Azam 2017 : Menjadi manusia yang Bermanfaat, Menginspirasi dan Menggembirakan orang lain
Assalamualaikum warahmatullah kepada semua pembaca yang aku sayangi - muah muah muah -, aku sentiasa mendoakan korang semua, semoga Allah S.W.T sentiasa memberikan kalian semua keberkatan dan kerahmatan, mostly kegembiraan dan limpahan nikmat dalam meniti episod-episod awal tahun baru 2017 ni.
Alhamdulillah, segala puji bagi-Nya, aku sendiri pun telah selamat check in di rumah pagi semalam. Sampai je rumah terus mencari makanan, sebab memang kelaparan tahap gaban, dan begitunya simboliknya tahun 2017 ni, aku mulakan perjalanan aku pada tahun baru ni dengan menjamah - melantak actually - makanan yang dimasak oleh ibu kesayangan sendiri, mee kari special pergh.
Rasa macam mula-mula lahir dulu, terus diberikan susu cap gantung - hahaha -, bukan cap Nestle, bukan Milo ke Horlick ke teh tarik apatah lagi Redbull atau Extra Joss. Eh, aku rasa korang familiar dengan istilah susu cap gantung - iaitu susu ibu -, kan? Kenapa cap gantung?
Err, ni blog umum ye, bukan 18 SX.
Officially, tamat sudah semester lepas, seriusly sangat tough, kalau nak katakan dari sudut subjek, taklah berapa nak susah, tapi mungkin kerana aku sendiri pun bercuti aritu dekat tiga bulan solid, duduk pulak makan tidur makan tidur tanpa membaca buku.
Dan semester lepas, Allah S.W.T uji aku dengan menempatkan aku satu kuliah - hampir ke semua subjek - dengan seorang manusia yang banyak membuatkan aku menangis, dan dalam masa yang sama banyak mengajar aku tentang erti persahabatan, penghargaan dan semangat juang.
Ketika awal semester, bila aku sedar yang aku akan digabungkan hampir majoriti subjek bersama dia, aku agak lost sekejap. Walaupun aku sendiri dah lama move on - walaupun susah nak terima hakikat kenapa manusia seperti dia diagung-agungkan -, entah, mungkin cerita lama terngiang-ngiang kot?
Sebelum midsem, aku bergelut antara cerita lama, rasa benci, menyampah, dendam dan perasaan-perasaan lain yang tersangat negatif.
Hampir setiap hari aku balik ke bilik dalam keadaan yang stress dan kepenatan. Dan paling menyedihkan, effectnya kepada diri aku dalam sedar tak sedar, aku mula mahu menonjol daripada dia, sehingga aku tampal kat bilik sticky note bahawa akulah segala-galanya lebih baik daripada dia.
Namun, ia tidak membantu aku untuk tenang dan bersemangat, sebaliknya aku merasa lebih stress dan kepenatan.
Cuti midsem, seminggu aku di rumah aku luangkan untuk muhasabah diri. Aku tanya pada diri, apakah tujuan utama aku untuk jadi pandai? Impresskan dia? Nak tunjuk aku hebat? Banyak juga aku basuh diri aku, kasi overhaul supaya aku kembali menemui diri yang dahulu.
Dan Alhamdulillah, naik je midsem, aku menjumpai diri yang hilang, dan tak lagi stress dan kepenatan macam dahulu.
***
Antara pembaharuan aku untuk tahun baru ni ialah, aku sudah pun ada akaun Instagram sendiri - wuhahahaha -, jadi apa lagi kasi follow ah. Nanti aku follow balik - ayat cliche dan memujuk supaya follow -.
Aku masih ingat betapa kerasnya hati aku untuk tak buat Ig, walaupun acap kali dipaksa kawan-kawan untuk buat, tapi aku sekerasnya menidakkan, dan aku kata :
"Aku tak nak buat Ig, nanti aku sibuk dengan dengan likes dan followers, sampai aku dah takde masa ah dengan korang!"
Dan akhirnya, aku merasakan bahawa sudah tiba masa aku buat Ig, dan dalam perjalanan aku ke rumah, aku buat Ig senyap-senyap, dan respon yang aku terima sama je macam mula-mula aku buat Twitter awal bulan September tahun lepas :
"Wah Tari dah ada Ig!"
