Selamat datang tahun 2025: Umur baharu dan kehidupan baharu

Assalamualaikum wrh. wbt buat semua pembaca yang aku sangat sayangi. Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Ilahi, kita semua berjaya memasuki tahun baharu 2025 yang sudah pun bergerak 13 hari ke hadapan.

Maka tahniah untuk kita semua kerana berjaya mengharungi tahun 2024 dengan sehidup-hidupnya. Baik atau tidak, penuh suka atau duka, hakikatnya kita tetap berjaya hidup - masih diberi nafas oleh Allah S.W.T - sepanjang tahun 2024 dan diberi peluang untuk masuk ke tahun baharu 2025 ini.

Alhamdulillah, aku akhirnya menemui 'rasa' dalam kelapangan yang aku jumpai tiba-tiba, untuk aku 'update' post pertama untuk tahun baharu ini.

Tahun 2024 bukanlah tahun yang aku cukup berpuas hati. Bila masuknya hari jadi aku yang ke-29 tahun awal tahun lepas, aku memasang doa yang tinggi agar aku boleh mencapai 3 P, iaitu PhD, Pekerjaan dan Perkahwinan dalam tahun 2024.

PhD aku mulanya nampak macam berjalan dengan baik pada awal tahun, sehinggalah bila orang yang aku upah untuk me'proof read'kan thesis aku yang berjilid hampir 600 muka surat ditimpa sakit bahu - katanyalah -, dan menyebabkan sepatutnya aku boleh dapatkan thesis aku sebelum Raya Aidilfitri akhir dianjak beberapa bulan lagi.

Ditambah lagi dengan masalah artikel Scopus atau WOS yang masih belum dapat aku selesaikan padahal nak satu je, ini semua membuatkan PhD aku (sampai hari ini) masih tidak dapat nampak tanda-tanda positif melainkan hanya meruntuhkan semangat aku namun tidak harapan aku kepada Allah S.W.T.

Dan akhirnya, aku hanya membuang duit untuk menyambung semester sedangkan thesis telah disiap dicetak dan di'binding', umpama bayar lesen hanya untuk hidupkan sahaja walaupun tak memandu.

P yang kedua iaitu pekerjaan, ini lagi dipenuhi dengan harapan dan juga edisi semangat yang keretakan. Aku taknak ulas panjang pasal pekerjaan, namun cukuplah korang semua doakan aku agar dikurniakan pekerjaan yang betul-betul layak dengan kemahiran dan kelayakan akademik aku.

Namun segala puji bagi Allah S.W.T, dalam mana kedua-dua P ini tidak nampak bayangnya, Allah S.W.T tunaikan P yang ketiga iaitu perkahwinan, terus menjadikan tahun 2024 yang penuh dengan kesyukuran walaupun aku tidak berpuas hati dengan kedua-dua P tadi. Dan untuk itu, cukuplah aku katakan tahun 2024 ini penuh dengan syukur dan rahmat Allah S.W.T.

Tidak aku sangka usia perhubungan aku dan isteri (sebelum kami berkahwin) yang telah pun mencecah sembilan tahun ini, akhirnya dapat kami letakkan 'ending' yang bahagia sebagaimana doa-doa yang tidak pernah putus aku pohon kepada-Nya.

Mana-mana pembaca yang setia membaca blog aku akan melihat betapa pelbagai siri-siri kekecewaan dalam percintaan telah aku hadapi, dan kini aku telah pun menjumpai cinta yang sejati, dan dapat aku tukarkan ia menjadi ibadat sepanjang hayat!

Terima kasih semua kerana setia menjadi pembaca dalam rehlah cinta kehidupan aku, dan juga untuk doa-doa kalian, terima kasih. Kini penulis Siapa Mahu Bahagia kini telah bergelar seorang suami dalam kehidupan cinta yang bahagia.

***

Di penghujung tahun 2024, isteri yang dicintai dok 'bahan-bahan' aku katanya aku sudah menghitung hari tua. Sebab beberapa hari dalam awal 2025 nanti, aku sudah pun masuk ke 30-series. Walau bagaimana aku bergelak ketawa kena 'bahan' dengan isteri sendiri, tetapi aku tetap tidak boleh menafikan yang aku bakal tiba di umur 30 tahun, bukanlah dua puluh apatah lagi berbelas.

