Ulang Tahun Perkahwinan Yang Pertama

Assalamualaikum wrh. wbt. buat semua pembaca yang aku sayangi. Aku mendoakan agar korang semua sentiasa berada di bawah rahmat-Nya dan sentiasa bertahan kuat walau seberapa kuat ujian yang sedang korang hadapi kini.

Alhamdulillah, hari ini genaplah setahun satu bulan - terlebih satu hari - perkahwinan aku dan isteri dalam hubungan cinta yang telah pun berusia sedekad lapan bulan. Haha itu pun pagi tadi isteri aku bising kata aku 'wish' lambat padahal aku yang tunggu dia 'wish' dahulu,

Sambil menjaga dia yang tak berapa sihat. Mujurlah negatif influenza dalam keadaan wabak ini yang tiba-tiba mengganas pula sehingga hampir enam ribu kes direkodkan. Aku sudah pun pulih daripada demam selesema pada minggu lepas.

Disebabkan minggu lepas isteri aku yang menjaga aku sakit, kali ini 'masin' pula mulutnya yang kata mahu sakit pula pada minggu ini. Aish begitulah mulut isteri, sentiasa 'masin' walaupun empunya diri 'manis' sentiasa.

Tahun ini agak istimewa kerana kami berdua menyambut dua kali ulang tahun perkahwinan dalam bulan yang sama iaitu September. Pertamanya iaitu ulang tahun dalam bulan Hijrah yang jatuh pada hari yang sangat cantik iaitu penghulu segala hari iaitu Maulid An-Nabi S.A.W, di mana hari sebelumnya iaitu Khamis kami berdua berpuasa sunat bersama-sama.

Usai sahaja berbuka puasa, kami berdua membaca Yasin dan menunaikan Solat Sunat Hajat selepas Isyak, mendoakan agar bahtera perkahwinan kami sentiasa kekal utuh dengan sakinah, mawaddah dan rahmah walaupun ombak yang melanda bahtera kecil kami ini bukannya 'kaleng-kaleng'.

Keduanya pula ulang tahun dalam bulan Gregorian, di mana kami berdua menyambut ulang tahun ini di kampung isteri di Terengganu, dan dapatlah kami berdua membuat 'campak belakang' dengan pergi beberapa tempat 'dating' dahulu yang penuh dengan nostalgia dan kenangan-kenangan ketika belajar dahulu.

Keesokan harinya iaitu yang merupakan 16 September - merupakan hari walimah di sebelah isteri -, malamnya kami berdua belanja semua ahli keluarga isteri makan malam, walaupun kurang seorang ahli iaitu abang ipar sulung aku yang berada di luar kawasan dan abang ipar kedua aku yang tidak punya selera makan kerana kurang sihat.

Isteri aku kata, alhamdulillah jimat duit haha. Dan setelah itu, hari-hari itu berlalu dan kami berdua kembali meneruskan hari-hari mendatang seperti biasa.

***

Walaupun hubungan percintaan kami berdua ini berusia sedekad lapan bulan, di mana kami berdua menghabiskan keseluruhan permulaan usia 20-an dan pengakhirannya - aku berkahwin pada usia 29 tahun dan isteri pada usia setahun muda -, 

Namun itu tidaklah bermakna hari-hari perkahwinan kami terasa 'dull' atau boring, sebagaimana yang digembar-gemburkan beberapa pihak yang menyatakan, mereka yang bercinta lama sebelum pernikahan pasti akan mengalami kebosanan selepas berkahwin kerana telah 'merasa macam-macam perkara'.

Bagi kami berdua, berkahwin pada tahun yang kesembilan percintaan kami ini merupakan penamat penderitaan bercinta tanpa ikatan halal, dan akhirnya selepas berkahwin, tiada lagi apa-apa halangan yang boleh membatasi hubungan kami berdua.