Masa tu terasa macam loser, aku ni noob sangat ke tak mengikuti trend semasa? Diorang ingat aku ni hidup dengan Friendster, Myspace dan Yahoo Messenger je agaknya?
Dah lah, dunia je Ig tu, semua tu semangat post sebab nak dapat banyak followers, likes dan nak jadi Instafemes * sambil post banyak gila selfie, caption bebagai *
Masa mula-mula aku menulis blog, aku tak nak orang tahu siapa identiti aku ni. Tak nak orang tahu camana muka aku, aku belajar kat mana, aku ada suka sesiapa tak, blah blah blah. Sebab tu kalau korang perasan, aku memang kurang letakkan pasal aku kat dalam blog.
Tapi lama-lama tu, slow-slow aku bagi Facebook aku, Twitter dan kini Ig. So memang korang semua akan kenal, stalk aku 24 jam - kot -, dan aku nak pesan dua benda je,
Satu, follow Ig aku. Dan dua, kalau jumpa depan-depan tolong tegur aku. Ok?
"Awak ke yang tulis blog Siapa Mahu Bahagia tu? Wow saya memang minat gila post awak semua, nak sign dan ambik gambar boleh? Nanti saya tag awak kt Ig, eh awak dah ada Ig sekarang kan?"
***
Pejam celik tidur bangun makan berak, kita offcially dah pun masuk tahun baru, 2017. Walaupun kita orang Islam sebenarnya dah lama gila nak mati masuk tahun baru 1438 Hijrah - dan Rabiul Akhir pun -, kita lebih terkesan dengan kalendar Geogrian.
Buktinya, aku nak tulis 1438 Hijrah dan Rabiul Akhir pun aku tengok kalender, takut salah pahtu kena bash, orang kata sembang lebat la apa.
Dan tak dapat tidak, antara benda yang orang akan tanya acap kali tahun baru masuk adalah apa azam kita - selain daripada soalan maut macam adakah minyak naik lagi atau adakah tahun ni kau kahwin blah blah -.
Sebab memang tak boleh pisah antara azam dengan tahun baru. Azam tahun baru ni sangat penting actually, sebab ia menentukan apakah visi dan misi korang, dan apakah yang korang nak capai dan korang berjaya dapatkan menjelang 31 Disember 2017 nanti.
So memanglah sangat penting.
Aku percaya, setiap orang memiliki azam yang pelbagai, samada yang bersifat material macam tahun ni nak pakai I-Phone, nak beli kereta baharu, nak tukar rumah, atau azam yang bersifat subjektif dan tak boleh dilihat dengan mata kasar macam nak kurus, nak kacak, nak skor dalam exam atau nak dapat follower banyak kat Ig.
Dan tak kurang azam yang bersifat Dinniah - keagamaan - macam tak nak tinggal solat terutamanya Subuh, nak banyakkan berjemaah, tak nak tinggal baca Quran dan lain-lain.
Oh, terima kasih kepada dua orang insan penting - a.k.a 2 I - kerana kalau tak mereka aku hampir terlepas Subuh hari ni.
Ok abaikan, namun, aku percaya, tak ramai atau tak keterlaluan kalau aku kata, takde orang pun yang nak berazam untuk :
(1) Menjadi seorang manusia yang bermanfaat, kalau tak dapat kepada bangsa, agama dan negara, atleast untuk orang lain atau organisasi.
(2) Menginspirasikan orang lain, bila orang tengok kita, mereka jadi lebih bersemangat.
(3) Menggembirakan orang lain, walaupun sudah tentu mustahil kita nak puaskan hati orang lain dan menggembirakan orang yang bernama haters dan musuh - yang sentiasa tak suka tengok kita berjaya -, tapi atleast perbuatan-perbuatan kita ni, orang rasa gembira.
Amacam, apa pandangan korang? Betul atau tak?
***
(1) Menjadi seorang manusia yang bermanfaat, kalau tak dapat kepada bangsa, agama dan negara, atleast untuk orang lain atau organisasi.
