Raya : PULANG kepada-Nya

Pada pagi Raya yang lalu, ketika aku sedang menunggu seisi keluarga bersiap-siap untuk ke masjid, aku mencari di internet, mengapakah Raya itu dinamakan Eid dalam bahasa Arab? Sambil-sambil aku mengunyah ulas lemang ke-2, aku mendapati bahawa Eid atau Raya ini bermaksud pulang.

Berdasarkan pembacaan aku, Raya itu bermaksud pulang kerana fitrah manusia yang akan bergembira seumpama kanak-kanak ribena apabila Raya menjelma. Raya itu juga dinamakan dengan pulang, kerana manusia pulang kepada fitrah mereka iaitu makan dan minum selepas berpuasa.

So, aku mendapati bahawa Raya ini bermaksud pulang. Tapi otak aku masih lagi tak dapat menakrifkan maksud 'pulang' yang betul-betul menyentuh hati dan minda aku. Mungkin disebabkan pagi tu amount santan mula masuk secara mendadak dalam badan aku, jadi ada error sikit. Wuhahaha.

Santan pula disalahkan. 

Dalam perjalanan aku dan family dan balik ke kampung - kitorang gerak selepas habis khutbah Raya - sambil-sambil aku mendengar macam-macam pesen lagu Raya, aku memikirkan maksud sebenar 'pulang' dalam Raya itu.

Aku tidak berpuas hati, dengan hanya menakrifkan Raya itu dengan pulang atau kembali kepada fitrah manusia yang makan dan minum setelah lama berpuasa. Walaupun itulah sebab dinamakan Eid pada Raya itu, namun aku percaya ada lagi maksud dan definisi yang jauh lebih besar di sebalik makna 'pulang' itu.

Dalam perjalanan aku, aku mendengar sebuah stesen radio menyiarkan tazkirah, di mana ustazah tersebut menyatakan bahawa Raya ini adalah hari kemenangan umat Islam. Hari kemenangan di mana mereka telah berjaya melaksanakan perintah Allah S.W.T iaitu berpuasa, dan juga hari kemenangan setelah menahan nafsu mereka selama sebulan.

Walaupun Raya itu adalah hari kemenangan, namun aku tidak tahu, hati dan minda aku seolah-olah tidak dapat mengaitkan Raya itu dengan makna kejayaan. 

Jika Raya itu adalah hari kemenangan umat Islam setelah berjaya berpuasa selama sebulan, maka bila aku imbas kembali puasa aku dalam Ramadhan yang lepas, aku rasa macam tak kena pula.

Contoh, jika lecturer bagi kita satu assignment, kebanyakan daripada kita hanya buat assignment tersebut asalkan siap je, biarlah copy paste internet pun. Takde pun effort, semangat dan cinta yang banyak diletakkan dalam assignment tu. Jadi bila dah siap, rasa lega.

Jadi, kalau dalam Ramadhan lepas, kita hanya berpuasa just sekadar tahan lapar, tahan dahaga, tanpa betul-betul mendalami falsafah puasa yang begitu jelas, bahawa ia bukanlah just tahan lapar dan dahaga, jadi boleh ke Raya kita tu digelar hari kejayaan?

Kalau kita ni antara orang yang buat assignment asalkan siap je macam aku cakap tadi, so aku rasa sesuailah takrif Raya tersebut sebagai hari kemenangan. 

Itu baru satu hal, hal kedua pula, Raya itu adalah hari kemenangan umat Islam berjaya menahan nafsu mereka selama sebulan. Aduhai, kalau aku imbas kembali puasa aku, maka aku sendiri jelas tak dapat nak menerima definisi ini.

Kalau nafsu tersebut hanya dikaitkan dengan nafsu makan dan minum je, mungkin boleh. Tapi sedangkan time buka pun lauknya sepuluh jenis, airnya sepuluh rasa, jadi tak kenalah definisi tahan nafsu tu. Malah, bila penyudahnya yang dimakan hanya dua jenis lauk dan dua jenis air, dan balance semua tu disudahkan dalam tong sampah, jadi itu dah membazir namanya.

Belum lagi pasal nafsu membeli belah, nafsu bazaar Ramadhan, nafsu mata, nafsu tidur membuta, nafsu itu dan ini.

Jadi, masih kena lagi ke takrif Raya itu sebagai hari kemenangan setelah sebulan menahan nafsu?

