Menebus masa yang dibazirkan dalam masa kini : Istilah Buang Masa?
Assalamualaikum dan muah muah buat semua. Alhamdulillah, masih lagi diberikan muka yang hensem dan keupayaan untuk hidup atas muka bumi. Hari ni dah hari Rabu, midsem pun dah nak habis, tapi tulah, sebarang gerak kerja tak bermula lagi setelah terberhenti hari tu.
Midsem aku agak blur, bangun hari-hari lambat. Matahari dah puas membakar rumput-rumput Terengganu, tapi aku masih lagi dibakar oleh syaitan-syaitan di atas katil. Membuta, buat tahi mata. Bangun lambat, tidur lambat, makan lambat, apa nak jadilah aku ni!
Rintihan dari hati, wuhahaha.
Setiap kali aku bangun, antara ucapan yang akan keluar dari mulut aku - yang busuk sebab tak gosok gigi dan bercampur air liur basi - adalah ucapan yang melemahkan jiwa aku. Iaitu aku sendiri, mengutuk diri aku sendiri. Argh, geramnya bila masa dibuang begitu sahaja.
Bila bangun, benda pertama yang aku cari adalah henset. Bila bukak henset, tengok jam dah petang, then whatsapp dari bonda tercinta, asyik dok tanya adakah anak bujang dia yang hensem ni dah bangun.
Bila dah bangun lambat, tengok jam dah petang, then kerja tak buat apa lagi, memang dikutuklah diri sendiri oleh diri sendiri. Walaupun kerja yang aku nak buat midsem ni hanyalah menghafal juz amma dan 5 syair, tapi aku manusia, bukannya henset. Kalau henset boleh buat screenshot.
Lalu dengan hati yang lara, sebab marah dekat diri sendiri, dah marah kepada syaitan sebab selalu menang dengan aku, maka aku ambil barang mandi, dan aku melangkah ke bilik air.
Tatkala, air pancuran mula jatuh setitik demi setitik atas kepala, maka aku mengambil peluang untuk muhasabah jap masa mandi.
Selalu orang buat macam-macam bende pelik time tengah mandi, sebab tu mandi bapak lama. Tapi aku pelik sikit, aku muhasabah, wuahaha.
***
Dalam penggunaan bahasa Melayu tercinta kita, adalah tak salah kalau kita gunakan perbuatan 'membuang' dengan 'masa' sebagai objek yang dibuang. Walaupun secara literally nya proses pembuangan mestilah melibatkan benda dan objek yang kita nampak, namun adalah valid dan tak salah dari segi penggunaan bahasa ibunda kita, kalau kita kata dan sebut...
...membuang masa.
Bila kata benda yang dibuang, maka mesti akan terfikir first sekali dalam kepala, adalah sampah. Sampah, mana ada orang simpan. Satu-satunya sampah yang disimpan adalah sampah masyarakat. Sebab sampah masyarakat ni adalah manusia yang bersifat dengan sampah - mengotorkan masyarakat - tapi ada manusia yang punyai perasaan belas kepada mereka ni.
Aku tak kata penggunaan 'membuang masa' ni adalah salah, dan kalau aku kata salah pun, siapalah diri aku ni. Bukannya munsyi, sasterawan apatah lagi ahli tatabahasa nahu bahasa Melayu. Nahu bahasa Arab pun aku terkial-kial, apatah lagi membidas istilah 'membuang masa' ni.
Tapi, sebenarnya aku tak bersetuju dengan istilah ni. Sebab manusia sendiri hidup dengan berhajat kepada masa. Tak boleh ditolak. Kalau kita lapar pun, kita boleh tolak nasi lemak yang dioffer kepada kita. Walaupun tengah lapar tahap gaban, sebab kita nak makan KFC.
Tapi manusia tak boleh menolak masa, apatah lagi membuang masa. Sebab kalau manusia menolak agama, maka mereka akan hilang pedoman kehidupan. Dan kalau manusia membuang masa, maka di manakah tempat yang manusia boleh hidup tanpa ada masa kat situ?
Sedangkan di planet lain pun ada masa, yang takde mungkin graviti je. Sedangkan mati pun, terkubur di dalam tanah pun menunggu masa untuk dihisab dan mendapat balasan di akhirat.
Jadi, atas sebab itu aku kurang bersetuju dengan istilah 'membuang masa' ni. Namun sebagai mahasiswa yang mengambil jurusan bahasa, maka aku sejukkan hati aku dengan menganggap ini adalah sebagai satu hiperbola dan mubalaghah, untuk menunjukkan betapa teruknya bila masa ni tak digunakan dengan isi benda-benda yang bermanfaat.
Jadi aku merasakan, istilah yang paling tepat adalah 'membazir masa'.
***
Dalam kehidupan manusia, Allah S.W.T telah berikan kepada kita umat manusia dengan tiga masa. Masa lampau, masa kini dan masa hadapan.