Tahun 2016 adalah tahun di mana aku belajar banyak tentang erti menjadi seorang yang bermanfaat.
Bermanfaat di sini maksud aku, bukanlah menjadi seorang yang dimanfaatkan. Orang guna korang untuk kepentingan dia sendiri, korang dipergunakan ke, bukan bukan!
Bermanfaat di sini bagi aku ialah, korang menyumbangkan bakti atau kelebihan yang Allah S.W.T beri kepada korang untuk kebaikan, kalau skala besar macam persatuan, nak besar lagi kepada bangsa, agama dan negara.
Dan paling koman pun, bermanfaat dalam skala kecil, contoh untuk orang lain, takpun keluarga korang, takpun paling cikai cap ayam pun, untuk kawan-kawan korang sendiri.
Setiap orang, Allah S.W.T berikan pelbagai macam kelebihan kepadanya. Ada kelebihan itu membawanya lebih dekat kepada Allah S.W.T, dan ada kelebihan tu buatkan dia lupa diri, bangga, sombong, dan semakin jauh dari-Nya.
Namun, persoalannya adalah kelebihan itu betul-betul adalah tanda Allah S.W.T melebihkan kita, atau mengurangkan, memperkecilkan kita, atau even worst, menghina kita? Wallahu 'alam, tepuk dada tanya selera.
Segala puji bagi Allah S.W.T, tahun 2016 aku banyak mengadakan program-program untuk masyarakat, kalau bukan aku yang buat - jadi pengarah atau kepala -, atleast aku banyak menghandlekan dan menyumbang -.
Walaupun ia bukanlah berskala besar, melibatkan satu komuniti dan peringkat yang tinggi, namun sebenarnya, apa yang aku kejar ialah pengalaman dan kepuasan.
Pengalaman, kerana aku ni serba kurang, banyak gila yang kena aku pelajari lagi. Kepuasan, sebab untuk mencapai kesempurnaan, kita tak boleh cepat berpuas hati.
Aku teringat kata-kata seorang ustazah ketika aku bersekolah dulu :
"Jadilah seperti hujan, di mana ia turun ia bermanfaat."
Menjadi seorang yang bermanfaat ni, memerlukan tenaga yang banyak, sebab bukan senang nak jadi orang yang bermanfaat ni. Cabaran yang paling sukar, korang berpotensi untuk dimanfaatkan oleh orang lain.
Walaupun aku kurang gemar orang buat aku camtu, tapi dari sudut yang positif, aku melihat atleast orang melihat aku ni berguna, useful, so bermanfaat la kan? Daripada orang tak pandang langsung, pandang pun tak sudi, sebab tak berguna, menghabiskan beras sahaja.
Dan, bila melihat kawan-kawan yang aku kenal, menabur bakti ke sana ke sini, sehingga tahap international, buat misi keamanan, masyarakat, membantu orang susah, kesukarelawanan, aku jadi sampai jealous, dan mostly aku tertanya-tanya kenapa aku tak sampai tahap mereka.
Aku berpendapat, dunia kita hari ni tersangat kurang manusia camni. Yang ada cuma manusia yang mengejar dan buat sesuatu untuk kepentingan peribadi mereka sendiri. Dan mereka seronok melihat semua orang serba kekurangan daripada mereka, dan mereka serba complete.
Manusia yang bermanfaat ni, dia tak kejar benda-benda camtu.
Yang mereka kejar, hanyalah pengalaman dan kepuasan sahaja.
***
(2) Menginspirasikan orang lain, bila orang tengok kita, mereka jadi lebih bersemangat.
Ada bermacam jenis manusia yang wujud di dunia ni, ada yang bila kita tengok samada kita tengok apa yang dia buat, apa yang dia cakap, kejayaan dia dan wajah dia sendiri, kita rasa macam wow, hebatnya, aku nak jadi macam dia, idola blah blah.
Tak kurang juga, ada yang bila kita tengok kita rasa macam sebaliknya.
Mesti korang tertanya-tanya, apa syarat nak menjadi seorang yang menginspirasi? Jawapan aku cukup senang :
"Korang kena melalui kesakitan, penderitaan dan menangis."
