Diploma: Campak belakang 12 tahun

Assalamualaikum wrh. wbt. buat semua pembaca yang aku sayangi. Aku mendoakan agar kita semua sentiasa sihat walafiat dan sentiasa tersenyum bahagia meskipun diselimuti dengan kegelapan masalah yang hanya Allah S.W.T sahaja yang tahu bila 'ia' akan diangkat daripada memberati tubuh kita.

Dan syukur, kita sudah pun selamat memasuki tahun baharu Islam 1447H, yang kini tinggal kurang 10 hari sahaja lagi sebelum masuknya bulan Safar. Semoga tahun baharu ini kita lebih kuat dalam membuat amal kebaikan, apatah lagi solat yang hanya mekanisme penting antara kita dengan Pencipta kita sendiri - bukan biasa-biasa muqadimmah blog dengan tazkirah ringkas haha -.

Seperti biasa, apabila sudah sampai serunya dalam mood yang terkumpul bersama hari yang memang baik untuk aku menulis blog setelah sekian lama hiatus, maka jangan ditahan-tahan panggilan itu. Bukan apa, nanti takut jadi macam tahun 2021, di mana hanya satu je post aku pada tahun itu haha.

Setelah post aku yang terakhir pada pertengahan bulan Februari tahun ni, di mana aku menceritakan secara detail - kalau itu tidak lagi detail - mengenai kisah 10 tahun percintaan aku dan isteri - wah kini sudah boleh panggil isteri dalam blog ni -, di mana dalam masa terdekat ini seperti biasa, isteri aku tiba-tiba mengomel dan bertanyakah bila lagi aku akan meng'update' blog yang bersawang lamanya ini.

Dan melihat pada bulan ini yang merupakan bulan kemasukan pelajar Diploma bagi hampir majoriti IPTA, dan mendapat mesej Whatsapp daripada beberapa anak orang murid SPM yang aku mengajar mereka tahun lepas - walaupun kini tidak lagi sebagai guru -, di mana mereka berjaya mendapat tawaran ke IPTA dan IPTS dan meminta doa aku.

Dan sudah tentu hati aku yang mungkinlah dipengaruhi faktor usia yang semakin meningkat - 30-anlah katanya kan -, sudah tentu mesej Whatsapp itu membuatkan aku terharu, kerana dalam puluhan anak murid aku yang mengajar pada peringkat sekolah menengah ini, ada juga yang masih ingat kepada aku.

Dan juga menyahut seruan aku untuk menyambung pengajian ke Diploma sebagai 'starter' menjejak langkah ke menara gading, bila mana sejak beberapa tahun ni, trend untuk sambung belajar dalam kalangan lepasan SPM agak mundur dan semuanya lebih mahu mula bekerja demi mendapatkan duit.

Aku sendiri pun, jika ditanya kepada aku kini tentang adakah sambung belajar selepas SPM itu lebih baik atau 'just' bekerja terus biar sudah pun memiliki duit, entah selepas aku berkahwin kini, aku tidak lagi 100% cenderung kepada sambung belajar, bahkan jawapan aku itu pula bergantung kepada si bertanya sehinggakan sampai satu tahap, aku juga menggalakkan untuk terus bekerja sahaja dan tidak sambung belajar.

Dan dalam beberapa 'kerat' anak murid yang masih mengingati aku itu, syukur adalah juga seorang anak murid yang menjejaki aku sebagai mahasiswa bidang Bahasa Arab - meskipun lulusan kini sukar betul nak dapat kerja yang 'decent' seperti aku -, tapi sekurang-kurangnya adalah juga.

Dan untuk itu, aku mendoakan anak-anak murid aku - sama ada yang masih mengingati aku atau juga sudah melupakan aku selaku gurunya - dan juga korang para pembaca yang sudah pun memasuki alam Diploma yang merupakan transisi dari murid 'bocah' SPM ke mahasiswa menara gading,

Agar dipermudahkan segala urusan sehingga berjaya menjadi graduan Diploma yang hebat lagi penuh nilai.

