Apa yang kita perlu buat jika kita DIPULAU?
Assalamualaikum wrh. wbt. buat semua pembaca. Alhamdulillah syukur, kita sudah pun memasuki tahun baharu 2026 dan menghitung kurang sepuluh hari lagi sebelum berpuasa Ramadhan.
Sungguh, aku sangat tak sabar untuk berpuasa tahun ni sebab tahun lepas aku tidak dapat berpuasa dengan baik atas beberapa kekangan. Ha yang ni, aku terpaksa rahsiakan haha.
Dan aku mendoakan, agar tahun 2026 ini merupakan tahun terbaik untuk kita semua, dan supaya tahun ini ialah tahun di mana Allah S.W.T mengangkat kesemua penderitaan kita. Dan menganjari kita atas perit jerih yang telah pun kita lalui sekian lama.
***
Aku sebenarnya sudah lama mahu menulis mengenai 'dipulaukan', atau pun mungkin generasi baharu ni panggil dengan 'palau'. Aku masih teringat aku mendengar istilah 'palau' ni ketika aku mengajar di sekolah dulu. Aku ingat budak-budak ni 'typo' ke apa, rupanya ia disebut generasi mereka sebegitu.
Setelah aku melihat kesemua post aku di sini, aku tidak menulis dengan 'specific' mengenai 'dipulaukan', tetapi aku hanya bercerita sipi-sipi sahaja sebab aku mengaitkan dengan post-post yang berkaitan dengan persahabatan terutamanya.
Bercerita tentang 'dipulaukan', aku memang banyak merasai 'dipulaukan', bahkan sehingga sekarang, aku masih 'dipulaukan'.
Sungguh, 'dipulaukan' ini antara perkara yang sangat menyakitkan emosi aku, dan aku kira ia antara masalah-masalah yang memang tidak dapat aku selesaikan. Ia tidak ada jalan penyelesaian, dan aku terpaksa membiarkan ia berjalan seiring dengan arus masa.
Aku menjalani episod 'pemulauan' sebanyak tiga kali - aku rasa -. Episod pertama berlaku ketika aku berada di Tingkatan 5. Aku tidak pasti apakah punca yang 'triggered' 'pemulauan' tersebut - mungkin kerana aku pun sudah lupa sebab faktor 'auto defence' yang otak aku aktifkan sebagai mekanisme pertahanan -.
Yang pastinya, setelah beberapa hari aku tidak bertegur sapa dengan geng yang memulaukan aku, klimaksnya berlaku pada satu malam, di mana tiba-tiba sahaja ada seorang kawan yang tiba-tiba bangun ketika halaqah - yang setiap malam akan dilakukan oleh batch sebagai tradisi sekolah -, dan tiba-tiba bertanya: "Siapa yang tak puas hati dengan Tari?"
Dan aku yang dalam keadaan terpinga-pinga sebab terkejut dengan soalan spontan kawan aku ni, melihat beberapa orang yang kesemuanya merupakan geng tadi, mengangkat tangan. Dan aku sedikit bertekak dengan kawan aku tadi, namun aku semakin kalah kerana kawan aku ni mempunyai sokongan yang terlalu ramai.
Dalam kesedihan yang begitu menyesakkan hati, aku berlalu pergi begitu sahaja daripada halaqah, dan aku duduk berseorangan di satu tempat yang sunyi. Aku tidak menangis, mungkin kerana aku masih terkejut dengan apa yang berlaku.
Tiba-tiba ada dua orang kawan yang datang dan cuba memujuk aku. Tetapi aku hanya berdiam diri sahaja.
***
Episod kedua pula berlaku ketika aku berada di tahun akhir Diploma. Aku dipulaukan oleh hampir kesemua rakan lelaki. Sehingga tahap, mereka mempunyai 'group Whatsapp' sendiri aku seorang sahaja yang tiada dalamnya.
Setiap hari-hari kelas, aku terasa begitu kuat aura negatif yang membenci aku hadir dalam kelas tersebut. Aku ingat suatu hari, ada pensyarah aku bertanya siapa orang Negeri Sembilan dalam kelas ini. Dan tiada seorang pun yang menyebut nama aku untuk mengiyakan pertanyaan pensyarah aku tu, padahal bukan diorang tak tahu aku satu-satunya orang Negeri Sembilan dalam 'batch' ini.
