Kenapa Manusia Sering Jatuh?

"Seorang Mukmin itu tidak akan jatuh ke dalam satu lubang dua kali"

Riwayat Bukhari dan Muslim

Assalamualaikum warahmatullah buat semuaaaaaa pembaca yang tersangat-sangat aku sayangi sekalian. *gelak sekejap* Tiada doa yang sering aku titipkan buat korang semua ke hadrat Allah S.W.T melainkan sentiasa dilimpahi keberkatan dan kerahmatan daripada-Nya.

Ya ya ya, aku tahu, begitu lama sekali aku tidak menulis. Macam yang aku mention dalam page rasmi blog ni beberapa hari lepas (walaupun page tersebut aku lihat agak hambar hahaha), kali terakhir aku update blog ni adalah pada 4 September tahun lepas!

Dan aku rasa, itulah kali pertama begitu lama sekali aku tidak menulis. Sampaikan sejujurnya, aku sendiri dah lupa bagaimanakah style atau uslub penulisan aku dalam blog ni. Bagaimana penggunaan warna, font dan lain-lain. Oh, begitu lamanya aku tidak menulis!

Dalam kepekatan malam ni, ketika mana bukan semua manusia sedang nyenyak tidur, aku menumpukan seluruh malam ni untuk aku menebus bulan-bulan yang sepi tanpa sebarang tajuk-tajuk penulisan aku.

Gigih aku set alarm, sebab nak bangun. Walaupun sebenarnya aku set alarm tu untuk main game haha.

Walaupun aku kira, bukannya ada orang yang menunggu pun. Aku bukanlah seorang yang famous atau masyhur di dunia luar, kan? Namun, aku percaya, tetap ada insan-insan yang menunggu-nunggu penulisan aku ini.

Dan alhamdulillah, segala puji bagi-Nya, berkat doa-doa mereka yang menunggu penulisan-penulisan aku ni, akhirnya termakbul jua. Lepas ni bolehlah doakan aku agar sentiasa peform dalam pembelajaran, dan akhirnya kahwin cepat-cepat kbai.

Sesungguhnya, aku betul-betul minta maaf! Kesibukan sebagai pelakon utama dalam drama kehidupan aku sendiri, dengan siri episod lepas yang sangat mencabar dan penuh dengan klimaks yang tidak terjangka, aku tidak dapat menulis.

Ditambah lagi dengan lappy aku yang masuk wad tiba-tiba. Jangankan update blog, nak buat assignment pun tak dapat beb! Dan semoga Allah S.W.T sentiasa memberkati, insan tersayang yang sudi meminjamkan lappynya untuk aku main game, eh bukan, untuk aku sempurnakan tugasan.

***
Aku kini semakin mendekati detik-detik akhir sebagai seorang mahasiswa yang mengambil Ijazah Sarjana Muda. Walaupun aku belum lagi menjejaki semester akhir, namun in sha Allah, jika tiada aral melintang, aku akan grade tahun depan.

Dan sesungguhnya, aku tidak mahu grade sebagai typical mahasiswa yang mahu asal lulus. Tapi aku nak grade dengan keputusan yang cemerlang, First Class Degree, then terus melamar insan kesayangan di atas pentas ketika mana aku berucap sebagai pelajar terbaik keseluruhan.

Ok yang hujung tu aku tambah dan nampak sangat menipu. Tapi, seriously aku nak grade dengan keputusan Ijazah Kelas Pertama.

Alhamdulillah, aku selamat menghabiskan minggu pertama semester baharu. Dan sedihnya, result semester lepas sangat mengecewakan. Pointer semester mahupun keseluruhan turun mendadak. Aku menghadapi semester lepas yang dikatakan oleh Ketua Pusat Pengajian aku sebagai semester yang paling susah dalam course aku.

Dan ia sememangnya benar! Semester lepas merupakan semester yang penuh dengan air mata. Aku sendiri dah lupa berapa banyak air mata ni keluar.

Pointer aku kini umpama huruf V yang diterbalikkan. Menaik, kemudian menurun. Dan melihat semester baharu ni, aku rasa wujud peluang untuk aku comeback balik dengan result yang peform teruk. Tapi still, aku tetap tak boleh pandang rendah akan subjek-subjek semester ini.

