Hari Jadi: Apa hadiah yang terbaik untuk anda sebagai seorang DEWASA?
Assalamualaikum wrh. wbt. buat semua pembaca yang aku sayangi. Doa aku agar korang semua sihat walafiat, dan masih lagi bermula dengan positif dengan penuh semangat dan kegembiraan, dalam awal-awal minggu Januari 2023.
Biasalah, trend bulan Januari ini biasanya kita akan rasa panjang sangat. Macam, lah, baru 9 Januari, ingatkan dah hujung bulan. Tapi, sekali dah masuk 1 Februari, sedar-sedar je dah pum pang pum pang bunyi mercun tahun baharu.
Alhamdulillah, aku selamat memulakan sesi pekerjaan tahun baharu. Walaupun macam biasa dia punya 'monday blues' tak rilek sebab hampir tiga minggu di rumah, tapi so far so good walaupun dalam area lunch hour mengantuk hahaha.
Alhamdulillah juga, aku selamat memasuki 'umur' baharu, di mana aku hanya tinggal setahun dua lagi (acah taknak sebut umur sebenar) sebelum masuk third series.
Rasanya macam baru je sehari dua aku sweet twenty. Rasa macam baru sahaja merenung jauh ke langit di malam hari sambil perlahan-lahan air mata mengalir sebab mengenangkan bila semakin meningkat umur, maka semakin meningkatlah ujian yang bakal hadir.
Lagi-lagi bila kita semakin dewasa. Itulah yang aku hadapi pada tahun lepas, mujurlah Allah S.W.T memberikan segala jenis kekuatan, mengurniakan segala jenis rezeki yang tidak aku terfikir, dan paling penting aku masih lagi bersama dengan insan-insan penting yang aku sayangi.
***
Kalau korang pembaca setia blog aku ini (harapnya lah), korang akan mendapati aku sendiri telah menulis beberapa tajuk pada tahun-tahun terdahulu, tentang tajuk 'birthday' atau hari jadi ini.
Bukan pembaca setia? Takpe, di sini aku letakkan tiga link untuk tiga post berkenaan hari jadi, di mana aku telah menulis mengenai tajuk ini, seawal tahun 2013 lagi! Mantap, masa itu aku baru nak mengenal alam universiti, dan mula merasa perit getir dalam menginjak dewasa.
(1) Post yang aku tulis pada tahun 2013: Besday : Siapa yang layak dapat hadiah?
(2) Post yang aku tulis pada tahun 2014: Hadiah Hari Jadi Paling Bermakna Seumur Hidup Korang?
(3) Post yang aku tulis pada tahun 2016: Naik Usia = Naik Kematangan
Setelah aku cari, rasanya lah (apada penulis sendiri tak ingat), rasanya hanya tiga sahaja post yang pernah aku tulis mengenai tajuk ini. Aku tak tahu apa yang berlaku pada tahun-tahun lain, terutamanya di waktu hari jadi aku sendiri yang menjadi waktu dan masa aku tulis tiga-tiga post tersebut.
Macam biasa, semakin menginjak usia semakin malas, hahahambar!
Dalam ketiga-tiga post aku ini, ada beberapa perkara yang aku sendiri masih lagi bersetuju dan masih lagi berpegang kepadanya, dan ada juga yang sudah aku tukar pegangan. Maklumlah, sebab kalau korang sendiri baca tiga-tiga post ini terutamanya post awal 2013 itu pun, sudah kuat berbaur 'cringe' dan vibe-vibe budak emo yang dengar playlist My Chemical Romance dan jiwang karat tangkap leleh memalam.
Haha, aku baca pun gelak. Tapi ada beberapa point penting dalam ketiga-tiga post ini yang masih aku guna pakai walaupun post-post tersebut sudah pun berusia sedekad bagi post yang pertama.
Bayangkan, dah 10 tahun usia post pertama itu! Pergh, tak pasal-pasal tangkap leleh memalam ini!
***
Sebagaimana yang telah sedia maklum dalam ketiga-tiga post tadi, point penting mengapa aku agak 'dislike' atau buat-buat selamba je acap kali tiba hari jadi aku ini, adalah faktor aku menyedari bahawa semakin meningkat usia, maka semakin meningkatlah cabarannya.
Maka untuk itu, segala cabaran itu akan menyebabkan aku terpaksa meningkatkan taraf profesionalisme dan rasionalisme, tak boleh terlalu banyak mengikut emosi dalam apa jua situasi termasuklah keluarga, percintaan, hatta karier di tempat kerja pun.
