Hari Raya Korban : Berkorban vs Terkorban
Assalamualaikum semua pembaca. Alhamdulillah, aku panjatkan kesyukuran yang tahap infiniti kepada Allah S.W.T atas segala nikmat-Nya. Mostly sebab nikmat laptop yang aku pinjam daripada member. Thanks bro!
Maaf la korang semua, mungkin ada di kalangan korang yang sentiasa tertunggu-tunggu post baru aku. Mungkin statement ni dengar macam bajet dan penuh dengan unsur penipuan yang melampau, tapi kot kot la mana tahu? Hahaha.
Macam aku dah bagitau haritu, laptop aku aku bagi pinjam kat akak kesayangan aku, sebab dia nak siapkan projek sem akhir dia. Walaupun aku rasa berat hati, tapi kalau aku dah rasa berat hati nak pinjamkan laptop aku kat dia, maka tak mustahil aku ada sifat berat hati bila dah berkeluarga nanti.
Lagi pun dia kakak aku, darah daging, jadi kepada siapa dia nak berharap kalau bukan kepada aku adik dia yang hensem dan caring ni. Bertuah siapa dapat aku yang penyayang ni.
Sebelum aku pergi jauh merata terus kepada post, aku nak ucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha. Maafkan aku pinta kepada sesiapa yang mengenali diri aku dan dah kena macam-macam yang tak elok dari aku. Semua itu adalah khilaf aku sebagai seorang manusia.
Raya kali ini sama seperti tahun lepas, di mana aku hanya beraya dalam bilik aku di asrama sahaja. Walaupun memang tak sama dengan Raya Aidilfitri, tapi aku rasa Raya Aidiladha ni masih mampu meninggalkan kesan - walaupun sikit - jika disambut tanpa keluarga aku yang tercinta.
Dua hari yang lepas, aku sempat gayut dengan satu family, dan aku meluahkan rasa maaf aku kepada ayah aku sebab tak balik kampung. Maka ayah aku dengan selambanya mengatakan, "Nama pun Hari Raya Korban." Hahaha, jawapan yang simple but deep.
Hari ni di Terengganu, seluruh masjid mula sembahyang Raya pukul 8 pagi. Tapi tula, orang bujang macam aku, duduk pulak sensorang dalam bilik, mula nampak dunia pukul 7:35 pagi. Nak kata miskol tak payah cakap, semuanya daripada ibu aku. Nak kata wasup, lagi lah.
Alhamdulillah, masih sempat lagi pijak lantai masjid. Tak lah masbuk sembahyang Raya. Bayangkan laju camana aku jalan. Dengan jubah berkain. Orang yang berlari pun boleh kalah. Berapa ramai aku potong time berjalan tadi. Nak kejar tak nak terlepas sembahyang punya pasal.
Usai solat, aku meluangkan masa mendengar khutbah daripada khatib. Khutbah sangat pendek, spontan without teks yang panjang lebar, tapi disebabkan suara khatib yang lembut dan isi yang beliau sampaikan sangat deep, sedar tak sedar air mata aku mengalir.
Aku rasakan kata-kata beliau memang dari hati yang ikhlas dan bersih, maka ia sampai ke hati aku yang kotor berhabuk berkarat ni.
Habis je khutbah, selepas selfie dua tiga keping, dengan caption bajet sedih sebab tak dapat balik rumah, aku bergerak ke McD dengan seorang member baik aku. Yela, nak cari lemang ketupat nasi dagang rendang takde. Hahaha.
***
Hari Raya Aidiladha ni orang panggil dengan macam-macam nama. Aku selesa panggil Raya Korban je. Raya Korban ni kalau bagi kita yang tak pergi haji, mungkin tak seseronok macam Raya Aidifitri. Habis je solat Raya, terbungkam je tengok Tom and Jerry kat tv3 sambil kunyah ketupat cicah rendang.
Walaubagaimanapun, setiap perayaan tu memiliki simbolik yang tersembunyi. Dan di sebalik Raya Korban ni, dia punya simbolik jauh lebih deep kalau nak bandingkan dengan Raya Aidilfitri.
Dalam Raya Korban, antara perkara yang wajib dan memang akan bermain di kepala kita adalah Haji dan Sembelih. Memang time Raya Korban adalah musim haji, dan musim sembelih binatang.
Bergantunglah, semua dalam kehidupan kita ni yang kita nampak, rasa dan bau semuanya ada simbolik, selagi kita menggunakan akal yang Allah S.W.T beri kat kita. Sebab tulah Allah S.W.T suruh kita menghayati setiap ciptaan Dia, sebab semuanya itu ada simbolik dan makna yang berkait dengan kehidupan kita.
***
Aku mulakan post penghayatan Raya Korban dengan perkataan 'Korban' tu sendiri. Tanpa perlu aku rujuk mana-mana kamus dan mu'jam Melayu, tak perlu dapatkan segulung sijil pun, aku yakin semua dah sedia maklum maksud korban. Dengan menggunakan common sense pun, semua dah tahu korban adalah satu perbuatan yang payah kita nak buat, tapi kita buat jugak atas reason yang tertentu.
