LDR: Memusnahkan atau Menguatkan hubungan? (Bonus: Tips LDR)
Siapa-siapa yang mengikuti perkembangan blog ni, daripada aku mula-mula menulis pada tahun 2012 sampailah sekarang akan tahu dan faham, bahawa setiap post yang aku tulis dalam blog ni datang daripada pengalaman, kisah-kisah dan juga pandangan aku.
Lagi-lagi post yang berkaitan dengan cinta, di mana aku rasa dalam 105 buah post aku dalam blog ni, majoriti besarnya ialah post yang berkaitan dengan cinta, disebabkan pengalaman cintalah yang menjadi guru besar utama dalam hampir 30 tahun aku bernafas di dunia ini, di samping guru dalam pengalaman persahabatan dan keluarga.
Kalau buka di 'Kategori Post' yang aku letakkan di sudut kiri blog, korang boleh baca dan cari, di mana aku kongsikan dan tulis post berkaitan dengan cinta sendiri, macam clash, move on, friendzone, cara nak bercinta la apa semua, kiranya aku dah cover hampir 90 peratus segala apa yang berkaitan dengan cinta tu sendiri.
Dan aku rasa balance 9 peratus ni untuk aku cerita bab perkahwinan, disebabkan aku belum sampai ke tahap tu (mohon doakan aku wei), jadi aku tak boleh nak cong-cong sembang kencang disebabkan aku takde pengalaman lagi, dan aku tak mahu bercerita daripada pengalaman orang lain, sementelah ia akan menyebabkan aku telah melanggar code kehidupan aku yang melarang aku untuk sembang sesuatu yang bukan daripada pengalaman aku sendiri.
90 tambah 9 peratus baru 99 peratus boskur, di manakah lagi balance 1 peratus? Soalan yang lebih tepat ialah, apa yang 1 peratus tu? Sepanjang aku berkelana dalam dunia penulisan (walaupun tak keluar satu buku, tak famous dan menulis ikut seru) dan menulis tentang cinta hampir 8 tahun, barulah aku sedar bahawa ada satu topik yang aku tak pernah tulis berkenaan cinta,
Iaitu hubungan jarak jauh, atau lebih famous dikenali sebagai Long Distance Relationship (LDR).
Maka di sini hadir satu persoalan, KENAPA dan MENGAPA? Kenapa tiada satu pun topik yang aku tulis berkenaan LDR dalam blog ni? Mengapa aku tidak highlightkan walaupun hadir sebagai cameo atau photo bomb dalam mana-mana post aku yang berkaitan dengan cinta (aku rasa ah)?
Jawapannya, aku dah bagitahu dalam perenggan pertama blog ni:
Sebab aku tak pernah merasai LDR dalam kesemua perhubungan aku dulu.
***
Macam manalah aku nak rasa LDR?
Start bercinta umur sekolah rendah, ada juga skandal dan terlibat dalam cinta tiga segi seawal umur prasekolah, then masuk sekolah rendah dan menengah aku sekolah masih lagi di dalam negeri yang sama dengan rumah. Kemudian waktu Form 4 dan 5 aku single (serius talk) tiada dalam apa-apa perhubungan yang serius walaupun hampir-hampir ada kalau aku betul-betul put my mind in it (semangat SPM barangkali). Then, PLKN di negeri orang sampai terjatuh cinta pada amoi Kristian yang akhirnya tak menjadi mana tapi broken macam dah 10 tahun bercinta. Kemudian menjejak kaki di menara gading (Diploma) di negeri ikan celup tepung dan ketupat sotong pun, bercinta dengan muslimah purdah yang negerinya 2 jam dari rumah aku.
Dahtu, macam mana nak merasanya LDR? Dan untuk pengetahuan korang, aku baru sahaja merumuskan kisah percintaan hampir 25 tahun ya dalam satu perenggan. Hebat bukan?
Dan baki 5 tahun lagi sehinggalah sekarang nilah baru aku betul-betul merasa LDR disebabkan aku bercinta dengan orang yang suka makan seafood macam kerang (berkilo pun onz) disebabkan negerinya terkenal dengan laut, pantai, penyu dan lain-lain.
But still, soalannya lagi, kenapa dan mengapakah aku still tidak menulis berkenaan LDR, walaupun aku sudah pun merasanya lebih 5 tahun itu?