Apabila aku semakin dewasa, yang membuatkan ke'selamba'aan itu semakin bertambah ialah, bahkan boleh pula bercampur sendu dan 'rendah diri', apabila aku menyedari banyak perkara yang masih belum aku capai, ketika mana rakan-rakan sebaya aku terutamanya kenalan dan sanak saudara, sudah pun mencapainya.
Of courselah berkahwin dan ada stable carier. Masa aku renew lesen pada 2017, aku ingatkan pada tahun kelima iaitu tahun lepas, aku akan renew lesen kereta pada tahun 2023 sebagai seorang suami, namun perancangan itu aku sendiri belum nampak ke mana halanya.
Maka aku bermohon, doakanlah aku.
Namun macam biasa, aku menyedari bahawa setiap orang memiliki novel cerita kehidupan yang berbeza, dan fokus untuk menjadi watak utama, hero dan protagonis yang 'peform' dan berinspirasi dalam novel cerita kehidupan diri sendiri.
But hey, itu tidak bermakna aku menolak hadiah, ucapan atau sambutan daripada insan-insan yang aku sayang terutamanya ibu. Bahkan deep inside, ke'selamba'an itu bertukar menjadi rasa syukur yang tinggi,
Lagi-lagi bila tahun ini aku dapat menyambut bersama dengan insan-insan penting yang aku sayangi. Mungkin timingnya rushing dan sekejap, but hey, oklah dari takde kan!
Dan untuk itu aku ucapkan terima kasih buat kesayangan kerana sanggup berkorban 'lunch hour' untuk melayani aku sebagai birthday boy (bukan man ae), meskipun ada juga bergaduh (biasa ah standard bertahun-tahun bercinta) dalam detik-detik akhir sebelum pukul 12 malam birthday aku.
Sayang awak <3 (tiber)
***
Entah kenapa, masa pertengahan bulan Disember tahun lepas, aku tiba-tiba boleh teringat: "Oh, tak lama lagi nak birthday aku!"
Walaupun kesayangan sudah mula 'membahan' (baca: menganjing) aku dengan siap sebut aku dah dua puluh berapa la apa, tapi aku tidak perlu dibahan atau dianjingkan untuk mengingatkan bahawa tinggal seminggu dua lagi sebelum aku menginjak usia.
Dan yang kelakar serta sedikit ajaib, aku pula 'tersemangat' mencari apa hadiah yang (kononlah), aku nak 'self reward' untuk diri aku.
Masalahnya, aku buntu dan aku tak tahu apa hadiah itu? Aku sendiri tak tahu apa yang aku nak. Dan hadiah apa yang selayaknya yang boleh dikatakan, hadiah hari jadilah kononnya.
Disebabkan masa cuti haritu sibuk dengan World Cup, aku bercadang nak beli jersi Morocco sebagai hadiah jadi. Sampai ke Kelantan, alang-alang aku menghadapi Proposal Defence di Terengganu, aku cari walaupun World Cup dah pun habis.
Bukan apa, aku malas nak beli online kalau bab baju ini. Namun, tetap aku tak jumpa. Dan akhirnya aku beli jersi Argentina sebab aku dah berubah daripada kipas susah mati CR7 ke die hard fan Messi.
Bila tak jumpa, lagilah aku stress, apa hadiah aku nak bagi ini!
Suatu hari, aku sempat singgah ke kedai game, sajalah kononnya nak tengok PS5 versi bundle bersama God of War: Ragnarok. Sejak aku dah jadi alumni PlayStation ini, aku memang cukup suka dengan game God of War baharu.
Tapi apakan daya, bila tengok harga empat angka bermula dengan TIGA RIBU, maka cukuplah aku sekadar melihat dan menyedari bahawa aku tak mampu membelinya.
Mungkin menyintai itu tidak semestinya memiliki, tibeh!
Dan sampailah bila masuk tahun baharu 2023 pun, aku tak tahu apakah hadiah yang perlu aku beli, untuk hari jadi sendiri.
***
Alhamdulillah, memandangkan aku masih lagi bercuti, aku berpeluang menyambut hari jadi bersama ibu dan ayah, walaupun tak cukup korum akak yang tak dapat pulang sebab kucing dia tiba-tiba beranak, mantap!
Alhamdulillah, di tengah harinya aku sempat ber'lunch hour' bersama kesayangan di kedai kopi yang dekat dengan tempat kerjanya. Walaupun kesayangan pakai selipar jepun yang bunyi cek cek cek bila basah, tapi kesayangan tetap anggun dan cantik jelita.
Kena pulak tetiba sedondon pakai biru, oh adakah itu jodoh! Berkongsi hati yang sama tidak perlu diungkap dengan kata-kata!
