Baiti Jannati : Luangkan cuti anda di rumah

Assalamualaikum warahmatullah, buat korang semua pembaca yang aku sayangi. Semoga hari-hari korang dalam tahun baru 2017 ni baik-baik sahaja, mostly dipenuhi dengan rasa bahagia dan gembira, bersama keluarga yang tercinta.

"Mana postnya, kata cuti ni nak banyak menulis la apa, nak tebus itu ini! Mana mana mana!"

Ya ya hahahahaha. Biasalah, kita merancang, Allah S.W.T juga merancang, dan perancangan-Nya lebih baik lagi. Wuhahahaha *ayat klise*

Dalam sedar tak sedar, tinggal beberapa jam lagi aku akan kembali pulang ke Terengganu, meneruskan pejuangan aku dalam semester yang baharu, jadi dalam beberapa baki jam yang tinggal ni, jari aku menari laju di atas keyboard komputer rumah, khusus untuk pembaca-pembaca blog aku yang aku sayangi ni.

Amacam, cair tak? Kalau dengan ni ayat-ayat ni pun dah cair, ni baru sikit beb!

Untuk kali ni, aku bercuti hanya dua minggu sahaja, walaupun sebenarnya cuti ni masih berbaki seminggu - tiga minggu cuti - tapi kerana perlu pulang seminggu awal untuk memenuhi tuntutan subjek.

Ya, aku tak tipu, beberapa hari sebelum aku pulang ke rumah, aku dah siap buat list ah, apa perancangan dan plan yang aku nak buat kat rumah masa cuti ni, yang pastinya perancangan dan plan aku rancang berhari-hari sebelum cuti ni memang produktif dan proaktif gitu.

Malah, nak kata betapa aku mahukan perancangan dan plan aku ni jadi, dalam Solat Isyak terakhir aku di surau universiti - riak detected - sebelum aku balik naik bas ke rumah, aku siap doa lagi supaya cuti-cuti aku di rumah ni terluang dengan perkara-perkara yang berfaedah.

Bila sampai je aku kat rumah, aku siap tulis lagi apa perancangan dan plan aku kat whiteboard dalam bilik, harapan visi misi aku sepanjang cuti, malah siap upload lagi kat Ig sampai berpuluh-puluh like - belum beratus sebab follower belum ramai -.

Dan penyudahnya, pejam celik pejam celik, malam tadi sebelum aku terlelap di atas tilam aku buat kali terakhir untuk semester ni, aku bermuhasabah sambil mengimbas kali, apalah yang aku buat sepanjang cuti dua minggu ni.

Dan yang pastinya, hampir 90% harapan visi misi yang aku upload kat Ig tu tak tercapai, hampeh! Hahaha.

***

Sejak sekolah menengah, aku dah duduk di asrama. Daripada tingkatan satu sehingga awal tingkatan empat aku bersekolah asrama di Negeri Sembilan, kemudiannya sambung lagi dua tahun di sekolah asrama di Selangor.

Kalau korang yang pernah bersekolah di asrama ni atau masih lagi sedang bersekolah di asrama ni, aku yakin, perkara yang paling sinonim yang memang wajib korang akan buat - termasuk aku sekali - tiap kali sampai kat rumah, konfirm membuta.

Tidur, feels good man! 

Kalau cuti 3 hari, knfirm sehari tu habis untuk tidur je. Henset lappy Facebook Whatsapp semua off, sebab memang offline dek membuta.

Masa aku tingkatan lima lagi lah, disebabkan di sekolah aku belajar gila-gila sampai hitam kolar baju sekolah - ni serius tak tipu dan bukan riak - sampai seharian aku tidur kat rumah! Sampai rumah pukul dua sebab naik KTM, lepas asar tidur, dan aku bangun asar esoknya pulak.

Kadang-kadang malam esok tu baru bangun, penat tak penat nak ceritanya. Malah, pernah ayah aku troll aku, dia masuk bilik aku, pahtu kata bangun dah lewat nak pergi sekolah, padahal baru masuk hari kedua aku kat rumah.

Marah jugak aku masa tu hahaha.

