Yang susah itu akan kekal susah selagi tak dilakukan
Assalamualaikum warahmatullah. Apa khabar korang semua? Sihat ke? Apa cerita korang yang terbaru? Subhanallah, betapa lamanya aku meninggalkan penulisan blog ni. Kalaulah blog aku ni seorang virgin, mesti dah jadi andartu ah.
Ok lawak hambar masih tak berubah, so macam biasalah, aku mulakan muqaddimah aku dengan sesi bermaafan seperti yang dilakukan di Hari Raya Aidilfitri. Walaupun aku tidak pasti adakah perkara tersebut wujud time Tahun Baru Cina, tapi please, izinkan aku memohon maaf.
Maafkan aku, kerana sudah lama tak menulis. Maafkan aku, kerana dah lama tak update blog ni. Maafkan aku atas komen-komen dan soalan-soalan yang lama tak berjawab, biarkan aku menggantung korang tanpa tali, owh jahatnya aku!
Ada masa aku busy, busy dengan komitmen sebagai mahasiswa Universiti Sultan Dot Dot, dengan assignment itu ini, malah busy juga dengan komitmen dengan persatuan - walaupun just kuli batak -, busy ke sana ke mari, buat macam-macam perkara yang kadang-kadang aku paksa rela je.
Dan ada masa aku tak busy, tapi saja-saja berlagak seolah-olah akulah antara manusia yang sibuk di dunia, dok fikir dalam kepala bahawa aku banyak gila assignment, menyebabkan aku busy, malah banyak gila kerja persatuan.
Bukan itu sahaja, aku juga membusykan diri aku yang tak busy ni dengan anime dan tido yang berpanjangan.
Malah tak busy aku ni, menyebabkan aku menggantung korang semua tanpa tali, kerusi dan lain-lain alat yang berkaitan dengan sesi pergantungan, tak update blog walaupun tak busy tapi acah dan bajet busy, dan tak jawab soalan-soalan yang mungkin memerlukan respon sepantas manusia yang tak busy.
Aku sedar khilaf aku itu, sebab itulah aku cuba menulis walaupun di page Facebook Siapa Mahu Bahagia, maaf itu dan ini, dan aku minta agar korang doakan semoga aku diberikan taufiq dan hidayah - di mana Taufiq dan Hidayah ni bukannya anak-anak aku atau sesiapa - oleh Allah S.W.T agar aku mampu menulis.
Dan hari ni, setelah sekian lama aku bermonolog dengan hati, minda, nafsu dan perasaan, akhirnya aku buka kembali lappy kesayangan aku ni, bukan untuk buat assignment, tengok Naruto yang tak tahu nak habis bila - filler je sapa ke ceroh - apatah lagi main game, tapi untuk berkongsi bersama korang...
...pembaca yang aku sayangi sekalian. *masukkan lagu-lagu yang riang-riang dan ciuman love-love yang banyak
***
Alhamdulillah, dalam beberapa hari ni, aku telah berjaya menempuhi pelbagai perkara yang susah.
Susahnya, sampai hati aku berasa begitu tidak tenang, tak rasa riang dalam menikmati kehidupan, malah aku nak tidur pun payah, sebab asal aku tutup mata je, aku akan terbayang macam-macam perkara yang berkaitan dengan program, sebab otak aku bergerak pantas umpama wifi universiti yang laju time memalam ni.
Maka penyudahnya, aku buka henset, main game, buka Youtube, dan layan 9Gag sampailah aku terlelap.
Antara perkara yang susah tu adalah, aku terpaksa menguruskan program yang besar, dalam masa yang sama ada satu perbentangan assignment yang perlu aku lakukan bersama kawan-kawan segroup.
Universiti aku menjadi tuan rumah untuk Karnival Jom Masuk Ipta, dan tanpa disangka-sangka fakulti aku telah diminta oleh pihak atasan untuk join karnival tersebut, bersama 5 lagi persatuan-persatuan yang lain.
Apa yang buatkan aku stress adalah, programnya hari Sabtu, tapi aku dapat maklumat dalam hari Ahad begitu, hanya ada kurang seminggu je untuk buat persiapan tersebut. Perbentangan assignment pula pada hari Isnin, sehari selepas tamat karnival tu nanti.
Persatuan aku minta aku untuk handle benda ni, dan dalam keadaan paksa rela aku terima je, sebab aku fikir, mereka semua sibuk, aku juga sibuk, tapi mereka lebih sibuk daripada aku, dan sibuk aku hanya menyibuk je.
