Manusia tak sempurna : Why?

Assalamualaikum, hai apa khabar semua? Wuhaha. Akhirnya digerakkan jugak hati ni untuk update blog. Seolah-olah macam dapat jugak duduk di rumah setelah letih membasuh selepas dilanda banjir yang dahsyat. Macam biasa la, bukannya busy malah bajet and perasan busy, huhu.

Walaupun lama tak update blog, tapi aku rasa terharu dengan komen-komen yang aku dapat daripada kalian semua. Samada pengkongsian masalah mahupun feedback positif. Sampai rasa kembang kempis je perut. Tapi berat badan masih mantain, tak lah gemuk lagi. Yang penting masih single, haha.

Alhamdulillah, sekarang aku berada dalam bulan-bulan terakhir sebagai seorang mahasiswa diploma. Menghitung bulan nak baling topi, nak pakai jubah, masa tu rasa macam seekor burung yang terlepas dari kandangnya. Kandang?

Buat masa ni, aku agak busy dengan persatuan. Ditakdirkan Allah S.W.T, aku memegang antara jawatan paling tinggi dan paling hina dalam persatuan. Hidup aku mesyuarat je, boleh dikatakan setiap minggu tak lengkap kalau takde mesyuarat.

Aku pegang sebuah persatuan yang agak down. Tak pernah anjur program-program yang havoc macam persatuan-persatuan yang dah berjaya jemput orang-orang hebat datang universiti aku. Ramai yang berkata pasal persatuan aku ni, terutamanya lecturer-lecturer.

Persatuan aku ni, majoritinya junior-junior aku. Ada yang tak berpengalaman, ada yang kali pertama, ada yang masih malu-malu, macam-macam.

Namun, apa yang membuatkan aku rasa bersemangat, meskipun kadang-kadang tertekan dengan harapan yang terlalu tinggi diletakkan di bahu aku, tapi mereka-mereka ni bersemangat dan sangat komit dengan kerja mereka. Siap demam lagi, pergh!

Aku faham mereka. Bila aku tengok secara hakikatnya betapa mereka susah, dan sentiasa rasa payah, maka aku cuba untuk terjun ke dalam permasalahan, dengan aku sendiri menjadi seperti mereka. Aku cuba selami permasalahan mereka, ternyata permasalahan mereka ni sama je semua.

Sepanjang berpersatuan, aku sering je dapat beberapa whatsapp daripada mereka-mereka yang mengadu mengenai masalah dan kelemahan mereka. Mereka kata mereka tak mampu, rasa lemah, serabut, blah blah.

Tapi aku sejujurnya aku faham, sangat faham. Dan aku sebagai antara ketua mereka, juga merangkap sebagai seorang senior dan sahabat khususnya, aku cuba memberikan mereka semangat, harapan, supaya mereka tahu mereka ni boleh dan berkemampuan sebenarnya. Cuma biasalah, setiap benda akan nampak susah selagi tak siap, kan?

Setakat ni alhamdulillah, so far so good. Progress sangat baik, malah timbul rasa sayang yang bersangatan kepada persatuan aku ni. Kepada mereka-mereka jugak. Semoga aku masih dipanjangkan hayat nak berjaya melihat persatuan aku ni naik, dan aku berjaya melihat mereka-mereka ni boleh senyum tinggi, walaupun seserabut manapun masalah yang mendatang.

***

Baru-baru ni, aku sempat luangkan masa dengan sahabat baik aku. Tapi dalam phone je. Sebab aku pun ada kat universiti, dan sahabat baik aku ni pulak baru je tengah midsem. At the middle of meeting, sahabat aku ni tetibe whatsapp aku. 

Jadi, bila sahabat baik kita lama je memanjang senyap, pahtu tetiba pulak whatsapp kita, so maknanya bukan dia rindu kita, tapi mestilah dia ada masalah. Biasalah public phone, time nak guna masa tulah nak cari, wuhahaha, gurau je. But seriusly, dia memang ada masalah.

Sahabat aku ni baru je lepas clash, setelah hampir setahun bercinta. Bercinta pulak sampai nak kahwin, tapi nak buat camana, lebih kurang macam cerita aku je. Diclashkan, maka butthurt la sorang-sorang.

