Kenapa begitu senang menjadi 'jahat'?
Assalamualaikum wrh. wbt. buat semua pembaca yang aku sayangi. Doa aku agar korang semua berada dalam kesihatan yang baik, lagi-lagi dengan keadaan cuaca yang senantiasa berubah kejap panas kejap hujan ni.
Aku sendiri pun dalam fasa-fasa nak pulih daripada sakit. Alhamdulillah aku baru sahaja sembuh daripada demam, tapi batuk yang kuat masih tak hilang lagi. Ubat batuk yang aku dapat daripada klinik kesihatan - sudah tentulah free dengan harga RM1 - sudah lama habis, tapi batuknya masih belum habis.
Kong-kong aku batuk, sampaikan bergema satu pejabat - bilik guru - dan bilik sewa aku. Maaflah kepada jiran bilik sewa aku kiri dan kanan, mungkin terganggu dengan kong-kong batuk aku haha.
Alah, kalau korang kiri kanan memekak call kuat-kuat tak kisah pukul dua tiga pagi ke, atau dengar TikTok volume macam korang duduk rumah sendiri, atau hisap rokok ke apa sampai sesak nafas aku dalam bilik tanpa kira aku ni demam ke tak,
Aku pun tak kisah - dan masih berdiam diri -, alah korang rilek jela wahai jiran kiri kanan!
Wah wah, baru bagi salam dah memetir ah penulis blog ni! Nampak sangat simptom nak masuk usia 30-an hahahanjing!
Dah malas ah nak muqadimah panjang panjang macam dulu, terus kepada topik merangkap post kedua tahun 2024!
***
Setiap pagi bila aku pergi kerja, aku akan melihat pelbagai kejahatan yang berlaku terutamanya di atas jalan raya melibat beberapa pemandu kereta dan penunggang motorsikal yang bebal bengap mementingkan diri sendiri tak punya empati dan merasakan dunia ini hanya berputar di sekeliling dia,
Dan semua orang perlu akur terhadap 'kejahatan' yang dia lakukan bagi mencapai apa yang dia mahu, walaupun dengan memijak apatah lagi menafikan hak yang patut orang lain dapat.
Setiap pagi, hampir lima hari aku menyaksikan 'kejahatan' ini dilakukan! Untuk hampir dua tahun!
Kalau ada simpang tiga, akan ada satu sebuah pemandu kereta yang bodoh akan menyusup belok ke kiri dan kemudian dia pusing lalu terus, walaupun berderet-deret kereta - termasuklah aku - yang setia menunggu lampu merah bertukar hijau.
Begitu juga dengan beberapa penunggang motorsikal yang macam tiada hati dan perasaan, selamba badak je meneruskan perjalanan melanggar lampu merah, seakan-akan berderet-deret kereta - termasuklah aku yang setia - menunggu lampu merah bertukar hijau ni, macam tidak ada 'niat' untuk melanggar lampu merah di pagi hari mengejar waktu bekerja atau hantar anak sekolah!
Simpang untuk aku ke kanan, kerana untuk memasuki setengah daripada perjalanan aku untuk sampai ke tempat kerja, adalah simpang yang hampir dua tahun menjadi saksi pahala-pahala aku ditarik dan diganti dengan dosa-dosa memaki hamun mencarut dan mendoakan kecelakaan pemandu kereta yang berani potong queue aku yang setia menunggu.
Ada tiga barisan, dua barisan - atau 'line' - yang untuk perjalanan yang terus, yang seingat dan setahu aku lorong kedua itu tiada penanda arah berwarna putih yang menunjukkan ia ialah lorong yang boleh terus atau belok ke kanan - atau simpang khusus lorong ketiga - untuk belok ke kanan.
Hampir lima hari aku yang setia dua tahun kekal di lorong ketiga - tanpa ada satu pun niat untuk masuk ke lorong kedua, apatah lagi tersalah masuk atau 'acah' tersalah masuk -, tapi selalu sahaja ada pemandu kereta yang bodoh lagi bengap akan potong queue aku di situ, sehingga kadang-kadang lebih sudu dari kuah dan aku pula yang terpaksa mengalah!
Pergh, kemarahan itu betul-betul sangat meningkatkan darah aku dalam kesejukan pagi, sampai hon kereta kancil aku - kereta pertama ayah aku - sudah tidak mampu lagi menterjemahkan amarah aku ini!
