3 cara berdepan PENOLAKAN: Apa nak buat kalau kena 'REJECT'?
Assalamualaikum wrh. wbt buat semua pembaca yang disayangi. Harapnya masing-masing jagalah diri elok-elok, sekarang ini aku tengok di medsos aku macam Facebook dan Twitter, rata-ratanya kenalan aku semua dijangkiti Covid.
Diorang punya ayat pun boleh tahan, macam "akhirnya aku pula" atau "one man down" menunjukkan yang diorang not the first one yang kena Covid ini. That's why lah aku ada baca satu tweet ini, dia kata orang yang masih tidak dijangkiti Covid ini sangat rare dan bangsa limited edition.
Syukur, aku bersama keluarga dan kesayangan masih lagi berada dalam golongan bangsa limited edition itu, dan moga-moga Allah S.W.T sentiasa memelihara kami, dan kita semua daripada bala yang tak nampak noktahnya, kejap koma kejap dibiarkan terhenti tanpa noktah.
Baru-baru ini buat kali berapa (aku malas nak kira), sekali lagi aku ditolak daripada diterima penjawatan pensyarah di satu universiti terkemuka Malaysia. Dia punya timing penolakan masa aku baca emel tersebut, bahkan masa nak jawab peperiksaan pun pergh, memang timing kurang enak.
Waktu itu aku baru sahaja pulang dari pendaftaran PhD (cerita di kemudian hari) di Terengganu, pun dengan timing yang kurang cantik sebab tiba-tiba pulak Terengganu banjir sebab angin monsun entah apa pasal berangin ke Malaysia.
12 jam duduk dalam bas waktu pergi, dan 10 jam duduk dalam bas waktu balik ke Seremban, kemudian sampai-sampai terus bergegas setengah jam dalam kepekatan pagi ke pejabat (mantan sudah). Itu belum campur tiba-tiba keracunan makanan (mungkin sebab makan terlalu manis dek kesayangan yang terlalu manis), pergh memang timing peperiksaan itu aku menjawab dalam keadaan aku tahu mungkin bukan rezeki aku lagi.
Namun, aku gagahkan jua dalam kesibukan dan kesakitan untuk menjawab peperiksaan tersebut, sebab untung sabut timbul untung batu tenggelam. Tetapi bila sekali lagi aku terima emel bahawa aku tak berjaya dalam peperiksaan tersebut, entah tiba-tiba rasa 'down' itu datang menyelit dalam kesakitan fizikal, dan mental.
Aku tertanya, aku ini tak layak ke jadi pensyarah? Aku rasa aku ini sudah cukup layak menjadi pensyarah, dengan pengalaman aku mengajar di sekolah hampir tiga tahun (dengan pelbagai jenis murid), belum campur lagi pengalaman tak rasmi mengajar rakan-rakan sekelas sejak sekolah sampailah Degree, kemudian aku ada pointer bagus plus aku sudah pun ada Master.
But yet, jawatan pensyarah itu aku rasakan macam susah benar nak dapat. Jangan cerita nak dapat, nak lekat nak merasa pun belum ada rezeki lagi.
Rasa pedih 'rejection' itu menyebabkan mari datang dia punya rasa 'down', dan rasa sakit itu bercampur baur dengan perut berangin dan sebu, sedikit demam dan ketidak selesaan badan.
Sepanjang hampir 3 tahun aku bekerja dengan 3 pekerjaan di 3 tempat berbeza, pekerjaan pensyarah ini merupakan sesuatu yang sangat aku kejari, sebab itulah dream job aku. Kalau tak, mengapa aku gagahkan untuk sambung hampir dua tahun Master dengan hampir 100% kewangan sendiri, then tanpa noktah aku terus sambung PhD (walaupun masih belum sampai dia punya mood) saat kawan-kawan lain menyambung zuriat kedua dah? *sedikit luahan berbentuk hasad yang positif kepada kawan-kawan yang dah ada keluarga sendiri
Dan dalam 3 tahun itu jua belasan resume dan CV aku hantarkan sama ada melalui emel mahupun pos siap setem, dan kesemuanya berakhir sama ada tak berbalas, atau gagal peperiksaan, atau dan pergi interview bertentang muka tapi tetap tiada rezeki.
