Menghilang bukan bermakna pergi selamanya (Edisi COME BACK 2024)!
Assalamualaikum wrh. wbt. buat semua pembaca yang aku sayangi.
Aku mulakan post pertama untuk tahun 2024 (setelah sekian lama haha) dengan tiga buah soalan dan jawapan (yang aku tanya dan aku jawab balik sendiri):
(1) Soalan pertama: "Ada apa dengan pertukaran baharu tatarias blog ini dan juga header baharu? Ada simbolik apa-apa ke dengan blog atau dengan kehidupan aku sekarang? Malah dilihat kembali menggunakan warna merah jambu!"
Jawapan: Agak panjang ya soalan pertama ni. Pertamanya, baru-baru ni blog aku (terutamanya si penulis) mengalami fasa-fasa 'gelap', 'emo' dan 'sendu', di mana aku ubah hampir 90% tatarias blog, macam-macam aku buang termasuklah di Facebook rasmi blog ni. Malas nak cerita banyak, boleh rujuk episod-episod gelap tersebut yang aku dah pernah tulis di post ini.
Dipendekkan cerita, setelah suatu hari aku bersama tunang (cerita untuk next post haha) duduk menikmati secangkir kopi yang lazat di Jejak Buku & Kopi Bangi, di mana ia menjadi sejarah untuk beberapa peristiwa iaitu aku kembali membaca novel setelah bertahun-tahun aku meninggalkan pembacaan kesusasteraan.
Dalam masa hampir 4 jam, aku berjaya menghabiskan novel Ranjau Sepanjang Zaman oleh sasterawan negara iaitu Shanon Ahmad (aku juga meletakkan beberapa pandangan dan idea Allahyarham dalam tesis PhD dan beberapa penulisan artikel), dan menyaksikan peristiwa aku mengalir air mata setelah sekian lama tidak menangis kerana menikmati karya sastera.
Kemudian baru-baru ni aku pulang ke rumah, dan terus mencari novel Ustaz karya sasterawan negara iaitu S. Othman Kelantan (juga Al-Fatihah untuk Allahyarham, di mana beliau merupakan rujukan utama dalam kajian PhD aku), di mana bertaburan tempat di Seremban aku duduk untuk membaca buku ini, malahan hampir mengabaikan phone dan game Pubg, yang kini tinggal beberapa muka surat lagi untuk aku habiskan.
2 karya sastera hebat dari 2 sasterawan negara yang hebat ini akhirnya membuka kembali pintu yang telah lama tertutup iaitu pintu menulis dan meluahkan segala macam isi hati ke dalam blog ini, dan setelah bergelut dengan hangat-hangat tahi ayam, aku menghabiskan beberapa jam di office (bukan mengular) untuk cuba mengedit kembali blog ini menjadi sebuah blog yang 'proper' setelah aku sendiri 'gelapkan' ia.
Setelah beberapa jam aku bergelut untuk edit kembali tatarias blog ni, di mana aku dipaksa untuk 'recall' dan 'refresh' beberapa ilmu edit blog yang dah lama aku tinggalkan (yang membawa kepada penyesalan aku terhadap kebodohan aku mengikut hawa nafsu ke'emo'an haha), akhirnya aku mengalah dan "lantaklah aku malas" haha.
Maka itulah yang membawa kepada header entah kuih dan buah apa (nampak macam buah tin) yang aku malas nak ubah, juga dengan warna merah jambu yang entah kenapa, aku melihat ketenangan di situ. Mungkin faktor kerana aku telah terbiasa melihat warna ini yang begitu digemari tunang, sampaikan akhirnya menjadi sebati dan aku kembali menyukai warna ini #pinkislife .
So, buat masa ni inilah tatarias blog yang terbaharu, dan aku harapkan agar korang semua pembaca kembali menikmati penulisan-penulisan aku baik yang lama mahupun yang bakal-bakal nanti (harapan palsukah?). Kalau aku ada masa dan punya ilmu baharu, aku akan edit lagi tatarias blog ni, atleast ia tidak lagi mengalami fasa 'emo' yang sendu dan hitam putih gitu!
(2) Soalan kedua: "Mengapa hiatus yang begitu lama?"
Jawapan: Jawapan paling jujur sudah tentu kerana aku malas. Tapi kemalasan yang aku kini rasakan sebagai seorang dewasa bukan lagi malas yang 100% malas. Malas sebagai seorang yang dewasa ini telah pun bercampur pekat dengan 'burnout' yang dahsyat, penat bekerja, deretan berita-berita yang kurang enak, kembali minat kepada game Pubg, dan macam-macam perkara lagi.
Jadi, jangankan menulis, laman web Blogger ni sendiri pun aku tak pernah buka sekian lama. Malahan blog Siapamahubahagia pun aku tak pernah buka di phone atau di laptop. Punyalah dahsyat dia punya hiatus!
