Berhentilah menghilangkan SENYUMAN orang lain

Assalamualaikum korang semua. Alhamdulillah, masih lagi diberi kesempatan untuk update blog ni, selepas sejuk-sejuk cuddle seorang diri di bawah selimut yang warm suam-suam gitu. Orang bujang beginilah, cuddle seorang-seorang.

Terengganu dah pun musim tengkujuh i guest. Hujan boleh dikatakan setiap hari. Hujan yang turun bukan sahaja hasil daripada awan yang tidak larat menanggung beratnya air, tapi juga memberatkan mata aku. Hahaha.

Walaupun aku hampir-hampir tewas dengan hujan, disebabkan faktor selimut yang suddenly menjadi berat yang bersangatan, tapi so far aku masih lagi tak ponteng kelas macam diploma dulu. Masih boleh lagi pakai smart-smart ke kelas, walaupun hujan lebat.

Subsidi payung mungkin? Hahaha.

Pagi ni, seluruh rakyat Malaysia menerima berita sedih tentang pemergian Pak Yus Jambu yang kembali menghadap Penciptanya Allah S.W.T.

Masa malam tadi, aku dok scroll twitter, aku dah nampak post tentang arwah ni. Cuma aku tak berapa ambik port - hanya mampu mendoakan - sebab dalam post tu takde gamba. Tapi bila aku scroll sampai ke atas dan dah pun tengok, baru aku tahu arwah itu Pak Yus Jambu rupanya.

Maafkan aku, aku kurang sikit tengok Maharaja Lawak. Kalau tengok pun hanya kat Youtube ataupun streaming dengan member-member je. Maklumlah, sebab kat rumah aku takde Astro, dan aku pun semenjak semakin meningkat dewasa ni agak kurang melekat depan tv.

Setelah melihat beberapa tweet mengenai arwah, dalam diam suatu perasaan yang luar biasa mula datang menyelubungi diri aku. Dalam mengantuk aku sementara menunggu fasa-fasa nak masuk tidur, aku terfikir akan betapa mudahnya seseorang itu untuk kembali kepada-Nya, jika Dia sudah pun memanggil.

Tak yah nak tunggu sakit berat, koma ke apa, sihat walafiat pun jika Allah S.W.T dah takdirkan kematiannya, maka ia takkan dapat ditangguhkan walaupun satu negatif saat.

Oh, betapa semakin meningkat umur kita, semakin dekatnya kita dengan kematian. Tapi adakah kita semakin dekat dengan Allah S.W.T?

Dalam diam, perasaan luar biasa itu menyentuh akal, minda, hati dan jiwa aku ini. 

Di mana aku takut, suatu hari nanti aku tidak sempat memohon maaf kepada manusia-manusia yang telah aku kucar-kacirkan kehidupannya. Sebelum kemaafannya sempat aku pinta, dia telah dulu kembali menghadap Tuhannya.

Aku khuatir, dalam keseronokan aku menikmati kehidupan, dalam persahabatan, dalam hubungan aku sesama manusia lain, kawan, sahabat, lawan, aku tidak sempat memohon maaf lantaran mereka ini telah pun kembali menghadap Allah S.W.T.

Jadi, perasaan luar biasa itulah yang datang menerjah ke kotak minda dan hati aku.

Sehingga terlelap aku dalam ketakutan dan kekhuatiran aku tadi.

Al-Fatihah untuk arwah Pak Yus Jambu, semoga Allah S.W.T merahmati anda, dan tenanglah anda di alam yang kekal sana.

***

Sehingga hari ini, aku menikmati 20 tahun kehidupan yang tidak pernah bebas daripada caci maki judging pelabelan manusia-manusia lain. 

Saat aku menulis post ni, aku masih boleh ingat dengan jelas bagaimana hati aku digunting sehalusnya oleh kata-kata manusia, caci maki manusia, perbuatan manusia samada yang aku tahu, tak tahu, nampak, tak nampak, zahir mahupun batin.

Digunting sehalusnya sehingga aku mengambil masa yang lama untuk menyusun satu-satu ibarat cantuman puzzle yang dibeli di kedai 2 ringgit.

Dikecewakan beberapa kali dalam persahabatan, dipulaukan dicaci dimaki wujudnya pakatan menggulingkan dan memburukkan aku - sehingga sekarang -, dikecewakan dalam beberapa siri percintaan yang sangat-sangat berhajat kepada hati.

Namun, atas sebab aku menyedari bahawa aku perlu meneruskan kehidupan aku, kerana membawa harapan orang-orang kesayangan aku seperti ibu dan ayah khususnya, dan paling tidak pun sebab diri sendiri, maka aku susun kembali cebisan-cebisan hati aku ni.

