(10) Hal Yang Mengindahkan Perhubungan : Jangan takut untuk zahirkan kasih sayang

Assalamualaikum warahmatullah. Apa khabar korang semua? Aku berharap agar korang semua berada dalam kesihatan yang berterusan - zahir dan batin -, dan aku mendoakan agar Allah S.W.T memberkati kita semua.

Pada post kali ini, aku berminat untuk berkongsi kepada korang semua 10 hal yang perlu ada dalam sesebuah perhubungan, dan tak dapat tidak perhubungan di sini semestinya adalah perhubungan percintaan.

Dan perhubungan percintaan di sini semestinya adalah perhubungan percintaan yang serius, di mana pelbagai usaha dilakukan - dan niat itu sentiasa ada - untuk memastikan ia disudahi dengan ikatan perkahwinan yang tidak akan disudahi selamanya.

Hohoho, bajet serius bukan? Dan bajet seriusnya aku, sehingga aku mewajibkan kepada sesiapa antara korang yang tidak memiliki kriteria-kriteria tersebut, boleh abaikan post ni dan berpindahlah kepada post-post aku yang lain.

Mengapa? Mudah sahaja, kerana aku tidak mahu berkongsi post ni kepada mana-mana manusia yang memandang perhubungan sebagai satu program 'kill time', memainkan hati-hati manusia, dan hanya try and error sahaja.

Masih lagi di peringkat muqaddimah, aku yakin dan percaya kepada mereka-mereka yang setia membaca blog aku, malah mungkin sehingga tahap sudah khatam semua post-post aku, dan mereka-mereka yang mengenali aku, sudah tentu tahu bagaimana kisah cinta aku, bukan?

Oh pembetulan, kisah-kisah cinta aku, bukan? Hahaha.

Macam yang acap kali aku tekankan, blog aku ni bukanlah bergenre cinta, blog aku ni bergenre kehidupan, dan aku mengiktiraf cinta itu sebahagian daripada kehidupan.

Ya, aku tahu, aku tidak memiliki kisah-kisah cinta yang agung, seronok, sweet-sweet, tangkap leleh, melainkan hanya deretan kisah-kisah cinta yang penuh dengan air mata, luka, kesedihan penyesalan dan lain-lain bad ending yang tidak pernah aku hajati.

Untuk itu, sememangnya korang yang masih noob atau kali pertama singgah di blog aku ini - selamat datang -, seribu kemaafan kerana aku tidak mampu menceritanya buat sekian kalinya di post ini. So, teruskan membaca, dan akhirnya korang akan tahu siapa aku, dan bagaimana aku mengenali cinta manusia.

Walaubagaimanapun, sehingga hari ini aku masih memberikan nasihat-nasihat dan tips-tips cinta kepada mereka-mereka yang benar-benar memerlukan, supaya mereka-mereka ini tidak merasai apa yang aku rasai, biarlah aku sahaja yang merasai kepahitan dan kesakitan tersebut.

Dan alhamdulillah, berkat doa-doa kalian yang menyayangi aku, kini aku sedang menikmati sebuah perhubungan yang senantiasa aku sebut-sebut dalam doaku, dan perhubungan itu sudah pun berusia setahun.

Aku mohon doa-doa kalian semua, agar aku berjaya membawa perhubungan ni ke level yang lebih tinggi - perkahwinan -, dan post ni aku karang khas untuk kalian semua, untuk menunaikan janji aku kepada 'nya' buat setahun usia perhubungan ni, dan juga buat diri aku sendiri.

10 hal ini, adalah perkara-perkara yang senantiasa aku buat tatkala aku dalam perhubungan, sejak dulu sehinggalah sekarang, jadi moga-moga ia boleh membantu korang semua, dan moga-moga korang - yang berada dalam suatu perhubungan -  berjaya menikmati perhubungan yang indah-indah.

Dan akhirnya berjaya memeterai kontrak cinta perkahwinan yang abadi, yang kekal selamanya abadan abada, sehingga ke Syurga sana kelak.