Dan kerana itulah, tak hairanlah rasa 'down' itu datang kerana 'rejection' yang berterusan, yang hadir tanpa sebab, asal aku kena tolak? Sebab itulah aku cadangkan sebaiknya mana-mana company untuk bagi sedikit feedback kenapa mereka menolak seseorang calon itu. Untuk improvement mereka pada masa akan datang, atau atleast mereka tahulah asal company tersebut 'reject' mereka.
Macam kalau tetiba awek minta clash, tapi apa sebab pun dia tak habaq kat hang, memanglah hang rasa macam terkesima, then tergantung tanpa tali. Padahal bagitahu jelah kalau ada orang baharu dia suka, atau takde hati ke apa, simple as that! (pengalaman lama zaman muda-mudi)
Dan rasa 'down' itu menyebabkan mode beruzlah aku on sendiri. Dalam kegelapan malam dalam bilik, terbaring sampai tak mandi dan makan. Tidur dan biarkan hari-hari penolakan itu beransur pergi, bersama rasa 'down' itu.
***
Setiap orang pernah ditolak, dan juga pernah menolak. Aku rasa ditolak dan menolak ini pakej yang pasti semua orang akan jadi dalam fasa-fasa kehidupan mereka. Tak payahlah nak acah suci tak pernah menolak langsung, asyik kena tolak je! Aku rasa tidak, positif dan negatif itu datang umpama irama dan lagu, bezanya mana yang lebih dominan. Kalau irama sedap sangat tapi lagu pun dok ulang-ulang pun boring, irama hambar sangat walaupun lagu tiptop lirik puitis tahap-tahap Suria Cinta pun hambar!
Kita pun ditolak bukannya masa-masa dewasa sahaja, dan tidak semestinya dalam percintaan sahaja. Kadang-kadang kawan ajak keluar pun kita tolak, walaupun terpaksa tipu sunat kata sibuk padahal nak tengok Netflix kat rumah. Kadang-kadang kesayangan VC tiba-tiba pun terpaksa swipe reject, bukan sebab malas tapi tengah update blog yang berhabuk (eh?).
Sejak kecil lagi kita telah ditolak, dan juga kita juga telah menolak sejak kecil itu juga. Bezanya, semakin umur meningkat dan semakin dewasa, tolakan tersebut memberi impak ke dalam kehidupan.
Kenapa? Sebab semakin kita membesar, hati juga membesar, perasaan dan emosi semakin besar. Penolakan yang berlaku dalam kehidupan kita pula bila dah dewasa ini banyaknya berkaitan dengan perkara yang kita rasa cukup penting, macam percintaan, pekerjaan dan sebagainya.
Bercerita tentang percintaan dan pekerjaan ini, aku sudah merasa ditolak dan kadang-kadang menolak. Seawal aku menjejaki alam universiti pun aku telah mula ditolak bila masa nak cuba 'usha' dia. Dengan penuh riaknya beliau menolak aku, sampai tegar keluarkan ayat "kalau takde orang kat dunia pun memang aku tak nak kat kau!" Amboih, apakah kesalahan yang pernah aku guris hati kau sampai sebegitu rupa aku ditolak?
Bahkan dalam usia percintaan yang kini berusia 7 tahun (doakan kami berdua ok?) pun, ia bermula dengan siri-siri tolakan. Bezanya, penolakan itu umpama sisi magnet yang ada positif dan negatif. Dari asal negatif, kini positif lalu saling menarik. Penyudahnya 7 tahun sampai sekarang!
***
Lalu terus melompat kepada isi utama, apa yang nak buat kalau kita ditolak? Ditolak dalam percintaan waktu luahkan perasaan dan isi hati, ditolak setelah pergi interview kerja atau pun gagal dalam peperiksaan kemasukan dan sebagainya?
Aku kongsikan, hanya 3 cara yang perlu kita lakukan. Dan walaupun yang pasti 3 cara ini tidaklah semudah nak buat, sementelah 3 cara ini bukanlah bertujuan bagi mencapai kembali apa yang telah menolak kita, atau menukarkan penolakan kepada penerimaan,
Tapi yang pastinya 3 cara ini menjaga kita daripada hilang kemanusiaan dalam diri. Hilang keyakinan, hilang nilai diri dan kebanggaan kita pada diri sendiri, sehingga akhirnya kita berputus asa dan bersangka buruk dengan takdir-Nya. Bahaya betul, tiada yang lebih teruk daripada kita hilang diri kita sendiri.