Erti kata lain, korban (feel), mengorbankan (feel), adalah perbuatan yang manusia lakukan walaupun dia sendiri rasa payah dan susah, tapi dia lakukan demi mendapatkan kebaikan ataupun sebab sayang dan sebagainya.
Terkorban (isim maful) pulak, apabila kau yang menjadi korban sesuatu perkara yang lebih besar dan memiliki kekuatan yang jauh lebih kuat daripada kau. Contoh, kau tak pergi kelas pukul 8 pagi sebab terkorban. Terkorban sebab tidur. Dan tidur itu lebih kuat daripada kau.
Perkataan korban (isim) juga telah menjadi istilah yang common dalam masyarakat kita. Samada membawa maksud perbuatan menyembelih binatang, ataupun merupakan binatang yang boleh kita buat korban.
Pergh, aku syarah satu-satu. Nama budak bahasa kat situ. Coiii.
Walaubagaimanapun, apa yang ingin aku sampaikan adalah maksud korban tu, iaitu perbuatan yang manusia lakukan walaupun dia sendiri rasa payah dan susah, tapi dia lakukan demi mendapatkan kebaikan ataupun sebab sayang dan sebagainya.
Islam merupakan agama pengorbanan, dan banyak mengajar penganutnya erti pengorbanan, sebab in order nak mencapai tahap hamba yang disayangi Allah S.W.T dan mencapai Syurga yang menjadi impian semua manusia, maka pengorbanan perlu dilakukan.
Berzina itu best - bagi penzina -, sebab tak perlu ada hantaran kahwin, sijil nikah, malah boleh dapat dengan harga bawah RM 100 je. Gaji sebagai penzina atau pelacur pun masyuk. Tapi kita korbankan, sebab itu larangan Allah S.W.T dan dosa besar. Dan kita korbankan best tu tadi dengan bersusah payah kumpul duit walaupun kahwin lepas ada PhD.
Tiap-tiap hari kita makan, dari pagi sampai nak tidur pun masih boleh makan lagi. Tapi ada satu bulan di mana kita kena berpuasa. Dan demi mencapai tahap kesayangan Allah S.W.T, maka kita korbankan sarapan pagi, tengahari dan minum petang, dengan terpaksa pergi sekolah, bekerja, malah ada yang bersukan sebab kariernya, demi perintah Allah S.W.T.
Duit, lagilah. Sesayang mana kita pada duit kita, ada juga waktu kita terpaksa korbankan demi perintah Allah S.W.T, contohnya untuk pergi haji, zakat dan berkorban. Nak pergi haji bukan lepas naik bas oi. Beribu-ribu. Zakat yang murah pun ramai tak bayar, apatah lagi harga haji?
Jadi, agama Islam ni adalah agama yang mengajar erti pengorbanan yang sangat-sangat besar, samada meliputi pengorbanan nafsu, diri, kekuatan fizikal, harta wang, dan lain-lain.
Dan untuk itu, Allah S.W.T sajikan banyak cerita dalam Al-Quran mengenai kisah manusia-manusia celaka yang tak berjaya melakukan pengorbanan, dan akhirnya terkorban di dalam Neraka Allah S.W.T.
Untuk berjaya dalam kehidupan kita, kadangkala kita terpaksa melakukan beberapa pengorbanan dalam kehidupan kita. Setuju tak dengan aku?
Contoh demi mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam exam, kita terpaksa korbankan masa berjimba dengan member-member, masa dengan lappy, game, tv, malah kena korbankan tidur, malah kita kena bersaing dengan nafsu supaya tak terkorban dan kalah dengannya.
Kenapa? Semuanya demi keputusan yang cemerlang, dan kita tahu hanya dengan pengorbanan tersebutlah kita mampu mencapai kebaikan tersebut.
Kau nak beli apa yang kau nak, kena berkorban, ikat perutlah, simpan duitlah. Kau nak jadi pro dalam suatu bidang, subjek mahupun pro dalam game, pun kena berkorban jugak.
Malah, aku pun demi mencapai target kehidupan, aku terpaksa berkorban masa, mengorbankan wang ringgit ibu ayah, malah ibu ayah ikut sekali berkorban demi aku, demi mendapatkan tingkatan sijil yang tertinggi, untuk jadi orang bijak alim, malah mungkin terpaksa berkahwin di usia di mana kawan-kawan dah masuk anak ketiga.
Pendek kata, segalanya dalam kehidupan memerlukan pengorbanan. Buat baik kena berkorban, nak buat jahat pun kena berkorban oii!
Cubalah tanya kat diri sendiri, dah berapa banyak pengorbanan yang kita dah buat demi kita dan orang lain, negara, bangsa dan agama? Dan berapa banyak pula pengorbanan yang dibuat demi diri kita pula?