So, shall we start?

***

(1) Saling memberi, saling menerima

Aku sering mengumpamakan perhubungan ini seumpama 2 manusia yang menaiki sebuah sampan bersama. Di mana sampan ini perlu dikayuh ala-ala hipster gitu, dan tidak menggunakan kuasa enjin.

Ya, secara realitinya, sampan yang dikayuh oleh 2 orang yang menaikinya, bersama-sama, semestinya bergerak dengan lebih laju. Dan semestinya, jika keletihan, sudah tentu kedua-dua mereka akan letih bersama.

Jika korang perasaan, aku menggunakan perkataan 'saling' (atau fa ala dalam Bahasa Arab), di mana ia jelas membawa maksud perbuatan yang dilakukan oleh dua orang, dan ia ada konsep timbal balik sesama mereka.

Dalam perhubungan, setiap  mereka memegang 2 peranan, iaitu dialah juga yang memberi. Dan dialah juga yang menerima.

Perhubungan yang indah, adalah perhubungan yang memiliki pattern camtu. Hari ni kau memberi, dia pula yang menerima. Besok dia pulak yang memberi, kau pula yang menerima. Hari ni kau sweet-sweet, besok dia pulak. 

Masing-masing mahu menyayangi dan disayangi, walau sekuat mana dia menyayangi pun, mesti dia nak disayangi juga.

Dan percayalah cakap aku, perkara ni sangat menjadikan sesuatu perhubungan itu cukup indah. Dan percayalah cakap aku, sekiranya hanya satu pihak yang memberi, satu pihak je yang menerima, perhubungan itu takkan bertahan lama.

Dan kesianlah mereka yang asyik memberi je, penat seorang-seorang. Seorang je berpeluh lencun basah baju sebab kayuh sampan seorang-seorang, seorang lagi dok duduk baring-baring sambil makan Mc Flurry.

Akhirnya seorang berputus-asa kerana letih mengayuh seorang, dan sampan pun karam kerana tidak dikayuh.

(2) Jangan pendam perkara yang membuatkan kita terasa dengan dia

Kenapa nak berahsia? Dengan orang lain tak mengapa kalau kita nak berahsia, tapi mengapa dalam perhubungan pun kita nak berahsia?

Ya memang, istilah sebuah perhubungan yang sempurna tanpa gaduh-gaduh dan tak terasa ni memang tak pernah wujud dalam kamus perhubungan. Mesti kadangkala, ada je perkara-perkara yang dia lakukan, membuatkan kita terasa dengan dia.

Jika terasa hati, terluka di mana-mana, kenapa tidak diluahkan terus kepada dia? Ni tak, simpan-simpan dan simpan, akhirnya luka itu menjadi parah, sehingga ia memberi kesan kepada perhubungan.

Jangan takut untuk meluahkan apa yang kita terasa hati dengan dia. At least dia tahu kita ada terasa hati dengannya, dan kita pun akan rasa lebih gembira, tenang, dan boleh menikmati 100 peratus perhubungan yang indah dengannya.

Percayalah, perhubungan yang ada konsep tak pendam-pendam, dan saling meluahkan ni, sangat best, sangat seronok. Malah, konsep tak pendam-pendam ni akan membawa pula hal yang ke-3 iaitu :

(3) Jujur dalam semua perkara

Antara kunci sesebuah perhubungan yang indah bahagia, ialah perhubungan yang mengamalkan konsep kejujuran.

Jujur di sini jangan salah sangka, bukan bermakna kita kena beritahu semua rahsia kita dari kecil, siapa skandal-skandal kita, crush la apa la, tak bukan tu! Jujur ni bukan bermakna kita kena buka semua rahsia kehidupan kita termasuklah pekong scabbies jerawat yang ada di dada.

Tapi, jika kita tak main pendam-pendam, maka automatik kita juga akan jujur.

Terasa hati dengan kita, jujur. Kita terasa hati dengan dia, jujur. Kita nak something daripada dia, jujur. Kita jealous dengan perbuatan dia, jujur. Kita ada buat perkara-perkara yang dia tak suka, jujur.