Sahabat aku ni dah lama clash, dan aku pun dah bagi macam-macam tips untuk dia atasi sedih dia tu. But dia tak ikut nasihat-nasihat aku tu, dia pergi stalk balik ex dia tu, maka memang la mendapat. Teruk jugak, dia asyik menangis je, sampai cakap dengan aku dalam phone pun menangis.

Aku bukan boleh dengar perempuan nangis, luluh hati beb!

Yang paling buatkan aku rasa sedih, berat dia jatuh 7 kilogram sebab clash. Tapi yang buatkan aku marah kat dia, sebab dia nampak keburukan ex dia tu, tapi dia tak boleh lupakan. Tak dapat tidak mestilah sebab sayang, kan? 

Kalau macam korang semua baca dalam post aku, di mana aku ceritakan bagaimana keadaan aku lepas clash, dan camana aku cuba bangkit, semuanya sebab aku lupa untuk maafkan diri sendiri. Then aku tanya ke sahabat aku ni, kau dah maafkan diri sendiri ke? Then dia cakap dah.

Then aku tanya dia lagi, apa maksud maaf? Alhamdulillah, dia berjaya bagi jawapan yang aku nak, iaitu menerima. Lalu, aku buat kesimpulan, yang sebenarnya ada satu benda lagi yang sahabat aku ni lupa nak buat, iaitu..

..redha. Redha dengan masalah yang Allah S.W.T berikan ni.

Then tengah telefon, tiba-tiba putus. Rupanya henset aku habis bateri, aduhai. 

***

Cukuplah dengan muqadimmah ni. Aku nak terus kepada tajuk post aku, iaitu kenapa manusia tak sempurna? Kenapa Allah S.W.T ciptakan manusia dengan keadaan serba kekurangan?

Sebelum aku ulas lebih lanjut, apa maksud serba kekurangan ni? 

Bagi aku, serba kekurangan ni bersifat lebih kepada benda yang di dalam. Benda yang kita tak boleh nampak. Bukannya benda yang kita boleh tengok macam anggota badan dan sebagainya.

Orang selalu cakap, manusia ni tak sempurna. Tapi part mana yang tak sempurna, apa yang tak perfect, benda ni selalu orang tak cakap. Biasa la, cakap tak habis, pahtu biar je orang tak paham. Then orang yang tak paham sebarkan pulak dekat orang lain. Maka bertambahlah orang tak paham, haha.

Mentang-mentang ayat sedap, "everyone is not perfect", lalu diambil bulat-bulat, siap post lagi, haha.

***

Macam aku cakap tadi, aku memandang manusia tak perfect disebabkan manusia lack atau kurang benda-benda yang di dalam. Benda-benda kita tak nampak. Benda-benda yang bersifat emotional feeling. Benda-benda batiniah.

Allah S.W.T berfirman dalam Surah at-Tin ayat ke-4, di mana Allah S.W.T ni menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian. Bila kita kata sebaik-baik kejadian, maka mestilah perfect kan? Tapi, bila kita kata manusia ni tak perfect, jadi adakah sebenarnya kita ni dah melanggar kata-kata Allah S.W.T tadi?

Ha ha, terkesima tak, wuhaha.

Jawab aku, yang hina lagi dina - dan korang kena buka tafsir mengenai ayat ni, dan terangkan kepada aku kalau kata-kata dan pendapat aku ni salah - adalah tak. Tak berlawanan pun dengan statement Allah S.W.T tadi, bila kita keluarkan statement, manusia tak sempurna.

Sebenarnya, ini membuktikan bahawa untuk mendapat title 'sebaik-baik', tak perlu pun kepada 'sempurna'. Sebab kalau betul setiap yang baik itu berhajat kepada kesempurnaan, maka orang yang berkerusi roda takkan boleh dapat PhD, orang yang tak hensem tak boleh kahwin, dan orang yang buta suara dia tak sedap.

Sedangkan Azmi pun boleh nyanyi dengan sedap lagu Roman Cinta sampai meremang bulu roma, walaupun dia tak sempurna penglihatannya.

Dalam ayat ni, Allah S.W.T ajar kita, bahawa tak perlu sempurna pun untuk mendapat kebaikan. Malah, ketidak sempurnaan ni adalah cara untuk mendapat kebaikan.

Deep tak ayat ni, gila deep.

