Sedekad bercinta: Dari rakan sepersatuan ke isteri tercinta

Assalamualaikum wrh. wbt buat semua pembaca yang aku sayangi. Alhamdulillah syukur akhirnya kita telah pun memasuki bulan yang kedua dalam tahun baharu 2025, dan kini menghitung hari kurang daripada 15 hari lagi untuk menyambut Ramadhan Al-Mubarak.

Saban tahun, bulan Februari ialah bulan yang sentiasa aku nantikan. Hari yang ketujuh belas dalam bulan ini merupakan hari ulang tahun perkenalan aku dan isteri. Sejujurnya, aku sendiri tidak ingat se'detail' isteri aku, bilakah 'the exact day' kami berdua berkenalan.

Tapi macam biasalah orang perempuan, dia lebih ingat perkara yang berlaku sepuluh tahun daripada apa yang berlaku sepuluh minit tadi haha. Dan bermula dari situlah, kami berdua menyambut hari ulang tahun perkenalan kami setiap 17 Februari, dan 'monthsary' setiap hari yang ketujuh belas setiap bulan tanpa gagal, sehinggalah ke hari ini.

Hampir tiga belas tahun aku menulis di blog ini (walaupun jumlah post semakin kurang saban tahun haha), aku rasa aku sendiri kurang bercerita secara 'detail' mengenai isteri aku dan juga perhubungan kami berdua. Sebelum kami bertunang, aku namakan isteri aku dalam blog ini sebagai 'kesayangan', dan kemudian 'tunang' bila mana ada post yang menceritakan isteri aku.

Mungkin sebab aku rasa seiring usia, aku semakin malas untuk menceritakan hal-hal peribadi - tidak seperti aku ketika muda-mudi dahulu -, walaupun aku masih berpegang kepada prinsip untuk bercerita dengan pengalaman peribadi aku. Namun, semenjak sedekad yang lalu, percintaan aku dan isteri sentiasa aku jadikan bahan untuk aku bercerita dan berkongsi kepada korang semua.

Kepada mereka yang mengikuti penulisan blog aku dari dulu, aku rasa aku hanya menceritakan dua kisah percintaan aku. Satu, kisah percintaan aku - taklah dinamakan bercinta sebab aku je 'syok' sendiri - dengan non-Muslim, di mana ia menjadi post paling hit dalam blog aku ni sehingga sekarang. Dan dua, kisah aku putus cinta ketika tahun terakhir Diploma, di mana aku menceritakan betapa peritnya aku menangis sehingga bengkak mata.

Hakikatnya seingat aku - haha -, ada beberapa lagi kisah percintaan aku yang bermula seawal pra-sekolah, di mana aku terlibat dalam cinta monyet tiga segi yang tidak berkesudahan, kemudian satu dua kisah percintaan ketika aku di sekolah rendah dan juga jiran kawasan rumah, tak termasuk lagi kisah percintaan ketika aku di menengah rendah, dan kisah cinta yang tidak bersambung ketika aku di menengah atas,

Sehinggalah yang korang semua tahu iaitu cinta ketika di PLKN dan di tahun akhir Diploma. 'But yet', aku rasa kisah percintaan aku dan isteri tetap belum aku ceritakan. Ya, aku belum ceritakan dengan penuh 100 peratus kepada korang semua.

Dan sempena Sedekad hubungan dan perkenalan kami berdua, khas untuk hari ini, aku kongsikan kepada korang semua.

Buat isteriku tercinta, lepas ni jangan dok bahan saya ya, kata bilalah saya nak tulis pasal kisah cinta kita haha.

***

Aku yakin dan percaya, mana-mana mereka yang bercinta atau yang berkahwin, pasti ada cerita mereka sendiri bagaimanakah mereka berkenalan dengan pasangan mereka. Aku juga ada kenalan yang mengenali pasangan mereka di media sosial seperti Facebook, dan 'bersepah' kenalan aku yang mengenali pasangan mereka di menara gading.

Sebab tu dulu aku ingat, pernah tular mengenai keratan akhbar yang ditulis bertajuk 'Universiti bukan tempat mencari jodoh'. Walaupun aku bersetuju beberapa 'point' yang dibangkitkan dalam artikel itu shahih, seperti perlunya fokus ketika belajar dan lain-lain lagi. Tapi jika difikirkan, kalau bukan di universiti untuk mencari jodoh, maka di tempat mana lagi yang sesuai?

Dulu masa kantoi bercinta waktu sekolah, mak ayah kata habiskan SPM dulu baru boleh bercinta. Ni bila dah masuk universiti, dan-dan pulak tak boleh pula cari jodoh di sana. Tapi sudah tentulah perlu sesuai pada 'timing' dan situasi. Ni baru semester satu dah terus usung anak dara orang ke hulu ke hilir, penyudahnya 'clash', yang tu baru betul 'Universiti bukan tempat mencari jodoh'nya.