Besarnya erti jujur ni, sebab sesuatu perhubungan tu boleh musnah sekiranya pengkhianatan itu berlaku. Dan hakikat yang menyedihkan tentang pengkhianatan, adalah ia tidak pernah datang daripada orang yang kita tak kenal.

Sekiranya kita ada buat perkara-perkara yang jelas mendatangkan kemarahan dia, atau dia tak suka, jadi kenapa nak berahsia? Kenapa tak mahu jujur? At least lebih baik daripada dia tahu daripada mulut orang lain, kan?

Mulai hari ini, belajarlah untuk letakkan elemen jujur dalam perhubungan, in sha Allah, tidak akan ada rahsia sesama korang. Dan, hati berasa lebih tenang, tak pendam-pendam, dan sentiasa jujur dalam perhubungan.

(4) Sharing is caring

Memang, kita banyak menyembunyikan macam-macam jenis perkara dan hakikat daripada ramai orang, termasuklah ahli keluarga kita sendiri. Walau bagaimana kita disakiti oleh kawan contohnya, kita masih lagi tersenyum dan angguk je setiap kata-kata dia walaupun jelas kita annoying gila dengan dia.

Tapi, kenapa bila dalam perhubungan pun, kita masih lagi camtu? Sepatutnya dialah yang akan menjadi tempat kita berkongsi segalanya. Dan kita juga tempat untuk dia berkongsi segalanya.

Susah senang, seronok gembira sedih, marah dengan siapa, tension stress dengan kerja, semuanya. Bukan yang part best-best dikongsi bersama, tapi part yang tak best-best tiba-tiba jadi milik masing-masing.

Tak kisah lah lelaki atau perempuan - walaupun obviousnya adalah lelaki -, apa gunanya berada dalam perhubungan, kalau tak mahu berkongsi segalanya bersama? Memang, kita ada family, ada besty, bestfriend lain-lain, tapi apa gunanya dia di situ? Apa gunanya kita di sini?

Sepatutnya, kita lah orang yang paling tahu segalanya susah senang dia. Dan dialah orang yang paling tahu segalanya susah senang kita.

Jangan malu dan takut untuk berkongsi, kan sharing is caring?

(5) Jangan tidur dalam masalah

Macam yang aku cakap tadi, perhubungan yang sunyi daripada pergaduhan, perbalahan , tak sefahaman tu tak wujud. Kenapa? Kerana tidak ada perkara yang sama dalam 2 diri insan yang saling menyintai melainkan berkongsi rasa cinta yang sama.

Pergaduhan, perbalahan, tak sefahaman tu berlaku sebab kita ni tak sama. Kita ada perangai dan ragam kita sendiri, dia pun ada perangai dan ragam dia sendiri.

Tapi, tatkala pergaduhan tu berlaku, jangan biarkan ia berterusan dalam jangka masa yang lama. Kalau boleh, hari tu bergaduh, hari tu juga selesaikan. Biarlah sebesar mana pun, janganlah ambil masa yang lama untuk diselesaikan.

Memang, masa itu perlu. Masing-masing perlu bertenang, dan mencari kewarasan diri. Tapi percayalah, penyelesaian itu wujud bila korang berdua sama-sama menyelesaikan. Sama-sama ya, bukan seorang je.

Aku masih ingat, ex aku masih mampu lagi tidur lena walaupun kami sedang bergaduh besar suatu hari tu. Dan adakah mampu aku tidur lena sedangkan masalah itu tak selesai? 

Dan baguslah, kerana kini aku dipertemukan dengan seorang yang membantu aku menyelesaikan ketidak sefahaman dalam perhubungan kami dengan cepat.