Dan pada peringkat awal bulan ni hati aku membuak-buak untuk berkongsikan beberapa nasihat dan tips buat mereka yang baru nak sambung belajar ni. Tapi setelah aku 'search' di blog ni, sebab takut-takut aku sudah pun menulis tentangnya dan aku tak mahulah asyik 'recycle' benda yang sama, maka sebenarnya aku sudah pun menulis pasal benda ni, dan korang semua boleh dapatkan tips-tips alam Diploma di sini .

***

Pada suatu hari dalam beberapa bulan yang lalu, aku berkesempatan singgah ke UiTM Puncak Alam pada pagi harinya, di mana aku mula 'lepak' di perpustakaan universiti ini dalam 'area' Ramadhan yang lalu. 

Disebabkan biasanya pada hari Isnin aku pasti akan melalui universiti ini kerana menghantar isteri aku bekerja di Sungai Buloh - dan kemudiannya PJJ pada hari bekerja tetapi syukur tempatnya masih 'reachable' cuma jauh la sikit -, maka akhirnya aku cubalah untuk singgah universiti yang asing kerana ia bukan tempat aku belajar.

Sehinggalah boleh dikatakan setiap hari Isnin aku pasti akan singgah ke UiTM Puncak Alam, dan menunggu sehingga 8.30 pagi untuk perpustakaannya dibuka, lalu aku masuk bagi membuat 'slide' persediaan pre-viva PhD aku pada Ramadhan yang lalu.

Dan 'for record', syukur pre-viva PhD aku berjalan dengan baik. Dan dalam kerisauan aku kepada seorang 'examiner' yang mukanya kelihatan 'ketat', rupa-rupanya beliau memberikan komentar yang baik terhadap tesis PhD aku dengan penuh 'detail' dan memberikan aku ilmu-ilmu baharu, lalu aku lulus dengan 'minor correction' bagi pre-viva PhD aku.

Dan kini aku sedang menunggu untuk 'lampu hijau' bagi menghantar tesis PhD aku yang sudah dibetulkan, dan kemudiannya menunggu untuk viva yang sebenar. Sikit sahaja lagi sebelum perjuangan aku ni tiba di akhirnya, setelah puas bergelumang sebagai seorang pelajar yang tanpa henti dari SPM lagi.

Doakanlah aku ya semua!

Dan pada suatu hari, aku berkesempatan singgah sekali lagi ke perpustakaan UiTM Puncak Alam buat kali terakhirnya, kerana disebabkan pelajar-pelajarnya baru pulang bercuti, maka entah kenapa makin giat pula polis-polis universiti saman-menyaman sehingga sempat juga masuk ke FYP TikTok aku. Dan kerana takut aku disaman selaku pelajar 'asing', maka mungkin aku noktahkanlah dahulu persinggahan aku di sini haha.

Cuma, melihat kembali deretan pelajar yang singgah ke perpustakaan ini, ada yang membuat 'discussion', ada yang datang berempat tetapi dia seorang sahaja lelaki, ada juga yang datang berdua - 'dating' sambil study -, dan juga suasana perpustakaan yang sejuk serta bau-bau buku yang menyegarkan, cukup betul-betul membuatkan aku 'throwback' kepada kenangan sebagai pelajar universiti pada peringkat Diploma terutamanya.

Meskipun rehlah Diploma aku jika diingat balik, tidaklah 100 peratus penuh dengan momento yang boleh dikenang dengan baik, bahkan mungkin majoriti rehlah ini penuh dengan siri-siri air mata dan hati yang begitu berat dengan percintaan dan persahabatan yang tidak menjadi,

Namun hei, 'atleast' ia tetap sesuatu kenangan yang penting dalam ingatan-ingatan aku selaku pelajar Diploma, yang merupakan transisi daripada aku sebagai 'bocah' murid sekolah.