Adakah aku tidak sakit merasanya? Sudah tentu tidak, sakitnya perit lagi-lagi time layan Suria Cinta sambil mengamati segala memori, lagi-lagi kalau lepas berjumpa setelah sekian lama. Air mata yang gugur dari insan yang bernama lelaki janganlah dikira kerana sakit LDR.
Adakah si dia kesayanganku di sana tidak sakit? Sudah tentu lagi-lagilah tidak. Usah dicerita perihal persahabatan perempuan dengan air mata.
Adakah LDR memberi rahmat kepada kami berdua? Kadangkala ada rahmatnya, kadangkala ada balanya sehingga hampir pecah sampan cinta kami suatu masa dulu hingga hampir mengaramkan kami berdua di lautan jarak.
Lalu apakah sebabnya aku tidak menulis berkenaan LDR ini, mencukupkan baki 1 peratus (minus bab kahwin)?
Jawapannya ada dua,:
Satu, kami berdua malas nak berfikir sebab LDR. LDR tidak lagi menjadi concern utama dalam perhubungan kami, walaupun kadangkala hati terlalu sakit (selalunya sakit) kerana merindu. Kami berdua ambil konsep living the day, dan mengamalkan segala yang terbaik dalam perhubungan kami.
Dua, sebab aku tak teringat langsung (masukkan bunyi bangbangbom dan ada seekor babun datang)! Walaupun banyak yang hadir meminta tips dan nasihat tentang LDR, tapi tula, masih lagi takde sebab nak menulis tentangnya, mungkin kerana faktor jawapan satu dan lain-lain seperti malas contohnya (tiber).
***
Aku tak nafikan, topik LDR ni antara salah satu topik yang hangat dibincangkan acap kali menyentuh perihal cinta. Dan majoritinya, background story yang hadir di sebalik topik itu sudah tentu cerita yang diakhiri dengan clash atau segala ending yang menyedihkan.
Punca?
Satu, kehadiran orang ketiga. Antara punca terbesar. Bila dah jauh dan tak di depan mata, bila ada yang tiba-tiba hadir di mana dia dekat di mata, disebabkan terlayan supaya hilang rindu kepada dia nun di sana, akhirnya memilih orang yang dekat di mata berbanding orang yang dekat di hati.
Baru-baru ni aku berhubung dengan seorang teman lama di universiti, di mana aku terkejut suatu hari dia dok up di Facebook dan Instagram gambar awek dengan seorang lelaki lain. Dia letak caption "Lepas ni jangan tanya bila aku nak kahwin dengan minah ni!"
Aku yang terpinga-pinga, tanyalah apa cerita walaupun aku ni bukanlah seorang busy body dan tak ambil port kisah orang lain. Dan dia balas "biasalah LDR, kau pun cepat-cepat kahwin kalau tak nanti jadi macam aku." Tudia, LDR menjadi punca di situ.
Lalu beberapa hari berikutnya, aku dm dia di Instagram, dan aku sembang dengan dia, tanya camana ok ke, dan boleh move on ke camana. Dan dia cerita kat aku perihal apa yang berlaku sebenarnya, dan LDR yang hadir disebabkan dia orang Selangor dan ex dia orang Terengganu menyebabkan ada orang ketiga, di mana lelaki tu sama tempat kerja dengan ex dia.
Part yang paling sedih bagi aku ialah kawan aku ni nangis, dan aku tak boleh bayang camana muka dia bila menangis sebab muka dia gangster gila (aku pula baby face). Tapi tula, soal perempuan ni mana-mana lelaki boleh nangis walaupun yakuza sekali pun.
Dua, tak mampu nak meneruskan LDR sebab terlalu sakit merindu atau sukar nak berjumpa. Lagi-lagi kalau hubungan antara dua negara, fuh, lagi ah sakit sebab nak berjumpa tu susah gilos.
Tiga, tiada sifat trusthworthy dan saling mempercayai. Sentiasa ada rasa dan instict palsu bahawa pasangan mungkin ada orang lain blah blah, padahal tak pun. Ditambah lagi dengan masing-masing tak nak berterus-terang dan biarkan tohmahan dan tuduhan dibenarkan walaupun tak betul.
Apabila punca ketiga berlebihan, lahirlah punca Empat, iaitu insecure. Sampai tahap hack whatsapp dan nak password media sosial supaya boleh tengok dengan siapa berhubungan dan lain-lain. Lagi lah teruk dan menyebalkan.