Suatu hari, 'batch' aku mahu mengadakan jamuan yang aku sendiri pun sudah lupa sempena apa. Ada beberapa kawan yang tidak dapat sertai jamuan tersebut atas 'personal reason', tapi mereka yang 'acah bagus' ni tiba-tiba memarahi kawan-kawan tersebut seakan-akan mereka tidak menyokong 'batch' yang mahu membuat aktiviti bersama-sama.
Aku cuba memberi komen, aku katakan kita tidak boleh memaksa kawan-kawan kita untuk sertai aktiviti kita sebab mereka pun ada komitmen lain. Aku ingatkan komen aku tu disambut, atau diterima sekurang-kurangnya. Tetapi ada seorang kawan - yang aku sentiasa ingat sebagai kawan yang jahat -, bersuara dan berkata: "Korang perasan tak, mesti ada je seorang yang tak 'support' program kita?"
Aku terkelu dengan pernyataannya. Aku terus pm dan aku tanyakan kepada dia: "Aku ke yang kau maksudkan seorang tu?" Dan kawan yang jahat ini menjawab: "Entahlah." Tidak mengiyakan dan tidak menafikan, tetapi aku cukup tahu bahawa akulah 'seorang' yang dimaksudkan itu.
Dan episod kedua ini cukup panjang berlaku sehingga aku tamatkan Diploma, di mana tatkala orang lain bergambar satu 'batch' dengan skrol dan jubah konvo selepas majlis konvokesyen, aku seorang sahaja yang cepat-cepat melarikan diri kerana aku sedar aku tidak punya ruang di situ.
Aku ingat lagi, ada seorang kawan perempuan yang laju-laju 'approach' aku usai majlis konvokesyen, dan mengingatkan aku supaya 'tidak lari' bila nak bergambar nanti. Dan itulah yang membuatkan aku lagi cepat-cepat nak menghilangkan diri selepas majlis konvokesyen.
***
Episod ketiga masih berlaku sehingga kini, dan ia lebih parah dan menyakitkan kerana ia dilakukan oleh seseorang yang mempunyai hubungan darah dengan aku. Dan ini kekal sebagai satu-satunya masalah peribadi yang tidak dapat aku tulis dalam blog ini - tidak seperti masalah-masalah peribadi yang lain macam 'clash' dan masalah kawan -, kerana ia terlalu peribadi bagi aku.
Dan tahun lepas aku sudah puas menangis - kebanyakannya bersendirian dan kadang-kadangnya dengan isteri aku di atas dada aku kerana rasa berat yang tidak tertahan -, sehingga kering air mata aku. Dan kerana itulah aku memutuskan di tahun baharu 2026 ini, aku tidak lagi akan menangis untuk 'pemulauan' ini, kerana aku berasa sudah cukup.
***
'Dipulaukan' sememangnya membuatkan emosi dan mental kita diuji dengan sekeras-kerasnya. Lagi-lagi pula bila kita bersendirian sahaja yang dipulaukan dalam sesuatu kelompok, macam dalam kelas atau pun 'batch'.
Tiada yang mahu berjalan bersama dengan kita. Tiada yang mahu bercakap dengan kita. Kehadiran kita di dalam kelompok itu tiada rasa, tidak disayangi dan tidak direstui.
Dan sampai satu saat, orang-orang yang rapat dengan kita juga menjadi mangsa pemulauan, walaupun mereka tidak ada salah apa-apa. Inilah yang juga pernah menimpa isteri aku ketika kami di universiti, kerana isteri aku ni ialah kekasih aku.
Perkara yang paling menyakitkan bila aku dipulaukan ialah, orang-orang yang memulaukan aku ini berharap agar aku kembali kepada mereka, atau menerima kembali perkara-perkara yang tidak 'menyenangkan' atau bertentangan dengan prinsip aku.
