Perubahan itu PASTI!
Assalamualaikum wrh. wbt kepada semua pembaca yang aku sangat sayangi, walaupun belum pernah bersua muka. Akhirnya setelah setahun lebih aku meninggalkan blog ini dalam hiatus - dengan rekod satu post sahaja setahun sepanjang aku menulis dalam blog ini -, aku kembali menulis sebagai post pertama tahun 2022, di bulan tiga sudah!
Sebelum aku mula menulis, aku mulakan dengan buat perubahan yang aku kira besar dalam display atau tatarias blog ini. Mungkin sebahagian besarnya tidak suka sebab blog aku yang 'suram' dan tenggelam dalam permainan warna yang hitam dan kelabu, mungkin juga sebab susun atur blog yang terlalu 'simple' dan tidak 'flamboyant' bak kata Tengen Ugui (Hashira Bunyi dalam anime Demon Slayer),
Dan itu belum kira lagi aku hazafkan atau 'delete' blog banner aku di Blogger, dan aku 'remove'kan gambar 'default profile' di halaman FB Blog Siapa Mahu Bahagia sekali banner. Dia punya 'pembersihan' tu lain maciam, tak berwarna-warni macam dahulu melainkan ditenggelami pekatnya malam dan gabungan warna hitam, putih dan keduanya iaitu kelabu.
Sepanjang hampir sedekad aku menulis, aku malas nak mengira berapa banyak perubahan atau tatarias yang aku dah buat dalam blog ini. Yang pastinya, perubahan itu hanya mengambil kira agar blog ini tampak ceria (konon!), mudah dibaca dan mungkin tak terlalu skema.
Tapi pokoknya, perubahan tatarias itu demi anda tuan-tuan dan puan-puan para pembaca!
Namun, kenapa warna gelap, hitam, putih dan kelabu tiba-tiba melanda blog ini? Adakah simboliknya bahawa penulis blog sedang menghadapi sisi-sisi kesuraman dan kesedihan dalam kehidupannya? (Bincangkan, 1000 markah!)
Jawapannya, ya, aku sedang menghadapi beberapa siri yang kurang enak dalam fasa kehidupan aku kini (akan aku kongsikan in sha Allah di post akan datang - aku tidak mahu memasang janji -), namun ia sama sekali tidak ada tasybih atau isti'aroh yang hadir sebagai simbolik segala kurang enak itu.
Cuma, mungkin seiring dengan usia yang tinggal tiga anak tangga untuk mendaki usia tiga puluh (eja takdelah nampak tua sangat!), warna hitam, putih, kelabu dan 'simple' lebih tampak sesuai dengan apa yang aku rasa sekarang.
Aku masih ingat ketika usia aku dalam 15 dan 16 tahun, Malaysia telah mengalami perubahan di mana warna merah jambu atau 'pink' tidak lagi tampak janggal pada orang lelaki. Mereka yang meminati warna ini atau mengenakannya macam baju atau aksesori tidak lagi digelar bapok, pondan, sutun ke apa, melainkan mat jambu yang disimbolikkan sebagai mereka yang berhati tulus. Ada hati dalam taman (aku rasa terbalik sepatutnya dalam tatabahasa Melayu!) katanya.
Warna itu turut menjangkiti segala macam aksesori yang aku pakai, dari beg laptop, baju kemeja (sangat tak sesuai aku dengan hitamnya pakai 'pink'), sampailah ke Al-Quran boskur! Siapa berani nak kecam bila di musolla sekolah aku mengaji dengan Quran yang berwarna humaira'?
Sama juga di blog apabila telah sampai 'certain' waktu, aku ubah tatarias blog ini dengan warna-warni termasuklah warna merah jambu.
And yet, seiring dengan zaman dan peredaran usia yang semakin menuju kubur (mati itu tidak mengenal usia!), warna-warna yang pudar dan suram kini dilihat warninya lebih daripada yang berwarna-warni.
***
Pada suatu petang sekitar bulan Januari rasanya, ketika aku dan mantan bos sedang berlepak minum petang sambil memerhati gelagat budak-budak, beliau keluarkan kata-kata "perubahan itu pasti", ketika mana kami sedang berbincang mengenai 'approach' kami pihak pengurusan yang perlu disuaikan agar kena dengan perubahan budak-budak yang pastinya berlainan dengan zaman aku menjadi budak dulu.
Perubahan itu pasti, dan ia pasti akan menyebabkan beberapa perkara perlu diubah agar ia sesuai dan boleh beradaptasi, bagi memastikan perkara atau rutin itu tetap berjalan walaupun dipenuhi dengan perubahan.