***
Cara pertama ialah TERIMA penolakan tersebut! Umpama kalau lengan kita dicucuk jarum waktu ambil booster, kita tidak keraskan lengan bahkan kita lembutkan. Lengan itu bersatu dengan jarum umpama sudah biasa dicucuk sampai tiga dos! Akhirnya kesakitan itu tidak kita rasai sebab lengan lembut, lalu mudah jarum itu ditusuk. Tidak dipaksa apatah lagi memaksa.
Bayangkan kalau kita keraskan lengan apabila kita dicucuk. Dengan jarum yang halus maka sakitlah jadinya lengan yang dicucuk. Worst case patah, bayangkan jarum itu patah dan kekal dalam lengan kau. Setiap masa jarum itu akan mencucuk, lalu kau terpaksa kena bedah. Sekali bila bedah, doktor kata lengan kau terpaksa dipotong sebab otot dah rosak dan jarum itu sudah sebati dalam darah. #tiber
Terima hakikat dan realiti tatkala kita masih berpijak di lantai bumi yang nyata ini, bahawa kita telah ditolak. Terima kebenaran itu bahawa kita telah ditolak, dan yang menolak itu tidak lagi mahukan kita, atau memang taknak kita at the first place.
Menerima tolakan itu umpama kita membuka hati dan merelakan jarum kesakitan ditusuk pada hati. Lalu dengan menerima itu menandakan kita telah bersedia untuk menghadapi hari-hari yang akan dipenuhi kesedihan, kesenduan, kekecewaan, 'throwback' dan sebagainya.
Dalam Islam, menerima itu disebut REDHO. Redho dengan kepahitan yang ditentukan dalam siri takdir-Nya kali ini. Maka, dalam keredhoan itu, pelbagai perkara yang boleh kita buat, walaupun terpaksa menangis dan mengurungkan diri dalam bilik.
Sebab itu dalam bab-bab menerima penolakan, kaum lelaki majoritinya lebih lambat sembuh sebab naluri mereka memaksa mereka 'keras', dan tidak 'embrace' penolakan tersebut. Mereka ini kalau dicucuk jarum ketika vaksin atau dos penggalak, jarum akan patah sebab mereka akan keraskan lengan.
Mengapa mereka keraskan lengan? Sebab mereka sangkakan dengan keraskan lengan itu, kesakitan cucukan jarum itu tidak akan terasa. Kerana, mereka lebih fokuskan kesakitan cucukan tersebut, dan tidak sesekali fokus agar jarum itu keluar dengan selamat!
Mengapa mereka keraskan hati? Sebab mereka sangkakan dengan menahan air mata daripada jatuh, dan 'berlagak' macam tiada apa-apa yang berlaku, mereka akan mampu hadapi siri-siri hari penolakan dengan baik, lalu akhirnya tatkala 'di sebelah sana' sudah mampu gembira, mereka pula yang sedang bermuram durja.
Naluri orang lelaki memang begitu. Tapi jangan silap, naluri dan fitrah berbeza. Bukan fitrah lelaki mengeraskan hati. Dan melembutkan hati agar rasa sakit itu diterima bukan bermakna mereka telah keluar daripada fitrah sebagai lelaki. Menangis bukan simbol 'bukan anak jantan', bahkan menangis itulah anak jantan yang sebenar!
Kena terima hakikat kita telah ditolak, dan apa-apa yang hadir untuk mengisi penerimaan itu macam menangis, mengurungkan diri, kurang makan, terlebih makan ke, tidak bersosial sekejap dan selainnya kita buat. Namun, tetap dalam kuantiti yang tidak berlebihan dan melampau, sebab ia berisiko membawa kepada kemudharatan yang lebih besar.
Terlebih layan perasaan, layan sendu sangat sampai kurus keding, tak pun gemuk gedempol, silap-silap lepas itu terjun bangunan!
Jadi, untuk mengelakkan kita 'terlebih' menerima penolakan itulah, kita perlu masuk ke cara kedua, iaitu BANGKIT!