Jangan sesekali korang tidur dalam keadaan masalah yang masih lagi menemui jalan buntu. Biarlah masing-masing serabut, ngantuk, tapi asalkan masalah itu selesai, dan cara untuk menyelesaikan masalah itu adalah hal yang ke-6 iaitu :

(6) Dengarlah untuk menyelesaikan, bukan dengar untuk menyerabutkan

Tak dapat tidak, masing-masing perlu mencari jalan penyelesaian untuk menyelesaikan ketidak sefahaman yang berlaku. Bukan mengeruhkan apa yang sudah keruh, dan menyukarkan benda yang dah pun sukar.

Jangan sesekali membuat keputusan berseorangan, jangan sesekali menjatuhkan hukuman berseorangan, dan jangan sesekali membuat andaian tanpa mendengar kata-kata dari pihak satu lagi.

Dan apabila mendengar, cubalah mendengar kata-katanya untuk mencari jalan penyelesaian, bukan dengar, then hentam dia dengan kata-kata dia tadi.

Masing-masing nak menyelesaikan masalah kan? Belajarlah untuk faham, dengar dan membantu satu sama lain dalam perhubungan. Korang dah pun dalam perhubungan, dan perhubungan bukan tempat untuk sebelah pihak sahaja yang membuat segala jenis keputusan.

(7) Beritahu apa yang kita nak, bukan biarkan dia tahu sendiri

Perhubungan ni berlaku antara kita dengan dia, dan kita dan dia adalah manusia biasa. Manusia biasa ni, bukannya diberikan kebolehan oleh Allah S.W.T untuk baca isi hati dan pemikiran orang.

Kita pula ada macam-macam perkara dan benda yang kita mahukan, yang kita nak, dan yang kita tak nak. Tapi kita tak mahu suarakan kepada dia, kenapa? Sebab kita rasa ia adalah tanggungjawab dia untuk dia tahu sendiri. 

Lalu kita marahkan dia, kata dia tak romantik, kata dia tak memahami, dan kita marahkan dia, kerana buat perkara-perkara yang kita tak suka, sedangkan dia tak pernah tahu kerana dia tak pernah diberitahu kita.

Kita nak dia itu ini, beritahu. Kita tak suka dia buat begini, beritahu. Kenapa nak malu? Kenapa tak nak beritahu? Soal dapat atau tak, dia mampu atau tak untuk lakukannya, itu nombor 2, tapi yang penting kita dah beritahu.

Perhubungan akan menjadi lebih jelas, matlamat perhubungan akan lebih terlaksana, kerana masing-masing tahu apa yang masing-masing nak, apa yang masing-masing tak suka, apa yang masing-masing mahu.

Dan simply, ia dengan menggabungkan elemen kejujuran, dan tak pendam-pendam antara satu sama lain. Selama mana pun korang mengenali, hakikatnya ada perkara-perkara yang korang tahu, dan ada  yang tak.

(8) Memohon maaf atas setiap kesalahan yang dilakukan, dan belajar darinya

Dalam perhubungan ni, mesti akan ada kesalahan yang kita lakukan dalam perhubungan. Tak kisah ia kecil atau besar, samada ia kesilapan yang sama ataupun kesilapan yang baharu, jangan sesekali lupa untuk memohon maaf.

Memohon maaf ni umpama air sejuk yang diteguk oleh orang yang sangat-sangat kehausan di tengah-tengah kepanasan. Jika seseorang itu sedang marah atas kesalahan yang kita buat kepadanya, memohon maaf dengan segera itu akan menghilangkan kemarahannya, sekurangnya pun, mengurangkannya.

Memohon maaf ni sebenarnya satu ikatan janji yang menyatakan bahawa kita takkan mengulangi kesilapan yang sama. Namun berhati-hatilah, bukan semua kesilapan yang boleh kita ulang. Jika bernasib baik, kita akan mendapat peluang kedua, jika tak, itulah pengakhirannya.

Kita takkan boleh lari daripada kesilapan, tapi kita boleh belajar darinya. 

Belajarlah supaya jangan sesekali ulang kesilapan yang sama, sekurang-kurangnya. Jika kita tahu dia tak suka sesuatu perkara, atau ada benda yang kita dah pun janji untuk tak buatnya, maka janganlah kita buat.