Lihatlah kalau dulu kita tak biasa pakai mask, dengan sesaknya, dengan kabus kalau sesiapa yang berkaca mata macam aku ini. Tapi setelah dua tahun, mask lah perkara pertama yang kita akan ingat acap kali nak keluar rumah, melebihi item seperti dompet atau kunci. Bahkan sampai tahap, kita boleh bertahan dalam perbualan yang lama dengan memakai mask.
Cuma satu perkara yang perlu kita perhatikan, walaupun kita sudah boleh beradaptasi dengan memakai mask untuk masa yang lama tanpa rasa sesak, sampai satu tahap ia telah menjadi darah daging, mask pun juga telah beradaptasi dan berubah, dalam segala macam bentuk, pattern, warna, dan tidak lagi hanya berwarna biru ala-ala doktor bedah dan diikat di telinga dengan tali getah warna putih sahaja, kan?
Kita sendiri pun kalau dalam kereta, mask itu bergantungan bermacam aneka warna dan bentuk. Sehingga satu tahap, mask itu umpama tudung bagi insan bidadari yang bernama wanita. Nak pergi program ini tudung kena sekian, kena 'matching' dengan baju plus kain lah apa (pengalaman), macam tulah juga dengan mask.
Sampai tahap mask tu dah boleh ditepekkan 'brand' atau jenama dah! Kau jangan terkejut esok-esok aku pakai mask jenama Apple harga ratusan nanti, padahal mask sekarang standard jual tepi jalan harga RM5 boleh dapat tiga!
***
Perubahan itu pasti, dan kita pasti tidak boleh mengelak daripadanya. Bahkan kita terpaksa berubah demi beradaptasi dengan perubahan tersebut. Mengelak perubahan sama sahaja seperti berlari dalam pusingan infiniti yang tidak berkesudahan.
Manusia berubah disebabkan dalam variasi 'variable', namun bezanya ialah, ada yang berubah sama ada menjadi lebih positif, atau lebih negatif. Berubah menjadi lebih kuat, lebih bahagia, lebih redha atas takdir, atau berubah sehingga menjatuhkan diri sendiri bahkan juga orang di sekelilingnya.
Manusia berubah pelbagai sebab dan punca. Itu hanyalah suatu naluri atau fitrah yang telah Allah S.W.T tetapkan untuk kita yang bernama manusia ini.
Aku sendiri juga berubah. Kehidupan aku yang kini turun dan naik umpama roller coster di taman tema atau funfair tepi jalan telah memaksa aku untuk berubah. Seiring dengan usia, banyak pendapat aku dahulu kini aku sendiri yang mencanggahnya. Banyak juga perkara positif yang terpaksa aku hazafkan kerana 'negativity' yang menguasai dalam sebahagian aspek. Begitu juga beberapa elemen negatif kini dipositifkan, sudah tentu atas faktor usia yang bergerak semakin pantas bak tiupan pada sebatang lilin.
Namun aku percaya, aku tidak berseorangan! Jika betul aku berseorangan tanpa dikelilingi insan-insan yang aku sayangi, yang pastinya aku bersama dengan Tuhan yang tidak pernah berubah walaupun Dia yang mengubah berinfiniti perkara.
Oleh itu, aku mengalu-alukan perubahan itu datang jika ia hadir membuatkan kehidupanku lebih baik, lebih bahagia, lebih tenang, lebih redha, lebih syukur dan lebih tawakalnya. Umpama kini warna hitam, putih dan kelabu yang menjadi tatarias blog, dengan 'simplitary' bak kata otai "simple is pimple" (aku pun tak tahu aku cedok otai mana), ditambah dengan halaman FB blog yang tetiba 'kosong' macam orang putus cinta atau berkabung sebab pilihanraya,
Hakikatnya, aku cuma sedang menghadapi fasa-fasa perubahan! Aku tidak akan boleh lari daripada perubahan-perubahan ini - sama ada fizikal seperti naik badan, mahupun semakin kacak -, atau emosi, empati dan akhlak mahmudah (tiber),
Dan andai mana-mana yang menyedari perubahan itu aku harapnya agar doakanlah agar perubahan ini bersifat positif dan lebih 'enhance' menjadi baik kepada lebih baik.
Yang pastinya dalam perubahan itu,
Aku cuba agar diri yang telah bertapak dua puluh tujuh tahun ini (eja biar nampak muda berbanding angka),
Tidak tenggelam dalam arus perubahan yang kadangkala terlalu dahsyat!
Comments
Post a Comment