Ramadhan tidak akan hilang : Month Of Hope

“Wahai orang-orang yang beriman telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa.”

Surah al-Baqarah, 183

***

Suatu petang, di mana aku dan ayah sedang menunggu ibu yang baru nak balik kerja, selepas berulang daripada Beranang sebab hantar akak aku balik belajar, aku dan ayah berhenti parking sementara nak tunggu ibu aku balik.

Jadi sambil-sambil tu, selepas 10 lagu raya yang berkumandang kat radio, akhirnya radio tersebut menyiarkan satu tazkirah yang disampaikan oleh seorang ustaz, di mana aku sendiri pun dah lupa siapa namanya, namun yang aku pasti, aku tak lupa isinya.

Mendengarkan tazkirah tersebut, ia memberikan aku satu semangat untuk update special post, yang terakhir untuk bulan Ramadhan yang mulia ni. Walaupun hari ini dah masuk hari ke-4 kot, selepas aku dengar tazkirah tu. Wuhahaha.

Semangat taik ayam, biasa ah.

Tahniah aku ucapkan kepada semua pembaca yang mungkin bertitle pelajar sekolah mahupun mahasiswa mahasiswi yang kini dah selamat sampai kat rumah masing-masing. Seronoknya sampai kat rumah sampai sahur pun dok makan kuih raya. Wuhaha.

Aku paham perasaan hepi, pagi tadi time aku sahur pun, aku terfikir mungkin kalau aku sedang bermusafir sebab belajar, mungkin pagi tu aku akan sampai kat rumah. Time-time aku terfikir tu, baru aku teringat aku sedang mengunyah nasi sambil menutup mata.

Jadi, kalau kata ayah aku, orang yang makan nasi sambil menutup mata ni kambing, sebab kambing mengunyah bacang sambil tidur.

Apa yang aku nak cakap tadi? Oh.

Hari ini dah 28 Ramadhan. Tinggal sehari lagi untuk menyambut bulan yang mulia ni. Officially malam ni last semua muslim kat Malaysia akan solat tarawikh. Selepas aku solat subuh tadi dengan ibu, aku terfikir bahawa Ramadhan itu semakin cepat berlalu.

Dan fikiran tentang Ramadhan itu tadi, terpadam selepas aku menonton Gintama pagi-pagi buta sebagai siaran kartun orang pra-dewasa seperti aku.

Aku tertanya-tanya, adakah Lailatul Qadr dah berlalu? Aku rasa macam dah, cuma aku tak pasti adakah aku antara orang yang beruntung mendapat malam tersebut?

***

Aku yakin, sekarang hanya tinggal 3 jenis muslim sekarang. Pertama muslim yang menghitung hari bila nak raya. Kedua, muslim yang menghitung hari bila nak habis puasa. Eh? Macam sama. Yang ketiga pulak, muslim yang tak ambik peduli pun. Time puasa puasa, time raya raya.

Waktu mungkin ramai yang dah sampai kat kampung, mungkin ada yang sedang membakar lemang, mungkin ada yang sedang mengacau dodol, mungkin juga ada yang sedang membakar kuih raya, mungkin ada juga yang sedang dok try baju raya daripada malam tadi, blah blah.

Cuma, satu je yang aku nak pesan, Ramadhan masih belum tamat bro!

Memang puasa masih puasa, cuma takut semangat macam first puasa tu dah hilang sebab dibakar pelita raya. Aku akui, aku juga dah hilang sedikit - banyak sebenarnya - reiatsu dan cakra bulan Ramadhan. Kalau tak paham apa itu reiatsu dan cakra sebab lebih suka menonton drama cinta di tv, maka bolehlah kalau aku katakan, takut cinta kepada Ramadhan itu sudah hilang.

Takut macam lemang yang tak masak. Lemang hitam terbakar, tapi nasinya tak terbakar. Atau dodolnya berasap, tapi bawahnya tak sebati. Oh, betapa analogi aku pun dah bertemakan raya.

Jadi, sementara masih ada beberapa baki kita masih mampu berpuasa dalam bulan yang mulia ni, hidupkanlah semangat Ramadhan tu dalam diri. Kalau dah tak mampu nak nyalakan macam api yang marak sebab nak masak dodol, atleast nyalakanlah macam api nak bakar lemang. Kalau tak mampu jugak, atleast biarlah api kecik macam api pelita Mydin. Kalau tak mampu ada api, atleast biarlah macam oven yang mampu memasakkan kuih raya Conflek.

Oh, analogi raya lagi.

Biarlah kita ni adalah golongan pertama, di mana asyik dok tenung kalendar, bilalah raya nak menjelma. Ataupun golongan kedua, di mana asyik dok tenung kalendar, bilalah puasa nak habis. Ataupun golongan ketiga, yang puasa puasa dan raya raya disebabkan tiada kalendar di rumah.