Kerana aku memerlukannya untuk meneruskan hari-hari yang mendatang.

Alhamdulillah, dengan episod-episod yang pahit itulah, aku belajar menjadi seorang yang kuat, dan matang, sebagaimana aku sekarang. 

Dan yang paling penting, aku belajar untuk tidak menjadi seperti mereka yang telah mencipta episod-episod yang pahit dalam kehidupan aku, dan mencipta episod-episod yang pahit ke dalam kehidupan orang lain pula.

Itulah credit yang paling besar, sepanjang 20 tahun aku disakiti dalam perhubungan sesama manusia, samada berkawan, bersahabat mahupun bercinta.

Aku tidak claim aku seorang yang kuat, seorang yang matang, seorang yang bagus, tetapi manusia yang paling arif tentang manisnya secawan teh gula, adalah manusia yang paling arif tentang pahitnya secawan teh pahit.

Aku ulang, hanya manusia yang banyak kali disakiti sahaja yang betul-betul kenal, arif dan faham tentang nilai sesuatu kebahagiaan dan keindahan dalam perhubungan sesama manusia.

Dan sebab itulah, manusia yang telah banyak kali hilang senyumannya adalah manusia yang paling banyak mengukir senyuman pada bibir orang lain, kerana mereka tahu betapa peritnya kehilangan senyuman mereka sendiri.

***

Semakin jauh aku berjalan, semakin ramai manusia yang aku jumpa - samada aku kenal atau tak - aku belajar macam-macam perkara daripada mereka, walaupun hanya mendengar perkongsian masalah dan luahan daripada mereka.

Walaupun sungguh aku tak mampu menyelesaikan permasalahan mereka.

Aku belajar bahawa, dalam kehidupan kita ni, kadangkala setiap kebaikan yang kita buat kepada orang, kadangkala sehingga satu tahap kita menyusahkan diri sendiri, bukan semuanya akan dihargai oleh orang.

Ada yang akan lupa kebaikan-kebaikan yang telah kita berikan padanya. Ada yang akan pretend seolah-olah kebaikan yang telah dia dapat daripada kita tu tak pernah wujud. 

Lebih teruk lagi, kebaikan-kebaikan yang kita berikan itu bukan sahaja tak dihargai, malah dibalas pula dengan perbuatan-perbuatan yang menyakitkan hati kita. Yang menghilangkan senyuman kita.

Itulah yang dinamakan kehidupan.

Aku percaya, realiti ini bukan hanya berlaku dalam drama kehidupan aku sahaja, tapi turut berlaku dalam drama kehidupan korang juga.

Mereka yang banyak menyakitkan hati aku sehingga sekarang, yang bermasam muka setiap kali bertembung dengan aku, yang tak mahu menegur sapa aku, yang ego, yang judge yang sebar keburukan aku, yang ajak orang benci aku, semuanya adalah mereka yang telah aku bersusah-payah memberikan kebaikan kepada mereka.

Namun sudahlah tiada ucapan terima kasih yang aku dapat, apatah lagi satu sen, apatah lagi nikmat persahabatan dan percintaan, melainkan hanya memberikan kebaikan kepada orang yang salah dalam masa yang salah sahaja.

Aku bukan mahu mengungkit kebaikan-kebaikan itu, aku bukan mahu claim aku baik mereka jahat ke apa, but itulah realitinya. Ia berlaku sepanjang 20 tahun aku bergelar manusia.

Tetapi, sungguh pun begitu, aku percaya, bahawa kebaikan-kebaikan itu Allah S.W.T nampak walaupun kecilnya nilainya. 

Dan aku percaya, kebaikan-kebaikan yang kita lakukan ini jika tidak dibalas oleh orang yang sama, ia akan dibalas oleh orang lain pula.

Dan jika kita tidak menerima balasan kebaikannya, mungkin seseorang yang dekat dan dearest kepada kita pula yang akan menerimanya.

***

Aku berpendapat, bahawa hati kita yang lebih mustahak dahulu dijaga berbanding hati orang lain. Perasaan kita dahulu yang perlu diutamakan berbanding perasaan orang lain.

Tetapi, sungguh pun begitu, itu bukanlah satu alasan yang besar untuk kita merosakkan kehidupan orang lain. Bukanlah satu alasan untuk kita menghilangkan senyuman orang lain.

Apabila aku bercakap kepada seseorang, aku begitu takut sejauh mana kata-kata aku ini boleh menikam jauh ke dalam lubuk hatinya. 