Aku ramai je kawan-kawan yang camtu. Siap ada password media sosial. Tak percaya punya pasal. Aku dengan kesayangan paling-paling pun tahu password phone je, sebab password kitorang sama dan senang kalau aku suruh dia balas message atau aku nak guna phone dia ke apa.
***
Maka, setelah aku kongsikan segala punca yang menyebabkan clash, bad ending atau segala macam yang memburukkan LDR, maka izinkanlah aku untuk berkongsi tip-tips LDR, mana tahu ia membantu korang yang sedang LDR,
Dan secara tak langsung aku sampai di part terakhir post harini setelah sekian lama tak update blog.
(1) Semaikan sifat saling mempercayai
Aku letakkan ini tips pertama dan paling penting. Tak kisah mana-mana hubungan, LDR ke depan mata ke short distance ke apa, selagimana tiadanya sifat saling mempercayai, takde apa-apa hubungan yang boleh terlaksana.
Aku faham, bila dah jauh ni kita takkan tahu sangat apa yang pasangan kita buat di sana. Belum masuk lagi sekiranya pasangan kita tu memasukki suasana atau skop yang ramai orang kat situ, contoh macam kerja atau belajar. Jadi, confirm akan ada sifat risau atau bisikan-bisikan yang akan buatkan kita teragak atau takut.
Biasalah, bila dah sayang ni, mesti kita jealous kan? Cemburu tu tanda sayang, tapi kalau tak ditangani boleh jadi punca berpisah. Maka, perlunya ada sifat saling mempercayai, dan kalau betul-betul risau berdoalah, dan mintalah agar Allah jagakan dirinya di sana.
(2) Saling berterus-terang
Bergaduh ni biasa, tidak ada bumi yang tak ditimpa hujan. Pergaduhan atau perselisihan faham ni berlaku sebab ada miss-comunication atau ada salah faham. Jadi, perlu selesaikan salah faham tersebut walaupun mungkin salah seorang rasa (terutamanya lelaki) ala ni benda kecil atas muka bumi tu pun nak gaduh.
Sebab tula perlu berterus-terang. Perempuan tak puas hati dengan lelaki, luahkan apa yang tak puas hati, tak layan ke apa ke. Lelaki, perempuan tuduh itu ini, selesaikan dan bagi penjelasan yang sebenar. Perempuan nak tahu apa lelaki buat, asal senyap sangat? Lelaki bagitahu sebab apa, busy ke apa, hatta tertidur ke apa kena bagitahu juga.
Berterus-terang mengelakkan insecure dan bisikan palsu, dan menambahkan sifat saling mempercayai. Lagipun, itu kan pasangan kita, kenapa takut nak berterus-teran, lain kalau buat salah kan? Hatta nak jumpa lelaki atau perempuan lain pun kena bagitahu sebab takut ada salah faham.
(3) Saling memahami
Tiada yang lebih rahmat dalam perhubungan daripada memperoleh pasangan yang saling memahami. Kita faham dia, dia faham kita. Best kan? Tapi, best ni hanya diperolehi kalau hanya seorang je yang memahami, yang lain hanya difahami dan tidak mahu memahami.
Bila kita dah berada dalam satu perhubungan yang lama, sepatutnya sifat saling memahami ni dah kena ada patutnya. Macam aku, bila aku senyap semacam, kesayangan tahu dah aku terlelap (ter ya, bukan sengaja kahkahkah), bukannya pergi usha perempuan lain. Aku pulak, bila dah tahu busy, akan cuba cari masa untuk call ke apa supaya kesayangan tak rasa sedih atau risau.
Yang merosakkan LDR tu bila tiada sifat saling memahami. Bila lelaki senyap, perempuan kata taknak layan la apa padahal lelaki tu busy. Yang lelaki pulak, bila perempuan dok clingy kata menyampah, padahal perempuan tu sayang dan perlukan perhatian.
Bila kita dah ada sifat saling memahami ni, maka ia akan melahirkan sifat:
(4) Saling 'give and take'
Tak perlu cerita panjang. Saling memberi, saling menerima. Jangan seorang memberi, seorang tukang menerima je. Jawabnya tak tahan lamalah perhubungan camtu, hatta depan mata sekali pun.
