Adakah aku kenal siapa aku : Sejauh mana?
Officially, midsem telah bermula. Lama dah sebenarnya. Dah tiga hari aku terperuk dalam bilik. Study dan buka buku perlahan-lahan. Wuhahaha, penipuan yang besar! Tiga hari tanpa sebarang aktiviti kerja dijalankan, hahaha.
Universiti sangat lengang, yelah, majoriti semuanya balik ke kampung. Kelmarin, aku sempat luangkan masa turun untuk lihat suasana, ambik feel macamana rasa anak perantauan. Sedih pun ada, padahal boleh je nak balik, tapi bukan apa, assigment banyak. Kalau balik, jawabnya lagho la aku kat rumah.
Ramai orang tanya, asal aku tak balik rumah? Lalu aku dengan riaknya menjawab, terpaksa tak balik sebab memberi komitmen yang padu kepada assigment. Hahaha. Dan hari ini hari ke-3, dan segala kata-kata tu hanya sandiwara semata-mata.
***
Dalam kehidupan aku, ada masa di mana hidup aku tak pernah sunyi. Sentiasa ada kawan-kawan yang meneman, menggila bersama, spent time bersama. Kalau di rumah spent time dengan family, even majoriti duduk rumah je tanpa keluar ke mana-mana, tapi itu pun dah ok.
Dalam kehidupan aku juga, ada masa di mana hidup aku sunyi. Dalam konteks sekarang aku sebagai mahasiswa universiti - yang kini berada dalam akhir diploma - aku akui kehidupan aku agak sunyi. Berjauhan dengan family, dan hatta di sini pun tiada kawan-kawan yang akrab.
Yang boleh ajak kita mengeteh, yang boleh ajak kita pergi pantai, yang boleh ajak kita makan keropok lekor, tiada seakrab itu, buat masa kini.
Hidup bersosial aku di hari belajar sahaja, jumpa kawan-kawan sekelas, ada yang buat muka, ada yang pretend aku takde, ada yang menegur, ada yang ambik peduli.
Then, bila tamat hari belajar, aku pulang ke bilik, seorang tanpa roomate, dan di bilik tulah tempat aku meluahkan segalanya.
Bila aku fikirkan semula, aku agak rindu sebenarnya dengan kawan-kawan lama. Banyak memori yang masih berlegar. Namun aku tidak tahu di mana silapnya, mungkin aku yang terlalu keras, atau mungkin aku yang terlalu lembut. Namun, aku tidak larat untuk menyambung kembali tali yang terputus, aku letih.
Lalu aku biarkan masa perlahan-lahan menghabiskan sisanya, berdoa agar cepat-cepat lah aku habis diploma ni.
***
Aku kurang berminat untuk bercerita dan berkongsi pasal mereka-mereka yang membuat otakku semak, yang membuat hatiku bebal, aku tak berminat. Membazir masa. Buang waktu.
Kadang-kadang aku stress, asallah kehidupan aku camni? Di mana aku pergi, tak sah kalau takde orang benci. Walaupun aku tahu itu adalah lumrah dan fitrah, namun setelah aku post mortem diri sendiri, aku gagal menjumpai sebarang elemen yang buatkan orang membenci.
Mungkin aku terlalu keras, mungkin aku terlalu lembut. Aduhai.
Kadang-kadang aku terfikir, buang masa untuk menyayangi orang yang dah tak nak. Mereka dah membenci aku, atas alasan yang aku tak tahu. Beribu maaf aku pinta, namun macam tak berguna. Kadang-kadang aku naik marah, seolah-olah aku tidak pernah buat kebaikan satu pun.
Lalu, aku mengambil satu jalan, aku bersendirian. Bersendirian.
***
Orang kata, kita kena jadi diri sendiri. Tapi bila jadi diri sendiri, orang membenci. Lalu orang kata, jadilah orang lain. Tapi bila jadi orang lain dilabel hipokrit, munafik. Aduhai. Hakikat manusia yang tak pernah diam dari melabel.
Lalu untuk mententeramkan hati yang berkecamuk - setelah aku rasa jemu dan fedup dengan manusia-manusia yang layan aku macam isteri yang diceraikan sebab monopaus - maka aku mengambil keputusan..