Malam kemudiannya aku bawa ibu dan ayah makan chicken chop, walaupun adalah sedikit kuah-kuah air hujan sebab tiba-tiba hujan, maklumlah makan di open air. Yang ajaibnya, malam itu terasa kenyang betul sampai senak perut, hongeh dan seeh, mungkin sebab berkat atau ibu gembira malam itu.
Dan malam selepas pukul 12 malam hari baharu telah pun masuk, barulah aku sedar apa hadiah yang terbaik untuk diri aku,
Sesuai dengan aku seorang dewasa.
***
Dulu, aku juga kalau boleh naklah juga orang wish ramai-ramai. Lagi-lagi bila kau duduk di universiti bersama kawan-kawan sebatch, walaupun kononnya pada ketika itu ukhuwah till jannah, tapi seronoklah juga bila ramai yang wish, di semua platform media aku.
Jadi, aku ubah dalam tahun ini, aku matikan birthday automatik di Facebook, dan aku sendiri tak start buat story di Instagram bila hari jadi aku, melainkan selepas hari itu. Then seperti yang dijangkakan, tiada pun yang wish aku pada hari jadi sebenar, dan ada jugalah yang wish sehari selepas hari jadi aku. Itu pun selepas aku buat story.
Actually, aku takdelah rasa sedih apabila tiada yang wish. Dan jauh lagilah, aku nak buat social experiment untuk lihat siapa yang ingat, siapa kawan yang sejati kalau ingat la apa semua itu. Cuma, aku didik diri untuk hanya bersibukkan dengan insan-insan penting yang aku sayang sahaja pada hari itu.
Sebab, yang membuatkan hari jadi aku itu istimewa, adalah dengan kehadiran mereka ini.
Dan kerana itulah, baru aku menyedari, hadiah hari jadi yang terbaik untuk aku apabila dewasa ini, adalah dengan mencuba sedaya upaya menyayangi diri sendiri.
Meskipun ada beberapa perkara yang aku struggle lagi untuk capai, namun aku perlu sedaya upaya untuk tetap menyemangatkan diri sendiri.
Aku perlu berdamai dengan takdir, dan wajib bersangka baik dengan apa yang ditetapkan untuk Dia yang maha Mengetahui segala-galanya mengenai aku, yang aku sendiri pun tidak ketahuinya.
Aku perlu menikmati kehidupan, membiarkan hari-hari itu berjalan seiring waktu, berlepas diri daripada perkara-perkara yang di luar capaian aku, lebih banyak positif,
Dan paling penting, menyayangi diri aku dengan membiarkan aku kekal sebagai manusia yang punya nyawa, punya rasa, dan bukannya sebuah jasad berisi namun kosong tidak punya apa!
Dan untuk itu, aku rasa hadiah yang terbaik untuk aku yang sudah meningkat dewasa ini, bukanlah hadiah yang berbentuk material,
Namun, kembali me'material'kan kegembiraan dan mencipta kegembiraan sendiri yang aku telah aku tinggalkan semenjak kebelakangan ini.
Kerana bukan bermakna apabila kita semakin dewasa, kita cuba meninggalkan apa yang biasa kita rasa, dan cuba berlagak mahu ke hadapan meskipun menempuh pelbagai pancaroba, namun hakikatnya, hati menangis dan berduka, namun kita memilih untuk membiarkan ia tinggal seiring masa.
Dan itulah yang menyebabkan,
Aku mengabaikan diri sendiri. Ketika mana aku memerlukan aku.
***
Mengakhiri post, mungkin apabila semakin menginjak dewasa ini, menjadi lumrah apabila aku mula meninggalkan perkara-perkara yang penting untuk aku.
Aku mula melihat kebahagiaan aku dalam kebahagiaan insan-insan yang aku sayang, ketika mana aku sendiri sukar untuk melihat diri sendiri sebagai kebahagiaan aku.
Jadi, aku harap sebagai hadiah hari jadi untuk tahun 2023 ini, aku mahu untuk mencipta lebih banyak sebab, ruang dan memberi peluang kepada diri sendiri.
Dan untuk itu,
Aku ucapkan Selamat Hari Jadi buat diri sendiri yang aku sayangi.
Semoga lebih banyak perkara positif dan membuatkan aku tersenyum gembira, dapat aku capai pada tahun ini.
Ya Allah, aku bersyukur kerana ketika mana aku bersangka buruk dengan-Mu, Engkau masih lagi memberikan aku jutaan sebab untuk aku kembali kepada-Mu.
Dan untuk Ya Allah,
Terima kasih. Dan aku bermohon, agar diri ini sentiasa kuat, sentiasa sabar, dan sentiasa menjadikan diri-Mu tempat aku berteduh dari kepanasan putus asa dan puting beliung ketidakredhaan pada takdir.
Selamat Hari Jadi diriku sayang :)
Comments
Post a Comment