Kenalan aku di universiti sama ada senior, junior mahupun rakan sebaya yang bercinta dan akhirnya berkahwin dengan pasangan mereka yang dikenali di universiti, masing-masing ada cerita mereka sendiri mengenai bagaimanakah mereka berkenalan dan 'jatuh cinta' kepada pasangan mereka.

Dan cerita aku juga tidak terkecuali, dan aku merasakan bahawa hubungan aku dan isteri adalah jodoh yang telah pun Allah S.W.T tetapkan, sebab ia hadir dalam kisah yang penuh dramatis, magis dan nikmat-Nya.

***

Dalam sekitar satu tahun sebelum aku mengenali isteri aku buat kali pertama, aku pergi berprogram di Batang Kali dengan memegang portfolio sebagai Camp Comandan. Program itu disertai oleh beberapa orang daripada mereka yang sedang mengambil Diploma seperti aku, dan juga senior-senior yang sedang mengambil Degree.

Di situ, aku berganding bahu dengan seorang senior yang mengambil Degree, iaitu Taufiq, di mana dia pula memegang portfolio sebagi Ketua Fasilitator (kalau aku tak silap). Sepanjang program, aku dan Taufiq banyak bekerjasama, banyak juga mengambil gambar bersama-sama, sehinggalah aku dan Taufiq pulang bersama dari Batang Kali ke universiti dengan menaiki kereta bersama pensyarah aku, iaitu Ustaz Azhar. 

Usai program itu, aku rasa itulah kali terakhir aku dan Taufiq bersama dan berjumpa dalam satu program yang sama. 

Setelah aku memegang tampuk kepimpinan sebagai Yang Di-Pertua bagi sebuah persatuan yang terbina atas gabungan dua persatuan, seperti adatnya biasalah aku perlu buat satu perjumpaan pertama bagi semua AJK untuk kita bincangkan hala tuju persatuan ini.

Namun, bila semua AJK sudah pun berkumpul, tinggal seorang AJK lagi yang masih belum hadir iaitu bendahari persatuan. Lalu, aku dapatkan nombor telefonnya daripada AJK dan terus aku hubungi dia. Selang beberapa minit, bendahari persatuan pun hadir ke mesyuarat.

Bila bendahari persatuan aku tiba, aku melihat sosok wajah yang tidak pernah aku lihat cantiknya ada lagi di mana-mana ruang universiti. Cantiknya itu umpama matahari yang bersinar di sebalik kerdipan puluhan bintang-bintang yang biasa menyinari mataku. Dan aku akhirnya jatuh cinta lagi sekali - jatuh cinta pandang pertama - setelah hampir setahun aku 'move on' daripada cinta yang memecahkan hati aku seperti berkecai gelas kaca yang jatuh ke lantai.

Usai mesyuarat, aku ditimpa rasa 'angau' - mungkin juga takjub, dan juga gelisah -. Macam-macam perkara yang aku fikirkan (jelas sekali bukanlah hal-hal berkaitan persatuan), antaranya ialah adakah bendahari persatuan aku sudah pun berpunya, kerana aku melihat ada cincin emas di jari manisnya. Biasanya cincin di jari perempuan ini merupakan petanda bahawa dia sudah pun berpunya, dan mewar-warkan kepada lelaki-lelaki yang mahu 'try' dirinya bahawa pintu hatinya sudah pun dimiliki.

Sebelum ini, aku pernah me'Whatsapp' dua orang perempuan, satunya yang aku kenali ketika berprogram - tak silap aku dia agak tua daripada aku kerana sudah pun di Degree -, dan satu laginya biarlah rahsia (kerana agak 'obvious' haha), di mana aku me'Whatsapp' untuk cuba meminang diri untuk bercinta selepas nikah. Kedua-dua me'reject' aku kerana masing-masing telah pun dimiliki.

Lalu, dalam kerisauan aku kerana pernah di'reject' dua orang perempuan itu tadi, ditambah terkenang kisah percintaan lalu yang tidak menjadi, digandakan dengan 'anxiety' adakah bendahari persatuan aku ini sudah pun dimilik orang, lalu aku dengan gelojohnya me'Whatsapp' dirinya untuk mengajak bercinta selepas nikah.

'Surprisingly', bendahari persatuan aku membalas, namun balasan yang diberikan memberikan aku dua rasa. Satu, rasa gembira kerana dia menyatakan dia masih belum dimiliki. Dua, rasa malu kerana dia menembak keperibadian aku yang gelojoh dalam merisik cinta. "Belum kenal apa-apa lagi, tiba-tiba ajak orang kahwin!" Bukan main pedas lagi kata-katanya walaupun hadir dalam bentuk Whatsapp.