***

Setelah aku cukup kecewa apabila aku tidak diterima untuk belajar ke Timur Tengah dengan menggunakan biasiswa, apatah lagi ia datang dengan pengharapan yang 'confirm' dapat kerana aku ditaburi dengan janji yang cukup menggunung oleh seorang kenalan yang sehingga kini menjauhkan diri daripada aku kerana malu janji itu tidak tertunai,

Aku membawa diri ke UniSZA Terengganu sebagai manusia yang betul-betul asing, kerana pada ketika itu aku sendiri tidak pernah menjejakkan kaki ke sana. Disebabkan aku suka kepada nama 'course' aku iaitu ada 'kesusasteraan' yang menampakkan aku begitu minat dengan sastera, dan juga kerana aku belum pernah menjejakkan kaki ke Terengganu, serta ibu dan ayah tidak membantah aku untuk belajar jauh-jauh dari rumah, maka di sanalah aku memulakan rehlah Diploma aku,

Yang tanpa aku sangka diteruskan sehingga Degree, dan kemudiannya PhD, dan bertemu jodoh di sana. Sungguh aku tidak sangka!

Aku memulakan transisi selaku pelajar Diploma dengan kehidupan yang bebas tanpa terikat dengan sistem warden, asrama dan pengawas sekolah. Tiada lagi yang mengejutkan aku untuk pergi ke kelas, tiada lagi kewajipan untuk turun bersiap ke surau seperti sekolah dahulu, dan tiada lagi yang mengambil nama aku kalau lewat ke salah bersama ugutan sijil berhenti sekolah aku akan cacat dengan masalah disiplin haha.

Bersama pakaian seorang pelajar universiti, dengan tali leher yang kadangkala merimaskan dan menjerut leher, baju kemeja yang di'tuck in' bersama kasut kulit, aku memulakan transisi sebagai pelajar Diploma dengan memulakan kelas-kelas yang diajari oleh pensyarah-pensyarah yang hebat-hebat dan tinggi ilmunya, sehingga perlahan-lahan aku sudah terbiasa dan mampu mendepani hari-hari esoknya sebagai seorang pelajar Diploma.

Cuma, aku tidak sangka aku tetap akan diuji dengan dua perkara yang memang selalu menghimpit kehidupan aku - sehinggalah aku berkahwin, semua itu sudah tiada lagi -, iaitu persahabatan dan percintaan.

Isu persahabatan yang bermula dengan kisah indah 'kawan sampai ke syurga' dengan beberapa kenangan seperti aku menjamu mereka dengan satu 'roll' kek Secret Recipe berperisa Blue Berry Chess Cake - sekarang dah tak berapa minat, tetapi aku masih lagi peminat 'cheese cake' - dan rehlah jalan-jalan ke Kelantan, sehinggalah aku di'palau' dan menghadapi 'pandangan-pandangan' yang tajam menikam hati.

Juga tidak aku lupakan sudah semestinya deretan 'assignment' yang aku buat sendiri sehinggalah ke disertasi akhir yang sepatutnya merupakan kerja kumpulan, di mana aku masih ingat lagi pada suatu hari bulan Puasa tatkala musim Piala Dunia di mana pada ketika itu pagi-pagi sebelum sahur German sedang membantai Portugal, aku seorang sahaja yang giat membuat 'slide' tatkala semua 'kawan' itu dengan bersantai menonton bola.

Juga tidak aku lupakan aku sendiri yang datang berjumpa 'mereka' untuk sekadar meminta tandatangan untuk diletakkan dalam disertasi akhir, dan mereka pun menurunkan tandatangan dengan selamba tanpa ada sebarang ucapan terima kasih atau belanja aku makan.

Ya, tanpa sebarang ucapan terima kasih atas segala pertolongan aku yang bersusah payah membuat segala mak nenek 'assignment' bersendirian, di mana dengan hasil kerja keras itu semua 'manusia' itu dapatlah bergraduasi dengan jayanya.

