan mak saudara aku ini bukan korum ahli bawang. Bahkan ada di kalangan mereka yang berbangga dan mendoakan aku. Cuma diorang ada ayat tambahan (ala-ala khobar mahzuf dalam Bahasa Arab), di mana mereka sebut kat ibu dan ayah kalau kenduri anak-anak jangan lupa jemput. Aku senyum tawar je haha!

***

Dalam satu sudut, aku bersetuju bahawa media sosial kadang-kadang memang boleh meruntuh self-esteem kita. Lagi-lagi kita pada waktu itu tidak 'menjadi' macam kenalan dan rakan-rakan sekolah atau universiti kita. Lagi dan lagi bila umur kita pun dah semakin meningkat, sedangkan pencapaian apa pun menurun takat itu je dari dulu, dan sepatutnya dengan takat umur itu kita sepatutnya sudah ada 'something'.

Kalau kena usia sudah sampai 25 tahun, masa itulah korang bila buka medsos korang akan nampak semua kenalan dan rakan-rakan sekolah atau universiti dah kahwin berjemaah. Entah masa bila ada duit pun aku tak tahu. Then tahun demi tahun, korang akan nampak pula di medsos korang kenalan-kenalan itu dah beranak pinak.

Itu baru aku cerita pasal kahwin, aku tak cerita lagi soal kerjaya dan harta aset. Ada pula yang akan start post di medsos diorang, up gambar beli kereta la, rumah la, baru closing itu dan ini. Walaupun kebanyakan diorang ini geng-geng takaful, insurans, coway ke benda (boleh jadi sebagai marketing busines), tapi ia tetap sesuatu yang boleh mereka banggakan.

Dan kalau tak kena cara mata korang melihat 'kejayaan-kejayaan' ini, perlahan-lahan korang punya self-esteem boleh hancur perlahan-lahan. Mulalah datang rasa 'down', rasa tak berguna, putus asa dan lemah itu! Aku tak rasa personally rasa dengki dan hasad akan datang menyapa, aku lebih rasa perasaan 'down' itu lebih tinggi daripada rasa dengki dan hasad.

Macam, aku teringat ketika umur 18 tahun apabila masing-masing dah mula menjejakkan kaki ke menara gading, hampir setahun aku tak layan Facebook sebab bila buka je tengok kawan-kawan sekolah pakat up gambar diorang main salji. Yelah, hampir separuh daripada batch SPM aku yang fly belajar kat oversea. Setakat timur tengah tak payahlah cakap! Stress, orang pakat main salji kita main salji kat frezzer peti ais je :'(

***

Di Malaysia, kita memang dah terbiasa di mana seseorang itu akan punya status sesuai dengan umurnya. Contoh, kalau umur 7 hingga 12 sekolah rendah. 13 hingga 16 sekolah menengah. 17 tahun SPM. 18 hingga 20 biasanya STPM, STAM atau Diploma. 24 tahun biasanya dah habis Degree. Aku rasa, hampir majoriti daripada kita berstatus ikut umur-umur tersebut. Dan 'kita' di sini bermaksud, status tersebut dijalani secara beramai, dan kita ada komuniti atau batch sendiri.

Ha, bila masuk je 25 tahun, masa itu kita masing-masing sudah mula perlahan-lahan akan memiliki status yang berbeza-beza. Ah, tak payah tunggu 25 tahun, biasanya waktu nak grad Degree itu majoritinya dah ada status yang berbeza-beza. Ada yang dah kahwin, ada yang dah ada kerja, ada yang sambung belajar ke pasca siswazah (standard Master, kalau Phd terus itu luar biasa), ada yang dah ada anak pun ada!

Kemudian, tahun demi tahun kita masing-masing sudah pun mula berpisah dan berjalan di atas laluan yang berbeza. Ada yang dah mula kerja sana, kerja itu, kita pula dah kerja ini, ada yang dah kahwin, ada yang tambah anak, ada yang dah ada kereta, rumah, blah blah. Kira umur selepas 25 tahun, status tidak lagi sama bagi batch yang berumur 25 tahun.

Boleh jadi dalam kalangan kenalan dan rakan-rakan sekolah kita yang sebaya sudah pun berbeza langkah, dah berkerjaya dan berkeluarga, then, termasuklah dalam kalangan itu, ada di kalangan kita yang 'biasa-biasa', bahkan lebih teruk, belum ada apa-apa lagi!

Di usia yang lebih 25 tahun, belum ada kerja yang boleh dibuat karier, kerja yang tak sesuai dengan kursus universiti, ada yang berniaga di tepi jalan, drop ship, jual make up dan produk kesihatan, ada yang masih single belum ada jodoh, ada yang masih bercinta bertahun-tahun dari universiti (macam aku), ada yang clash dan dah cari baharu, dan macam-macam segala status yang kita rasakan 'biashe-biashe aje' tak macam kenalan dan rakan-rakan sekolah kita yang sebaya!

Saat itu, bila kita scroll Instagram dan Facebook, kesenduan mula datang menyinggah. Tengok kenalan dan rakan-rakan up gambar tunang, gambar kahwin, gambar pegang anak, gambar posing depan rumah, depan kereta, update story pasal kerja dll. Dan kesenduan itu perlahan-lahan, mula buatkan kita rasa lemah, dan kalau perlahan-lahan, akan buatkan kita mula mempersoalkan takdir dan rezeki-Nya,

"Kenapa aku begini Ya Allah! Tak macam kawan-kawanku yang lain?"