Kemudian bila hampir lima ke sepuluh minit untuk aku tiba di tempat kerja, aku terpaksa berhadapan dengan beberapa pemandu kereta yang tiba-tiba menjadi bodoh dan tertinggal otaknya di rumah, yang tidak tahu di manakah lorong yang mahu dia kekal, lalu bergerak lambat dan membuatkan aku terlambat ke kerja,
Walaupun sebenarnya kalaulah pemandu tersebut otaknya kembali berfungsi dengan suis-suis kebijakan dan empati itu dipasang elok ke tempatnya, maka aku akan sempat 'scan' - tempat kerja aku tak guna punch card atau thumb print - dan aku tidak akan terlambat walaupun seminit!
Begitulah juanya jika aku bergerak di atas jalan raya Klang untuk kembali pulang ke rumah - atau bilik sewa lebih tepat -, aku akan dipaksa menghadapi kebodohan-kebodohan pemandu kereta dan penunggang motorsikal yang musibat,
Yang memperlakukan jalan raya itu seolah-olah diharta pusakakan oleh bapa mereka sendiri!
Hon kereta kancil aku pun sudah tidak mampu lagi menahan penderaan - atau KDRT (Keganasan Dalam kebodohan jalan Raya oleh si bengap bebal bangang dan Tiada empati -, terdiam dan hanya mampu membiarkan mulut aku yang menjadi bunyi honnya.
***
'Rumahku Syurgaku'.
Bertahun-tahun aku berpegang kepada falsafah ini sebagai seorang lelaki yang sudah pun bebas dari perfectionist - rujuk post-post lama aku -, dengan memastikan bilik aku sentiasa dalam keadaan yang bersih, teratur dan bukan macam tempat kandang khinzir atau sarang tikus membiak beranak.
Selambat-lambat mana pun aku ke tempat kerja, aku tetap akan memastikan aku akan menegangkan cadar katil, baju-baju kotor diletakkan di tempat sepatutnya - aku campak ke dalam baldi -, dan sampah sarap telah pun aku buang.
Itu bare minimum aku dalam usaha bertahun-tahun berpegang kepada falsafah baiti jannati tadi.
Kenapa? Sebab dunia 'sebenar' yang aku hadapi berjam-jam di luar - iaitu dulu ketika kuliah enam tahun di menara gading - dan juga bekerja hampir lima enam tahun di empat buah tempat kerja, penuh dengan cabaran dan karenah manusia-manusia yang akan membuatkan kau umpama seekor ikan yang lemas terkeluar daripada akuariumnya,
Dan bilik aku yang penuh kemas dan rapi itulah akuariumnya.
Tapi falsafah ini tidak terpakai lagi apabila aku duduk di bilik sewa - cerita untuk kemudian hari -. Hampir dua tahun dengan dua premis yang berbeza di bawah pemilik yang sama, aku duduk di satu ruang berkongsi di bawah satu bumbung dengan sembilan atau sepuluh ruang yang berbeza.
Yang penuh dengan penghuni-penghuni yang 'rasa' mereka ini tinggal di rumah yang sepertinya mereka tinggal sendiri berseorangan, dan bebas untuk bersifat dengan diri sendiri 'Be Yourself' dengan berpegang kepada konsep 'Fxxk Others'.
Aku nak hisap rokok berkotak-kotak sampai asap rokok masuk bilik orang lain yang mungkin bukan perokok atau mungkin alah alergi atau menganggu ketenteraman orang lain, itu kau punya pasal! Siapa suruh tak hisap rokok!
Aku nak otp call family yang jauh di perantauan atau video call dengan bercakap buka volume kuat-kuat dan kau pun bercakap macamlah semua ahli keluarga kau tu pekak, itu pun kau punya pasal! Suka hati akulah nak call keluarga aku pukul berapa sekali pun, walaupun aku - yakni penulis - nak tidur kerana esok bekerja atau berehat kerana sakit demam -.
Itu aku tak cerita lagi dengan beberapa penghuni a.k.a jiran-jiran aku yang bengap ni pasang video kuat-kuat tengok TikTok Facebook dan lain-lain dengan sekuat volume yang boleh macam ramainya yang menonton, padahal dia tak sedar - atau buat-buat tak sedar - dengan 'nipis'nya jenis kayu yang memisahkan setiap penghuni sampaikan kau kentut pun boleh dengar,
Apatah lagi kau berdengkur kong-kong!
