10 Tips untuk menjadi pemandu yang punya ADAB dan AKHLAK

Assalamualaikum warahmatullah, alhamdulillah diberi lagi kekuatan untuk menulis walaupun kini hanya tinggal beberapa jam sebelum aku kembali ke universiti, meneruskan semester yang baharu. 

Walaupun sehingga sekarang aku masih tertanya-tanya, apakah yang telah aku buat sepanjang cuti ni, sehingga tup tap tup tap cuti habis bernoktah begitu sahaja, walaupun aku tidak redha wuhahaha.

Redha ke tak redha, kena berpijak di atas bumi yang nyata, dan terima sahaja apa yang berlaku ni, sebagai satu lagi anak tangga, untuk aku sampai ke puncak destinasi yang aku idamkan.

Apa pun, Selamat Bercuti kepada korang semua yang baru atau sedang atau dalam baki-baki cuti, dan kepada yang cuti nak habis tu, jangan susah hati ya? In sha Allah, kita ni sedang menuju fasa-fasa kejayaan, so kenalah kuatkan hati dan jangan bersedih, nanti ada cuti lagi.

Eh, macam memujuk hati pula wuhahaha.

Yang pastinya, cuti ni aku memang banyak memandu. Setiap minggu boleh dikatakan majoriti aku bawa kereta, kalau tak keluar dengan member, jadi driver kepada ibu aku. Yela, kata ibu, hanya dengan aku sahaja dia boleh keluar merata, sebab ayah aku malas ke sana ke mari.

Yela, ayah aku sedang menjangkau usia emas, anak lelakinya pula dah boleh slow-slow kumpul duit untuk kahwin, calon ada dah katanya hahaha.

Abaikan, lagi-lagi pulak semua kereta - ada dua je, acah-acah banyak - semuanya manual. Dan bagi mereka yang sentiasa bawa manual, sudah pasti tahu dan dah biasa asam garam bawa kereta manual ni.

Bawa kereta manual ni memang perlukan skil dan kemahiran, camana nak seimbangkan clutch dengan minyak, camana kalau tiba-tiba berhenti kat bukit, nak teruskan perjalanan macam-macam. Dan disebabkan itulah, ramai yang prefer auto daripada manual, terutamanya bagi mereka yang hari-hari berdepan dengan kesesakan lalu lintas.

Dan aku akui, memang penat bawa kereta manual ni. Lagi-lagi kalau ke sana ke sini.

Antara sebab aku banyak memandu setiap kali aku balik ke rumah, disebabkan hanya di rumah jela aku ada kereta, ada transport. Kalau kat universiti, kereta nak kena sewa. Tu sewa je, belum masuk minyak lagi. Tup tup kena saman, belum kira lagi tu, belum masuk tiba-tiba rosak dan lain-lain.

So kira macam aku lepas geram la, hahaha.

Walaupun kereta yang aku bawa di rumah just Kancil - baca : GTR - yang ayah beli sebagai kereta pertamanya masa aku darjah dua - kalau tak silap -, sisi pon 1.0, tingkap pun yang kena pulas, belakang pun tiada seat belt, stereng pun berat bukan power stereng, sehingga mustahil untuk kau buat u-turn tanpa kena reverse, bawa paling laju pun 100 km/h,

Tapi aku tetap bersyukur, atleast aku boleh ke mana-mana.

***

Hampir dua tahun setengah aku memandu - selepas 4 kali gagal lesen dan sekarang dah ada lesen besar ah pun -, aku perhati je karenah orang ketika di jalan raya. Macam-macam karenah, tapi apa yang boleh aku simpulkan,

Majoritinya kurang beradab, kurang akhlak, kurang ajar, biadap dan pentingkan diri sendiri.

Dahulu, aku memang seorang yang betul-betul tak suka hon orang. Boleh dikatakan setahun tu, hanya kurang sepuluh je aku hon orang, dua je aku hon sebab orang bawa kereta pelik-pelik, dan selebihnya tu sebab hon bila dah sampai rumah, hon yang membawa maksud "aku gerak dulu" dan juga nak troll member bagi terkejut.

Tu je. Tapi sekarang tak dah, terutamanya kalau aku balik ke rumah.

Berbeza dengan Terengganu, aku duduk di kawasan yang memang bandar. Menjadi pusat tarikan orang, pusat orang ke sana ke sini mencari rezeki, dan kalau aku bawa kereta keluar ke apa, pun ke bandar juga.