..untuk menyendiri. And yet, satu pendekatan yang ada baik ada buruk, namun aku menerima baiknya dengan baik, dan aku menerima buruknya dengan buruk.
***
Dalam kehidupan manusia, manusia selalu lupa untuk menyintai diri sendiri. Selalu lupa untuk mengenali diri sendiri. Sibuk nak cintai manusia lain, sedangkan diri tak dicintai. Sibuk mengenali orang, namun diri sendiri tak dikenali.
Bagi aku, ni satu ideologi yang bullshit.
Allah S.W.T ciptakan kita dengan duduk dalam diri sendiri. Bernafas dengan hidung sendiri. Mendengar dengan telinga sendiri. Melihat dengan mata sendiri. Menangis dengan air mata sendiri. Berdarah dengan hati sendiri.
And yet, kita masih lagi tak menyintai diri sendiri, dan masih tak kenal diri sendiri.
Dalam kehidupan kita, kita kurang luangkan masa dengan diri sendiri. Kita kurang luangkan masa dengan mengenali diri sendiri. Cuba tanya, apa yang kita tahu tentang diri sendiri? Berapa banyak yang kita tahu pasal diri sendiri?
Mengenali diri sendiri ni, bukan just tahu kau suka tengok cerita apa, kau suka makan apa, colour favourite, type suami yang diingini, bukan bukan. Tu budak kecik pun tahu.
Tapi, mengenali diri sendiri ni adalah, kita tahu apa kelemahan kita. Bagaimana cara mengatasi kelemahan kita. Apa nak buat bila kita sendiri lemah, apa nak buat bila kita rasa tak berdaya. Apa kelebihan kita, apa kemampuan kita, apa limit kita dan banyak lagi.
Kenapa nak kena kenal diri sendiri? Apa faedahnya?
Bagi aku, manusia yang tak kenal diri dia sendiri, elok mati. Why, sebab kita akan hidup dalam form kita, akan meneruskan kehidupan dalam kehidupan kita. Dan kalau kita gagal kenal betul-betul diri kita, maka kita tak boleh maju.
Sebab?
Sebelum aku pergi lebih jauh, aku nak buat pencerahan. Takut orang kata ideologi aku ni sesat, musnah lagi punah. Aku tak memperjuangkan sifat ego dan rasa diri sendiri betul selalu, atau tak perlu ambik kira dengan pendapat orang lain.
Tapi aku tak tahan melihat dunia penuh dengan manusia-manusia yang asyik nak bergantung dekat orang. Sedangkan dia mampu. Mampu bangkit, tapi berlagak seolah-olah dah sampai limit. Boleh maju, namun tak tahu menahu caranya, sedangkan takde siapa yang lebih kenal diri kita dari kita sendiri.
***
Antara kesilapan manusia adalah, biarkan orang lebih kenal diri dia, dari dia sendiri. Padahal dah 20 tahun hidup, tapi orang lebih kenal dirinya dari diri dia sendiri.
Maka sebab itulah, tatkala dia diuji, dia rebah. Diuji dan rebah itu adalah fitrah, namun bangkit selepas rebah itu pilihan. Namun, kerna gagal mengenali kekuatan dan kelemahan diri sendiri, diri dibiarkan rebah selamanya.
Sebab tak kenal diri sendiri, asyik nak bergantung dekat orang. Ada masalah, orang yang dicari. Diluahkan segalanya, lalu nasihat dan semangat diminta, sedangkan diri dan hati sendiri menangis minta diberi kekuatan oleh diri sendiri.
Aku ingat lagi, masa aku terlalu sedih kerna kehilangan cinta dari perempuan yang bukan mahram, yang sangat-sangat aku sayang - sampai sanggup buat apa sahaja - aku seolah-olah lost.
Assigment banyak, tapi hati dah lara, kerja apa pun tak jalan. Tapi apa aku buat? Aku duduk berteleku bersandar di pintu, dan aku bercakap dengan diri sendiri, aku memberi semangat kepada diri sendiri. Aku menangis bersama diri sendiri, bersama-sama.