Lalu selepas itu, cerita itu berlalu sepi dan aku serta bendahari persatuan terus meneruskan kerja kami di bawah nama professionalisme. Namun itu tidak bermakna hati aku sepi daripada dihuni rasa cinta yang menghidupkan kembali semangat aku untuk kembali bercinta.

Sehinggalah suatu hari, ada suatu perkara yang bendahari persatuan aku lakukan, yang betul-betul menjentik kelelakian aku sehingga aku naik marah. Bendahari persatuan aku tukar gambar Whatsappnya, dengan gambar dirinya yang berdiri begitu dekat dengan Taufiq.

Aku bukan main marah lagi! Mana taknya, selama ini aku dan Taufiq bersama-sama dalam program sehingga pulang sekereta, rupa-rupanya bercinta dengan 'crush' yang baru sahaja menceramah aku kerana cuba untuk me'tackle' dirinya.

Dalam kemarahan, aku terus sahaja Whatsapp bendahari persatuan aku, dan aku tegur mengapakah ambil gambar rapat-rapat sedangkan bukan mahram (sudah tentu hujah dalil agama yang bersembunyi di sebalik rasa cemburu dan marah).

Lalu bendahari persatuan aku yang mungkin sahaja marah kepada aku kerana diserang secara tiba-tiba, membalas tuduhan aku dengan ayat yang membuat aku mengira "Allah, betapa kecilnya dunia", iaitu:

"Suka hatilah, dah abang sendiri!"

Allah, betapa kecilnya dunia. Taufiq yang aku kenali setahun dulu, rupanya abang kandung kepada bendahari persatuan aku.

***

Ketika kami berdua dalam persatuan yang sama, bendahari persatuan aku menunjukkan sikap professionalisme yang tinggi. Meskipun aku kadangkala cuba untuk 'dekat-dekat' dan mengurat dirinya, sebagai contoh aku selalu menyuruh dirinya menuang air kepada aku tiap kali makan-makan usai habis program, bendahari persatuan aku sentiasa menunaikan pekerjaannya walaupun dia sendiri menyatakan, bukan dia tidak tahu aku sedang mengurat dirinya.

Namun, mungkin silap aku yang tidak terlalu professional dan jelas menampakkan kepada AJK yang lain bahawa aku 'suka' dengan bendahari persatuan aku, menyebabkan beberapa AJK mula menunjukkan rasa hilang hormat kepada aku, dan tidak pasal-pasal bendahari persatuan aku juga menerima tempiasnya.

Menjelang majlis terakhir persatuan kami berdua, aku telah pun dikhianati oleh perbuatan AJK yang sehingga hari ini tidak aku tahu siapa, yang memasukkan gambar berdua kami ke dalam video montaj ketika majlis tersebut. Meskipun orang lain bersorak, dan juga riak wajah penasihat persatuan yang merupakan pensyarah aku yang biasa-biasa sahaja, namun aku rasa begitu kecewa di hati.

Gambar yang sepatutnya menjadi momento antara aku dan bendahari persatuan, kini tercemar dengan kisah pengkhianatan orang yang cemburu atau mungkin 'acah-acah' bagus.

Seiring dengan hubungan kami yang sekian hari mekar, tempias mula bertukar kepada kebencian yang ditunjukkan secara terang-terangan kepada bendahari persatuan aku, sehinggalah dia sendiri menjadi mangsa kepada pemulauan kerana budaya 'couple' yang dibenci oleh puak-puak yang 'acah-acah' bagus,

Hampir sahaja suatu hari, batch bendahari persatuan aku membuat satu 'halaqah' yang mencemuh kawan-kawan mereka yang ber'couple', termasuklah bendahari persatuan aku dan seorang kawan baiknya (yang juga junior aku ketika Degree, dan hadir ketika kenduri kami belah perempuan). Hampir sahaja aku mahu hadir ke 'halaqah' bodoh lagi tidak berfaedah tu dan mahu mengamuk kepada semua, namun bendahari persatuan aku meminta agar aku tidak hadir.

Ironinya, semua 'mereka yang diketengahkan' ketika 'halaqah' bodoh itu semuanya berkahwin jua, sedangkan puak-puak pembenci itu sehingga sekarang tak silap aku, masih belum berkahwin.

***

Apabila aku memasuki ke tahun pertama Degree, hubungan kami mula berputik dan kembang mekar. Meskipun kami bermula dengan agak 'awkward' dek kegelojohan aku, namun aku cukup 'respect' dengan kesudian dirinya untuk memberikan aku peluang untuk 'start fresh'.

Bermula dari panggilan 'En Ydp' dan 'Cik Bendahari' akhirnya bertukar kepada 'saya awak', kerana kami tidak lagi ada dalam persatuan, sementelah aku sudah pun memasuki Degree dan dia berada di semester akhir Diploma.

Bermula dari permulaan yang 'awkward', kemudian rakan sepersatuan, dan teman yang boleh aku ceritakan segala-gala masalah yang membelenggu, kini hubungan itu mula mekar dan meningkatkan tarafnya.

