2022: Tahun yang hampir 'membunuh' aku

Assalamualaikum wrh. wbt. buat semua pembaca yang aku sayangi. Alhamdulillah, walaupun hari ini sudah masuk hari yang kelima tahun baharu 2023, namun izinkanlah aku mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2023.

Macam biasa, aku mulakan dengan alasan klise, di mana asalnya memang aku ada merancang (sampai seru) untuk menulis dan 'update' post baharu ala-ala penutup gituh, namun 'kelalaian' di mana aku sedang sedap menikmati cuti di rumah mengagalkan 'hidayah' itu.

Dan penyudahnya, dalam kemeriahan sekitar rumah aku dengan bunga api detum detum menunjukkan tahun baharu dah masuk, akhirnya macam biasa niat itu akhir sepi dan mati, dan membiarkan blog ini kembali ke hiatusnya yang tiada arah.

Alhamdulillah, tahun baharu 2023 tampak bermula dengan baik. Aku sudah pun punya kerja, yang serba serbi ada lebihnya meskipun tetap ada kekurangan (namun aku tetap bersyukur), perbentangan kertas usulan (proposal defence) PhD aku pun berjalan dengan baik dan sudah pun keluar keputusan, sambutan hari jadi aku (nanti kita sembang kemudian) pun ada sinar meskipun ada drama juga sebelum itu,

Dan paling penting aku masih hidup, luar dan dalam.

Tahun 2022 tahun yang dahulu, merupakan tahun yang tergetir sepanjang aku bernafas. Aku ingatkan tahun-tahun di mana aku bergelar mahasiswa di universiti dahulu sudah cukup getir, dengan masalah persahabatan dan percintaan,

Namun ternyata novel hidup aku ini, rupanya belum tiba lagi bab atau 'chapter' yang tergetir. Dan tahun 2022 dahulu itu hampir membunuh 'dalam' aku, meskipun di luar tetap hidup dan berkembang (baca: berisi, bukan gemuk).

***

Di awal-awal tahun 2022, suatu hari aku baru sahaja pulang dari Terengganu, ketika itu aku menguruskan pendaftaran PhD. Entah kenapa, sekarang daripada dahulunya banjir dek hujan di negeri-negeri pantai timur ini dahulunya bencana, sekarang sudah jadi biasa. Asal hujan, mesti banjir.

Sehari dua selepas aku 'touch down' di tempat kerja, aku tetiba tak sihat. Mungkin sebab berhujan sikit, plus dengan hampir 10 jam duduk dalam bas sebab jem teruk dengan banjir, jadi kaki pun rasa kebas-kebas. Lama tak naik bas lah katakan?

Dan dalam ketidaksihatan itu, aku akhirnya mohon kepada bos (bekas bos) untuk ke klinik, dan aku dapat mc sehari. Aku taknak cerita banyak pasal itu sebab itu rahsia kerja. 

Namun, aku membuat satu keputusan yang dahsyat, di mana aku cuba meminta pendapat ibu (meskipun aku sudah punya keputusan) untuk berhenti kerja, dan ibu menyokong aku sepenuhnya untuk berhenti.

Dalam satu hari sahaja, dalam keheningan malam yang tiba-tiba hujan (biasalah asal cerita sedih mesti hujan), aku menuju ke office untuk kemas barang-barang meskipun dalam tidak berapa sihat lagi, dan juga selepas aku berikan surat dan berjumpa bos untuk meletakkan jawatan.

Hampir satu hari aku gagahkan diri, sanggup berulang dari rumah ke tempat kerja, berulang dari office aku ke office ayah untuk tukar kereta yang lebih besar, aku kemaskan barang-barang, dan akhirnya aku tinggalkan tempat kerja lama, dengan hanya mengucapkan selamat tinggal kepada bos aku sahaja.

Dan dalam perjalanan pulang, aku berdoa agar keputusan dahsyat ini bukanlah keputusan yang hanya sekadar emosi, namun keputusan yang penuh hikmah dan ibrah.

Dan semakin tahun 2022 bergerak dengan peralihan bulan ke bulan, aku perlahan-lahan 'dijerut' oleh tahun dahsyat ini.

***

Dari satu sudut, aku bersyukur kerana masih punya ibu dan ayah, dan ayah masih gagah bekerja untuk menyara keluarga meskipun masih kurang lima tahun sebelum berpencen. 

Dari satu sudut juga, mungkin disebabkan masih belum ada lagi anak-anak mereka yang berkahwin, jadi aku lihat ibu dan ayah tidak ada masalah apabila aku duduk di rumah, walaupun tiada kerja tatkala usia aku ini sepatutnya sudah anak dua. Harapnya begitulah ibu dan ayah tidak rasa apa-apa.

Namun, harga diri dan maruah aku semakin menipis. Masih belum dapat kerja, resume aku umpama burung yang telah berhijrah ke pelosok e-mel, aku masih kekal selaku penanam anggur yang tiada tanah untuk ditanam anggurnya.