***

Cukuplah dengan basa-basi dan muqadimmah aku ni.

Sebagai pembukaan post tahun 2018 ni (walaupun dah 3 Februari dah pun), aku tertarik untuk berkongsi beberapa cerita ringkas, untuk aku kaitkan dengan sebuah jawapan ringkas kepada sebuah soalan yang sangat komplels, iaitu:

"Kenapa Manusia Sering Jatuh?"

Persoalan ini sering menjadi 'shower thought' dan 'berak thought' aku. Oh, aku lupa nak mention yang idea aku ni dilihat mencurah-curah ketika aku buang air besar. Sama mencurah-curah macam, er, ok tak mengapalah. Yang penting aku nak mention yang kadangkala idea aku banyak time tu.

Aku sering terfikir, mengapa manusia sering jatuh, dengan melihat permasalahan-permasalahan yang sering menimpa aku. Dari permasalahan yang remeh-temeh sampailah permasalahan yang berskala besar. Yang boleh buatkan aku sakit kepala, yang boleh buatkan aku menangis.

Aku rasa, korang pun mesti terfikir camtu juga. Walaupun kita diuji oleh Allah S.W.T dengan permasalahan yang berbeza-beza, namun aku percaya temanya sama sahaja. Masalah keluarga, masalah cinta, persahabatan, kerja dan lain-lain.

Dan untuk itu, mesti korang akan terfikir, kenapa diri ini diuji sebegitu rupa?

Kenapa diri ini sering jatuh?

Maka izinkanlah aku, untuk kongsikan lima buah cerita ringkas.

CERITA SATU

Umur aku kini ialah 20-an, maka aku juga pernah menghadapi zaman 'baru nak up' aku. Masa tu, merupakan zaman baju kemeja bunga-bunga dan seluar jean skinny. Dan of course, apa-apa jua baju pun mesti nak fit kalau boleh. Lengan tu kalau boleh mesti nak ngam-ngam.

Disebabkan ketika itu badan aku agak kurus, perut pun masih terkawal (tak macam sekarang, ok abaikan) maka sedikit susah bagi aku untuk mencari baju yang ngam-ngam. Size S pun dah besar, apatah lagi size M. So, aku sangat suka kalau ada baju yang size XS, takpun XXS hoho.

Bila aku tahu yang baju ni sebenarnya kita boleh kecilkan dengan hantar kepada tukang jahit, maka rajinlah aku ke Pasar Besar Seremban untuk kecilkan baju-baju tersebut. Sehinggakan aku kenal hampir ke semua tukang jahit di situ.

Namun apa yang aku tak tahu ialah, aku ni masih lagi sedang membesar. Mungkin tidak memanjang, tetapi melebar hahaha. Jadi bila melebar ni, menyebabkan hampir keseluruhan baju tidak dapat aku pakai lagi, walaupun baju-baju tu antaranya yang merupakan kegemaran aku sampai diulang-ulang pakai beberapa kali.

Kadang-kadang ketatnya kat lengan, kadang-kadang kat perut. Kadang-kadang jadi senteng (singkat). Maka solusinya, terpaksalah aku beli baju-baju baharu.

Itu baharu cerita baju boh, belum seluar lagi. Seluar lagilah, yang jadi bala bila outer lepas dua tiga kali basuh, seluar tu jadi senteng. So bila senteng ni tersangatlah tak menarik dan kehenseman aku akan kurang.

Maka, sehinggalah sekarang, untuk mengatasi masalah tersebut, aku beli baju yang satu saiz yang besar. Macam M. Sebab tahu bila banyak kali basuh (ni bukan nak kata aku gemuk sebab aku tak gemuk ehemmm) baju tu akan mengecut.

Sama juga setiap kali nak potong kaki seluar. Aku akan lebihkan sedikit, kadangkala sampai ke lantai, sebab tak nak nanti dia senteng. Dan zaman outer seluar bagi kecil pun aku dah melepasinya, jadi aku akan cari seluar yang sedia dah kecil, dan ngam dengan style aku. Senang potong kaki je.