Dan, hatta aku kini di peringkat degree sekalipun, perkara tu masih tak berubah. Memang tidur je memanjang, sampai tak sedar-sedar.

Tapi alhamdulillah, semakin dewasa dan matang ni - juga hensem dan sado -, dah tak membuta ah, cuma biasa ah tidur lama bangun lambat-lambat sikit. Hahaha.

Kesian siapa yang mendapat aku sebagai kesayangan ni, pagi-pagi senyap je hahaha. Tapi senyap tu tidur ye, bukan pergi cari kesayangan lain wuhahahaha.

***

Aku yakin, hampir keseluruhan IPTA di Malaysia telah mula bercuti dalam minggu ni. Aku dok scroll Twitter majoritinya tweet benda sama, rasa excited nak balik rumah, exam dah habis blah blah. Beza dengan aku yang tweet bahawa malam semalam aku tidur buat kali terakhir untuk penggal ni.

Dan sebenarnya, tujuan aku menulis post ni adalah untuk mengajak korang semua yang sedang mula bercuti ni, agar luangkan cuti korang tu di rumah. Tak perlu pun keseluruhan cuti, tapi atleast sebahagian besar cuti korang. Tu pun ok dah.

Persoalannya, kenapa? Mesti korang tertanya-tanya. Bagi korang yang kawan memang ramai, geng-geng lepak, geng bowling badminton wayang semua, mungkin post aku ni memang susah korang nak hadam dan terima, malah mungkin korang takkan bersetuju langsung pun dengan aku.

Namun, teruskan pembacaan korang ni, kerana sesungguhnya, cuti itu lebih seronok jika diluangkan - kebanyakannya - di rumah.

Apa yang ada dalam rumah? Ada yang seronoknya sampai aku menulis post ni? Sudah tentu ada benda atau something yang menyeronokkan sampai aku bercuti dua minggu di rumah sehingga lupa nak update blog?

Tertanya tak? Nak tahu tak?

So, mesti korang tertanya lagi, adakah cuti ni aku tak keluar rumah, tak bergaul dengan kawan, tak lepak, tak balik lambat semua? Jawapannya, tidak. Cuti ni aku tetap banyak ke sana ke mari, lepak dengan kawan sampai pagi, main badminton, macam-macam.

Walaupun ruang kawan aku luas, tapi aku tetap tidak memiliki ramai kawan-kawan yang duduk di tempat yang sama dengan aku, kalau ada pun berbeza universiti. Tapi, tu tak bermakna aku tak lepak-lepak dengan member-member aku, duduk rumah je tengok tv online main Ig je memanjang.

Tetapi, aku tetap menghabiskan sebahagian besar cuti aku di rumah. Ada juga permintaan member-member aku yang ajak keluar bersukan bagai, aku tolak dengan berat hati, kerana aku mahu meluangkan masa di rumah. Apatah lagi kalau cuti tu berbaki dalam seminggu, lagilah aku mahu meluangkan masa di rumah.

***

'Baiti Jannati', ia merupakan dua kalimah Bahasa Arab yang bermaksud, Rumahku Syurgaku. Aku rasa semua familiar dah dengan dua kalimah ni, jadi walaupun aku tak bagi maksud pun, aku yakin masing-masing tahu dah kan?

Betapa nikmatnya rumah, sehingga ia dikaitkan dengan Syurga. Syurga yang begitu penuh dengan nikmat, tanpa ada kekurangan malah bala musibah, benda-benda yang susah perit jerih mustahil ada dalam Syurga ni!

Itu belum lagi aku kupaskan ayat-ayat Allah S.W.T dalam Al-Quran tentang Syurga, di mana bawahnya mengalir air sungai dari susu madu, ada makanan yang sedap lazat, belum masuk bab bidadari dan pelayan lelaki lagi semua.

Pergh! Dan kita mengaitkan rumah dengan kenikmatan Syurga walaupun nikmat rumah pun tak sampai 1% pun nikmat Syurga. Rumah pun ada kekurangannya, kadang-kadang eletrik pun terputus sebab tak bayar, air pula tiba-tiba tiada sebab masalah air, macam-macam kekurangan dan musibah.