Dan jika bukan aku sebagai ahli persatuan nak buat, siapa lagi nak buat? Maka atas dasar itu, aku terima tawaran tersebut, walau dengan hati yang penuh dengan ketidak relaan.
Aku menghadapi bermacam kesukaran, aku terpaksa turun naik pejabat, angkat barang-barang yang berat seorang diri tanpa kenderaan, uruskan birokrasi, berpeluh-peluh walaupun berpakaian serba hensem ala-ala mahasiswa universiti yang beriman dan dicontohi semua.
Bukan takde yang mahu menolong, tapi aku dah terbiasa untuk buat sesuatu selagi mana aku mampu.
Aku juga perlu fikir apa aktiviti yang aku nak buat untuk menarik pengunjung-pengunjung ke booth fakulti, kerna aku adalah wakil course aku - Bahasa Arab -, malah yang menyedihkan aku tidak menerima sebarang tunjuk ajar daripada mana-mana wakil daripada pihak atasan fakulti.
Jadi aku macam lost, lost, dan lost. Tak tahu nak mula daripada mana. Dalam kepala aku, aku berfikir adakah aku sudah membuat keputusan yang salah?
Dalam masa yang sama, aku kesiankan kawan-kawan yang menunggu aku untuk buat discussion sama-sama. Yela, tak tergamak aku untuk biarkan mereka bersusah-payah tanpa aku, dan aku bukanlah orang camtu, jadi aku betul-betul kesian kat depa semua.
Masa makin berjalan, hari semakin dekat, tapi gitu jela, krik-krik, kerja apa tak jalan lagi.
Kepala mula berfikir kebarangkalian yang negatif, adakah aku berjaya, atau salah buat keputusan?
***
Aku yakin dan percaya, korang juga pernah menghadapi masalah macam aku ni. Banyak masalah yang datang dalam masa yang sama, dan korang jadi macam serabut, yang mana aku nak buat dulu, yang ni ke, yang tu ke, macam-macam.
Serabut gila!
Tapi, aku teringat satu kata-kata yang aku pun dah tak ingat dari mana aku dengar, tapi kata-kata tu sangat deep dan sehingga hari ni aku pegang, ketika mana aku ditimpa dengan macam-macam tanggungjawab dan komitmen, iaitu :
"Benda tu susah, sebab kita tak buat lagi. Bila dah buat, ia akan jadi senang."
Memang, sesuatu perkara tu akan jadi susah, selagi kita tak mula buat. Kita tak start buat lagi, jadi kita hanya bayangkan dalam kepala kita sesuatu benda yang tak jadi lagi, yang takde apa-apa pun asas binaan lagi walaupun satu ketul batu.
Jadi sebab itu, kita rasa payah gila, hati jadi tak tenang, mandi tak basah, makan tak kenyang, walaupun ia bukanlah tanda-tanda kita jatuh cinta macam yang dikatakan orang dahulu kala.
Seumur hidup aku, aku banyak kali mengalami perkara camni. Terasa berat sangat, stress kemain, otak banyak berfikir sampai masuk ke dalam tidur, jadi mimpi. Orang dok tidur mimpi aku - sebab hensem dll - tapi aku dok tidur mimpi pasal masalah-masalah.
Dan lebih worst lagi, sampai menganggu kekhusyukan solat aku.
Biasanya, akan rasa serabut kalau kena buat program ataupun assignment yang payah-payah macam tesis dll.
Tapi kan, bila aku dah mula buat, dah mula rangka itu ini, ajaibnya, perkara yang susah gila bapak tadi tu, beransur-ansur menjadi mudah, aku mula nampak perjalanannya, rasa berat hati mula hilang, malah jadi berbunga-bunga pulak.
Dan ada yang kadang-kadang terus siap terus. Jadi excited pulak buat benda tu.
So, benarlah kata-kata tadi, selagi mana kita tak start sesuatu kerja tu, selagi tulah kita akan rasa payah.
Dan sebenarnya, yang payah tu di sini *aku menunjukkan kepala aku dengan jari telunjuk
***
Mungkin korang yang tengah membaca ni adalah orang yang tengah serabut gila babeng, banyak gila kerja nak buat, entah mana satu nak mula dulu, jadi berbahagialah kerana korang sedang membaca blog dan post yang betul.
Bila dapat sesuatu kerja yang banyak sekaligus, kelepup - bunyi yang melambangkan sesuatu yang banyak berdebuk jatuh - selambak kerja-kerja dan tugasan komitmen datang kepada korang, apa kata korang cuba lakukan 3 perkara ni :
(1) Bertenang
Tarik nafas dalam-dalam, sedalam yang boleh sampai semua benda boleh masuk dalam 2 lubang hidung kau. Bertenang, supaya hati yang berdegup laju macam baru lepas lari 100 meter tu dia beransur lega.