Lalu suatu hari dia mula menceritakan kepada aku, mengapakah dia sudi memberikan aku peluang untuk 'start fresh'. Ternyata rupa-rupanya, aku hadir sebagai batu loncatan untuk dia juga 'start fresh'. Sebelum ini, dia pernah berada dalam hubungan cinta yang bermula di bangku sekolah bersama senior selama lima tahun. Namun, hubungan mereka mula goyah dek cemburu buta 'pakwe'nya, dan waktu itu pula aku mula masuk sebagai karakter sampingan.

Ditambah dengan usaha aku yang tidak mengenal erti putus asa dalam merebut hatinya, walaupun aku di'ghosting' hampir setengah tahun, itulah yang membuatkan dia menyedari bahawa dia juga perlu memberi peluang kepada aku yang betul-betul menyukai dirinya, dan peluang kepada dirinya sendiri untuk memulai cinta yang baharu.

***

Benarlah kata orang, bahawa bila kita ini 'single', semua orang kita sukai seperti 'crush' dan lain-lain, takkan nak membalas cinta kita. Tapi bila kita ni dah dalam 'relationship', masa itulah 'crush' dan lain-lain tiba-tiba kembali untuk memberi respon.

Inilah yang aku rasai bila mana senior yang aku 'crush'kan ketika Diploma mulai menegur aku, dan seorang kawan kelas Degree yang agak baik peribadinya membuatkan aku 'cair', walaupun ketika mana hubungan kami berdua sudah pun hampir menamatkan tahun pertama.

Dan aku masih ingat lagi sehingga sekarang, bagaimana dia mengeluarkan air mata ketika aku mula jujur mengenai keadaan hati aku pada ketika itu, sehingga pada hari itu aku bersumpah untuk menutup segala ruang hati aku untuk perempuan-perempuan lain kecuali dirinya. Tidak ada lagi 'crush' atau tersuka mana-mana perempuan lagi.

Dan aku betul-betul membulatkan tekad mengenggam janji aku kepada dirinya, kerana aku tidak mahu lagi melihat dirinya menangis kerana kebodohan aku selaku seorang lelaki, tatkala mana menyia-yiakan cinta selepas berjaya mengenggam cinta itu.

Dan demi Allah S.W.T, sungguh pun sepanjang tahun aku kuat diuji dengan keberadaan perempuan-perempuan cantik, berkarisma, punya budi pekerti, yang kelihatan 'suka' kepada aku (atau mungkin aku yang perasan lebih), namun kerana peristiwa itu, aku mengunci kotak hatiku seketat-ketatnya, kecuali untuk dirinya.

***

Pergaduhan juga tidak pernah sepi dalam hubungan kami - hatta sekarang pun walaupun sudah berkahwin -. Aku ingat lagi antara pergaduhan yang betul-betul mengoncang perhubungan kami, iaitu ketika dia mahu pergi ke majlis perkahwinan jemputan kawan baiknya pada hari ulang tahun perhubungan kami. Lalu kami bergaduh segaduh-gaduhnya sehingga dia menangis bengkak mata walaupun dia menjadi 'bridesmate' pada hari itu.

Lalu pada malam dia balik ke universiti, aku sendiri yang menjemput dia dari stesen bas sambil melihat sendiri sosok dirinya yang lembik dan penuh bajunya dengan bau muntah kerana tidak betah menaiki bas berjalan jauh.

***

Bila semakin mekar hubungan kami, aku mula berusaha untuk mendekati adik-adiknya. Walaupun aku dan Taufiq masih bertegur sapa ketika bertemu, namun kata dia, Taufiq tidak mengetahui status perhubungan kami berdua.

Aku mulakan dengan mengenali adik yang kedua bongsu, sehingga aku berjaya bermain futsal bersama dirinya di 'court' futsal berdekatan rumahnya. Sehinggalah pada suatu hari, adiknya mengajak aku untuk datang ke rumahnya usai solat Jumaat. Pada mulanya aku agak keberatan sebab perkara ini sangat-sangat dilarang oleh dia, namun kerana rasa berani yang entah mana hadir, aku memberanikan diri untuk hadir ke rumahnya walaupun aku tahu kebarangkalian untuk bergaduh selepas itu tinggi haha.

Bila aku masuk ke rumah, aku agak terkejut melihat ayah dia yang sedang tidur di sofa, dan kemudiannya bangun meninggalkan aku. Aku sendiri agak terkejut, dan sempat juga memikir bahawa orang inilah yang akan aku bersalaman ketika akad nikah nanti (alhamdulillah Allah S.W.T mengizinkan ia berlaku).

Di hari itu jugalah aku berkenalan dengan ibunya yang dia panggil ummi, dan dirinya yang hadir di depan aku dengan muka yang paling masam - memang kena marah aku pada malam itu -, namun tetap menghidangkan cucur udang (jika tidak silap) walaupun aku sendiri yang bergurau "layanlah tetamu ni datang".