(5) Manfaatkan segala teknologi
Untungnya kita, sebab kita dah berada di zaman yang penuh teknologi, berbeza dengan zaman datuk nenek kita dahulu. Dahulu kena bersurat bagai, postage sampai 2 hari lambat pun dah rasa pishang, ini kan pula surat sang pecinta yang sampai 3 4 bulan, tu pun kalau sampai.
Sekarang ni, macam-macam ada, Facebook Instagram Whatsapp Telegram macam-macam. Paling-paling cikai pun Whatsapp. Bukannya susah pun dan ambil masa yang lama. Kalau busy sangat takkanlah tak boleh hantar Selamat Pagi atau Selamat Malam.
Manfaatkan teknologi yang ada, semua tulah yang membantu merapatkan jurang LDR. Kalau tak mampu bertemu di alam nyata, atleast boleh jumpa di alam maya. Masalahnya acah busy, sekarang ni kalau nak balas Whatsapp pun ambil masa, dia antara dua je:
Sama ada takde line atau takde mood nak balas. Biasanya sebab kedua tu.
Dan last but not least,
(6) Jauhi orang ketiga
Memupuk cinta memang tersangat mudah, nak mengekalkannya yang payah. Sama juga nak start hubungan dengan orang ketiga ni senang je, lagi-lagi bila depan mata dan senang nak jumpa, tak macam pasangan kita yang jauh.
Aku sendiri pernah diuji dengan orang ketiga sebab LDR, cuma aku tak melayan. Yang jadi teruk sebab bila kita melayan, walaupun bermula dari rakan sekerja atau just teman biasa je. Bila dok layan semua, akhirnya jadilah orang ketiga.
Yang masalahnya, bila dan ada orang ketiga, orang kedua tu pun kau nak simpan juga. Ingat spare part ke apa?
Nak tahu sayang ke tak kita dengan seseorang tu, kita sentiasa akan diuji dengan kehadirang orang ketiga. Walaupun orang ketiga tu lebih segala-galanya daripada orang kedua, tapi tetap dalam bab sayang, sayangnya takkan melebihi orang ketiga yang hanya nampak kebaikan kita je, berbanding dengan orang kedua yang dah masak dengan kekurangan kita.
***
Mengakhiri post, kita tetap mampu memilih pasangan, tetapi kita tetap tak mampu memilih di manakah cinta itu akan berputik. Biasa orang suruh kita cari orang dekat, katanya senang nanti nak balik kampung time raya. Masalahnya raya hanya sebulan (kalau ikut adat), lagi 11 bulan tu nak buat apa?
Sebenarnya, aku berpandangan masalah LDR ni hanya untuk orang yang benar-benar saling menyayangi je boleh selesaikan. Malah, LDR tu tak menganggu sangat dan bukanlah masalah besar pun, selagimana kedua-duanya main peranan. Dah nama pun bercinta, mestilah kena dua-dua main peranan.
Satu benda yang kita kena ingat, LDR bukan untuk semua orang. Bukan semua orang berjaya dalam LDR ni. Tapi, semua orang pasti akan merasa LDR. Sama ada LDR yang masih kita boleh berjumpa di mana-mana sudut dunia ini,
Atau LDR yang hanya boleh berjumpa di alam satu lagi. Semoga Syurgalah sebaik-baik tempat berjumpa lepas LDR, kerana selepas itu tiada lagi L di dalam DR, hanya N, iaitu No Distance Relationship. #DoneDakwah #BroCuba
Kepada pembaca yang sedang LDR, aku mendoakan yang terbaik. Walaupun aku tahu perit jerihnya merindu, namun jangan risau kerana kedua-duanya berkongsi hati yang sama.
Kepada kesayangan yang jauhnya berjam-jam dari sini, semoga Allah menjaga dirimu sentiasa. Walaupun hatiku sakit merinduimu, namun aku percaya kau juga begitu. Bukankah kita berkongsi hati yang sama?
Dan juga maafkan aku kerana terlelap, bukankah kau memahami (tiber)?
p/s 1: Punyalah serius tajuk ni, aku pening nak pilih tajuk apa haha.
p/s 2: Teruskan menyokong aku ok?
p/s 5: Tolonglah dapat sebiji (siapa yang faham, faham).
Terbaik sifu
ReplyDeletehahaha apakah
Delete