***

Masih tak menjawab persoalan ni, kenapa manusia Allah S.W.T jadikan tak sempurna? Bagi aku, walaupun jawapan hanya layak dijawab oleh Allah S.W.T, namun manusia boleh menjawab persoalan ni, walaupun dengan tak tepat, disebabkan Allah S.W.T kurniakan mata dan akal yang boleh melihat dan boleh berfikir.

Bagi aku, sebenarnya Allah S.W.T sengaja je ciptakan manusia ni tak sempurna. Dengan mencampakkan manusia ni ke bumi.

Bumi ni, bukan syurga. Syurga sebuah tempat yang penuh nikmat, semua yang kita tahu nikmat, dan yang kita tahu ia adalah nikmat, semuanya ada di syurga. Maka beruntunglah siapa yang masuk syurga. Tapi bumi tak, tak sama dengan syurga.

Di bumi, takde istilah free, melainkan oksigen. Setakat ni takde lagi oksigen berbayar, kalau ada memang gila. Nak berak pun kena bayar, walaupun tandasnya macam haram. Di bumi, kalau takde duit jangan mimpi nak hidup senang.

Walaupun masih terdapat lagi manusia-manusia yang hidup dengan bahagia tanpa perlu menjadi hamba duit, tapi hakikatnya segalanya memerlukan duit. Di masjid sendiri pun, ada je tabung masjid. Ada je konsert amal, ada je macam-macam. 

Duit bukan segalanya, namun segalanya memerlukan duit.

Allah S.W.T ciptakan manusia serba kekurangan, sebab hidup manusia ni di bumi. Bukan syurga. Kalau betul hidup manusia ni di syurga, maka takkan ada bumi, dosa, pahala, neraka, syaitan, macam-macam. Semua yang Allah S.W.T jadikan bersebab.

Kalau salah mintak betul ye.

Bagi aku, aku melihat, sebab manusia Allah S.W.T ciptakan tak sempurna adalah, supaya manusia boleh menikmati kesempurnaan. Fitrah manusia, manusia lebih menghargai sesuatu yang mereka dapat dengan bersusah payah, daripada sesuatu yang mereka dapat dengan mudah.

Buktinya, makanan yang dibeli konfirm licin daripada makanan yang orang bagi free.

***

Kalau kita lihat, dalam sejarah manusia, manusia kini hidup senang lenang, sebab mereka tak sempurna. Contoh, umat manusia bukan dilahirkan dalam keadaan mereka ada transport, mana ada kereta, moto, ktm, monorel, kapal terbang, takde benda-benda tu.

Tapi disebab ketidak sempurnaan, maka ada manusia yang menciptakan sesuatu yang memberi manfaat dan memudahkan. Kalau zaman dulu dah ada kereta, maka takkan zaman sekarang orang berjalan kaki? Mungkin ye, bila ada teknologi yang membolehkan dengan berjalan kaki pun terus je sampai, dunia makin maju kan?

Daripada ketidak sempurnaan itu, manusia lahir untuk mengejar kesempurnaan mereka sendiri. Bila diorang dapat, maka diorang dapat menikmati kehidupan mereka dengan maksimum. Cuba lihat orang yang kali pertama merasa sedapnya aiskrim, daripada orang yang hari-hari makan aiskrim. Cuba lihat macamana reaksi anak miskin dapat mainan, daripada anak kaya yang setiap masa dapat mainan? Beza tak?

Kalau Allah S.W.T ciptakan manusia ni, keluar je dari perut ibu, muka hensem, lepas tu bijak, segalanya penuh sempurna, maka dunia takkan jadi seronok. 

Cinta sendiri pun tak mengenal rupa, cinta sendiri pun tak berhajat kepada sempurna si pecinta. Malah dunia jadi sangat menarik bila penuh dengan manusia-manusia yang tak sempurna.

Bila manusia tak sempurna wajah, sentiasa ada produk kecantikkan. Bila manusia tak sempurna duit, sentiasa ada peluang pekerjaan. Bila manusia tak sempurna kepandaian, sentiasa ada institut pendidikan.

Malah, bila manusia sendiri tak sempurna iman dan amal, sentiasa ada masjid, kuliah-kuliah dan ulama-ulama di atas muka bumi.