***

Suatu hari, aku memberitahu ibu mengenai dirinya yang mahu bermalam di rumah kerana dia membuat kajian mengenai Adat Pepatih sebagai disertasi. Walaupun sebenarnya, akulah yang menggalakkan dirinya untuk membuat kajian mengenai Adat Pepatih, dan dirinya pun sebenarnya tidak perlu datang ke Negeri Sembilan pun untuk membuat kajian tersebut, namun entah mana entah datang idea gila aku ni, yang aku sendiri tidak sangka ibu bersetuju dan membenarkan dia tidur semalaman di rumah.

Dan apabila aku memasuki tahun terakhir Degree, aku meminta izin kepada ayah untuk membawa kereta ke universiti - kereta Kancil yang kekal berjasa sehinggalah hari ni aku memandunya ke hulu hilir -. Dan tahun akhir aku selaku mahasiswa Degree aku habiskan masa dengan dia, kerana lepas ni kami akan berjauhan dan LDR untuk seketika (aku juga ada tulis mengenai LDR di mana ia inspirasi daripada kami yang berjauhan seketika).

Apabila aku bergraduasi, aku bawa ibu dan ayah aku bertemu dengan dirinya. Kami berempat siap makan sekali di kafe universiti dan kedai tomyam yang selalu kami berdua makan malam. Dan aku ingat lagi, usai aku menghantar dia balik ke asrama dan aku bersama ibu ayah pulang balik ke Negeri Sembilan, ibu dan ayah tidak henti-henti bercerita pasal perkahwinan dan hubungan kami berdua.

Aku ingat lagi bagaimana aku tidak terasa jauh sekali pun perjalanan balik kerana rancaknya bersembang lagi-lagi dengan ayah, dan pada waktu itu aku terasa betul-betul seperti orang dewasa kerana jarangnya topik ini dibincangkan bersama ibu dan ayah.

Dan itulah kali terakhir topik itu dibincangkan, dan bermulalah fasa-fasa aku dan dia ber'LDR'.

***

Pada tahun 2019, aku mula ber'LDR' dengan dia sebab aku pun sudah habis pembelajaran Degree. Lalu tinggallah dia berseorangan dalam menghadapi semester dan tahun akhir. Hatta selepas dia menghabiskan pembelajaran Degree pun, kami berdua masih LDR.

Masa tu jangan cakaplah, dia punya rindu memang dahsyat. Tapi mujurlah kita pun dah hidup zaman teknologi, jadi kami berdua hanya bertemu di alam maya dengan video call Whatsapp dan kadangkala Google Meet.

Namun, betapa kuatnya cinta dia kepada aku, dia sanggup untuk datang bekerja ke Dengkil walaupun ditentang oleh ummi dan ayah terutamanya. Lalu dapatlah rindu itu kami hilangkan dengan kadangkala aku akan 'spent' time bersama dia di hujung minggu, dan kami berjalan-jalan di sekitar Putrajaya.

Sehinggalah suatu hari ketika aku dan dia sedang menikmati pemandangan Port Dickson, dia menerima satu panggilan telefon daripada ummi yang menyatakan ada kerja kosong sebagai guru ganti di sekolah berdekatan rumahnya di Terengganu, dan ayahnya meminta agar dia berhenti kerja di Dengkil serta merta.

Aku masih ingat lagi bagaimana kuatnya dia menangis kerana menyedari hakikat akan ber'LDR' lagi, dan aku membawa dirinya berjalan-jalan ke KLCC pada malam hari sebelum kami akan berpisah sekali lagi.

Kemudian kami berdua terus LDR sehinggalah PKPP yang datang dek Covid (moga-moga jangan ia berlaku lagi), sehinggalah pada suatu hari klimaks kepada hubungan percintaan kami ini berlaku ketika mana dia bergraduasi setahun selepas PKPP berakhir.

***

Ketika aku sudah pun bekerja, beberapa kali juga aku menyuarakan hasrat untuk bertemu ummi dan ayah. Bukanlah aku mahu merisik apa pun, cuma sekadar 'greet and meet' sahaja. Namun dia berkeras tidak mahu aku datang ke rumah, melainkan apabila tiba masanya.

Kadangkala aku juga agak 'menyirap' bila mana dia tidak mahu menceritakan perihal aku kepada ummi dan ayahnya, sebagaimana aku yang telah pun menjalankan 'part' aku ketika aku bergraduasi dulu. Katanya, biarlah ummi dan ayah yang sendiri bertanya, kerana selaku anak perempuan seorang, dia malu dan segan.

Dan untuk itu aku bersabar dan menghormati permintaannya, walaupun kadangkala aku tertanya sampai bilakah dia akan kekal senyap mengenai perihal kami, dan sampai bila nak tunggu ummi dan ayahnya bertanya.