Kerana mereka tidak dapat menerima pandangan, perasaan dan kritikan aku, maka mereka memutuskan untuk berjauh diri dan memulaukan aku. Dan aku merasa, bahawa mereka lebih mahu melihat agar jika aku memilih untuk tidak kembali melihat 'ludah' yang telah aku muntahkan - iaitu dengan kembali menangis-nangis dan memujuk mereka akan menerima aku -,
Sekurang-kurangnya aku hancur selebur-leburnya dan tidak mampu meneruskan kehidupan. Kerana mereka ingat aku ini memerlukan mereka untuk terus berjalan di atas muka bumi ini,
Walau hakikatnya bukan setakat aku tidak memerlukan mereka, bahkan mereka yang memerlukan aku! Dan betapa hebatnya otak aku, aku mampu menganggap mereka ini tidak wujud di depan aku, sehingga aku mampu tetap professional dalam bekerja, dan tidak seperti mereka.
Dan kerana itulah bila mana mereka melihat aku ini terus kekal berjalan, bahkan melihat aku terus kuat dan kuat seakan-akan pemulauan mereka itu tidak memberikan apa-apa kesan kepada aku,
Mereka terus memulaukan aku, bahkan mengajak orang lain yang tidak ada kena mengena juga turut sama memulaukan aku.
Aku pernah ceritakan perkara ini ketika orang-orang yang memulaukan aku di Diploma turut menyambung Degree dengan universiti dan 'course' yang sama dengan aku, kawan-kawan baharu yang bukannya lepasan Diploma tiba-tiba turut menjauh daripada aku.
Sehinggalah bila mereka sendiri bergaul dan bekerjasama dengan aku, barulah mereka tahu sebenarnya apa yang 'dicanang' oleh mereka yang memulaukan aku - terutamanya kawan yang jahat tadi -, betul-betul berbeza. Aku masih ingat lagi ada seorang yang berkata kepada aku: "Lah baik rupanya kau!"
***
Kenapa kita dipulaukan? Sebab kumpulan itu tahu kita punya prinsip dan ego yang tidak dapat dipecahkan, dan mereka rasa hanya dengan cara itulah kita akan kembali, dan berlutut menangis kerana mahu kembali ke dakapan mereka.
Bila kita dipulaukan, mereka yang memulaukan kita mahu kita jatuh dengan sejatuh-jatuhnya. Kalau kita ni di bangku universiti, orang-orang yang memulaukan kita tu mahu hancur teruk CGPA kita dan tidak dapat 'pointer' yang baik.
Kalau kita punya isteri, orang yang memulaukan kita itu mengharapkan agar kita tidak lagi membela isteri kita dan memenangkan pihak dia pula. Silap-silap, mungkin dia mahu kita menampar memukul isteri kita itu kerana menyebabkan kita jauh daripada dia.
Kerana itulah, 'the best thing' untuk dilakukan apabila kita dipulau, adalah dengan BERDIRI TEGUH DENGAN PRINSIP KITA! Tidak kalah walaupun kita dianggap DERHAKA, atau permainan psikologi terus dimainkan seperti 'silent treatment' dengan harapan kita 'terciduk',
Atau kembali menangis melutut meratap kerana mahu kembali ke dakapannya, dan mahu kita sedar bahawa kita memang perlukan dia.
TIDAK SAMA SEKALI! Dan jangan mengaku kalah, teruskan berjalan ke hadapan.
***
Dalam kisah pemulauan aku episod pertama, aku memutuskan untuk kembali bertemu dengan geng yang memulaukan aku, dan aku sendiri memohon maaf.
Aku masih ingat lagi, ada seorang yang berkata: "Ikut hati nak je aku pukul aku!" Meskipun hati aku meronta-ronta untuk biarkan tangan aku hinggap ke muka dia itu, tetapi aku senyum dan berdiam diri. Di sini jelas menunjukkan betapa mudanya aku, dan aku tidak mampu untuk berdiri di atas prinsip aku,
Dan akhirnya aku jelas kalah kerana aku beralah dan menjilat ludah sendiri.