Ya, tanpa sebarang ucapan terima kasih atas segala budi aku itu, bahkan ia pula menjadi 'sebab' untuk aku dimarahi dan di'palau'kan kerana aku dilabel ego dan tidak menerima pandangan orang sebab buat 'assignment' seorang sahaja tanpa menunggu mereka yang tegar pergi ke sana sini, sedangkan sudah ditetapkan untuk datang 'discussion' lalu biarlah aku seorang yang berlapar kerana takut terlewat datang.

Ya, tanpa sebarang apa-apa penghargaan sehingga membuatkan aku terpaksa menelan segala cercaan dalam diam dan pandangan mata yang menikam jiwa, lalu aku pergi ke kelas dengan keadaan 'seperti tiada ada apa-apa', dan pura-pura tidak melihat semuanya begitu 'seronok' bercerita perihal rumah sewa sedangkan aku seorang sahaja yang duduk di asrama universiti,

Termasuklah tegar membuat 'group' Whatsapp secara persendirian tanpa memasukkan aku di dalamnya.

Dan perkara itu rupanya kekal diteruskan sehingga aku menyambung pelajaran ke Degree dengan majoriti mereka ini masih ada di sana, bahkan lebih teruk lagi 'mereka' ini menghasut dan membekalkan 'pengetahuan salah' kepada rakan-rakan se-Degree aku yang baharu bahawa aku itu dan ini,

Sehingga akhirnya rakan-rakan baharu ini menjauhkan diri dengan aku kerana termakan hasutan 'mereka', sehinggalah mereka sendiri menyedari siapa aku dan berkata: "Lah tak sangka kau baik rupanya", dan beberapa rakan-rakan baharu ini 'spill the tea' siapa mulut-mulut 'sial' yang memulakan semua ini,

Dan aku tidak terkejut, dan aku tidak lagi peduli. Dan aku juga tidak melupakan ada yang mengajak aku untuk bergambar satu batch usai graduasi Degree dengan 'caption' "Dari Diploma ke Degree", siap kata lagi kepada aku agar tidak lari dan mari bergambar bersama-sama,

Lalu aku terus sahaja lari usai graduasi Degree dan terus makan tengah hari bersama ibu dan ayah dan memperkenalkan bakal menantu mereka.

***

Setelah aku kembali 'single' dengan memutuskan sendiri ikatan percintaan sekolah menengah selama hampir dua tahun, aku memasuki alam Diploma sebagai seorang yang tiada komitmen 'awek' dengan mata yang terkesima melihat kecantikan-kecantikan pelajar baharu,

Kecantikan pelajar Sabah, kecantikan pelajar Kelantan, dan juga kecantikan pelajar Terengganu. Sungguh jauh berbeza walaupun aku seorang bekas murid SBP.

Dan bila mana beberapa siri muqadimmah percintaan alam Diploma seperti 'crush' aku kepada seorang 'rakan sekelas' Terengganu yang me'reject' aku dengan sekeras-kerasnya dengan jawapan: "Sampai bila-bila pun aku takkan terima kau!", tatkala aku benar-benar seorang pencinta yang ikhlas lagi tulus.

Juga permulaan aku yang 'tersuka' dengan seorang senior Degree ketika aku menghadiri Bengkel Organsasi sebagai Ydp persatuan - ketika ini aku masih belum bertemu isteri yang cantiknya tiada tandingan -, yang juga menolak aku dengan alasan sudah pun punya 'tunang'.