CERITA DUA

Aku juga seorang gamer. Walaupun aku tak minat game-game online macam Dota, COC mahupun Mobile Legend, tapi aku juga seorang hardcore gamer, yang main game sampai tak tidur malam. Namun sayangnya, lappy aku hanya boleh boleh mainkan game sekitar paling latest pun 2014. Tak boleh lebih. Nanti lag, tak best.

Masa kecil, aku selalu beli cd game, dengan harapannya aku bolehlah install dan main. Tapi sayangnya semua hampeh. Sebab tu aku lagi suka ambil guna hardisk member je. Actually yang hampeh tu bukan kedai, tapi aku sendiri sebab tak pandai install.

Dan sekarang, kat rumah aku ada dua file cd game. No Game No Life. Dan aku bersyukur insan kesayangan tak halang aku main game hahaha kbai.

CERITA TIGA

Aku tak rasa aku ni seorang bijak atau pandai, tapi ramainya cakap camtu. Namun, aku bukanlah seorang yang genius. Tetap ada subjek yang aku merasa apa itu gred gagal, aku pernah dapat 0/100 dalam satu paper (dirahsiakan).

Malah, ketika aku Diploma pun, tetap ada satu semester aku tak dekan. Dan aku tetap tak rasa yang aku ni pandai.

Tetapi, jatuh bangun dalam pembelajaran ni aku kira adat sebagai seorang pelajar. Walaupun dunia sekarang memandang tinggi kepada gred seseorang itu sebagai penanda aras, tapi hakikatnya aku cuba untuk seimbangkan antara gred dan belajar sebab nakkan ilmu tu.

Bagi aku, tiada yang lebih menyeronokkan daripada mendapatkan gred A untuk pensyarah (konteks aku seorang mahasiswa). Dan buat pensyarah yang semester dahulunya aku gagal dapatkan A, aku akan berusaha dan betul-betul lock subjek tu, supaya semester seterusnya aku akan dapatkan A.

CERITA EMPAT

Dalam blog, tema persahabatan adalah tema yang bagi aku ketiga terkuat, percintaan adalah tema yang kedua terkuat. Sebab aku menulis tanpa tema yang khusus, dan sekiranya aku diminta menjawab apakah tema blog ni, aku lebih selesa mengatakan bahawa tema blog ni ialah 'Kehidupan'.

Bercerita tentang persahabatan, aku banyak menghadapi beberapa masalah dan konflik (sehingga kini pun berlaku, cuma aku malas nak ambik tahu, dah lali) dalam bersahabat, dan percayalah, aku sendiri telah membuat banyak muhasabah diri.

Sama ada adakah ia berpunca daripada aku, atau adakah ia berpunca daripada mereka.

Dan setelah mengalami beberapa siri episod dalam bersahabat, aku cuba sedaya upaya untuk mengekalkan apa yang positif dan buang apa yang keruh dalam diri aku ni.

Walaupun sejujurnya, aku tidak dapat listkan top 10 kawan-kawan terbaik aku, namun boleh aku katakan, aku memiliki ramai kawan yang baik-baik.

Dan aku terus berdoa, agar suatu hari aku terus berjumpa dengan kawan-kawan yang sudi menyusahkan hidup mereka untuk aku. Dan aku tidak akan sesekali mensia-siakan mereka.

CERITA AKHIR

Tema percintaan adalah antara tema yang terpenting dalam kehidupan aku. Tak keterlaluan kalau aku katakan, aku menjadi matang dan membesar dewasa disebabkan tema ini. Begitu banyak perkara yang aku belajar dalamnya, sama ada menjadi seorang pencinta yang hebat atau mendalami apakah kehebatan cinta ni sebenarnya.

Sehingga satu tahap, aku membina kawan dengan pengalaman cinta. Sampaikan kalau aku jumpa atau lepak dengan seorang dua mamat, topik cinta nilah yang menjadi topik utama.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah S.W.T, aku dipertemukan dengan insan kesayangan yang setelah sekian lama dicari-cari. Walaupun aku tak tahu apakah kesudahan travelog ini sama ada baik atau buruk, namun aku mohon kepada Allah S.W.T agar apa yang aku mahu itu seiring dengan apa yang Dia mahukan.