Bertenang, barulah jadi waras. Bila dah waras, maka vision minda akan jadi clear. Ruang-ruang akal yang sempit tadi akan terbuka slow-slow, barulah boleh fikir itu ini.
(2) Catat perkara-perkara tersebut
Yes, semua benda komitmen perkara yang susah-payah tu ada je dalam kepala kita, tapi ia hanya terperangkap dalam ruang akal yang kita tak boleh nampak dengan mata kasar.
Jadi ambiklah sticky note, kertas kecil dan sebagainya, catatlah segalanya apa komitmen assignment yang susah-susah tu. Ni tak, sticky note asyik guna untuk perkara bukan-bukan. Dok tulis "Aku ambik maggi kau tadi" je. Tak pun "Happy Annivesary yang ke blah-blah", ish ish ish.
So secara tak langsung, kita dah menjadikan sesuatu yang asalnya kita tak boleh nampak, kini dah boleh nampak dengan jelas dan terang. Barulah kita tahu apa sebenarnya perkara susah-susah tu. Takut-takut ia just pemikiran kita semata-mata, atau mungkin perkara yang kita tak perlu risau pun sebenarnya.
Then, selepas dah kita dah tenang, mulalah susun satu-satu, ikut priority. Mana yang nak hantar dulu, mana yang susah, mana yang penting dll.
Selepas dah siap semua, dah tahu apa yang nak buat, mana yang penting semua, maka barulah masuk yang ke-3, iaitu :
(3) Mulalah buat benda tu
Perlulah aku terangkan lagi? Berhenti merungut, post macam-macam mintak belas kasihan kat page Facebook la bagai, dan mulalah buat walaupun slow-slow. In sha Allah, lama-lama siaplah tu.
***
Alhamdulillah, berkat usaha kuat dan gigih semua ahli, yang bersusah payah melebihi diri aku ni, akhirnya tamat jugak karnival 2 hari tu. Macam tak percaya yang aku dah berjaya lalui semua tu, tapi tulah hakikatnya.
Malah, aku juga berjaya lakukan perbentangan assignment bersama 5 orang kawan yang betul-betul memahami aku, malah minta agar aku tak push diri sendiri dan berehat. Mana nak cari kawan camtu beb?
Setelah tamat kedua-dua perkara yang betul-betul menguji emosi, mental dan fizikal ni, aku mengambil cuti dan menghadiahkan diri sendiri tidur yang betul-betul lama sehingga orang-orang kesayangan aku risau akan aku, hohohoho.
Mengakhiri penulisan aku ni, hakikatnya sama lah juga perihalnya macam aku tulis blog ni.
Jujurnya, aku dah buka banyak kali ah lappy ni, dah menaip panjang berjela-jela, tapi akhirnya aku takde idea dan malas, cancel, dan buka anime atau main game kat lappy ni.
Ada yang kadang-kadang aku dah bersemangat waja ah, tapi akhirnya lebur, kerana perasaan bajet busy aku datang, dan suddenly nafsu tidur membuak-buak gila. Katil tiba-tiba menjadi seksi dan mengugat keimanan aku. Dan aku tewas.
Dan hakikatnya, saat aku menulis ni, aku masih banyak assignment yang baru je fresh datang tadi macam bayi yang baru lahir, dan ada juga perkara komitmen program yang aku perlu buat sebenarnya.
Tapi hey, sesuatu benda tu nampak susah sebab kita tak start buat lagi je. Once kita dah start buat, in sha Allah, kita akan nampak bahawa benda tu senang je, dan boleh siapkan benda tu terus.
Tak percaya? Korang dah baca post ni sampai habislah, bukti bahawa aku baru je membenarkan teori ni, dengan mula menulis setelah sekian lama membajet busykan diri sendiri.
Aku tinggalkan korang dengan satu kata-kata (maqamat) daripada Ibn Maqafa :
Sekiranya bertimpa-timpa ke atas kamu banyaknya kerja,
Maka jangan kamu sangka dengan berehat (bertangguh) hari demi hari tu, siaplah kerja itu.
Dan sesungguhnya tiada rehat ke atas kerja tu, melainkan dengan menyiapkannya.
Dan sesungguhnya, perasaan sabarlah yang meringankan kamu.
Dan sesungguhnya, perasaan jemulah yang memberatkan kamu.
Comments
Post a Comment