Sehinggalah bila mana dia bergraduasi setahun selepas PKPP berakhir, dan ketika itu pun aku sudah pun bekerja di Kuala Pilah, di mana agar susah untuk aku bercuti kerana situasi pekerjaan aku yang tidak mengizinkan.

Namun, aku sememangnya merancang untuk hadir ke majlis graduasinya, namun aku berpura-pura macam tak dapat datang dengan kekangan kerja, dan aku masih ingat bagaimana dia sangat bersedih kerana aku tidak dapat datang hari bahagianya. Namun, sekali lagi aku cuba menyelitkan yang aku mahu berjumpa dengan ummi dan ayahnya sebagaimana yang aku lakukan ketika aku bergraduasi, dan sekali lagi dia memberikan jawapan yang sama, tidak mahu aku berjumpa mereka kerana belum lagi bertanyakan perihal aku.

Usai majlis graduasi dia, aku cuba untuk mencari Ustaz Azhar yang kebetulan menjadi Emcee pada majlis graduasi dia. Sudah lama aku tidak berjumpa dengan Ustaz Azhar yang sangat rapat dengan aku ketika Diploma lagi. 

Apabila aku berjumpa dengan Ustaz Azhar, entah kenapa tiba-tiba aku meluahkan isi hati aku kepada Ustaz Azhar, yang aku mahu berjumpa dengan ummi dan ayah dia namun tidak dibenarkan. Lantas Ustaz Azhar menyatakan, "Takpe biar saya bawa jumpa." 

Aku yang kaget mendengar jawapan spontan Ustaz Azhar cuba untuk menghalang Ustaz Azhar yang sudah pun bergerak menuju berjumpa ayah dia. Aku katakan "Jangan ustaz, nanti saya bergaduh dengan dia sebab dia tak bagi!" Namun Ustaz Azhar tidak endahkan, lalu akhirnya aku turut bersalaman dengan ayah dia.

Dan ketika itu, aku dapat merasakan pandangan 'maut' daripada dia yang sedang duduk bersama ummi, dan aku berserah jika sekiranya aku akan dimarahi pada malam nanti. Setelah ummi dan ayahnya pulang, aku dan dia menghabiskan masa yang ada sebelum aku pulang kembali ke Kuala Pilah.

Dalam bas perjalanan pulang ke Negeri Sembilan, kami berdua saling 'call', di mana dia menceritakan bagaimana reaksi ummi dan ayah mengenai keadaan anak perempuan seorang mereka yang sudah pun berpunya, dan masing-masing mula bertanyakan kepada dia mengenai diri aku. Dan alhamdulillah syukur, mereka keduanya ada 'first impression' yang baik terhadap aku, dan sepanjang bas aku dibuai dengan mimpi indah,

Seakan-akan 'first step' sudah pun selesai setelah sekian lama bercinta.

***

Kebetulan, aku kenal pula dengan sepupu dia ni, sehingga satu tahap pernah juga sepupu dia ini 'call' aku kerana mahu berkongsi cerita mengenai percintaan. Dan, ketika sepupu dia ini nak kahwin, dia menyampaikan hasrat sepupunya yang mahu aku turut bersama kerana mahu aku menjadi 'driver' membawa sepupunya dan suami untuk sesi 'outdoor'.

Lalu bila hari pertama aku tiba di rumah sepupunya sebagai 'orang luar' sebab kami berdua belum ada apa-apa ikatan, namun aku terkejut kerana layanan yang diberikan keluarga sepupunya sangat baik dan peramah, malah tidak putus-putus mendoakan agar kami berdua berjaya berkahwin.

Dan ketika malam pernikahan sepupunya, aku duduk bersebelahan dengan dia dan melihat sendiri  majlis akad nikah sepupunya, sambil aku mendoa agar suatu hari kami berdua juga boleh begitu.

Esoknya merupakan hari yang paling mendebarkan, kerana aku mahu berjumpa dengan ayah dan umminya secara rasmi. Bila aku datang ke majlis, aku terus berjumpa dengan ayahnya. Pada ketika ayahnya sedang duduk bersembang di bawah gazebo berdekatan. Namun bila ayahnya melihat aku datang, terus datang dan berpelukkan dengan aku. Aku rasakan macam satu langkah lagi sudah pun selesai.

Kemudiannya aku duduk semeja dengan umminya dan abangnya yang pertama, dan aku makan tengahari di situ. Menjelang malam, aku mengikut keluarganya balik ke 'homestay', dan situ aku duduk bertiga dengan ummi dan dirinya. Ketika itu, beberapa soalan umminya sempat tanyakan kepada aku seperti "betul ke nak anak mak cik ni", dan semua soalan umminya itu aku jawab dengan 'gentleman' dan berkeyakinan tinggi.