Dengan dalam keadaan kami kini yang telah punya rumah sendiri walaupun sewa, kadangkala seharian itu berada di dalam bilik bermalasan-malasan di atas katil sahaja. Bergelap walaupun di luar cerah dengan terikan matahari, dan hanya keluar apabila mahu sembahyang atau makan sahaja.

Selebihnya di atas katil, menonton 'movie' sehingga satu dua cerita, bermain 'game', atau masing-masing leka bermain telefon bimbit masing-masing. Penyudahnya masing-masing terlelap yang kadangkala penghujung hari baru masing-masing nak mandi kerana sudah terasa berbau.

Yang selebihnya tidak dapat aku ceritakan kerana rahsia kelambu suami isteri, pepandailah korang tafsirkan sendiri hahaha.

Dalam sedekad lapan bulan kami masing-masing mengenali luar dan dalam sehingga kadangkala itu, kami telah pun mencapai 'cubit paha kiri, paha kanan terasa', dari POV aku sendiri terutamanya, masih banyak lagi sudut baharu yang belum aku pernah nampak dan tahu mengenai isteri aku,

Contohnya isteri aku sangat mengemari taugeh walaupun banyak sayur yang dia tolak. Jadi aku tak perlulah bersusah payah nak buang satu-satu taugeh dalam char kuey tiaw dia macam video viral baru di TikTok.

Dan aku juga yakin POV isteri aku juga begitu, contohnya baru-baru ini dia terkejut aku gemar makan budu, padahal dia ingatkan aku tidak menggemari budu. Dia tak tahu budu itu antara makanan kegemaran aku, walaupun aku sudah mula makan budu sebelum bercinta dengan dia lagi.

Dan selainnya, kami berdua menjalani kehidupan seharian dengan meneladani perkara-perkara yang telah pun kita tahu sehingga akhirnya, kami berdua masing-masing menerima apa kebiasaan yang kami berdua lakukan.

Contohnya, aku perlahan-lahan mula makan kerang dan kaki ayam, walaupun ketika bercinta dulu pun, aku sangat jarang makan kerang dan jauh sekali tidak pernah aku makan kaki ayam. Selepas kahwin baru inilah aku mula makan kerang - walaupun tidaklah sampai tahap suka dan 'hantu' seperti isteri aku - dan juga makan kaki ayam.

Begitu jugalah isteri aku yang mula kerap makan ayam kerana aku telah pun terbiasa makan ayam, dan menariknya kami berdua menyukai bahagian yang berbeza. Aku sukakan isi, isteri aku sukakan tulang. Jadi kalau kami beli ayam seekor yang dijual di Richesse itu, semua 'part' akan licin dihabiskan mengikut kegemaran masing-masing.

Dan kami berdua juga tidak menyukai makanan yang sama seperti durian dan bahagian dalam haiwan. Jadi hidup kami menjadi bahagia dengan mula menerima apa yang disukai pasangan, dan menyukai perkara yang sama.

Haha asal semua contoh makanan? Mungkin sebab makan dan 'food hunting' ini telah pun menjadi antara 'part' yang agak penting ketika kami 'dating' dahulu. Cuma kini agak 'perlahan' sebab dengan faktor ekonomi dan kewangan yang tidak mengizinkan seperti dahulu.

***

Sungguh pun begitu, pergaduhan tetap ada dalam hubungan kami walaupun sejauh mana berbulan-bulan ia tidak pernah datang menyinggah. Cumanya, bila sudah lama tidak bergaduh, maka kadang-kadang ia tercetus walaupun disebabkan salah faham atau benda yang remeh-temeh.

Dan satu perkara yang aku perasan bila bergaduh, kemarahan yang 'bottle up' dalam diri aku bukan lagi kemarahan yang biasa. Aku sering kali merasa kepala lebih berat daripada waktu sebelum berkahwin dahulu, kerana faktor kini kemarahan itu telah pun digandakan oleh syaitan Dasim yang mahu melihat rumah tangga kami bergegar.