Di episod kedua pula, itulah permulaan aku berdiri dan menegakkan prinsip yang aku bina. Tidak ada sekalipun aku mengalah dan cuba untuk memohon maaf bagi kesalahan yang tidak aku buat. Yang pastinya, aku tidak pernah mengabaikan setiap 'assignment' yang memerlukan aku bekerjasama dengan mereka,
Walaupun aku dipulaukan. Kerana aku tahu, jika aku mengikut kata hati dan mengabaikan setiap tugasan, aku akhirnya akan gagal dan itulah yang mereka harapkan sebenarnya.
Dan aku tetap menyinar dengan hebatnya ketika Diploma di tempat lain, walaupun cahaya aku ditutupi di tempat aku sendiri.
Apabila aku Degree pula, meskipun pemulauan itu disambung, namun aku tidak lagi mengambil kisah. Meskipun ada beberapa dari kalangan mereka ini yang cuba menafikan kedudukan aku, contohnya tidak meminta pandangan dan bantuan aku dalam persatuan mereka sendiri, padahal kehadiran aku cukup penting dalam persatuan lainnya,
Namun aku tidak meminta-minta dan mengharap apa-apa, meskipun jujurnya aku banyak makan hati, tapi aku sedar masih banyak ruang dan peluang lain untuk aku bersinar.
Aku masih ingat lagi, peranan aku yang berjaya mencari penceramah yang baik untuk program wajib bagi subjek universiti, tidak pun dipuji bahkan seakan-akan dilupakan begitu sahaja, kerana ulah mereka yang memulaukan aku itu.
Begitu juga mereka ini yang bersungguh mem'boo' dan menyindir kumpulan aku bila program bersama dalam subjek wajib dalam 'course' aku, apabila kumpulan aku yang mula-mula sekali meraih tempat pertama. Dan aku masih ingat betapa sukanya mereka, bila kumpulan aku jatuh perlahan-perlahan dalam program tersebut, yang menyebabkan kawan-kawan aku yang tidak bersalah menjadi mangsa.
Tetapi, aku tetap berjaya menamatkan Degree dengan baik di Kelas Pertama, dengan jawatan-jawatan yang baik dan dikenali oleh kesemua pensyarah terutamanya,
Dan aku tidak jatuh terjelepuk sebagaimana yang mereka mahu. Bahkan Allah S.W.T membalasi kawan yang jahat tadi dengan dia satu-satunya 'orang yang bijak pandai' dalam 'batch' aku yang tidak berjaya mendapat Kelas Pertama, dan membuat dia merasa malu kerana dia sepatutnya disangka akan mendapat kejayaan sebegitu rupa.
Dan untuk episod ketiga ini, aku juga tidak mengalah, dan sentiasa berdoa kepada Allah S.W.T akan mengampunkan aku, dan aku percaya Dia itu Maha Adil dan Maha Mengetahui apa penderitaan yang ditimpakan oleh si pemulau kepada aku - sehingga kini -.
***
Mengakhiri post, teruskan berjalan dan berdiri di atas apa prinsip yang kita percaya apabila ada yang memulaukan kita. Sedarlah bahawa kita sebenarnya tidak memerlukan orang lain yang tidak menghargai diri kita,
Dan sebenarnya ramai lagi yang betul-betul menghargai kita walaupun dia mungkin tidak popular seperti geng yang memulaukan kita tadi.
Jangan sesekali tunduk dan beralah kepada mereka yang menganggapkan permintaan maaf kita itu satu kelemahan dan ia boleh dieksploitasi untuk digunakan bagi memancing kelemahan kita.
Tak perlu takut untuk berdiri dengan tetap bagi pandangan yang kita rasa betul, walaupun yang memulaukan kita itu datang dari darah daging kita sendiri. Berdoalah banyak-banyak kerana Allah S.W.T itu Maha Adil dan Maha Saksama.
Teruskan menjadi kuat, dan jangan sesekali merelakan kejatuhan kita hanya semata-mata memuaskan hati orang yang mahu melihat kita jatuh.
Kerana di akhirnya, kita hidup demi diri kita sendiri, dan ketahuilah,
Bila saat kita sudah berjaya nanti,
Semua yang memulaukan kita dahulu, akan datang dan menjilat ludahnya sendiri!
Comments
Post a Comment