Hari bekerja atau hari cuti, dua-dua sama je. Orang bawa kereta macam gila, parking suka hati dia, signal tak bagi, macam-macam yang sampai aku terfikir, diorang ni dapat lesen beli atau photoshop ke, ke memang betul-betul dapat.

Entah lah. Tapi bukan aku nak kata orang Terengganu je bawa kereta baik, orang tempat aku tak, ia hanya subjektif sahaja. Lain tempat, lain karenahnya. Berbeza situasinya.

Jadi, dalam panjang-panjang aku berceloteh ni, so ayuh tengok 10 tips untuk menjadi pemandu yang punya ADAB dan AKHLAK,

Daripada pemandu yang beradab dan berakhlak, wuhahahaha.
***

1. Bagi signal

Aku pun tak tahu, kenapa ramai orang malas bagi signal. Begitu pentingnya signal ni, sebab tu aku letakkan dia sebagai nombor 1. Malah, begitu malasnya pengguna jalan raya bagi signal sampaikan ia jadi 'meme' kat 9Gag, dan juga topik kegemaran Viner luar atau dalam negara macam Luqman Podolski dan Adib Alex.

Signal ni sangat penting, sebab ia dapat mengelakkan kita daripada kemalangan. Dengan signal juga, orang tahu kita nak pergi mana. Kalau tak dengan signal, cuba bagi tahu camana kita nak bagi tahu orang kita nak pergi dan lalu lorong mana, kan?

Paling sakit hati, bila dekat simpang tiga, kita ni nak ke kiri, tapi disebab jalan raya tu dua hala dan ia tengah sesak, kita duk tunggu satu kereta ni, sebab kereta ni nak terus, alih-alih dia selambanya masuk dan bukannya nak terus.

Orang camni yang buatkan aku marah, sampai free-free je dapat dosa sebab tercarut.

Biasakan bagi signal, walaupun tiada orang, percayalah, ia membantu.

2. Beralah

Beralah bukan bermakna kalah, beralah tanda kita ni menghormati yang lemah. Apalah salahnya beralah, bukannya rugi pun.

Bila kita nampak seseorang tu bersusah payah nak masuk ke kanan, atau keluar parking ke apa, apalah salahnya kita bagi dia jalan dulu. Kenapa, kita seorang je ke nak cepat, orang lain tak?

Aku cukup respect mereka yang beralah di jalan raya, bahkan bila ada kereta yang beralah dengan aku, aku bukan sahaja angkat tangan, malah aku senyum lebar sampai melangit.

Dan, beralah di jalan raya tu satu sedekah. Nak sedekah duit takde, ha cuba sedekah dengan beralah di jalan raya, amacam?

3. Jangan parking di jalan orang

Antara punca kesesakan, ialah bila dua lorong jalan menjadi satu lorong jalan. Puncanya kenapa, sudah tentu disebabkan ada kereta-kereta yang suka hati parking di jalan orang.

Aku nampak, perkara ni selalu berlaku di kedai-kedai yang tepi jalan, tempat perkhidmatan macam bank, maaf aku cakap, tapi pemandu teksi antara yang suka buat camni.

Kalau setakat berhenti di tepi jalan, kemudian bagi signal, takpelah aku faham, tapi ni bukan je tak bagi signal, yang radikal lagi selamba je parking camtu. Kering betul!

Kesian, disebabkan kita pentingkan diri sendiri, jalan jadi jem, sesak.

4. Jangan potong Q

Manusia yang potong Q ni, bagi aku antara mereka yang tersangat biadap. Orang lain bersusah payah beratur panjang-panjang, sebab jem semua, kita syok je potong Q. Dah ah muka pun macam gangster, nak tunjuk samseng pula potong Q.

Kadang-kadang, yela, mungkin tersalah lorong. Lagi-lagi orang yang baru lalu jalan tu, ataupun Waze salah ke apa. Jadi bagilah lampu ke, ataupun senyum, barulah orang rasa lega, dan boleh bersangka baik dengan kita.

5. Hon sebab niat ingatkan, bukan hon sebab nak marah

Uniknya, dengan niat kita, kata-kata yang kita tujukan kepada orang ni boleh memberi kesan. Macam kalau kita marah, orang yang kena marah dengan kita tu akan rasa sedih dengan kita.

Sama juga dengan hon. Beza kita hon sebab nak ingatkan orang, dan hon sebab kita nak marah. Dan aku percaya, hon tu dicipta untuk ingatkan orang, samada dia terlupa dan dok leka lampu dah hijau, atau nak ingatkan lembu suruh tepi sikit, atau juga hon untuk ingatkan orang bahawa kita dah sampai.