Namun begitu, aku sesekali tidak pernah ada rasa untuk 'delete' blog ni. Sekurang-kurangnya walaupun takde post baharu, tapi ada deretan post-post lama yang punya manfaat walaupun 'tsaqofah' atau roh diri itu sudah berbeza, kerana kehidupan yang semakin ke hadapan membawa kepada pembaharuan ideologi dan falsafah diri.
Moga-moga aku tidak akan hiatus, malah cuba untuk kembangkan blog ini sebagai sebuah buku. Itu semestinya cita-cita lama yang aku pendam, dan aku perlu jelmakan kembali walaupun beberapa penerbitan buku 'reject' cadangan buku aku ni.
But hey! Kalau aku tengok ada beberapa buku yang boleh terbit dengan tulis tiga baris, takkanlah aku tak boleh kan?
Mohon semua doakan aku.
(3) Soalan terakhir: "Apa update aku yang latest?"
Jawapan: Aku tak boleh nak cerita panjang, namun cukup untuk aku ringkaskan bahawa 3P yang aku inginkan untuk tahun 2024 ini, perlahan-lahan mula Allah S.W.T makbulkan dengan izin-Nya.
Selepas masuk sahaja birthday aku tahun ni (di mana ini umur terakhir sebagai 20-an), aku berdoa dalam-dalam di sanubari aku, agar aku dipermudahkan untuk 3P, iaitu PhD, Perkahwinan dan Pekerjaan.
Alhamdulillah, aku baru sahaja menghantar naskhah-naskhah tesis PhD aku yang panjang 600 lebih muka. Walaupun kini ada beberapa masalah teknikal, termasuklah aku tak dapat nak bergraduasi tahun ni kerana lambat hantar (faktor proof read yang tiba-tiba sakit lalu lambat berbulan edit tesis aku), namun sekurang-kurangnya aku kini menunggu untuk Viva Voce yang pertama.
Harapnya aku mampu untuk dapatkan senat tahun ni walaupun tiada rezeki untuk bergraduasi tahun ni.
Pasal perkahwinan, cukup untuk aku katakan pada hari ini, syukur aku hanya menghitung hari. Cerita itu akan aku tulis khas, untuk tatapan korang semua yang setia mengikuti jalan cerita cinta aku semenjak tahun 2012 lagi, dari sekolah menengah, universiti, sehinggalah sekarang.
Pasal pekerjaan, aku masih lagi seorang guru dan pensyarah di institusi swasta di Klang. Cuma aku berharap agar Allah S.W.T membantu aku memberikan kerja yang lebih baik lagi (terutamanya kerajaan), agar aku dapat berikan kehidupan yang terbaik untuk bakal isteri dan keluarga kecil baharu aku nanti, amin ya Allah!
***
Mengakhiri post pertama 2024 di bulan Ogos, terima kasih aku ucapkan kepada mana-mana pembaca yang masih sentiasa membaca blog aku ini. Aku tidak tahu adakah wujud pembaca yang ternanti-nanti bilakah aku akan kembali menulis, atau adakah aku ni mati ke apa kan haha.
Namun, dari dulu aku tekankan bahawa blog ini curahan jiwa yang terbuku dalam sanubari aku. Segala yang aku kongsikan itu semuanya nyata dan sedikit sebanyak aku berkongsi, walaupun aku mula menulis sebagai bocah, dan kini aku seorang dewasa yang bakal memiliki keluarga sendiri.
Walaupun aku menghilang sekian lama, tapi itu tidak bermakna aku pergi dan memilih untuk meninggalkan blog ni. Walaupun macam-macam tatarias, poster header, theme yang aku tukar godek-godek itu ini, namun kenangan-kenangan peristiwa yang menjadi sandaran perkongsian aku dalam post-post tu harganya tidak boleh dijual beli.
Aku harap, aku mampu merealisasikan impian untuk tukarkan blog ini kepada sebuah buku. In sha Allah seiring dengan waktu, aku akan cuba sedaya boleh untuk realisasikan.
Btw, dalam blog ini aku ada letakkan beberapa link terutamanya TikTok, di mana aku fokuskan satu lagi watak aku sebagai pengkritik filem, terutamanya filem seram Islam. Walaupun aku akui ia memang boring sebab lama sampai maksimum 10 minit dan ada part-part, tapi aku harap ia mampu menjadi perkongsian terutamanya aku yang bakal menjadi ahli akademik (walaupun tak tahu bila).
Terima kasih sekali lagi atas sokongan korang semua dari dulu sehinggalah sekarang.
Sebagaimana aku mendoakan korang semua, maka aku pohon doakanlah jua aku.
Jumpa di next post (harap tak sembang) ok?
Comments
Post a Comment