Dalam sekitar pukul 11 malam lebih (pada hari sebelum hari jadi aku), aku tiba-tiba rasa penat sebab mungkin memandu jauh ulang-alik mengambil isteri dari tempat kerja dan ke rumah. Maka tanpa disedari aku terlelap haha.

Aku terjaga itupun isteri yang kejutkan di sebelah, dengan 'wish' aku selaku insan pertama yang mengucapkan Selamat Hari Jadi yang ke-30 (yang tiga puluh tu dia tak tinggal ya), dan memberikan aku kucupan yang hangat di pipi (dah halal ya), terus menyedarkan yang aku hampir-hampir terlelap pada pukul 12 malam pada hari jadi sendiri haha.

Aku telah mematikan semua notification di media sosial, terutamanya di Facebook mengenai tarikh lahir aku yang sebenar. Jadi, sehingga ke akhir pukul 12 malam hari jadi aku, hanya isteri dan keluarga aku sahaja yang ucapkan hari jadi kepada aku.

Esoknya, aku dan isteri pergi makan malam, dan sambil itu aku nak ambil gambar sebagai modal nak upload kat Instagram. Barulah pada haritu, aku menerima beberapa ucapan hari jadi sama ada komen di 'post' Instagram tadi atau ucapan personal, seakan-akan mereka ingat hari jadi aku adalah pada hari itu.

Dan di situlah aku sedar, bahawa seiring peningkatan usia 'circle' kawan jadi semakin kecil, dan 'circle' yang kita ada kini ialah keluarga kecil, iaitu isteri dan anak-anak kita nanti. Dan buat masa ini, kami berdua sahaja menikmati 'circle' bahagia ini.

***

Alhamdulillah, aku mulakan tahun baharu 2025 dengan umur 30 tahun yang baharu dengan posisi baharu sebagai suami. Aku kira, kehidupan baharu ini betul-betul berbeza dengan dengan baki kehidupan 29 tahun aku yang dahulu.

Isu kewangan sudah tentu isu yang sentiasa menggelisahkan kami berdua, terutamanya aku sebagai suami. Jika dulu duit aku ni hanya akan bergerak kalau keluar 'dating' atau ke mana-mana, kini beberapa komitmen penting telah aku tambah dalam akaun aku antaranya ialah rumah sewa.

Namun, nak dibandingkan melihat muka isteri yang akan tersenyum bahagia bila balik ke rumah kami, dan juga aku yang penuh menikmati aura-aura positif di rumah kami, selepas membayar sewa rasa gelisah itu aku biarkan dia terpadam perlahan-lahan.

Untuk umur 30 tahun ini aku berharap aku lebih matang dan kuat kukuh emosi, apatah lagi sebagai suami dalam memimpin keluarga kecil aku ni. Aku juga berharap aku lebih sabar dalam menahan kemarahan di mana-mana jua tempat, dan aku lebih empati dan tinggi nilai kemanusiaan.

Baki-baki hari 2025 masih lagi terlalu panjang dengan baru hanya 13 hari ia berlalu. Dan untuk itu aku tetap menadah tangan berdoa agar Allah permudahkan aku untuk mencapai lagi kedua-dua P itu, agar aku boleh memberikan kehidupan yang terbaik untuk isteri aku yang telah menjadi tulang belakang aku dalam hampir sedekad ini.

Terima kasih ya Allah kerana mengkabulkan doaku, dapat bersatu dengan isteri yang dicintai hampir sedekad dan selamanya dalam setiap saat.

Moga-moga tahun 2025 ini tersimpan terlalu banyak perkara yang Allah S.W.T makbulkan, 

Bagi doa-doa kita ketika mana kita tetap menadah tangan dalam deretan air mata bertahun-tahun.

Amin ya Rabbal 'Alamin.

Tutup buku 2024 kita buka buku baharu 2025.

Terus kuat dan hidup cekal dalam kehidupan, ok?

Comments

Popular Posts

Terima Kasih Followers