Jauh sekali hon tu sebagai simbol atau alat kemarahan. Aku cukup sakit hati, bila kena hon lebih dari satu. Ataupun hon aku, padahal yang salahnya kereta tu, tapi sebab dia bawa Hilux dan aku bawa Kancil, so boleh-boleh dia hon aku manjang.

Cuba kurangkan hon orang, dan hon bila perlu sahaja.

6. Jangan terhegeh-hegeh

Prinsip bawa kereta ni, ialah kita kena ingat jalan ni bukan kita punya seorang. Parking tu bukan kita punya seorang. Bukan ayah kita yang buat jalan tu, bukan mak kita yang beli parking tu.

Ni orang nak melintas jalan, kereta dia duk terhegeh-hegeh, boleh pula dia buat slow. Kalau nak bagi aku jalan, so bagilah lampu, ni dia boleh buat slow.

Ni orang nak parking, dia boleh pulak terhegeh-hegeh masuk dalam kereta, orang duk tunggu ni, jalan dah jem ah sebab kita tunggu dia. Kesian, tak pasal-pasal terlepas parking.

7. Parking dengan betul

Antara sebab tempat parking tu dia ada kotak, supaya kereta tu diparking dengan betul. Bila kereta tu tak diparking samada dalam kotak atau terlebih daripada kotak, atau kita pergi masuk pula kotak parking orang, tu yang masalahnya.

Apalah susahnya, untuk reverse balik, dan betulkan kedudukan parking. Kesian kereta lain yang nak masuk, kalau kecil senanglah, tapi kena pulak kereta mahal macam aku, kesian susah nak masuk. Nak buka pintu pun payah.

8. Angkat tangan atau bagi lampu, sebagai tanda terima kasih

Adatlah, orang memberi, kita berterima kasih. Orang yang beri pun rasa happy, orang yang terima pun rasa happy.

Ni kita dah beralah semua, dia buat sombong dia, malas action ke main. Terasa baik takyah bagi tadi.

9. Bersabar

Macam aku cakap tadi, jalan ni bukan kita punya seorang. Jika kita seorang pemandu yang cemerlang, sticker P pun dah takde, jadi bersabarlah dengan pemandu yang mungkin masih baru, sticker P terang lagi.

Bersabar, boleh menyelamatkan kita daripada bahaya. Ayah aku ada pesan, bawa kereta ni kena sabar banyak.

10. Dalami dan baca balik peraturan jalan raya

Aku sendiri pun, masih banyak lagi peraturan jalan raya yang aku tak tahu. Tapi benda-benda yang basic macam tak boleh memotong double line, hak milik kita di round about, tak boleh parking kat line kuning, makna isyarat dan papan tanda, takkan la tak tahu.

Tulah, studi satu buku peraturan sebab nak lulus ujian komputer je, mana taknya. Ni aku nak cakap, tak rugi pun kalau tahu A sampai Z peraturan jalan raya Malaysia.

***

Antara yang membuat aku sedih ialah, kadang-kadang tu kat belakang kereta bertampal sticker universiti tu, institut ni, tapi signal tak bagi, parking suka hati. Nak sedih lagi, kadang-kadang bertampal kat belakang kereta tu logo dan simbol agama, nak lagi orang Islam, siap Syahadah, Bismillah, I Love Islam bagai, tapi bawa kereta macam orang gila.

Mengakhiri post, adab dan akhlak ni dia merentasi segalanya, termasuklah di jalan raya.

Tak keterlaluan, kalau aku kata, adab dan akhlak seseorang tu kita boleh ukur dengan camana adab dan akhlaknya ketika di jalan raya.

Semoga JPJ lebih mengambil perhatian dan cakna terhadap mereka yang kurang adab dan akhlak ni, kalau dapat tengok JPJ saman depan mata, pergh alangkah nikmatnya alahai hahaha.

Biar kereta kecil, lama dan buruk, tapi pemandunya beradab dan berakhlak, daripada kereta besar, baharu dan cantik, tapi pemandunya biadap dan kurang ajar.

Jadilah pemandu yang beradab dan berakhlak, bukannya rugi apa-apa pun. Mulakan dengan hari ni, ok? 

Pandu cermat jiwa selamat. Anda mampu mengubahnya.

Comments

Popular Posts

Terima Kasih Followers