Jika kita buat, samada sengaja atau tak, jujur, jangan pendam-pendam, berterus-teranglah, dan mohonlah kemaafan. Walau apa kesudahannya, sama ada dimarahi, mencipta pergaduhan atau dimaafkan, at least kita dah pun menjalankan peranan kita dengan baik.

Malah, memohon kemaafan ni sebenarnya bukan hanya tanda kita salah sahaja. Tapi sebenarnya, ia adalah tanda kita yang matang dalam perhubungan ni.

Dan dalam mendapatkan sebuah perhubungan yang indah juga, mestilah juga :

(9) Memaafkan dan memberi peluang

Dalam perhubungan ni, mesti akan ada kesalahan yang dilakukan kepada kita. Tak kisah ia kecil atau besar, samada ia kesilapan yang sama ataupun kesilapan yang baharu, jangan sesekali lupa untuk memaafkan.

Memohon maaf bukanlah suatu benda yang mudah untuk dilakukan, tapi jika dia memohon maaf atas kesilapan yang dia lakukan, maka walau sepedih mana kesilapan yang dia lakukan tu, janganlah rasa berat untuk memaafkan.

Percayalah, bila kita memaafkan, kita akan berasa tenang. Bila memaafkan, ia bermakna kita memberi peluang lagi. Jangan menghukum dia berlebih-lebihan atas kesalahan yang mungkin kecil sahaja sebenarnya.

Mungkin hari ini hari dia yang melakukan kesilapan dalam perhubungan, esok lusa, hari kita pula yang melakukan kesilapan dalam perhubungan.

***

Menjalin sesebuah perhubungan ni umpama menambah sebiji kepala lagi kat sebelah kepala kita. Memang ia berat, dan kadangkala ia menyusahkan dan merimaskan.

Tapi, jika kena pada caranya, kita boleh melihat dengan lebih jelas sebab ada 4 biji mata, boleh mendengar dengan jelas sebab ada 4 telinga, boleh berfikir dengan kuat sebab ada 2 otak dan boleh makan banyak makan serentak sebab ada 2 mulut, hohohoho.

Sebab tulah, jangan sahaja-sahaja menjalin hubungan, kalau tak bersedia menghadapi macam-macam jenis cabaran dan dugaan. Perhubungan ni bukan seronok je memanjang, ada masa kita menangis, ada masa kita gembira.

Seperfect camana pun orang yang kita jalinkan hubungan, hakikatnya kita tetap tidak akan dapat memiliki sesebuah perhubungan yang perfect. Kalau korang rasa perhubungan yang perfect adalah perhubungan yang takde gaduh-gaduh, sweet-sweet je belaka, so maknanya memang takdelah perhubungan yang perfect.

Tapi bagi aku, perhubungan yang perfect itu adalah bila mana 2 insan yang serba tak perfect mencuba sedaya upaya memperfectkan perhubungan mereka, bersama.

Mengakhiri post, aku mendoakan agar korang yang sedang dalam perhubungan ni sentiasa gembira bersama. Sekuat mana cabaran dan dugaan yang korang lalui, laluilah ia bersama. Semoga 10 hal-hal yang aku kongsikan dalam post kali ni memberikan korang sedikit sebanyak manfaat.

Jangan lupa doakan aku juga ya?

Perhubungan itu indah, sekiranya dinikmati dan dibina bersama. Ingatlah, membina perhubungan itu mudah je, tapi nak kekalkan tu perlukan banyak tenaga, masa dan upaya. Jangan berputus asa, walau sekuat mana dugaan dan ujian yang mendatang, hadapilah kesemuanya bersama, ok?

Terima kasih kerana membaca post aku yang panjang ni, semoga korang semua bahagia bersama orang-orang kesayangan korang semua.

Dan, hal yang ke-10, telah aku jadikan sebagai tajuk post ni, huhuhu.

Selamat Ulang Tahun Setahun perhubungan kita, sayang, terima kasih atas segalanya :)

Comments

Popular Posts

Terima Kasih Followers