***

Allah S.W.T menjadikan pelbagai jenis bunga yang mekar mengikut terma dan syarat yang berbeza. Ada yang akan mekar di waktu siang, ada yang akan mekar di waktu malam, ada yang perlu disiram air, ada yang perlu baja, ada yang perlu ditanam di tanah, dan macam-macam lagi.

Pokoknya, selagimana terma dan syarat itu dicapai, bunganya akan mekar. Pokok bunga yang hanya akan mekar di waktu malam, tidak akan sesekali mekar di waktu siang. Pokok bunga yang mekar hanya pada bulan Jun setiap tahun contohnya, takkan mekar setiap bulan.

Begitu juga dengan kita manusia makhluk-Nya yang terbaik ini, juga ada terma dan syarat yang bernama takdir, telah ditetapkan sejak dari Arash-Nya di Luh Mahfuz lagi. Tatkala kita belum lahir di dunia ini pun, dah ditetapkan segala macam takdir kita iaitu jodohnya, ajalnya, rezekinya!

Kerana itulah, bermula 25 tahun kita tidak lagi berjalan sama macam kenalan dan rakan-rakan sesekolah dan seuniversiti kita. Sebab takdir kita berbeza-beza, dan sudah tentu tidak akan sama rezeki dan jodohnya.

Yang pastinya, ajal tetap akan sampai cuma cepat atau lambat.

Bermula 25 tahun, kita kena sedar bahawa kita tidak lagi watak-watak picisan yang dikongsi bersama rakan-rakan kenalan kita di dalam sebuah plot novel. Bermula 25 tahun, kita sudah pun menjadi watak utama dalam sebuah novel bibliografi yang berkisarkan kehidupan kita sendiri, yang menggunakan nama kita sebagai tajuk novel itu.

Jadi, persetankanlah apa yang sudah dicapai oleh rakan-rakan kenalan kita sebab itu ialah novel kehidupan mereka sendiri, di mana sudah tentu merekalah watak utamanya. Takkan kita pula yang bersibukkan mahu menjadi hero atau protagonis dalam novel rakan-rakan kenalan kita! 

Sehebat-hebat Sasuke dengan Susano dan Rinegannya, tetap tidak bertukar nama anime Naruto kepada Sasuke!

Jadi, jangan terlalu lemah dan 'down' dengan plot kehidupan kita yang mundur kerana novel dan filem itu punya plot, dan mungkin ia masih belum berkembang lagi sesuai dengan kehendak Pencipta kita itu. Mungkin, banyak peringkat yang masih belum kita sampai lagi sebelum plot itu mula berkembang, dan tiba akhirnya di peringkat yang best-best.

Kerana itulah, perjalanan tetap perlu diteruskan walaupun tidak punya apa-apa. Belum ada kerja? Teruskan scroll mana-mana post Facebook atau medsos yang ada peluang kerja kosong dan hantar resume walaupun beribu! Kerjalah apa pun walaupun part time atau tak kena bidang waktu belajar dulu.

Biarlah single daripada tergesa-gesa mencari pasangan hidup yang salah. Biarlah bercinta bertahun-tahun walaupun belum punya duit dan kemampuan untuk berkahwin, selagimana kesempatan itu digunakan untuk terus memahami, mengenali budi dan diri, dan berusaha untuk menghalalkan satu sama lain. 

Man sarro 'ala darbi wasol (pepatah Arab yang masyhur)! Siapa yang berjalan, pasti akan sampai! Berjalanlah dan terus berjalan, sampai kita tiba di destinasi kita, walaupun kita berseorangan. 

***

Mengakhiri post, sebenarnya tidak perlu tunggu 25 tahun untuk kita berjalan menuju ke destinasi kita walaupun kita berseorangan. Selagimana kita sedar hidup bukan untuk berbangga, melainkan mencapai keredhaan dan meraih keberkatan Allah S.W.T, kita pasti akan gembira dalam ketenangan!

Terus sendu dan mempersoalkan takdir, mengapa kita tidak 'sama' dengan kenalan-kenalan kita tidak akan mengubah nasib kita, jauh sekali nak 'sama' macam diorang. Semuanya perlu dimulakan dengan usaha, diteruskan dengan doa, dan diakhiri dengan tawakal kepada Allah S.W.T.

Jangan pernah kita lupa, bahawa sesungguhnya Allah S.W.T itu Maha Adil. Kalau semua orang ada GTR Skyline R34, siapa yang nak jual nasi lemak? Kalau kita semua pakat dah peform, tak jadilah dunia, itu dah syurga boskur! 

Lagi pun, kejayaan itu kan subjektif dan universal maknanya. Tiada kamus yang istilahkan umur 25 tahun itu sepatutnya dah kahwin, ada anak, ada kerja, rumah dan kereta! Itu tidak lain hanyalah adat yang kadang-kadang buat sedapkan hawa nafsu je semata-mata.

Teruskan berjalan, biar tak sama macam orang lain, tapi asalkan kita juga berjaya di akhirnya! Paling penting, teruskan bersemangat, gembirakan diri sendiri, dan jangan putus-putus berdoa pada-Nya. Jaga self-esteem kita sendiri, itu paling penting.

Ingat, hidup bukan berbangga tetapi menjadi bangga!

Kept calm and steady boskur, bukan soal cepat tapi soal tepat :)

Comments

Popular Posts

Terima Kasih Followers