Tapi asalkan semangat Ramadhan itu masih lagi ada. Sebab bulan Ramadhan itu belum tamat lagi.

Tak dinafikan, aku sendiri kurang senang dengan lagu-lagu raya yang berkemundang awal walaupun baru setengah bulan puasa, namun aku menyejukkan hati dengan mengatakan bahawa lagu-lagu Ramadhan sikit, jadi  tak bolehlah radio nak putar selalu.

Aku yakin, mesti akan ada berlambak status di Facebook atau Twitter yang akan ingatkan kita bahawa Ramadhan itu semakin akan pergi meninggalkan kita, samada dia tulis bahawa dia menangis sebab sedih, atau dia ambik gambar sedang solat subuh dengan ibu dia, dan dia tulis caption "hari ni last solat tarawikh, oh sedihnya" dan macam-macam lagi.

Eh, tu bukan aku ke?

***

Aduhai, apa yang aku melalut ni? Minta maaflah ye, walaupun belum raya lagi. Mungkin sebab makan banyak sangat sahur tadi. *batuk tanda serius* Kembali kepada topik asal.

Pada special post sebagai entry terakhir bulan Ramadhan ni, aku berminat untuk ceritakan tentang Ramadhan, betapa ia tidak akan hilang dalam kalendar kehidupan kita.

Aku buka post ni dengan ayat Al-Quran yang sama:

“Wahai orang-orang yang beriman telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa.”

Surah al-Baqarah, 183


Ayat ini adalah satu ayat yang sering akan diulang oleh ustaz dan ahli agama setiap kali tiba bulan Ramadhan, di mana selain ia merupakan dalil wajib puasa ke atas muslim, mereka-mereka ini akan mengingatkan kita bahawa 1001 perkara yang berkaitan dengan puasa.

Namun, dalam masa-masa terakhir Ramadhan ini, ala-ala macam waktu kecederaan dalam match bola, aku yang bukan ahli agama ini melihat ada suatu harapan yang disampaikan oleh Allah S.W.T dalam ayat ini.

Di mana harapan, semoga dengan kehadiran bulan Ramadhan ini, semoga kita semua menjadi mampu menjadi orang yang bertaqwa.

In order untuk mencapai harapan Allah S.W.T ini, betapa Allah S.W.T telah membantu kita dalam begitu banyak aspek, antaranya adalah dengan menutup ketat-ketat pintu-pintu neraka, membuka lebar-lebar pintu-pintu syurga, malah Allah S.W.T turut membantu kita dengan memenjarakan musuh no 1 kita iaitu syaitan laknatullah.

Hasilnya, kita dapat melihat, dan sendiri merasa betapa iman kita mengalir seumpama reiatsu dan cakra dalam diri kita. Kepada yang masih lagi  tak tahu apa itu reiatsu dan cakra itu disebabkan tengok rancangan memasak pada bulan puasa, kita sendiri merasa betapa iman kita mengalir dalam bulan puasa ini seumpama taburan beras ke dalam daun kelapa sebelum dianyam ketupat.

Oh, analogi raya lagi.

Disebabkan aliran iman tersebutlah, no wonder kita sendiri mampu baca sampai 2 juzuk sehari. Kadangkala 2 juzuk semalam. No wonder 20 rakaat tarawikh kita on. Sedangkan nak joging petang-petang dalam bulan lain payah. No wonder kepala dialas tudung, walaupun kepala lutut terdedah. No wonder history internet diclearkan, blog-blog dan web-web NSFW tak dilayan, mulut banyak berzikir daripada menyanyi.

No wonderlah, semuanya disebabkan iman mengalir. Semuanya disebabkan bantuan Allah S.W.T. Kesemuanya disebabkan harapan-Nya kepada kita. Harapan di mana Dia mahu kita kembali menjadi hamba kepada-Nya selepas 11 bulan kita menjadi hamba kepada syaitan dan nafsu.

Dan moga-moga kita mampu menggampai harapan tersebut, dan menjadi orang-orang yang bertaqwa.

***

Manusia adalah satu makhluk yang lemah. Sekuat mana mereka berusaha, namun mereka tetap ada hadnya. Namun, apabila manusia diberikan harapan, mereka mampu berusaha walaupun mereka menyedari mereka tetap hadnya. Sehingga ada di antara mereka yang mampu surpass had mereka, disebabkan harapan yang mereka tagih.

Di rumah orang-orang tua, kajian menunjukkan bahawa orang-orang yang berusia ni apabila diberikan seekor binatang yang masih lagi kecil untuk dibela, atau diminta untuk menanam buah ataupun pokok bunga, mereka mampu hidup dengan lebih lama.

Kenapa, sebab mereka mahu hidup lama supaya dapat tengok binatang yang mereka bela dari kecil jadi besar. Sebab mereka nak tengok pokok buah yang mereka tanam berbuah, pokok bunga yang mereka tanam berbunga.