Dan akhirnya aku masih lagi mampu melihat sinar matahari, sambil tersenyum.
Aku masih lagi dalam proses mengenali diri aku. Namun aku tahu apa kelemahan aku, aku tahu kekuatan aku, aku tahu apa nak buat bila lemah, apa booster semangat kalau rasa tak bersemangat, aku tahu semua itu.
Aku tahu sejauh mana kemampuan aku. Aku tahu sejauh mana limit aku. Aku tahu apa perbuatan aku yang membuatkan orang benci, aku tahu perbuatan apa yang membuatkan orang suka.
Dan yang paling penting, aku takkan sesekali biarkan orang judge aku, sebab aku lebih kenal diri aku dari sesiapa pun.
Lalu timbul persoalan, bagaimana cara mengenali diri sendiri? Takkan nak whatsapp dan Telegram diri sendiri? Wuhahaha.
Caranya aku dah bagi tadi, iaitu bersendirian.
***
Kadang-kadang kita ni terlalu banyak bergaul dengan manusia yang berbeza karakter dan karenah. Sehingga satu tahap, kita sendiri berkarakter dengan karakter yang kita pinjam dari orang. Berjalan pun dah lain, gaya tulisan pun dah lain, malah cara bercakap pun dah lain, betul tak?
Jadi, dengan bersendirian, maka kita akan kembali menjumpai karakter kita. Dengan bersendirian, kita akan mengenali diri kita.
Bersendirian di sini, maksud aku bukannya mengasingkan diri dari orang. Tak nak bersosial, jadi kera sumbang. Bukan.
Bersendirian maksud aku, adalah jangan lupa luangkan masa dengan diri sendiri. Bersendirian, kerna menjauhkan diri daripada karenah masyarakat. Bersendirian, sebab mahu mengenali siapa diri sendiri.
***
Pagi tadi, sekitar pukul 2:35 pagi, aku berniat untuk pergi ke pantai. Lalu aku buat persiapan mana yang patut, dan aku mulakan perjalanan. Dengan berjalan kaki.
Universiti sangat lengang, tatkala aku berjaya melepasi pagar universiti, jalan pun sangat lengang. Kalau aku tidur atas jalan pun, gerenti takde kereta nak langgar.
Tapi aku bukan panjat pagar ok? Aku mahasiswa yang berhemah kot, haha.
Jam dah menunjukkan 2:50 pagi, dan aku baru je suku dalam perjalanan aku. Kadang-kadang ada moto dan kereta lalu, tapi aku tak tahulah apa yang mereka fikir setiap kali nampak aku berjalan sorang-sorang pada pagi yang buta ni.
Sambil berjalan, menghirup udara malam yang segar, macam-macam yang menerjah dalam minda aku. Teringat cerita lama, teringat ibu ayah, teringat assignment, macam-macam. Sedar tak sedar dalam berjalan, badan mula dibasahi keringat, dan aku mula berfikir..
..adakah perbuatan aku ni betul? Pantai dah la jauh, pahtu aku jalan kaki pulak. Kalau aku nak berpatah balik, sempat lagi sebab tak jauh.
Tapi, kaki aku seolah-olah tak sebati dengan otak, jadi aku teruskan, lagipun aku bertekad nak ke pantai. Walaupun macam gila je dengar, haha.
3:20 pagi, masih lagi dalam perjalanan. Hati mula rasa tak tetap, rasa nak patah balik. Otak pun sama, mula salahkan diri sendiri sebab buat keputusan yang bangang ni. Tapi kaki aku tetap tak berhenti, tetap teruskan perjalanan.
Setelah lama berjalan, akhirnya aku tiba di 7/11. Setelah lama aku kat situ, aku pun beli 3 bungkus Rusky dan satu kotak serbuk kopi Oldtown. Lepas tu kena bayar 20 sen sebab haritu dah Sabtu, Hari Tanpa Plastik. Then, dapat sticker Boboiboy, kalau kumpul 20 keping dapat patung.
Then aku keluar dari 7/11, dan teruskan perjalanan ke pantai.