But yet, kita kaitkan ia dengan Syurga.

Betapa besarnya nikmat rumah, di rumahlah kita boleh tidur dengan selesa, kalau di asrama katil pun lubang sana sini, belum masuk kepam dengan 'peta' kencing senior-senior dulu. Di rumahlah dapur sentiasa berasap dengan makanan, makan je manjang sampai naik badan bila duduk kat rumah - berisi ye bukan gemuk -, beza dengan kadang-kadang sehari je makan bila di asrama atau universiti.

Tu belum masuk lagi cerita bab jamban, belum masuk lagi bab sejuk semua, malah belum lagi cerita bab wifi yang memang laju unlimited dan tiada orang kongsi. Sampaikan berak pun boleh buat story kat Ig, pergh!

Dan, persoalannya, siapakah insan-insan yang terlibat dalam menjadikan rumah itu Syurga buat kita? Sudah tentulah ibu bapa kita, wahai pembaca-pembaca yang aku sayangi!

***

Jadi, sebenarnya, maksud aku dengan luangkan cuti korang di rumah, sebenarnya adalah luangkan masa dengan ibu bapa kita. Kerana ibu bapa kita sentiasa ada di rumah, dan kalau mereka bekerja pun, mereka tetap ada di rumah walaupun waktu dah nak dekat magrib baru ada, ataupun cuti hanya hari minggu sahaja.

Ya, kawan-kawan kita tersangat ramai, masing-masing dah rancang dan plan itu ini ke mana nak pergi, apa nak buat, nak lepak mana, masa cuti-cuti ni. Dan, ibu bapa kita pun sedar, betapa anak-anaknya semakin dewasa, dan suatu hari nanti masa mereka dengan ibu bapa mereka akan berkurangan.

Namun, jangan lupa untuk tetap luangkan masa bersama mereka, dalam hampir keseluruhan cuti ni. Bagi aku, tak salah sebenarnya, dan takkan jatuh martabat kita dengan banyak luangkan masa di rumah, bersama ibu bapa dan keluarga kita.

Kita dah pun meninggalkan mereka dengan bermusafir dengan belajar ke sana ke sini, jadi bila pulang ke rumah, maka luangkanlah masa di rumah pula.

Rumah ya, bukan hotel. Ni sampai pinggan mangkuk kat rumah tak berbasuh, lepas buat Samyang Chesse tak dibasuhnya mangkuk kuali semua, ibu kita pulak yang basuh. Di rumah, kita tak menyapu atau paling koman pun kemas bilik sendiri.

Kita hanya memperlakukan rumah tu macam hotel, malam je baru nak cari sebab nak tidur. Dan tanpa kita sedari, ibu dan ayah menunggu kita untuk meluangkan masa dengan mereka.

Jadi, mengakhiri post, aku mengucapkan Selamat Bercuti kepada mereka yang baru sahaja bercuti minggu ni, dan aku harapkan dan berdoa agar cuti-cuti korang yang panjang, atau kejap macam aku ni, tak dibazirkan kepada perkara-perkara yang sia-sia, dan burn camtu je.

Dan cuti ni, cuba perbanyakkan masa di rumah, ambik alih tugas ibu memasak di rumah, tugas ayah membersihkan kawasan rumah, tak mengapalah sehari dua berehat, tapi jangan lupa, kita ni kembali bercuti di rumah, bukannya bercuti di hotel.

Kerana, rumah kita tu, syurga kita. Dan ibu bapa kitalah yang bersusah payah mencorakkan rumahkan kita tu dengan title 'Syurga' tersebut.

Btw, cuti aku di rumah hanya tidur - tapi tak membuta -, tengok movie banyak gila dengan ibu ayah, makan bersama mereka, aku tidur dan menikmati suasana rumah.

Walaupun aku akui susah nak buat, tapi aku mencuba semampu mungkin. Sekurangnya setiap kali aku nak pulang dah, aku takkan menyesal kerana cuti-cuti yang ada tu aku tak luangkan untuk mereka.

Dan sebab tulah, aku tak update blog wuhahahaha *alasan detected* 

Comments

Popular Posts

Terima Kasih Followers