Dan juga beberapa 'crush' ketika aku sebagai Wataniah sehinggalah hampir-hampir aku mencipta 'cinta' dengan seorang kenalan senior Degree yang merupakan Wataniah di universiti jiran, di mana aku berusaha untuk menunjukkan 'cinta' dengan menggalas beg berat dan senjata M16nya ketika berjalan balik 14km usai latihan menembak, di mana aku sendiri tidak sedar betapa penatnya kerana usaha 'cinta' yang menjadi dopamin,

Sehinggalah kepada kisah cinta terakhir sebelum aku berjumpa isteri aku yang sangat dicintai, iaitu sebuah kisah cinta penuh tragis dan drama, yang sudah aku ceritakan di sini , dan menjadi inspirasi aku dalam menulis post-post di blog berkaitan 'move on' dan putus cinta.

Oh, sungguh aku tidak akan lupakan bagaimana rasa sakitnya menerima mesej - pada ketika itu Whatsapp masih baharu - ketika sejam sebelum berbuka puasa: "Rasanya hubungan kita ini tidak ke mana.", dan juga rasa sakit bila kau cuba menelefon banyak kali demi merayu agar aku diberikan belas kasihan seperti lagaknya Zainuddin kepada Hayati dalam Tenggelamnya Kapal Van Der Wick, namun 'dia' tidak pun sesekali mengangkat untuk aku dengar suaranya buat kali terakhir,

Jauh sekali sehingga kini tatkala dia sudah pun punya ramai anak, aku masih lagi tidak tahu apakah punca 'dia' memutuskan percintaan ini. Sedangkan aku seorang pencinta yang ikhlas lagi tulus.

Oh, sungguh aku tidak akan lupakan bagaimana setelah banyaknya menangis sehingga jelas bengkak mata pada malam itu, kemudian esoknya aku pergi ke kelas bagi mata pelajaran yang dikongsi bersama 'dia', malahan sempat pula terserempak ketika mahu ke sana.

Apatah lagi masa yang diambil untuk cuba 'move on' daripada hati yang berkecai-kecai sehingga aku membuat beberapa keputusan bodoh dengan cuba mencari 'cinta-cinta' yang lain secara tergesa-gesa dan menjatuhkan maruah aku agar aku boleh mencantum kembali serpihan hati.

Sehinggalah ketika graduasi Diploma yang tidak sangka aku akan berkongsi dewan dengan 'dia', aku mengeraskan pandangan dan tidak memandang dirinya yang naik ke pentas bila mana namanya dipanggil.

Aku buat-buat tak nampak kerana hati ini tidak lagi peduli. Dan sehinggalah rupa-rupanya 'dia' masih menyambung Degree di sini, dan akhirnya aku berjaya tunjukkan aku sudah mampu 'move on' dan tidak perlukan dia kerana aku sudah ada insan yang ikhlas mencintai aku dan tidak tegar melukakan aku seperti 'dia',

Dan kepuasan itu dicapai apabila aku dan isteri - 'couple' pada ketika itu - terserempak dengan dia yang berjalan sendirian, lalu kami berdua bergelak ketawa seperti insan yang sebenarnya bahagia bercinta dengan erti sebenarnya.

***

Macam aku katakan tadi, meskipun rehlah Diploma aku jika diingat balik, tidaklah 100 peratus penuh dengan momento yang boleh dikenang dengan baik, namun aku tidak menafikan kenangan-kenangan indah yang dicipta bersama insan-insan yang hadirnya umpama matahari yang di sebalik hujan-hujan air mata aku ketika Diploma.

Antara insan tersebut sudah tentu Ustaz Azhar pensyarah yang aku sangat sayangi, di mana rapatnya kami sehingga sering sahaja aku dan dia 'lepak' bersama usai habis kelas. Seorang insan yang aku boleh sahaja telefon untuk ajak minum dan dia akan datang menjemput aku dengan Nissan Sentra hitamnya, dan sehingga kini aku tidak pernah membayar makan dan minum kerana dibelanja.

Seorang insan yang menjadi tempat aku bercerita pelbagai perkara lalu akan dijawab oleh dia dengan jawapan yang kelakar dan 'menganjing' aku, tetapi aku tidak terasa bahkan tergelak terbahak-bahak. Seorang insan yang aku anggap sebagai seorang ayah walaupun dia menyatakan dia ayah aku berlainan apa aku sudah lupa.