Harapan yang mereka tunggu, menjadikan mereka kuat dan bersemangat untuk hidup supaya mereka dapat merealisasikan harapan tersebut.

Harapan ini ada kebanyakannya adalah palsu, apatah lagi jika ia diberikan oleh manusia. Aku sendiri berpengalaman menagih harapan yang palsu dan kehilangan beberapa harapan yang hanya bersifat fantasi.

Namun harapan yang diberikan oleh Allah S.W.T, tidak pernah ada pun yang bersifat fantasi, dongeng, fiksyen mahupun sci-fi. Semuanya adalah bersifat realiti dan haqiqi, sedangkan movie-movie yang jelas menipu dan tak wujud pun, sekarang boleh dijana dengan CGI, apatah lagi harapan Allah S.W.T?

Atas sebab itulah, bulan Ramadhan itu hanya sekali sahaja dalam 12 bulan, walau camana kita yang masih lagi dikurniakan umur yang panjang menyaksikan bulan-bulan Ramadhan yang lepas beransur pergi, namun kita masih lagi mampu menyambut hari yang ke-28 untuk Ramadhan tahun ini.

Jadi, percayalah bahawa Ramadhan itu tidak akan hilang. Kerana ia adalah harapan Allah S.W.T kepada kita sebagai hamba-Nya. Selagi dipanjangkan umur, dan masih lagi belum kiamat macam movie-movie apocalypse barat.

***

Aku teringat satu kata-kata ketika aku masih lagi muda di sebuah sekolah menengah agama di Negeri Sembilan, bahawa Allah S.W.T itu tidak berada dalam bulan Ramadhan sahaja. Kata-kata mengajar kita, bahawa bagaimana kita beribadat dalam bulan Ramadhan dengan tip-top, dengan tahajudnya, dengan sedekahnya, dengan Al-Qurannya, dan lain-lain lagi, jadi camtu jugak lah dalam bulan-bulan yang lain.

2 hari lagi termasuklah waktu ini, walaupun kita akan kembali kepada fitrah kita iaitu pekena roti canai time breakfast dan makan nasi time lunch, tapi ingatlah bahawa kita akan kembali ke battlefield kita dan berhadapan dengan musuh no 1 kita iaitu syaitan laknatullah.

Jadi bergantunglah, samada tudung yang tersemat di kepala kita time bulan Ramadhan itu kita akan buka kembali, atau history internet mula penuh dengan blog-blog dan web-web NSFW, atau mulut mula start mencaci maki, ataupun Al-Quran mula baca sebulan sekali, dan lain-lain lagi, maka itu adalah pilihan kita sendiri.

Kerana harapan yang diberikan oleh Allah S.W.T itu, sebenarnya juga adalah harapan kita buat diri kita sendiri. Di mana kita sememangnya mahu menjadi seorang yang baik, seorang hamba yang taat, dan mengecapi syurga Allah S.W.T.

Dan untuk itu, kita try prektis dulu time bulan Ramadhan ni. 30 days trial. Amalinya 11 bulan berikutnya.

Mengakhiri post aku, sekiranya kita gagal dalam 11 bulan berikutnya, maka berdoalah panjang umur, supaya kita boleh lagi berjumpa bulan Ramadhan yang seterusnya, dapatlah berlatih lagi 30 hari lagi. Dapat kembali menyahut harapan realistik Allah S.W.T kepada kita hamba-hamba-Nya yang hina dina ini.

Hakikatnya Ramadhan semakin beransur pergi, dan siapalah kita yang mampu menghalang pemergiannya? Jadi, sementara masih berpeluang, maka hiburkanlah tetamu kita yang bernama Ramadhan tadi dengan menghidupkan semangat dan mengapai harapan Allah S.W.T yang mahu kita kembali kepada-Nya, sebelum tiba tetamu seterusnya yang bernama Syawal.

Semoga kita dipanjangkan umur oleh Allah S.W.T, dan mampu berjumpa Ramadhan yang seterusnya. Semoga Ramadhan kita tahun ini jauh lebih baik daripada tahun-tahun terdahulu. Semoga Ramadhan kita tahun ini diberkati dan kesemua amalan kita itu diterima. Semoga kita diberikan tempat dalam Syurga Ar-Rayyan yang disediakan-Nya khusus untuk hamba-hamba yang berpuasa.

Percayalah, bahawa Ramadhan itu tidak pernah akan hilang, selagi falsafah dan harapan yang ada dalamnya, kita sematkan dan praktikkan dalam kehidupan kita. Tagihlah harapan yang tinggi daripada Allah S.W.T, kerana Dia tak pernah mengecewakan hamba-hamba-Nya.

Dan janganlah menagih duit raya daripada aku, kerana sungguh kau akan dikecewakan aku. Oh analogi raya lagi.

Comments

Popular Posts

Terima Kasih Followers