Lagilah dengan perangai perokok-perokok yang mungkin akan mati kalau sesaat benda-benda haram lagi memusnahkan tubuh badan itu tidak dia masukkan ke dalam badannya, sampaikan nak mandi pun hisap rokok, apatah lagi berak dan lain-lain kerja lagi dalam bilik air tu,
Sampaikan aku nak berak jadi tak senang, sampaikan aku mandi bersabun dengan sewangi-wangi syampu pun aku terpaksa menghidu bau-bau rokok yang murah lagi tengik baunya menusuk hidung,
Dan paling menyirap bila bau-bau itu melekat di badan, tuala dan pakaian aku seakan-akan aku pulak yang merokok!
Belum lagi aku cerita peralatan-peralatan tandas yang rosak macam plastik duduk tandas yang terkopak, paip-paip atau kepala shower yang kau cabut sebab tak boleh mandi air hujan, sinki yang terkopak, hilang itu dan ini, sampah-sampah yang kau biarkan tak reti nak buang,
Ai, yang duduk di bilik sewa bersama aku ni agaknya spesisi Yakjuj Makjuj yang hidupnya merosakkan di mana sahaja inci bumi mereka melangkah!
Apatah lagi jua pongkas atau penyodok yang diorang jadikan tong sampah, bertimbun-timbun sampah termasuklah sisa-sisa makanan yang akhirinya menjadi tempat restoran viral bagi warga nitizen tikus lipas dan ulat sampah.
Sampaikan aku terfikir, kenapa bengapnya pekat tidak bercampur langsung dengan air kebijakan dan air empati tanda orang berakal dan bertamadun?
***
Sedekad lebih aku menghadapi 'kejahatan-kejahatan' ini. Sama ada ia datang daripada orang-orang yang aku kenali seperti rakan sekuliah atau sebatch, bekas kekasih, rakan sekerja atau 'superior' di tempat kerja,
Sampailah stranger atau orang-orang yang tidak aku kenali langsung, tapi 'kejahatan'nya aku yang merasai umpama anak panah sesat yang ditembak bullseye pada sasarannya.
Lalu timbul persoalan di benak fikiran aku, iaitu kenapa begitu senang menjadi 'jahat'?
Kenapa aku katakan 'jahat'? Kerana 'kejahatan' itu menganggu aku. Merosakkan ketenteraman aku. Mengubah landskap yang baik ketika mana ia sepatutnya kekal begitu, tapi semua manusia bedebah ini - sama ada aku kenal atau tidak - membuat keputusan untuk menjadi manusia paling bajingan dan menjajah aku,
Ketika mana aku berusaha untuk menjadi orang yang baik. Aku sedar aku bukan orang yang baik atau belum cukup baik lagi, tapi sekurang-kurangnya aku menahan diri daripada menjadi penjajah yang menjajah ketenteraman dan 'ruang peribadi' orang lain.
Itulah perkara yang betul-betul membuat aku amarah dan cukup geram, walaupun aku masih lagi mampu untuk berdiri di atas pegangan dan prinsip aku, dan tidak membuatkan aku pilih untuk menjadi bajingan seperti mereka.
***
Demi Allah yang maha mengetahui segalanya pasal diri aku, aku yakin Dia mengetahui bagaimana aku berusaha untuk menjadi manusia yang menghormati orang lain.
Walaupun aku disakiti dari segala sudut - atau mungkinkah aku ini terlalu lembut, lemah dan lembik, atau syok sendiri perasan bagus ke apa wallahualam -.
Ketika di jalan raya, aku berusaha menghormati rakan-rakan pemandu dan penunggang yang beratur menunggu lampu merah bertukar hijau.
Setelah berada di jalan yang sama hampir dua tahun, aku dah siap-siap berada di lorong yang sepatutnya agar aku tidak 'dianggap' potong barisan atau pentingkan diri sendiri.
Malah kadang-kadang aku sudah letih menjadi diri sendiri yang berpijak di atas prinsip sendiri, lalu aku biarkan sahaja si penjajah-penjajah ini memotong hak aku, tanpa aku bunyikan sebarang hon atau memecut laju agar ruang aku tidak diambil.
Aku sudah lali dan malas!