Pergaduhan pertama kami selaku suami isteri berlaku pada waktu yang tidak tepat, dan aku sendiri melempiaskan kemarahan aku dengan menghentakkan kerusi 'healing' sehingga patah dua. Apa yang membuatkan aku mula perlahan-lahan mengawal kemarahan aku apabila adanya pergaduhan antara kami berdua ialah,

Apabila berlakunya 'collateral damage' disebabkan aku yang melepaskan kemarahan seperti patahnya kerusi 'healing' yang patutnya ada dua kini tinggal satu sahaja, dan aku tak mahu lagi mengulangi benda yang sama kerana kadangkala aku terasa mahu melempar pinggan atau 'karate chop' meja menjadi dua.

Ini bukannya kerana aku ini pemarah dan jauh sekali 'abusive' - minta jauh ya Allah -, tetapi kerana kemarahan yang 'bottle up' dalam diri aku di mana aku melepaskannya semuanya sekaligus walaupun ia tidak berkaitan dengan isteri aku dan punca pergaduhan. Ia seakan mencari ruang untuk dilepaskan kerana aku menyedari hanya isteri aku sahaja kini yang menerima aku seadanya,

Dan memberi ruang dan peluang aku untuk menjadi diri sendiri sepenuhnya.

Dan begitu juga aku tidak betah melihat isteri aku yang menangis di depan aku sehingga bengkak-bengkak mata, kerana dahulunya waktu bergaduh kebanyakannya di dalam telefon atau aku sendiri tidak melihat mukanya.

Tapi sekarang, kadangkala cair ego aku dengan basah air mata dan memaksa aku untuk kembali rasional sebagai penghulu rumah tangga, dan kembali berbaik kerana kadangkala pergaduhan itu berlaku kerana perkara remeh temeh sahaja.

Walaupun aku tidaklah menafikan kadangkala perlunya juga bergaduh itu walaupun sekali selang beberapa bulan kerana ia bukti rumah tangga itu sempurna dengan ketidaksempurnaan, dan selain faktor memang orang perempuan ini banyak air matanya haha.

***

Sehingga hari ini, banyak rintangan dan cubaan yang kami berdua hadapi walaupun majoriti besarnya datang dari ujian-ujian yang menguji aku sendiri. Cuma isteri aku yang terkena tempiasnya, sehingga kadangkala basah juga sedikit sebanyak.

Bak kata orang, setahun dua di awal perkahwinan ini biasanya akan diuji dengan kemelesetan kewangan, sehingga kadangkala membawa kepada hampir sebelas ribu kes penceraian di negeri Selangor sahaja.

Sungguh begitu, isteri aku tetap membantu dengan bantuan yang terlalu banyak dalam kemelut ekonomi dalam rumah tangga kami, walaupun aku terpaksa berperang antara ego seorang suami dengan ego seorang yang berpendidikan tinggi.

Dan sudah tentu isteri akulah insan yang paling banyak membantu aku dalam bangkit dan berpijak kuat di atas bumi walaupun beberapa kali aku terbaring kepenatan yang tewas dengan ujian-ujian-Nya, sehingga aku terpaksa berperang antara keimanan seorang hamba dengan putus asa kepada Sang Pencipta.

Dan itu, biarlah aku dan isteri sahaja yang mengetahui - begitu juga Yang Maha Mengetahui -, tidak mampu aku nak menceritakan kepada korang semua kerana pahit hempedu yang bertakung kuat di penjuru hati aku yang silih berganti rapuh dan kukuh.

Dan untuk itu, aku sentiasa berdoa agar Allah S.W.T memberikan aku pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusan aku, agar aku mampu memberikan kehidupan yang terbaik untuk isteri aku yang dicintai sepenuh hati.

***

Mungkin benarlah kata orang, lelaki ini meraih kebahagiaan dengan melihat orang yang dia cintai bahagia. Lelaki tidak lagi meraih kebahagiaan secara individu kerana dia telah terbiasa berkorban demi kebahagiaan insan yang dia sayangi.