***
Bila terlalu lama kita 'embrace' penolakan tersebut, lama sangat kita menangis sampai dah bengkak mata, dah habis dah air mata sebab asyik banjir je, ataupun terlalu lama menyepi tak keluar bersosial atau lepak-lepak kat keluar,
Pasti tiba-tiba satu soalan akan datang menjenguk kota minda dan hati:
"Sampai bila aku akan begini? Sampai bila aku akan terus menangis? Sampai bila aku akan terus mengurungkan diri? Sampai bila aku nak tidur? Sampai bila aku terus tak solat, sampai bila aku tak mandi baring tidur semua ini?"
Maka, apabila soalan itu hadir, jangan sesekali kita abaikan sebab itulah 'wake up call' untuk kita BANGKIT. Bangkit setelah lama kita terjatuh kerana menerima hentakan dan tujahan penolakan tersebut. Kita ditolak lalu jatuh, maka sekarang waktu untuk kita bangkit.
Bangkit ini disebut USAHA, atau Inggerisnya 'move on'. Aku rasa, aku telah tulis dan sebut banyak perkara mengenai 'move on' ini. Jadi sudah cukup menyatakan ketegasan akan kepentingan bangkit setelah jatuh ini.
Semua orang pasti akan jatuh, namun belum semua lagi pasti akan bangkit. Berapa kali jatuh, berapa kali itulah kita harus bangkit, sapu mana-mana habuk atau kotor yang melekat, kemudian terus berjalan.
Kebiasaannya dalam siri-siri kehidupan aku, aku akan tidur dalam masa yang agak lama, dan banyak berkurung dan bergelap sampai mandi lama, atau pun sehari dua tak mandi. Itu maknanya memang mood aku tak baik sangat, sampai tahap kesayangan call pun aku tak jawab.
Bila masa itu 'habis' dengan sendiri, soalan itu tadi akan datang menjengah kota minda dan hati. Maka waktu itu aku akan bangun, mandi, solat (kadangkala qada' solat-solat lama sebab tidur lama sangat), dan aku kembali menjalani kehidupan macam biasa.
Bahkan sampai satu tahap, setelah 'mode' ini aku kadang-kadang mampu hidup dengan lebih baik macam biasa. Macam dapat kerja walaupun dengan selekeh tak potong rambut waktu pergi temuduga kerja, atau dapatkan cinta yang sejati (amin), atau juga belajar sampai dapat Master!
Dan sekarang, walaupun aku kembali menanam anggur di rumah (cerita kemudian hari) dan masih lagi sedang cuba 'move on' daripada tolakan kerja yang aku ceritakan tadi, namun fasa-fasa penerimaan itu sudah berlalu, dan kini aku di depan laptop menulis untuk korang semua,
Sampai satu tahap aku bercadang nak tulis novel meskipun belum nampak gambar, dan juga perlahan-lahan mengambil mood untuk menulis tesis PhD dan kembali kepada dunia akademik!
Bangkit setelah redho akan penolakan itu akan menyebabkan kita telah pun bersedia untuk kembali meneruskan kehidupan macam biasa, dan meskipun kita bakal menghadapi penolakan yang sama pada masa akan datang, sekurang-kurangnya kita telah berjalan dalam jarak yang jauh.
Bangkit setelah redho dan menerima hakikat kita telah ditolak ini akan menjadikan kita manusia yang baharu, akal yang tajam diasah dengan pengalaman tersebut, hati yang kembali utuh selepas diluka teruk, dan pengharapan serta doa baharu setelah redho akan takdir tersebut.
Dan mungkin dengan bangkit semula, kita akan diganjari dengan hikmah yang sentiasa berselindung di sebalik kesakitan-kesakitan yang hinggap dalam drama kehidupan kita, meskipun kadang kala kita selaku hamba banyak bersangka buruk kepada Pencipta kita.
Suatu hari, aku meluahkan kepada kesayangan bahawa aku telah berasa putus asa kepada Tuhan yang lebih mengetahui jalan kehidupan aku. Namun, setelah kata-kata yang berisiko memurtadkan aku, dalam kepekatan malam di bilik, aku menyedari bahawa dengan apa yang aku ada sekarang, itulah tanda Allah S.W.T sentiasa tidak berputus asa dengan aku.
Dan atas dasar itu, aku kembali bersujud dan berdoa, dan cuba mencari hikmah serta sentiasa mencuba memperbaiki dan mengislahkan diri sendiri.
Lalu, dengan kebangkitan itu akan membawa kepada cara yang terakhir, iaitu SENTIASA BERJALAN.