Masa lampau berfungsi untuk kita jadikan pedoman, samada kita mengambil iktibar daripada peristiwa-peristiwa yang menguji kekuatan dan iman kita, ataupun kita ulang mana yang baik di dalam kehidupan masa kini.
Tanpa masa lampau, maka kita tak boleh hidup dalam masa kini. Sebab masa lampau adalah sejarah, dan manusia yang rugi adalah manusia yang lupakan sejarah. Dalam masa lampau nilah manusia belajar untuk muhasabah diri, atas kesilapan, khilaf dan dosa yang manusia buat.
Masa kini adalah masa di mana kita buat macam-macam perkara, samada kita tebus kesilapan masa lampau kita, atau mungkin kita ulang lagi kesilapan masa lampau kita, atau kita buat benda-benda baru yang mungkin kita tak pernah buat atau takde kesempatan masa lampau dulu.
Masa hadapan pulak adalah masa di mana kita boleh merancang dalam masa kini dan masa lampau. Kita tak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan, samada baik atau buruk, samada ada apa yang kita rancang masa kini dan masa lampau tu jadi ke tak, atau tak jadi, atau lebih baik atau lebih buruk.
Tapi tanpa masa hadapan, manusia tak kan boleh merancang. Tanpa masa hadapan, manusia yang banyak buat kesilapan dalam masa kini dan lampau takde semangat nak hidup. Dan tanpa masa hadapan, manusia juga akan lebih bersemangat untuk buat kebaikan.
Seolah-olah macam kalau kita hidup sehari je, dah tahu besok akan mati. Jadi konfirm duduk kat masjid seharian, takkan main whatsapp, no Facebooking, no maksiat, no dosa.
Teringat aku dekat syair Zuhair bin Abi Sulma :
Sesungguhnya aku tahu apa yang berlaku hari ini dan hari semalam,
Tapi buta dengan apa yang akan berlaku esok.
Jadi persoalannya, manakah masa yang paling penting? Masa lampau kah? Masa kini kah? Atau masa hadapan?
Kalau siapa yang jawab masa lampau, mesti orang ni adalah manusia yang tahu masa lampau ni tak boleh ubah dah. Dan orang yang cakap masa lampau ni paling penting, mesti sejarahwan, sebab sejarah adalah benda yang lepas.
Kalau siapa yang jawab masa kini, juga adalah orang tahu masa lampau tak boleh diubah. Tapi boleh ditebus dengan masa kini. Masa kini lah yang akan menentukan hala tuju kita, samada kita akan sampai ke masa hadapan, atau kita akan tersepit di masa lampau.
Kalau siapa yang jawab masa hadapan paling penting, adalah manusia yang kuat merancang. Kalau dia merancang, dia target sepuluh tahun ke hadapan. Baru umur form 3, tapi dah rancang dia akan kerja syarikat mana, naik kereta apa, dan dengan perempuan mana dia akan kahwin. Haha.
Jawab aku, masa yang paling penting adalah masa kini. Sebab tu aku gunakan istilah 'paling', menunjukkan masa lampau dan masa hadapan juga penting bagi kehidupan manusia.
***
Setiap kali aku bazirkan masa aku tanpa buat benda-benda berfaedah, terutamanya dengan bazirkan masa yang aku boleh siapkan banyak assignment, boleh ulang kaji dan boleh hafal juz amma dan syair, dengan benda-benda yang tak sepatutnya, mesti aku rasa sedih dan down.
Tapi setiap kali aku bangun selepas tidur yang panjang, dan hari itu aku masih punya waktu untuk siapkan kerja dan buat sesuatu yang bermanfaat, maka aku akan rasa bersyukur sesangat. Sebab masih lagi punya waktu. Aku masih hidup, dan ada banyak peluang untuk buat sesuatu.
Aku teringat, aku pernah kata kepada kawan-kawan yang masih lagi belum study untuk test dan final, aku katakan bahawa selagi belum masuk ke dalam dewan, pegang pen dan kertas exam, maka kita masih ada peluang, ruang dan masa untuk study.
Kata-kata ni bukanlah untuk sedapkan hati mereka, tapi ini adalah hakikat.
Dalam Al-Quran, Allah S.W.T dah katakan bahawa setiap manusia ni dalam kerugian, sebab akan ada masa-masa mereka akan bazirkan masa mereka. Dalam hadith pula, Rasulullah S.A.W ada cerita tentang betapa cepatnya masa akan berlalu, dan betapa masa yang berlalu pantas adalah tanda-tanda kiamat.
Malah dalam Islam, kita diajar untuk beribadat seolah-olah hari ini adalah hari terakhir. Malah, Allah S.W.T menghukum samada seseorang itu ke syurga atau neraka adalah dengan siapa diri dia waktu dia mati. Walaupun dia ustaz, tapi masa mati dia kafir, maka dia kafir. Walaupun dia kafir, tapi masa mati dia Islam, maka dia Islam.
Kalau salah minta betulkan ye?