Dan begitulah aku, kebahagiaan aku kini ialah dengan melihat senyuman dan gelak ketawa isteri aku. Kerana itulah aku melakukan hampir seratus peratus kerja rumah di rumah kerana sayangnya aku kepada isteri, selain daripada aku menyedari itulah tanggungjawab seorang suami yang semakin tiris ditelan ego dan adat masyarakat.

Sehingga hari ini, akulah yang memasak hampir setiap masa, akulah yang mengemas rumah dan membasuh baju serta menjemurnya di ampaian. Aku tidak sesekali merasa betah atau kehilangan ego suami, malahan aku berasa gembira dan seronok kerana selain daripada aku seorang yang pembersih, aku juga membuat latihan untuk masa akan depan andai kami sudah punya anak nanti.

Dan setiap waktunya, aku akan berasa gembira apabila peti ais di rumah penuh dengan makanan, kerana aku tahu isteri aku tidak akan kelaparan.

Bercakap pasal anak pula, bukanlah aku terutamanya yang tidak mahukan anak. Cuma setelah sembilan tahun bercinta dan akhirnya berkahwin, kami berdua sentiasa merasa tidak puas untuk berdua-duaan dalam hubungan yang halal.

Mungkin andai suatu hari nanti telah tiba masanya, maka aku berdoa agar Allah S.W.T memudahkan segalanya kerana waktu itu kemungkinan isteri aku sudah pun semakin berusia. Yang pastinya, aku tetap membiarkan isteri aku yang membuat keputusan kerana dialah empunya badan yang akan hamil nanti.

Mengakhiri 'post', aku sentiasa bersyukur kepada Allah S.W.T kerana mengurniakan aku seorang isteri yang terlalu baik, memahami, sudi bersusah payah bersama dan memberi ruang dan peluang untuk aku menjadi seorang manusia biasa dengan merasa rapuh dan menangis.

Meskipun kadangkala, aku berasa 'gagal' sebagai seorang suami kerana tidak mampu buat masa ini untuk memberikan yang terbaik kepada isteri aku. Aku tidak mampu memberikan 'candle light dinner' sempena 'first anniversary' kami, aku tidak mampu membelikan kereta yang selesa, dan juga membiarkan dia merasai kesusahan yang aku alami kini.

Kadangkala aku terfikir, apalah kebaikan yang aku lakukan pada masa dahulu sehingga aku layak menerima ganjaran setinggi ini daripada-Nya. Termasuklah juga dikurniakan keluarga mertua yang baik sekali kepada aku terutamanya ibu mertuaku Umi.

Dan untuk itu, aku sentiasa berdoa kepada Allah S.W.T agar menjadikan aku seorang suami yang baik untuk dirinya, dan dirinya menjadi seorang isteri yang baik untuk aku jua. Dan menjadikan aku seorang suami yang sentiasa meletakkan dirinya sebagai 'priority' dalam apa jua situasi.

Dan sudah tentu, menjauhkan aku daripada membuat kesilapan yang mungkin tiada peluang kedua untuk aku menebusnya seperti curang atau 'tercurang' - moga-moga Allah S.W.T menjauhkan aku selamanya -, kerana tidak terbalas budi isteri aku yang sudi menerima aku yang penuh dengan cacat cela ini.

Dan moga-moga ya Allah, doaku ini dimakbulkan kerana apa yang aku lakukan ini semuanya demi kebahagiaan isteri aku, yang menerima aku seadanya, dan agar aku mampu membalas jika tidak semua, sekurang-kurangnya aku tidak menyusahkan dirinya seperti sekarang.

Selamat Ulang Tahun Perkahwinan Yang Pertama - walaupun dah 'belated' - buat isteriku yang tercinta. Terima kasih atas segalanya, zahir dan batin, dan moga-moga hubungan kita ini tiada noktahnya hatta di akhirat kelak <3

Comments

Popular Posts

Terima Kasih Followers