Sama juga ketika aku di bilik, kalau aku merasakan volume yang aku buka ketika tengok video atau filem itu aku rasakan terlalu kuat, aku berusaha untuk mendengar dengan kadar yang paling rendah sehingga semut pun boleh dengar,
Atau aku cuba untuk bercakap dengan kadar yang terpaling rendah ketika aku menelefon, begitu juga aku menggunakan tandas sebaik mungkin dan cuba untuk siram sisa taik ketika tiada air, bahkan aku juga berusaha untuk tidak kencing dan berak di tandas ketika tiada air,
Walaupun majoriti 'jiran-jiran' aku bukannya kira, dan biarkan sahaja tandas itu hancing apatah lagi berbau taik, tanpa ada rasa 'common sense' bila tiada air untuk menyiramnya.
Malah akhirnya aku menjadi lali dengan bunyi-bunyi kuat gelak ketawa bunyi video dengkuran dan lain-lain, kerana ia hanya membuatkan aku menjadi lebih sakit, untuk sebab-sebab yang tidak dapat aku mengubahnya.
***
Lima enam tahun di empat tempat kerja yang berbeza, aku telah menghadapi pelbagai 'kejahatan' yang datang daripada ketidak professionalan baik rakan sekerja atau 'superior', dengan rasa bajet bagus atau aku sahaja yang betul.
Namun kerana atas dasar ukhuwah apatah professionalisme aku, aku cuba untuk menahan amarah dan kegeraman yang bersarang di gua hati aku ni. Tetap menggunakan nada suara yang terbaik walaupun jelas menggigil kerana menahan kemarahan yang boleh meletus kalau tidak kena caranya.
Itu belum termasuk lagi ratusan 'maaf' yang aku pinta walaupun aku bukanlah selayaknya untuk meminta maaf, kerana aku selayaknya untuk berada di posisi untuk memohon kemaafan,
Apatah lagi mereka-mereka yang mencemari tahun-tahun aku di menara gading, walaupun aku betul-betul bersyukur aku masih mampu untuk menoktahkan tahun-tahun itu dengan keputusan yang cemerlang,
Di samping mengurniakan aku sosok bidadari yang menjadi bintang terang di sebalik kegelapan yang penuh kehitaman sepanjang aku di kelas dan dalam kumpulan.
Allah Maha Kaya!
Sampai sekarang pun, aku masih lagi tidak menerima apa-apa permohonan maaf daripada mereka-mereka yang berhati batu dan penuh egois, walaupun semuanya dah bekerja dan dah berkahwin pun.
Lantak kaulah!
***
Mengakhiri post, mungkin berhadapan dengan orang-orang 'jahat' ialah syarat menjadi orang dewasa yang memasuki alam kedewasaan.
Malahan, mungkin terpaksa untuk diam yang semestinya tanda lali dan malas nak fikir apa-apa itu terpaksa orang dewasa lakukan, bahkan terpaksa membiarkan ruang peribadi dan hati nurani dijajah oleh manusia-manusia yang hanya mementingkan diri mereka sendiri.
Namun, aku masih bersyukur kepada Allah S.W.T kerana aku masih lagi berpegang dengan prinsip untuk menjadi orang baik dan tidak menjajah ketenteraman orang lain,
Dan aku berharap agar aku kekal begitu selama-lamanya,
Dan aku juga berharap agar manusia-manusia bajingan ini dijauhkan daripada aku, kerana aku takut aku akan meletus jua suatu hari nanti jika ditekan terus-menerus setiap waktu dan hari.
Oleh itu Ya Allah, dengan segala usaha aku dalam menjadi insan yang baik - sekurang-kurangnya tidak menyakiti orang-orang lain -, maka kurniakanlah aku segala rezeki agar aku bisa menjauhi mereka semua.
Dan wahai semua pembaca yang aku sayangi,
Jangan sesekali menjadi penjajah yang menjajah ketenteraman orang lain.
Jangan berbuat jahat dan penuhkanlah hidup kalian dengan rasa empati seperti duduk di kasut mereka.
Kerana dunia ini bulat dan kifarah Allah S.W.T itu pasti akan datang sebagai pembalasan atas tiap-tiap 'kejahatan' yang dilakukan.
Cuma hanya menunggu masa yang sesuai, yang pastinya sudah terlambat untuk kalian menyedari bahawa perbuatan 'jahat' kalian itu,
Telah merampas senyum yang dahulunya pernah menghiasi bibir mangsa 'kejahatan'mu.
Comments
Post a Comment