Biarkan Allah S.W.T yang membalas

Assalamualaikum wrh. wbt. buat semua pembaca yang aku sayangi sekalian. Alhamdulillah syukur, kita telah pun memasuki bulan baharu September 2025 dengan pantasnya, di mana tanpa kita sedari tinggal empat bulan sahaja lagi sebelum tamatlah tahun 2025 ini. 

Fuh, betapa dahsyatnya ujian yang menimpa aku pada tahun 2025 ini sehingga tanpa disedari, tinggal empat bulan sahaja lagi sebelum tahun ini berakhir, dan ujian itu masih lagi berterusan tanpa henti. Saban hari aku berdoa kepada Allah S.W.T agar ujian itu diganjari dengan sebaik-baik ganjaran.

Meskipun begitu, dalam kedahsyatan ujian tersebut aku titipkan rasa syukur kepada-Nya, kerana rumah tangga aku sentiasa dalam kebahagiaan dan ketenangan, dan sudah tentu kerana dikurniakan seorang isteri yang sentiasa menyokong tulang belakang yang patah ini, dan memahami segala isi hati aku.

Kerana itu setiap kali bila waktu malam, bila mana isteri aku telah pun tidur, aku akan belai dan usap-usap rambutnya sambil berdoa kepada Allah S.W.T, agar aku sentiasa dimurahkan rezeki dan diberi kelapangan selapang-lapangnya untuk memberikan kebahagiaan kepada dirinya.

Haha, 'point'nya aku nak saja nak panas 'line' nak bagitahu aku dah kahwin haha.

***

Bulan Ogos yang lalu merupakan kemuncak dalam ujian 'keras' yang aku hadapi kini, di mana dalam kebahagiaan aku dan isteri sedang rancak bersembang-sembang dalam kereta menuju pulang ke rumah, tiba-tiba aku dilanggar oleh sebuah kereta durjana.

Lampu isyarat yang rosak di semua penjuru simpang, ditambah dengan waktu petang orang nak balik kerja yang sibuk membuatkan 'jem' yang dahsyat, menambahkan punca stress kepada aku yang dipilih menjadi 'mangsa keadaan' dalam deretan kereta kat situ,

Di samping rasa ralat di mana aku sudah sepatutnya selamat melintas simpang dalam keadaan lampu isyarat yang rosak, aku pun sudah memastikan jalan kiri dan kanan selamat daripada kereta-kereta yang terpaksa membuat 'kepala' sendiri sebab lampu isyarat yang rosak,

Tetapi aku masih lagi dilanggar oleh kereta durjana yang beralasan dia tidak nampak aku di situ. Dah tahu kau tak nampak kereta, kenapa begitu laju kau memandu kereta? 

Dan setelah berhenti di tepi jalan, aku melempiaskan segala kemarahan yang maha dahsyat dalam rintik hujan yang tiba-tiba semakin lebat, tanpa aku pedulikan orang-orang yang menonton drama murahan dalam kesesakan jalan raya.

Dipendekkan cerita, aku sendiri tidak tahu apalah 'update' bagi kes aku ini, yang pastinya aku tidak nampak kes ini akan selesai dalam keadaan Sarjan Person Incharge yang sampai sekarang tidak dapat aku hubungi, dan kerana itu aku membiarkan Allah S.W.T yang membalas segala manusia yang tidak kompeten dalam kehidupan mereka,

Dan akhirnya menyusahkan aku.

***

'Karma is real' ini selalu ayat yang digunakan apabila kita tidak mampu membalas kejahatan orang lain terhadap diri kita, dan kita membiarkan si penjahat itu sendiri sahaja yang menerima balasan buruk atas perbuatan jahatnya kepada diri kita dahulu.

Walaupun Islam menolak karma kerana Allah S.W.T sahajalah yang menetapkan baik buruk seseorang itu dan musibah serta takdir yang menimpa seseorang itu, dan bukannya alasan 'karma', tetapi dalam Quran pun telah menyatakan bahawa besar atau kecil sesuatu perbuatan itu, ia pasti akan dibalas oleh Allah S.W.T.

Namun, dalam setiap perbuatan jahat kita terhadap orang lain, Allah S.W.T pasti akan membalasinya jika tidak dengan perbuatan yang sama orang lain pula buat jahat kepada kita, mungkin dengan cara yang lain, ataupun Dia timpakan pula kepada ahli keluarga kita.