Seorang insan yang terlalu penting dalam kehidupan aku sehingga dia menjadi wakil rombongan merisik dan bertunang aku ketika mana aku tiada saudara yang duduk di Terengganu dan saudara-saudara lain keberatan untuk datang bersama kerana jauh,

Sehinggalah menjadi saksi nikah pada hari penting dalam kehidupan aku dalam menghalalkan isteri yang dicintai.

Dan sehingga hari ini, aku pasti akan datang bersua muka ke rumahnya sebagaimana aku sempat singgah ke rumahnya bersama isteri aku pada hari Raya, dan melihat dirinya mula menua dengan kini status sebagai seorang datuk.

Dan sudah tentu insan penting yang hadir di penghujung Diploma iaitu isteri aku yang sangat dicintai, yang sungguh tidak aku sangka kalau jika tidak kerana Diploma aku di UniSZA, dan kalaulah aku diterima ke Timur Tengah pada ketika itu, entah siapalah yang akan menjadi isteri aku,

Atau adakah aku sudah pun berkahwin kini, atau adakah aku akan merasai erti percintaan sebenar seperti hampir sebelas tahun lamanya - dan kini hampir setahun perkahwinan kami berdua - bersama isteri aku yang disayangi ni?

Dan kehadiran mereka berdua inilah antaranya selain daripada insan-insan baik yang mungkin sebagai NPC sahaja dalam rehlah Diploma aku, yang membuatkan rehlah Diploma aku itu ada juga sesuatu yang baik untuk dikenang, malahan lebih besar nilai daripada 'mimpi-mimpi buruk' yang menjelma sepanjang tidur Diplomaku.

***
Mengakhiri post yang ketika mana aku gigih menulis setelah bangun pagi dan sudah pun kedengaran azan Subuh di surau sebelah rumah aku,

Aku cukup menyedari bahawa aku sudah pun meninggalkan alam Diploma selama hampir 12 tahun. Betapa aku sudah pun memasuki 30-an ketika mana aku mula melangkah sebagai pelajar Diploma pada usia 18 tahun.

Dan untuk itu aku senantiasa menitipkan rasa syukur kepada Allah S.W.T, kerana meskipun terdapat beberapa halangan dan dugaan yang mencengkam aku ketika itu, aku masih berjaya untuk tamatkan pembelajaran Diploma dengan baik. Aku masih lagi berjaya untuk pergi kelas dengan kedatangan hampir 100 peratus, dan semua 'assignment' aku siapkan dengan baik.

Dan sudah semestinya pengalaman-pengalaman itu aku bawa ke pengajian Degree meskipun terdapat antagonis-antagonis dan watak-watak NPC yang sama dalam cerita Degree aku ini, namun sedikit sebanyak ia membantu aku menjadi lebih kuat dan 'tahan rasa',

Bahkan pengalaman itu aku bawa ke kehidupan masa kini meskipun sebagai pelajar PhD, di mana aku memanfaatkan segala pengetahuan sehingga aku sedar akan betapa minatnya aku terhadap pelajaran dan kerjaya sebagai ahli akademik - semoga ia terealisasi suatu hari nanti sebagai Pensyarah UniSZA juga -,

Dan paling penting, isteri aku yang merupakan insan dikenali ketika Diploma masih lagi kekal sehingga hari ini.

Dan untuk itu, segala syukur buat-Mu wahai Tuhan Yang Maha Mengetahui segala-galanya, dan terima kasih buat semua sama ada protagonis mahupun antagonis dan 'side character' dalam novel Diploma ini,

Kerana menghiasi momento Diploma aku, yang boleh dikenang meskipun ia sudah dilupakan yang buruk-buruk itu, namun hikmahnya masih berguna!

Comments

Popular Posts

Terima Kasih Followers