***
Ada berjalan, pasti akan jatuh. Namun untuk bangkit, apatah lagi untuk terus berjalan ke hadapan, itu memerlukan usaha, tekad dan keazaman yang tinggi. Sebab ia bukan sesuatu yang pasti, mengambil masa untuk 'rebuild', dan kadangkala berisiko untuk ternoktah begitu sahaja.
Namun kerana itulah fitrah manusia diciptakan tangan, untuk mendukung badan yang jatuh agar bangkit kembali, dan kaki untuk meneruskan perjalanan semula.
Kerana itulah setelah ditolak, kita tetap perlu sentiasa berjalan, kerana fitrahnya perjalanan harus diteruskan dan fitrah berjalan itu adalah ke hadapan, dan bukan ke belakang! Berjalan ke belakang dinamakan mengundur dalam bahasa kita, kan?
Sentiasa berjalan ini bermaksud kita hanya kembali meneruskan kehidupan seperti normal. Mungkin akan ada beberapa perkara yang berubah, atau ada bahagian-bahagian hati atau kehidupan yang terasa kosong, namun sekurangnya kehidupan kita terus seperti normal.
Selagimana kita hanya terperuk terkurung dalam bilik kerana sakit ditolak, atau kekal menangis tatkala mendengar lagu-lagu jiwang yang mengingatkan kita kepada dia yang menolak, atau juga kekal meratap adakah kita ini tidak betah meraih kerja yang baik, selagi itu lupakan nak 'move on', apatah lagi nak sentiasa berjalan!
Suka atau tidak, kehidupan perlu diteruskan seperti biasa. Pelajari daripada siang dan malam yang kekal menjalankan tugas mereka berdua. Selebat mana hujan di waktu malam, siang pasti akan hadir mengganti. Sepanas mana matahari di siangnya, malam pasti akan berlabuh jua.
Betul, pasti akan ada perubahan kerana perubahan ialah pasti! Namun pelajari daripada air di sungai. Ditahan mana dengan batu atau ranting kayu, ia pasti akan mencari jalan untuk terus mengalir, walaupun terpaksa berpecah menjadi sepuluh aliran, atau mengalir perlahan atau bahkan menembusi batu dan ranting kayu itu.
***
Apabila kita ditolak, ada kemungkinan kita tidak mampu mendapatkan kembali penerimaan tersebut. Apatah lagi kalau kita ditolak terus kali pertama, macam gagal temuduga kerja atau terus ditolak mentah ketika mahu meluahkan rasa.
Namun, bunga bukan sekuntum, kumbang bukan seekor. Universiti bukan satu sahaja, kerja bukan satu sahaja, cuma selagimana Allah S.W.T belum menetapkan itu rezekinya, maka ia pasti belum!
Kun fa yakun! Cuma kita perlu berdoa, dan terus berdoa. Jatuh dan terimalah diri serta hati untuk merasai sakit itu, kerana ia membuatkan kita menjadi manusia. Kemudian setelah sampai seru yang pastinya datang dari Allah S.W.T yang menyayangi kita, maka bangkitlah dan persiapkan diri untuk sentiasa berjalan. Berjalan ke hadapan dan terus berjalan dalam landasannya.
Pepatah Arab ada menyatakan, barangsiapa yang berjalan pasti akan sampai.
Mengakhiri post panjang setelah sekian lama hiatus, penolakan itu pasti. Menolak itu juga pasti. Jatuh apabila ditolak kuat itu ialah fitrah, namun menerima, bangkit dan kemudiannya sentiasa berjalan itu ialah pilihan sendiri. Sudah tentu pilihan itu datang dengan masa, kudrat yang dikumpul, semangat dan motivasi daripada diri sendiri dan insan-insan yang disayangi.
Ditolak itu biasa, namun sentiasa berjalan setelah ditolak itu luar biasa!
Jika andalah orang itu, maka berbanggalah kerana anda sangat rare dan limited edition!
Ditolak oleh manusia sememangnya sakit, namun tetap akan ada manusia lain yang akan menerima anda, lalu janganlah anda bersedih sehingga merasa putus asa. Namun ditolak oleh Allah S.W.T pasti menderitakan, kerana tiada tuhan yang disembah dan Dialah yang Maha Esa.
Dah-dahlah itu, hujan lebat pun pasti akan berhenti, inikan pula air mata dari dua mata yang cantik <3
Comments
Post a Comment