Dan sebelum aku balik, aku berjanji kepada umminya bahawa aku akan membawa ibu dan ayah menziarahi mereka di Terengganu pada hari raya nanti.

Aku menunaikan janji aku kepada umminya dengan membawa ibu dan ayah datang ziarah pada hari raya. Alhamdulillah, pertemuan itu berlangsung dengan baik. Malahan, ayahnya sempat membuat lawak dengan menyatakan nanti kami berdua berebut lah nak balik raya sebab masing-masing ada kampung yang jauh.

Aku kira itu satu lagi langkah dan petanda bahawa ayahnya sendiri telah merestui perhubungan kami.

***

Setelah aku balik ke Negeri Sembilan, aku berbincang dengan dia mengenai tarikh bertunang. Dengan melihat Hari Malaysia yang jatuh pada hari Sabtu, kami buat keputusan untuk 'lock' pada tarikh tersebut. Alang-alang 16 September yang menjadi pembentukan Malaysia, begitu jua hari kami mula membuat langkah untuk bertunang dan bersatu. Begitu jua hari tersebut jatuh pada hari pertama bulan Rabi' Al-Awal yang penuh barakah kerana bulan kelahiran Rasul Junjungan S.A.W.

Ibu dan ayah meminta aku untuk 'call' Ustaz Azhar untuk meminta beliau menjadi 'jurucakap' bagi pihak aku. Dan alhamdulillah Ustaz Azhar sudi menjadi jurucakap pihak aku walaupun dia tidak berkelapangan sebenarnya pada hari itu.

Pada hari kejadian, pihak aku yang terdiri daripada saudara-mara (terutamanya keluarga Pak Teh dan Mak Teh) hadir ke rumah dia. Dari jauh aku sendiri melihat penuhnya rumah dia dengan sanak-saudaranya, sehingga membuatkan aku pula yang tiba-tiba berdebar haha.

Dan majlis bertunang pun berjalan dengan sempurna dengan ibu menyarungkan cincin risik dan tunang kepada dia, dan akhirnya secara rasminya kami bertunang setahun setelah lapan tahun bercinta pada ketika itu.

Yang kelakarnya, aku beria mencari dia kerana mahu melihat rupanya yang di'make up' dengan MUA. Dan apabila melihat rupanya, aku berasa 'cair' kerana belum pernah lagi melihat dirinya yang cantik walaupun sedia cantik. Dia sendiri jarang 'make up' sebegitu melainkan sekadar bedak sahaja.

***

Akhirnya kami menetapkan 15 September 2024 sebagai hari kami bersatu secara sah. Kami mengambil tarikh tersebut sebab selepas masuk Maghrib, merupakan tarikh 12 Rabi' Al-Awal yang merupakan Maulid Nabi S.A.W. Dan kebetulan pula, ibu dan ayah sendiri bernikah pada hari Hijrah yang sama. Jadi kiranya aku dan isteri berkongsi hari nikah dalam hari Hijrah yang sama.

Dalam masa setahun, banyak perkara yang kami selesaikan bersama. Alhamdulillah, tak sia-sia ibu dulu ibu pernah bising kat aku sebab nak pergi kursus kahwin kat universiti. Katanya, pergi waktu nak kahwin nanti dengan bakal isteri. Dan alhamdulillah, kami berdua pergi kursus kahwin sekali di KL.

Dalam beberapa bulan lagi, kami berdua menyiapkan kelengkapan terutamanya dokumentasi perkahwinan. Aku sendiri turun naik ke pejabat agama untuk dokumentasi. Rasa tak sabar dan tidak percaya pun ada bila aku melihat dokumen-dokumen telah pun selamat diproses dan menunggu masa sahaja untuk majlis.

Dan akhirnya, pada malam 15 September 2024, tatkala hujan pun sudah pun mulai reda seakan-akan memberikan ketenangan dan keberkatan, akhirnya dengan sekali lafaz penuh bergaya, aku melafazkan "Aku terima nikahnya" dengan bersalaman dengan wali yang merupakan ayah isteriku sendiri.

Dan esoknya setelah usai walimah, aku kini menjadi rakan tidur di bilik isteriku yang dulu aku hanya lihat di dalam video call Whatsapp sahaja, dan terus menjadi ahli keluarga baharu di rumah isteriku.

Majlis bagi pihak aku pada 28 Disember 2024 juga akan aku kenang sepanjang hayat sebagai penutup majlis perkahwinan yang baik. Dengan aku sendiri 'dipaksa' oleh Kak Linda dan Kak Syida - 'coordinator' majlis - untuk membuat gimik majlis dengan menyanyi lagu 'Belaian Jiwa' oleh Innuendo, yang akhirnya dapat aku selesaikan dengan baik tanpa gagap, salah lirik dan 'pitching' lari.