Ini menunjukkan bahawa masa kini tu lagi penting. Dan kenapa kita selalu disuruh untuk buat satu benda seolah-olah itu kali terakhir? Sebab supaya kita takkan membazirkan masa kini kita, yang akhirnya menjadi masa lampau yang kita akan sesali, dan akan menghilangkan peluang kita pada masa hadapan.
Bila aku bangun dalam keadaan dah petang, kerja masih lagi banyak tak buat, banyak hari dah berlalu, maka bila aku bangun aku akan rasa bersyukur, sebab aku masih lagi hidup. Masih lagi boleh buat something, masih ada peluang.
Peluang untuk menebus masa lampau yang dibazirkan, dalam masa kini.
***
Kita takkan tahu bila kita mati, jadi sebab itu kita diajar supaya buat baik seolah-olah kita akan mati esok, atau akan mati kejap lagi.
Kita tahu kerja, assignment, test dan exam bila. Jadi sebab itu kita bazirkan masa kita, sebab masa untuk semua tu tak sampai lagi. Masa hadapan kan?
Andai kata, kita tidur hari ini dalam keadaan kita penuh dengan dosa masa lampau, maka bila bangun bersyukurlah. Sebab itu tanda Allah S.W.T sayangkan kita, dengan bagi kita peluang lagi untuk bertaubat, dan tebus masa lampau kita yang penuh dengan noda dan nista.
Andai kata, kita banyak bazirkan masa kita hari ini, dan kalau kita masih lagi bangun esok hari, maka jangan bersedih, sebab kita masih ada peluang untuk tebus masa semalam, kelmarin, dulu-dulu tu.
Sebab Allah S.W.T dah katakan, yang memang kita ni akan sokmo dalam kerugian dengan melakukan pembaziran masa kehidupan kita.
Asalkan kita tahu dan sedar, yang kita takkan hidup selamanya, yang kita tak tahu bila kita akan mati, yang kita dah bazirkan masa kita, itu lebih baik daripada tak sedar langsung. Terus-menerus membazir masa kehidupan.
***
Mengakhiri post, masa mandi tadi, aku mengingatkan diri sendiri yang sebenarnya aku belum terlambat untuk buat something. Masih ada masa untuk menghafal, masih ada masa untuk ulang kaji, bukannya lepas mandi tu terus belajar dan exam.
Apa yang aku nak kongsi sebenarnya, bukan nak suruh dan galakkan korang bertangguh kerja atau dok berangan je.
Tapi aku nak cakap yang sebenarnya takde pernah wujud istilah terlambat dalam kehidupan kita. Selagi kita masih hidup hari ini, esok, lusa, blah blah, dan selagi tak tutup pintu taubat, maka selagi itu manusia tak pernah terlambat.
Asalkan kita sedar, bahawa kita sedang membazir masa. Asalkan kita sedar, yang kita boleh tebus ia dalam masa kini.
Masa memang bergerak pantas. Itu hakikat. Manusia memang banyak membazir masa. Itu hakikat. Namun manusia juga boleh menyaingi masa, manusia juga boleh manfaatkan masa dan manusia juga boleh tebus masa lampau mereka. Itu hakikat, dan juga pilihan.
Andai kau bangun esoknya, dalam keadaan masa lampau yang telah kau bazirkan, maka jangan kau khuatir, kerna itu adalah peluang untuk menebus masa lampau yang telah kau bazirkan.
Masa lampau tak mungkin boleh didapati semula, tapi ia boleh ditebus dalam masa kini.
Andai kau diberi pilihan untuk kembali ke masa lampau, maka tukarlah pilihan itu tadi, dengan diberi kekuatan dalam masa kini, supaya tak dibazirkan masa tersebut bak masa lampau, supaya takkan menyesal di masa hadapan.
Hakikatnya, masa lampau, masa kini dan masa hadapan ketiga-tiganya penting.
Tanpa masa lampau, manusia takkan tahu kelemahan mereka. Mereka juga takkan tahu mereka pernah menjadi kuat saat di masa kini mereka lemah, dan takkan tahu mereka pernah menjadi lemah saat di masa kini mereka kuat.
Tanpa masa kini, manusia takkan mampu membuat revolusi. Mereka tak mampu menebus kesilapan mereka dan mengulangi kejayaan mereka pada masa lampau. Malah mereka takkan mampu hidup, kerna tidak wujud lagi masa kini.
Tanpa masa hadapan, manusia takkan berani memasang cita-cita. Manusia takkan mampu bangkit tatkala mereka rebah di masa kini dan masa lampau. Malah mereka akan kehilangan harapan, kerna tak wujud masa yang tidak ada pada masa kini dan lampau.
Jangan bersedih atas masa lampau yang dah kita bazirkan, tapi bersedihlah sekiranya masih lagi tak mampu untuk menebusnya dalam masa kini. Dan ingatlah, sentiasa masih ada masa hadapan.
Andai ditakdirkan-Nya.
Comments
Post a Comment