Kalau kita tengok mereka-mereka yang berjaya macam jutawan ke, orang business jual produk kecantikan ke business online ke, mahupun jual burger dan nasi lemak ke, mereka terpaksa melalui saat-saat yang begitu jerih dan perit.
Ada yang kadang-kadang sehari pun nak makan takde duit, ada tu aku baca, punyalah susah sampai nak makan maggi pun kena kerat dua, satu untuk lunch dan satu untuk dinner.
Tapi, maggi yang berkerat-kerat tulah menjadi asbab hari ni mereka pergi kerja naik porshe, naik lamborgini, pakai pakaian yang beratus beribu, rumah besar banglo.
Manusia-manusia berhajatkan kepada orang-orang begini. Berhajat di sini bukanlah mengipas mengampu moga-moga dapat la sedikit keuntungan mereka, tapi berhajat di sini ialah nasihat, tips dan paling penting, mereka mahu seseorang yang memberi inspirasi dan motivasi kepada mereka.
Ni cerita letup-letup, tapi kesusahan pun tak pernah rasa. Sebab, mereka yang paling tahu tentang kemanisan ialah mereka yang merasai kepahitan.
Sebab itulah, ia menjadi sebab aku wujudkan blog ni. Aku bukannya yang seorang yang perfect, buku pun takde, belajar pun tak habis lagi, bukan orang kenamaan dan masyhur, tapi aku mahu berkongsi apa yang aku rasa. Aku tahu mesti ada orang menghadapi apa yang aku hadapi.
Dan aku mahu memberikan mereka inspirasi, bahawa dalam kesusahan yang mereka rasai itu, mereka boleh menghadapinya dengan bersemangat, dan kembali bangkit menuju kejayaan yang mereka mahu.
Menjadi seorang manusia yang boleh menginspirasi orang lain, Allah, merupakan antara tujuan utama aku hidup.
Lihatlah Naruto, menghadapi kesusahan yang pelbagai, namun mampu menginspirasikan orang lain sehingga mampu menukarkan super villian kepada orang yang baik.
Malah, Rasul tersayang kita - Nabi Muhammad S.A.W - adalah manusia yang paling banyak menginspirasi orang lain, bahkan baginda S.A.W menginspirasi satu dunia.
Dan untuk menginspirasi, korang perlu tahu apa erti disakiti.
***
(3) Menggembirakan orang lain, walaupun sudah tentu mustahil kita nak puaskan hati orang lain dan menggembirakan orang yang bernama haters dan musuh - yang sentiasa tak suka tengok kita berjaya -, tapi atleast perbuatan-perbuatan kita ni, orang rasa gembira.
Banyak pekerjaan yang mustahil di dunia, salah satunya ialah memuaskan hati semua orang. Walaupun kita buat perkara yang mendatangkan pahala sekalipun, bukan semua orang berpuas hati.
Kita seharusnya sedar, bahawa antara tujuan kita dihidupkan ke dunia ni tidak dapat tidak, untuk membuatkan orang lain gembira.
Cuba kita tengok, semasa mula-mula kita lahir. Kita ni dok menangis lalak, mak ayah kita happy nak mati, diorang punya happy tu sampai mereka pun ikut sama menangis macam kita juga. Apatah lagi kalau mak ayah kita ni memang tersangat mahukan anak selepas begitu lama berkahwin.
Jadi di sini, jelas bahawa antara tujuan kita diciptakan ke dunia, adalah membuatkan orang lain gembira.
Persoalannya, kenapa aku memasukkan Menggembirakan orang lain ni, sebagai salah satu azam yang patut manusia ada dalam 2017 ni? Jawapan aku cukup senang.
Aku belajar banyak, bukan hanya dalam 2016 sahaja, namun sepanjang aku hidup, aku belajar dan aku sedar bahawa kewujudan kita dalam hidup seseorang, sebenarnya memberi kesan terhadap kelangsungan hidup mereka.
Samada mereka melangsungkan hidup mereka dengan gembira dengan kewujudan kita, atau sebaliknya.
Kita boleh wujud dalam kehidupan seseorang dalam pelbagai jenis peranan, kita boleh jadi seorang anak atau murid, seorang kawan, sahabat mahupun musuh, juga sebagai seorang kekasih atau bekas kekasih. Banyak sangat.