Dan pada malamnya setelah usai walimah, aku jadikan isteriku sebagai ahli baharu dalam bilik aku di rumah ibu ayah walaupun sempit sebab ia bilik orang bujang haha.

***

Sehingga hari ini, walaupun kami berdua baru berkahwin selama lima bulan, namun usia perkenalan kami telah pun menjangkau sedekad. Punyalah lama kami bercinta sehingga majoriti kawan-kawan yang hadir ketika majlis belah isteri aku pun kata "akhirnya" haha.

Untuk hari ulang tahun perkenalan kami berdua tahun ni, memang disambut dengan se'simple'nya. Mungkin sebab jatuh pada hari Isnin hari bekerja, dengan isteri aku yang kepenatan menyambut anak-anak murid baharu Tahun Satu yang baru nak masuk sekolah, cukuplah ia disambut dengan ringkas tapi penuh makna.

Sejujurnya, ada separuh diri aku yang masih tidak percaya bahawa kami sudah pun berkahwin. Meskipun sedekad itu bukanlah waktu yang sekejap, di mana aku sendiri menghabiskan keseluruhan tahun 20-an aku bersama isteri daripada 'nobody' ke 'somebody', tapi yalah sebab semuanya berlaku dengan 'smooth'.

'Part' yang paling seronok sudah tentulah bila mana kami berdua tidak ada lagi batasan (yang ni korang faham-faham sendiri). Seronok bila jalan-jalan kat 'Mall' boleh pegang tangan dalam keadaan tidak berdosa, dan boleh 'bermanja' tanpa takut ada orang datang sergah "saudara saudari ni dah berkahwin ke, boleh saya tengok kad nikah?"

***

Sungguh pun begitu, cabaran baharu pula datang apatah lagi melibatkan kewangan. Berbeza dulu dengan sekarang, komitmen semakin bertambah apatah lagi bila nak balik kampung yang melibatkan kos yang agak banyak.

Kerana itulah aku sering berdoa agar Allah S.W.T memberikan aku pekerjaan yang baik dengan gaji yang baik, supaya aku boleh memberikan kehidupan yang baik kepada isteri aku.

Orang kata, bercinta dan berkahwin tak sama, mungkin boleh jadi dulu waktu bercinta semuanya indah, bila dan berkahwin baru masing-masing tunjuk 'true colour'.

Dan bagi aku, 'statement' ini betul dan salah mengikut konteks hubungan kami berdua yang mencecah sepuluh tahun. Namun, aku sentiasa berharap agar segala kebaikan dalam hubungan kami sepuluh tahun ini sentiasa dapat dikekalkan dan dipertingkatkan,

Kerana cabaran waktu berkahwin sudah tentu lebih hebat dan dahsyat. Dan ia sudah pasti memerlukan suami dan isteri yang saling memahami dan menyokong antara satu sama lain.

Mengakhiri post yang panjang (aku sudah menulis hampir tiga jam dan jari-jemari terasa sengal), aku sangat bersyukur kepada Allah S.W.T kerana memberikan nikmat perkahwinan sebagai 'happy ending' kepada sebuah hubungan yang sangat lama tempohnya.

Tipulah kalau kadangkala aku sendiri tidak pasti adakah kami berdua mampu mengakhiri hubungan panjang ini dengan perkahwinan, kadangkala risau juga takut-takut terputus begitu sahaja. Ada juga yang bercinta lama-lama, akhirnya berkahwin dengan pasangan yang dikenali sekejap sahaja.

Dan untuk jalan baharu yang sedang kami tempuh ini, aku harap segala-galanya berjalan dengan baik.

Dan demikianlah cerita mengenai percintaan aku dan isteri yang mencecah sedekad, yang telah aku ceritakan jika tidak semua, ia sudah hampir 100%.

Terima kasih kepada dua 'ex' (satu di menengah rendah dan Diploma) dan wanita-wanita yang pernah hadir sebagai watak heroin dalam kisah percintaan aku. Kerana kamu semua (berlagak gila), aku kini menemui cintaku yang sejati.

Terima kasih kepada isteriku, kerana sudi memberikanku peluang untuk bermula 'from zero', walaupun telah bermula sebagai watak 'anoyying' dan sedikit poyo (katanya aku poyo betul, dia menyampah). Terima kasih kerana menjadi pencinta yang baik lagi setia, tunang yang bekerja keras, dan isteri yang sentiasa menyokong.

Moga-moga kita berdua wahai isteriku sayang, terus kekal lama dalam usia perkahwinan, dan cukuplah ajal sahaja yang memisahkan kita, dan kembali bertemu di Syurga-Nya kelak.

Selamat Ulang Tahun perkenalan kita yang ke-sepuluh tahun,

Cik Bendahariku, 'BFF'ku, Tunangku dan Isteriku sayang <3 

p/s: Mohon doa semuanya yang baik-baik untuk kami berdua, terima kasih :)

Comments

Popular Posts

Terima Kasih Followers