Jika setiap manusia ni dilahirkan tinggi iman dan amal, semua hafiz hafizah belaka, mungkin sepatutnya tak berlaku Iblis enggan tunduk kepada Nabi Adam A.S. Ini membuktikan Allah S.W.T sengaja cipta manusia ni tak sempurna.

***

Macam aku cakap tadi, ketidak sempurnaan ni adalah ketidak sempurnaan benda-benda di dalam. Benda-benda batiniah. Sifat dan emotional.

Contoh, Allah S.W.T tak jadikan manusia kuat, tabah dan sabar menghadapi kehidupan sejak lahir. Nabi Allah S.W.T tak diciptakan kuat emosinya sejak lahir. Namun, bila manusia menghadapi masalah yang kuat dan tough, dari situ kekuatan datang, sebab ia dicipta dan dibina time tu.

Bila Allah S.W.T jadikan kita ni tak sempurna, maka tak bermakna salah kita mengejar kesempurnaan tu. Malah terlalu banyak sebabnya di atas perbuatan Allah S.W.T tu. 

***

Bagi aku, falsafah manusia tak sempurna ni keluar dari mulut manusia setiap kali manusia buat silap. Bila manusia buat silap, jadi keluarlah falsafah ni. Maka ramailah manusia yang rajin membuat kesilapan disebabkan falsafah ni. Alasan, manusia itu tak sempurna.

Ini salah, sebab manusia buat kesilapan bukan disebabkan mereka tak sempurna, tapi sebab mereka tak tahu, mungkin sengaja atau tak, mungkin jahil tapi bukan sebab mereka tak sempurna.

Macam aku cakap tadi, ketidak sempurnaan ni luas ertinya, dan bila kita beri alasan kita ni tak sempurna, acap kali lepas buat kesilapan, seolah-olah menggalakkan kita buat dan ulang mistake yang sama, menjadikan kita makhluk yang lemah, dan macam mengutuk Pencipta kita.

Allah S.W.T jadikan manusia ni tak sempurna, tapi bukan lemah. Tak sempurna dengan lemah tak sama. Ada je manusia yang tak sempurna anggotanya, namun boleh dapat PhD, berbanding manusia yang perfect kejadiannya, tapi alif bata pun tak tahu.

Jadi mulai hari ni, hentikan penggunaan alasan, aku buat silap sebab aku tak sempurna. Tapi gantilah, dengan sebab aku bodoh ke, atau aku tak tahu, blah blah. Baru nampak betul dan logik, hehe.

Kalau manusia ni sempurna, hidupnya tak semenarik orang yang hidupnya tak sempurna. Mereka yang sempurna ni takkan berjaya menikmati kehidupan dengan maksimum. 

Macam kita main game, kalau kita berjaya lepas satu level dengan 100 kali try, itu pun lepas maki mencarut tutup buka game, tak sama dengan berjaya lepas level dengan cheat mahupun trainer.

Allah S.W.T ciptakan manusia serba kekurangan, serba ketidak sempurnaan, supaya kita akan mencari kesempurnaan kita sendiri. Kalau tak, dunia jadi tak menarik, sebab hanya ada satu pattern je, semua orang sama je, tak seronok ah.

Macam 1 tambah 1 akan jadi dua. Apabila satu melengkapi satu yang lain, maka sempurnalah menjadi dua. Macam lelaki bila melengkapi wanita, dan wanita melengkapi lelaki, maka umat manusia menjadi sempurna. Eh, apa aku merepek ni, haha.

***

Akhir kata, mengakhiri post, aku rasa korang semua dah jelas. Atas tak sempurnanya kita. 

Jadi mulai hari ini, lepas membaca post aku, janganlah mengeluh dan meratapi semua ketidak sempurnaan kita. Sebab meratapi ketidak sempurnaan kita, takkan jadikan kita sempurna.

So, kejarlah kesempurnaan kita sendiri, dan hiduplah dunia yang tidak sempurna, dalam bentuk yang tidak sempurna, sampailah kita masuk ke tempat yang sempurna, dan berjumpa dengan Pencipta Yang Maha Sempurna.

Manusia ni macam puzzle, maka carilah puzzle-puzzle yang masih menghilang, supaya diri kita lengkap dan sempurna. Lagipun, manusia ni kan sebaik-baik makhluk, kan?

Comments

Popular Posts

Terima Kasih Followers