Apabila aku buat sesuatu kepada seseorang, aku begitu takut sejauh mana perbuatan aku ini boleh memberikan kesan buruk ke dalam kehidupannya.

Sebab tu diakhirnya, aku sendiri yang undur diri daripada sesuatu perhubungan. Akulah yang mengalah sampai kalah, sehingga satu tahap kesabaran aku mula hilang dan membuatkan aku terus senyap, terluka, senyap dan terluka.

Mereka yang melemparkan kata-kata cacian makian tohmahan fitnah yang keras dan menyakitkan, aku tahu bagaimana sakitnya hati dan sejauh mana senyuman aku hilang ditiup badai kelukaan.

Mereka yang buat aku macam-macam, ajak orang lain benci aku, sebarkan aib aku, masalah, pulau, mereka tak tahu sejauh mana dalamnya luka yang mereka telah tanam sehingga ke dasar hati aku, mereka tak tahu bagaimana aku meneruskan kehidupan dengan hati yang tidak sempurna sembuhnya.

Sunguh mereka tak tahu.

Jadi, sebab itulah bagi aku, ia merupakan satu credit yang besar dalam kehidupan aku. 

***

Alhamdulillah, aku kini menikmati kebahagiaan dalam kehidupan aku, bersama orang-orang kesayangan, walaupun ia tidaklah seramai orang-orang yang berdiri di samping mereka yang telah menghilangkan senyuman aku.

Tetapi bagi aku, yang penting itu adalah kualiti, bukannya kuantiti.

Sehingga hari ini, masih ada lagi mereka yang menghalang aku daripada mengejar kebahagiaan sendiri, walaupun mereka tidak pernah memberikan aku kebahagiaan, tak pernah membuatkan aku rasa nikmat dalam perhubungan manusia.

Apatah lagi tak pernah menundukkan ego mereka, jauh sekali nak memohon maaf.

Sehingga satu tahap, orang-orang yang aku sayang turut sama terpalit dalam perbuatan dan kata-kata mereka.

Subhanallah, hanya Allah S.W.T sahaja yang tahu betapa pedihnya hati ini.

Sungguh, kau semua tak tahu betapa payahnya aku meneruskan kehidupan disebabkan perbuatan dan kata-kata kau semua.

Sungguh, kau semua tak tahu betapa lukanya aku, sehingga ke dasar hati.

Sungguh, kau semua tak tahu betapa peritnya melihat dan bersama lagi dengan kau semua untuk masa yang panjang.

Sungguh, kau semua tak tahu betapa peritnya melihat kau semua senyum, sedangkan senyuman aku telah pun kau semua hilangkan.

Sungguh, kau semua tak tahu betapa payahnya aku berpura-pura bahawa kau semua tidak wujud di depan mata.

Sungguh, kau semua tak tahu apa yang aku rasa, kerana kau semua tak pernah merasa apa yang aku rasa.

And yet, aku meneruskan kembali perjuangan aku dalam mengejar kebahagiaan sendiri. Kerana aku takkan biarkan orang lain yang menulis dalam buku kehidupan aku sesuka hatinya, dan takkan biarkan orang lain menghalang aku daripada mengejar senyuman aku yang hilang itu tadi.

Mengakhiri post, berhentilah wahai semua pembaca yang aku sayangi, daripada menghilangkan senyuman orang lain.

Berhati-hatilah dalam berkata-kata, sebab kita tak tahu sejauh mana luka yang telah kita toreh dalam hati seseorang itu.

Jagalah perbuatan kita, kerana kita tak tahu sejauh mana perbuatan kita itu membuatkan kehidupan seseorang itu susah dan punah.

Jangan rasa hina dan rendah diri untuk memohon maaf atas kesalahan kata-kata dan perbuatan kita, takut-takut nanti tatkala dicari-cari, dia telah pun kembali menghadap Penciptanya sebelum sempat kemaafannya kita pinta.

Maafkanlah kesalahan aku yang hina dina ini, sungguh aku tidak sempurna.

Terima kasih kepada mereka-mereka yang membuatkan aku sentiasa tersenyum. Dan terima kasih juga kepada mereka-mereka yang menghilangkan senyuman aku.

Ingatlah, jika kita tak mampu membuatkan seseorang itu tersenyum, janganlah kita buatkan dia menangis pula.

Dan ingatlah, sesungguhnya dunia ini bulat. 

Suatu hari nanti kita pula yang merasai pahitnya hempedu, jika kita tak tahu betapa payahnya seseorang itu menelan hempedu yang telah kita berikan.

Comments

Popular Posts

Terima Kasih Followers