Dalam perjalanan, aku rasa macam nak ke masjid pulak. Nak tidur di sana, then dapat semayang Subuh berjemaah. Tapi aku nak buat apa dengan Rusky dan kopi Oldtown, bukan boleh buat bekal pun, nak buat pun takde air panas, apatah lagi cawan atau mangkuk?
Aduhai, asal dengan hati aku ni, tak tetap perdirian. Otak mula menyalahkan hati, hati menyalahkan kaki. Namun kaki tidak berhenti berjalan. Tetap meneruskan perjalanan.
Melihat jam, ada beberapa minit lagi sebelum pukul 4 pagi, lalu aku membatal hajat ke pantai, dan bergerak pulang ke universiti.
Dalam perjalanan, aku tengok balik semua jalan, bangunan dan permandangan yang aku dah tengok masa jalan pergi tadi, dan tiba-tiba aku tersenyum.
Sebab aku sedar, betapa jauhnya aku dah jalan. Dan juga sedar aku ni bangang, haha.
Tepat jam 4 suku, aku selamat tiba dalam bilik. Aku buat maggi Rusky sambil mengeteh kopi Oldtown, dan aku rasa sangat puas, sangat-sangat puas.
***
Kepada manusia yang cakna, dia akan perasan falsafah-falsafah kehidupan dalam cerita benar aku tadi. Kepada manusia yang buat sama macam aku tadi, maka dia akan merasai apa yang aku rasa.
Aku teruskan perjalanan, sebab aku tahu aku masih mampu lagi berjalan. Aku batalkan niat aku ke pantai yang jauh, sebab aku tahu aku dah tak mampu.
Aku takde keputusan yang tetap, sebab aku tak tahu apa yang diri aku nak sebenarnya, kejap nak ke pantai, kejap nak ke masjid. Tapi bila aku dah tahu apa yang diri aku nak, sebenarnya diri aku nak balik sebenarnya.
Otak aku menyalahkan hati, sebab asyik tak tetap. Hati menyalahkan otak, sebab keputusan tak tetap. Tapi kaki tetap tak berhenti berjalan, sebab kalau berhenti jawabnya kejang lah kaki.
Dalam kehidupan kita, kadang-kadang kita akan buat kesilapan yang datang dari diri sendiri. Jadi akan ada masa, kita menyalahkan diri sendiri. Tapi, selagi kita hidup dan bernafas, teruskanlah berjalan, macam kaki tadi.
Aku tersenyum masa perjalanan balik, sebab seolah-olah aku melihat apa musibah-musibah yang aku dah lalu sepanjang aku hidup. Walaupun ada antara ujian-ujian tersebut yang betul-betul menguji aku, namun aku masih lagi mampu hidup, mampu tersenyum.
Aku terfikir, kalaulah manusia boleh lihat apa yang dia pernah hadapi masa dulu, mesti dia akan kuat untuk menghadapi masa kini.
Dan akhir sekali, mengakhiri post, yang buatkan aku betul-betul terkesan dengan night walk aku yang gila ni adalah..
..walaupun kadang-kadang kita buat keputusan yang salah dalam kehidupan kita, tapi kita sentiasa ada ruang dan peluang untuk kembali ke tempat kita bermula, dan bermula semula.
Macam hamba yang sentiasa ada ruang dan peluang untuk pulang kepada Tuhannya, setelah ia tersesat jauh dalam kegelapan.
Kenali diri sendiri, salah satunya dengan bersendirian, sebab waktu itulah tinggal kita dengan diri kita sendiri. Kalau diri sendiri pun kita tak kenal, maka jangan marah kalau orang lebih kenal diri kita dari kita sendiri.
Tak rugi dibenci orang lain, tapi sangat rugi dibenci diri sendiri. Di mana kita melangkah, pasti ada yang membenci. Namun selagi diri sendiri menyayangi, maka apalah sangat sekelumat nilai orang-orang yang membenci?
Dalam ramai terasa sepi...
ReplyDeleteDalam sepi terasa terseksa...
Seakan tersesat di dalam satu alam yang hampa kehidupan dan dikelilingi hantu-hantu masa lalu...
Tapi,bila kita dapat menanganinya dengan tabah dan berserah diri kepada ALLAH,semua akan berlalu begitu sahaja.