Negara kita Malaysia yang aman tanpa hujan peluru dan mortar, tahukah kita berapa banyak nyawa askar-askar kita yang hilang? Tahukah berapa banyak air mata yang keluar dari mata-mata manusia yang kehilangan keluarga mereka yang berkorban demi negara?
Kita sendiri yang kini masih mampu merasai makanan walaupun just maggi sebungkus, tu pun bagi kita makanan yang lekeh, masih mampu minum air yang bersih, malah masih ada pakaian walaupun pakaian tu kita rasa lampuk sedangkan baru beli Raya lepas.
Malah ada henset yang paling koman boleh wasup walaupun kamera depan VGA je. Ada motorsikal walaupun EX5 buruk. Malah mampu belajar walaupun sekolah dan universiti paling cikai di Malaysia. Jadi tahukah siapa yang menggila berkorban wang harta peluh lelah demi semua yang lekeh dan cikai tu? Itulah dia, ibu dan ayah yang berkorban sampai terkorban demi anak-anak tersayang.
Malah, nikmat Islam yang hanya just tertulis kat ic kita, adakah kita tahu berapa banyak nyawa mujahidin yang berjuang, peluh dan usaha yang dicurahkan sehingga dengan darah yang mencurah-curah? Sampai hari ni kita ada bin dan binti kat dalam nama penuh kita.
Allahhu, boleh mengalir mata bercerita tentang pengorbanan ni.
Sebab realitinya, orang lain lebih banyak berkorban demi kita, untuk kita, berbanding kita yang kurang buat pengorbanan, walaupun berkorban demi diri sendiri. Malah, kita hanya lebih banyak terkorban je.
Kelas tak pergi, sebab terkorban dek tidur dan rasa malas.
Belajar banyak fail, sebab terkorban dengan malas berjuang, putus asa dan fedup belajar.
Diri banyak sangat maksiat, sebab terkorban dengan hawa nafsu diri sendiri.
Allahu. Banyak betul kita terkorban.
***
Agama Islam adalah sebuah agama yang mengajar penganutnya, tentang besarnya melakukan pengorbanan. Malah tak keterlaluan kalau aku buat statement, tiada lagi agama yang mengajar penganutnya erti pengorbanan sebesar yang diajar oleh Islam.
Semua benda kena dikorbankan, diri sendiri, peluh lelah, keluarga, wang ringgit dan harta, demi melakukan pengorbanan. Semua tu sebab nak mencapai tahap kesayangan Allah S.W.T, nakkan keredhaan-Nya, syurga-Nya, dan semua yang baik-baik dari Allah S.W.T.
Dan jika tadi, aku katakan pengorbanan ni adalah perbuatan yang manusia lakukan walaupun dia sendiri rasa payah dan susah, tapi dia lakukan demi mendapatkan kebaikan ataupun sebab sayang dan sebagainya.
Jadi di akhirnya, sebagai menutupi post aku yang lama-lama korang semua tunggu ni, aku mendefinisikan pengorbanan itu :
"Perbuatan yang manusia lakukan walaupun dia terpaksa buat sesuatu yang dia tak suka, dan terpaksa menghadapi rasa payah dan susah, tapi perbuatan tersebut perlu bagi mendapatkan kebaikan dan keinginan yang dia ingini."
Selepas baca post aku ni, jom kita fikir sejenak, sambil-sambil kunyah ketupat, refill kuah kacang yang dah habis dan mula start belah lemang ketiga, berapakah banyak pengorbanan yang dah kita lakukan sepanjang kita hidup atas muka bumi ni?
Berapa banyak pengorbanan kita kepada keluarga kita, kepada bangsa kita, kepada negara kita Malaysia, kepada agama kita Islam, berapa banyakkah?
Ataupun, adakah kita je yang lebih banyak menjadi asbab kepada pengorbanan yang dilakukan?
Jadi, mulai hari ni, banyakkanlah melakukan pengorbanan, dan jangan bising-bising mencari kelemahan mereka-mereka yang melakukan pengorbanan, sedangkan kita pula yang terkorban dalam kegagalan kita dalam melakukan pengorbanan.
Dan ingatlah, semua pengorbanan itu hasilnya adalah benda yang baik-baik dan best-best belaka. Walaupun the act of pengorbanan tu penuh dengan payah jerih pahit, tapi di akhirnya semua payah jerih pahit tu akan hilang bila benda yang baik dan best tu kita dapat.
Dan hari ni, jika kita rasa penat dan putus asa dalam melakukan pengorbanan demi mencapai apa yang kita nak, maka ingatlah...
...pengorbanan di dunia ini akan dibalasi Allah S.WT dengan syurga-Nya di akhirat kelak.
Selamat Hari Raya Aidiladha.
Selamat berkorban dalam pengorbanan anda, dan jangan pula anda yang terkorban.
Comments
Post a Comment