Dan insan kesayangan ni sudah tentu bukan yang pertama. Sebelumnya berderet-deret wanita yang memberikan aku pengajaran dan kelas tanpa tauliah percuma tanpa bayaran. Daripada merekalah aku belajar apa itu cinta, seperti mana daripada kawan-kawanlah, aku belajar tentang persahabatan.

***

Maka, kenapakah manusia sering jatuh?

Lalu izinkan aku menjawab, berbekalkan dengan lima cerita hambar yang aku kongsikan tadi.

Dengan kesilapan dalam outer baju dan seluarlah, aku kini dapat menggunakan baju dan seluar dengan lama. Itupun selagi mana aku masih kuruslah ya.

Seluar yang aku potong kaki dapat bertahan dengan lama, walaupun selepas dibasuh. Dan dalam deretan tukang jahit yang aku minta outerkan, akhirnya aku jumpa seorang tukang jahit yang memiliki kualiti jahitan yang bagus dan menetapi standard aku.

Walaupun dia Cina, tapi aku doakan supaya dia panjang umur.

Dengan deretan CD yang tidak dapat aku install dalam PC disebabkan kejahilan aku dalam menginstall gamelah, kini aku berjaya menginstall puluhan game dalam lappy aku. Sampai berapa kali baiki dah lappy ni.

Walaupun CD tu sekarang dah jadi piring terbang ala-ala frisbee, namun daripada situlah aku belajar bagaimana cara menginstall game.

Dengan menghadapi kegagalan dalam pelajaranlah, aku sedar yang banyak lagi perkara yang perlu aku fokuskan. Setelah post mortem yang aku buat, aku kurang memfokuskan carry mark macam kuiz, tak macam aku fokus tahap gaban dalam final.

Kegagalan dalam pelajaran nilah yang lebih buatkan aku bersemangat, membuatkan aku kuat, dan lebih senang daripada mengekalkan ke'maintain'an kejayaan.

Dengan menghadapi kejatuhan dalam persahabatanlah, aku belajar sebenarnya apa itu erti persahabatan. Walaupun diakhirnya kawan-kawan aku membuka topeng wajahnya yang sebenar, dan menjatuhkan aku sejatuhnya.

Kejatuhan dalam persahabatan inilah yang membantu aku menjadi seorang kawan yang setia, yang pandai menghargai, matang, membantu sedaya boleh dan seorang kawan yang sentiasa ada semampu boleh.

Dan, dengan kejatuhan dalam percintaanlah, yang menjadikan aku seorang pencinta yang hebat. Bercinta dengan cara yang hebat. Bercinta dengan insan hebat yang membuatkan aku hebat.

Dan kesemua ini, aku perolehi dengan kegagalan. Kekecewaan. Air mata. sakit kepala, hati yang berderai, kejatuhan. Ya, kejatuhan.

Dan mengapakah manusia itu sering jatuh?

Supaya manusia boleh bangkit dan melangkah lebih jauh lagi.

Supaya manusia tahu bagaimana sakitnya kejatuhan, lalu mengelakkan dirinya daripada jatuh lagi.

Supaya manusia sedar kejatuhan itu adalah sebuah proses kebangkitan, mustahil kebangkitan berlaku tanpa kejatuhan.

Supaya manusia belajar, kerana bukan semua pembelajaran itu wujud dalam cerita yang bahagia. Kadangkala the most precious thing we learnt from the saddest event.

Dan mengapakah manusia itu sering jatuh,

Kerana Dia tahu kejatuhan itu akan menjadikan kita lebih hebat dan kuat.

Mengakhiri post, jatuh bukanlah tanda kita seorang manusia yang lemah. Kejatuhan itu cuma sebuah proses dalam kehidupan. Proses untuk membesar, menjadi matang, menjadi hebat.

Tiada salahnya dalam jatuh. Yang salah bila jatuh terus tak mahu bangkit. 

Terus bangkit dan bangkit, jatuh kali pertama, bangun kali pertama. Jatuh kali kedua, bangun kali kedua.

Kalau jatuh hati ke saya? Mohon jangan bangun. *masukkan bunyi -bunyi cengkerik tengah mengumpat*

Comments

Popular Posts

Terima Kasih Followers