Bercakap soal karma, aku sendiri pernah ditimpakan oleh Allah S.W.T perbuatan jahat yang sama pernah aku lakukan kepada orang lain, iaitu aku ditinggalkan oleh 'my recent ex' ketika aku sedang Diploma, sebagaimana aku meninggalkan 'my recent ex' ketika aku di sekolah menengah.

Bagaimana aku biarkan 'ex' aku itu digantung tidak bertali, aku tak balas mesej sepatah apa - waktu itu masih gunakan SMS -, bahkan aku sendiri pun tidaklah mengajak untuk putus agar dia boleh 'move on' dan sebagainya,

Begitulah karma yang serupa membalas aku dengan 'ex' aku ketika Diploma, di mana sepatah apa pun tidak dia beritahu kenapa nak putus dengan aku, 'mention' apakah salah aku yang membuatkan dia tiba-tiba nak putus, dan biarkan aku tergantung dengan ayat "rasanya dah tak ke mana hubungan kita ini" selama setahun lamanya.  

Kerana itulah aku cuba sedaya upaya untuk tidak berbuat jahat dalam 'relationship' walaupun kadangkala aku tersadung juga, tetapi aku cuba untuk menjaga sekuat boleh 'my precious' kesayangan sehingga akhirnya kami berkahwin juga,

Kerana aku takut karma yang sama akan menimpa aku lagi, dan mungkin ia lebih teruk.

Dan kerana itulah dahulunya aku sering menasihati beberapa kawan lelaki yang telah pun 'terbawa' hubungan mereka 'lebih advanced' walaupun belum lagi ada ikatan perkahwinan, di mana aku pesan agar tetap untuk menjaga hubungan tersebut walau apa yang terjadi,

Kerana mereka sudah tidak boleh lagi membuat hubungan baharu dengan perempuan lain tatkala mereka telah pun 'jauh' dengan pasangan mereka, dan jika mereka buat juga aku ingatkan bahawa Allah S.W.T pasti akan memberikan karma yang serupa, jika tidak kepada mereka pasti kepada anak perempuan mereka pula nanti.

Dan alhamdulillah, mereka semuanya berkahwin dengan pasangan mereka tersebut. Dosa-dosa lepas itu biarlah mereka dan Allah S.W.T sahaja yang tahu, dan biarlah mereka bertaubat dengan sebenar-benarnya.

***

Apa yang membuatkan aku betul-betul marah kepada si pelanggar itu tadi, selain daripada faktor aku berasa agak ralat dan juga stress aku nak cepat-cepat balik kerana aku dan isteri pun sudah lapar - lapar boleh buat orang marah -,

Aku sebenarnya agak 'excited' kerana seorang anak murid yang rapat dengan aku mahu datang ke rumah esoknya bersama teman lelakinya, untuk mendapatkan nasihat aku dan isteri tentang dia yang mahu ke 'next step'.

Jadi sedikit sebanyak ia betul-betul merosakkan hari yang sepatutnya seronok kerana sebagai seorang guru yang baik, aku mengikuti rapat kisah-kisah 'relationship' anak murid aku ini, di mana dia sering dikecewakan dengan 'plot twist' yang mengecewakan.

Dan dalam pada hari keesokannya dia datang bersama teman lelakinya, dan kami sama-sama berkongsi cerita dan pandangan sehinggalah aku dan isteri menyatakan jodoh mereka berdua agak kuat dan kami berdua juga tak sabar untuk datang ke majlis pertunangannya,

Seminggu dua lepas itu, aku dikejutkan dengan Whatsapp dari anak murid aku itu: "Takpelah ustaz, tak jadi sebab dia dah ada perempuan lain."

Sekali lagi plot twist yang menyedihkan dalam hidup anak murid aku ini. Dan setelah aku mendengar kisah 'full story' daripada dia, itulah yang membuatkan aku berfikir bahawa Allah S.W.T pasti akan memberikan karma yang serupa kepada teman lelaki yang kini 'ex' anak murid aku ini. 

Dan untuk anak murid aku ini, semoga kisah percintaan dirimu akan berakhir dengan sebaik-baik pengakhiran dengan lelaki yang betul-betul layak dan menghargai kebaikan dirimu.