Walaupun aku terlebih bahagia duduk di rumah, bangun lambat, tidur lambat, layan movie, game (masa itu masih punya ps4, cerita di post lain), asal lapar ke dapur pasti ibu sudah masakkan,

Namun, bila perlahan-lahan akaun bank aku sudah mula kurang lima puluh ringgit, beberapa inci roh dan semangat aku sudah mula memudar. Nasib baik yuran PhD untuk semester baharu sudah aku simpan elok, meskipun kesilapan aku terlalu yakin dengan masa depan (dapat gaji ingatkan kerja lama lagi), membuatkan aku terlalu sedap berbelanja.

Harga diri dan maruah aku selaku anak lelaki, yang sepatutnya membanggakan ibu dan ayah, dengan ada kerja yang baik, ada rumah untuk berteduh, punya kereta yang bukan pinjam kereta ayah, dan mampu untuk menyara 'keluarga baharu',

Semakin menipis sehingga akhirnya tajam, dan mula memotong diri aku sehiris demi sehiris.

Akaun bank mula mendekati satu angka. Aku tidak lagi keluar rumah melainkan apabila ibu perlukan bantuan untuk ke kedai. Aku tidak lagi makan luar melainkan masakan di rumah, aku biarkan mengidam itu hanya tinggal idaman.

Aku terpaksa tebal muka minta duit ibu untuk isi minyak bila kami keluar ke kedai, dalam ketebalan muka itu maruah aku selaku anak lelaki menipis.

***

Suatu malam, seperti biasa aku menelefon kesayangan yang ketika itu alhamdulillah, punya kerja 'part time'. Dalam kegelapan bilik, ditambah suasana hening yang dihimpit hati yang berat, aku meluahkan perkara ini.

Aku malu menjadi 'biawak hidup' kepada ibu dan ayah. Aku masih lagi tidak punya kerja, dan aku perlahan-lahan mula rasa menyesal berhenti kerja tanpa ada perancangan, ditambah aku sendiri ketika itu tidak berapa sihat.

Dan entah bagaimana, aku mula menyalahkan takdir. Dan perlahan-lahan, aku mula mempersoalkan Pencipta.

Cepat-cepat kesayangan aku membetulkan dalam lembut suaranya, agar kuat dan jangan berputus asa. Dan aku mula sedar bahawa aku telah hampir-hampir melampaui batasan aku selaku hamba-Nya, dan aku terus bangun mandi,

Dan aku menunaikan solat Isyak. Dan dalam doa Isyak itu, aku berdoa agar Dia memberikan aku kecelikan untuk melihat terangnya hikmah dalam kegelapan yang sedang meliputi mata aku kini.

***

Suatu malam, kesayangan aku memberikan satu 'link' di Telegram, bahawa ada sekolah mencari guru Bahasa Arab. Meskipun aku tengok tarikh tutup akan tutup pada esoknya, namun aku mencuba nasib dalam malam hari.

Dipendekkan cerita, aku akhirnya diterima kerja dalam sekelip mata. Dan sehingga hari ini, dengan izin-Nya aku masih bekerja di situ. 

Hampir empat bulan, aku menganggur. Akaun bank tinggal tiga angka. Menebal diri meminta duit minyak dari ibu.

Dan baru aku sedar, bahawa mungkin inilah sebenarnya yang dinamakan dewasa dengan sedewasanya. Kau tidak lagi selesa apabila duit di bank kian binasa. Punya ratusan impian dan azam, namun akhirnya tinggal menjadi pekasam. Kau seorang dewasa, namun tidak punya kekuatan dan rasa.

Dan aku tidak lupa, betapa banyak air mata yang gugur sama ada dari mata dan mata hati, kerana kelemahan ini,

Dan untuk itu, aku berdoa agar diberi kekuatan untuk menyanggupi segala jenis dugaan, cabaran dan tomahan sepanjang aku di tempat baharu ini,

Kerana lebih baik menangis dek susahnya bekerja, daripada menangis kerana tiada kerja. Lebih baik punya gaji yang tidak seberapa, daripada tidak punya apa-apa. 

***

Mengakhiri post baharu tahun baharu, aku berharap hati aku semakin kuat dan kental, otak seiring dengan emosi, semakin profesional dan rasional, dan paling penting bersabar dengan kesabaran yang paling tinggi.

Syukur, kerana punya rakan-rakan sekerja yang baik, dan untuk itu aku berharap agar aku tidak lagi 'dibunuh' seperti mana tahun dahulu.

Biarkan tahun 2022 berlalu pergi, dan moga-moga tahun baharu 2023 ini datang membawa jutaan rezeki.

Semoga korang pembaca yang aku sayangi diberi kekuatan dan kesabaran dalam menempuh cabaran dan ranjau kehidupan, diberi keberkatan wang ringgit yang tidak hanya akan habis begitu sahaja meskipun penat lelah dikumpul,

Kerana menjadi dewasa ini kuatnya apabila punya duit,

Kerana kebahagiaan kehidupan itu sememang boleh dibeli dengan duit,

Meskipun yang hakikinya,

Kehidupan itu bahagia apabila kita redha dengan takdir Dia yang mengetahui segalanya tentang kita.

Moga-moga tahun baharu 2023 ini, Allah S.W.T limpahkan dengan rezeki-rezeki yang Dia tangguhkan pada tahun dahulu, kerana tahun inilah masanya yang sebenar.

Selamat Tahun Baharu 2023 semua, semoga tahun ini milik kita <3

Comments

Popular Posts

Terima Kasih Followers