Kewujudan kita ni memberi kesan kepada orang lain, dalam kita sedar atau tidak. Kalaulah kita buat benda tak elok kat diorang, maka kesan buruklah yang ada dalam hidup diorang tu.
Kita mungkin boleh cakap benda-benda yang menyakitkan hati, kita pulaukan seseorang, kita bash dan lain-lain, tapi apa yang kita tak tahu, sejauh mana perkara-perkara itu memberi kesan kepada orang lain.
Dengan perbuatan kita pulaukan, bash, marah-marah, kata bukan-bukan, buat keputusan mengejut, kita clash, kita benci, kita dah tak sayang, dia boleh jadi lemah. Dia tak berdaya untuk bangun. Dia hilang semangat untuk berjuang. Pelajaran dia terganggu, result merudum, itu dan ini.
Kita boleh bergelak ketawa macam tiada apa-apa yang berlaku, namun bagi dia, ketawa-ketawa itu umpama duri-duri tajam yang membeliti dirinya.
Bagi kita, kita mungkin tak pandang benda-benda camni, kita ambik ringan, pandang enteng.
Bila ada discussion pukul 9 malam, kita datang pukul 10 malam, sebab kita buang masa tidur sembang-sembang. Tapi kita tak tahu, kawan kita yang tunggu pukul 9 malam tu, kerjanya banyak lagi tak siap, tak makan, nak rehat.
Tapi disebabkan kita datang pukul 10 malam, semua itu terganggu. Dia tak dapat siapkan kerja, terlepas waktu makan, tak dapat rehat dengan sempurna. Kita pula datang pukul 10 malam muka cebik dan masam, then protes itu dan ini, tak memberi kerjasama.
Lagilah kawan tu rasa macam-macam. Dia tak gembira.
Bayangkanlah, jika kita semua berazam sebegitu, maka percayalah cakap aku, dunia akan menjadi tersangat aman. Semua manusia berlumba mahu buatkan semua manusia gembira.
Dan pabila orang tahu, bahawa korang adalah manusia yang selalu menggembirakan orang lain, maka di saat itu, korang adalah manusia yang hebat!
***
Dalam post pertama 2017 yang panjang lebar ni - sehingga aku beberapa kali berak sebab perut terkejut makan banyak gila -, aku mahu menyarankan kepada korang semua, supaya jadikan tiga azam ni, sebagai azam 2017 korang.
Malah, jangan jadikan ia sebagai azam sahaja, tapi sebagai sesuatu yang melekat kepada diri korang, sampai dah terbiasa buat.
Lebih seronok, manusia mengenali kita sebagai seorang yang bermanfaat, menginspirasi dan menggembirakan orang lain.
Sejujurnya, aku sendiri tidak mencapai ke tahap itu, malah setiap benda dan perkara yang aku cerita dan kongsi, tak berniat untuk tunjuk yang aku lebih, aku power, aku itu dan aku ini. Sebab aku tahu, korang yang membaca ni jauh lebih segalanya daripada aku yang hina ini.
Bezanya korang dah lama buat Ig sebab tu beribu, aku baru buat dua hari. Hahaha.
Mengakhiri post pertama 2017, dan of course ia bukan yang terakhir, ayuhlah kita sama-sama mencuba, dan mencuba dan mencuba, sehingga terbiasa, terrealisasi dan dikenali, sebagai manusia yang bermanfaat, menginspirasi dan menggembirakan orang lain.
Kerana itulah yang membuatkan kita bahagia, sebenarnya. Dan dunia juga akan menjadi lebih bahagia dan lebih seronok untuk diduduki.
Aku mendoakan, agar tahun 2017 ni tahun yang bahagia untuk kita semua, tahun kejayaan, tahun kegembiraan, tahun rezeki, tahun segala kebaikan dan keberkatan daripada-Nya.
Semoga tahun 2017 ni lebih baik daripada tahun-tahun terdahulu, dan kita juga lebih baik daripada diri kita yang lama. Barulah menepati konsep 'New Year New Me'.
Dan jangan lupa follow Ig aku ye, ok bye.
Comments
Post a Comment