***

Sepanjang kehidupan aku, aku juga telah menyaksikan bagaimana Allah S.W.T membalas secara 'cash' - yang merujuk kepada pembalasan secara 'direct' - bagi kejahatan yang menimpa kepada aku dan orang-orang rapat yang aku kenali. 

Seorang antagonis yang mengajak ramai kawan aku ketika belajar di universiti dahulu untuk membenci dan memulaukan aku, akhirnya dibalasi dengan karma dia sendiri tidak berjaya mendapatkan Ijazah Kelas Pertama, walaupun dia ini aku 'acknowledge' sebagai seorang yang pandai, dan 'sepatutnya' layaklah juga mendapat IKP seperti aku.

Begitu juga seorang kenalan yang banyak berkata buruk dan menyebar fitnah kepada orang rapat yang aku kenali, di mana akhirnya Allah S.W.T membalas dengan tidak kepada dirinya, namun memberikan balasan dahsyat dengan kehidupan anak-anak perempuannya yang sentiasa bercerai-berai dan mengalami masalah dalam rumah tangga mereka.

Dan kerana itulah sekuat mana aku ingin membalas kejahatan orang lain, contohnya mereka yang merosakkan ketenangan aku dengan tiada 'common sense' ketika aku tinggal di bilik sewa, atau mereka yang memberikan janji palsu kepada aku sehingga menyusahkan kehidupan aku,

Aku hanya membiarkan Allah S.W.T sahaja yang membalas dengan balasan yang setimpal.

Dan kerana itulah aku cuba untuk mengelakkan daripada membuat kejahatan dan menyusahkan orang lain, kerana aku takut Allah S.W.T akan membalasi kejahatan aku dengan balasan yang setimpal atau mungkin lebih teruk lagi, sehingga akhirnya aku menyesal terhadap perbuatan yang tidak boleh aku ulang semula.

Contohnya, pernah suatu hari aku terjumpa sebiji dompet yang penuh dengan duit di masjid, dan aku 'terliur' untuk mengambil duit tersebut disebabkan aku sendiri sedang susah dan memerlukan juga duit tersebut. 

Namun kerana terfikir akan pembalasan Allah S.W.T yang mungkin suatu hari aku juga akan tertinggal dompet aku tanpa aku sedari dan akhirnya duit-duit yang aku perlukan itu diambil oleh orang lain, maka aku gagahi jua ke rumah si pemilik dompet dan pulangkan juga dompet itu lengkap dengan duit-duit itu tadi, walaupun aku menolak duit minyak yang mahu diberikan atas usaha aku itu.

Dan kerana itulah aku kira, Allah S.W.T membalasi kebaikan aku dengan memudahkan segala urusan perkahwinan aku sebulan dua selepasnya, meskipun hujan lebat dan kesesakan yang aku lalui dalam perjalanan aku ke rumah isteri aku pada ketika itu.

***

Mengakhiri 'post', kita serahkanlah sahaja kepada Allah S.W.T untuk membalas segala kejahatan orang lain kepada kita. Kalau kita mampu, macam untuk lapor kepada polis, atau hadapi sahaja orang jahat itu dengan kekuatan kita, maka buatlah. 

Yang pastinya, membalas kejahatan orang lain dengan kejahatan walaupun nampak 'cool' seperti apa yang dilakukan oleh Vincenzo Cassano - isteri aku yang pengaruh aku tengok KDrama - terhadap kejahatan syarikat Babel yang diterajui oleh firma guaman Wusang dan Pengarah Han-Seok, atau John Wick yang mampu menewaskan High Table,

Tapi ia hanya menjatuhkan darjat kita dan menjadikan kita sama dengan penjahat yang berbuat jahat kepada diri kita. Seperti isteri yang katanya nak membalas kecurangan suaminya dengan dia juga turut curang.

Maka, biarlah kita serahkan sahaja kepada Allah S.W.T agar kejahatan mereka kepada diri kita itu dibalas dengan pertimbangan yang sesuai pada hemat-Nya, dan kita diberikan ganjaran dengan balasan terbaik atas kesabaran kita menghadapi ujian tersebut.

Lagipun, bukankah doa Muslim yang dizalimi itu dimakbulkan Allah S.W.T?

Comments

Popular Posts

Terima Kasih Followers