***

Begitu jauh aku termenung, memikirkan definisi 'pulang' yang betul sesuai dengan maksud Raya, sehingga dah sampai aku ke kampung. Setelah solat jumaat, aku memulakan hari Raya aku dengan beraya di rumah saudara-mara.

Setibanya aku di rumah-rumah mereka, aku melihat bahawa tetamu yang datang pakaian-pakaian mereka tak berapa nak elok, aurat agak terdedah, kemudian termasuklah topik yang dibincangkan lebih kepada mencaci maki manusia, membangga diri itu dan ini, blah blah, jadi perlahan-perlahan otak aku mula menyusun puzzle makna 'pulang' itu.

Owh, aku rasa waktu itu dah macam detektif conan pula.

Apabila aku pulang ke rumah, selepas 3 hari solid aku beraya di perantauan, akhirnya aku menyelesaikan puzzle tersebut dengan hanya melihat kepada diri aku sahaja.

Apabila range ibadah aku mula kosong, tak seperti time Ramadhan dahulu, dan aku sendiri merasakan aura dan ruang udara yang berbeza daripada Ramadhan, di mana hari aku mula kosong tanpa Al-Quran walaupun sehelai, tanpa jemaah di rumah, dengan godaan nafsu, dan bermacam-macam perkara yang jelas akan mengaibkan diri aku je kalau cerita dalam blog ni.

Dan akhirnya, hari ini, saat ini, aku mula mencari pace ibadah aku balik, walaupun mula dari kosong, walaupun sikit, walaupun ia dah didahului dengan maksiat, walaupun berhadapan dengan godaan syaitan laknutallah yang menggila selepas sebulan dibelenggu Allah S.W.T.

Kerana aku sedar, bahawa aku adalah hamba yang lemah. Dan hamba yang lemah ini memohon kekuatannya daripada Tuhannya yang Maha Gagah, Allah S.W.T. Kelemahan yang datang daripada kelemahan diri yang tak kuat untuk beristiqomah buat baik dan beristiqomah tak buat jahat.

Dan aku menyedari, bahawa Raya itu dinamakan dengan 'pulang', kerana Allah S.W.T mahu kita sentiasa pulang kepada diri-Nya walaupun diri kita ini dilimpahi dengan pelbagai rahmat dan nikmat, dan walaupun diri kita ini dicemari dengan pelbagai dosa dan maksiat.

Dan, Raya yang bermakna 'pulang' itu bukan hanya pada Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha je, tapi apabila kita dah berjaya mengembalikan diri dan pergantungan kita kepada Allah S.W.T, maka itulah Raya bagi kita.

***

Mengakhiri post, kadangkala kita sering meratap tentang kelemahan diri kita selepas berdosa. Kita tahu benda itu adalah dosa, cuma kita takde kekuatan untuk menahan diri kita daripada terus menoktahkan dosa tersebut.

Ingatlah, bahawa meratapi kelemahan takkan mampu menguatkan diri kita. Cuba dan berusaha jadi kuat, itu baru betul.

Apabila aku terbuat dosa, ataupun ulang dosa yang sama, aku rasa macam down, malah rasa begitu hina di hadapan Allah S.W.T, tapi aku sentiasa menyakinkan diri dan beri semangat, bahawa seorang Mukmin itu takkan jatuh dalam lubang yang sama, dan ruang pengampunan Allah S.W.T itu tersangatlah luas lebih dari tahap gaban.

Jadi, aku terfikir, sebab itu hanya sebulan sahaja Ramadhan, sebulan sahaja syaitan laknutallah dibelenggu Allah S.W.T, sebulan sahaja kita rasa iman naik macam menyedut air tin guna straw, sebab itu tandanya Allah S.W.T dengan rahmat-Nya, nak kita kembali kepada-Nya setelah 11 bulan kita dah jauh daripada-Nya.

Jadi, kalau kita dah beribadah dengan banyak pada bulan Ramadhan, dan ternyata ibadah kita tersebut tak mampu nak mencegah diri kita daripada maksiat dalam bulan Syawal dan bulan-bulan yang lain, maka jangan risau dan bersedih, kerana sentiasa ada ruang dan peluang untuk kita kembali dan pohonlah keampunan kepada-Nya, selagi masih ada masa.

Raya tu bukan hanya kembali kepada fitrah manusia yang makan dan minum, juga bukan kembali kepada fitrah kita yang lemah sehingga tak mampu menahan kita daripada bermaksiat, tapi Raya itu adalah pulang kepada Allah S.W.T.

Pulang dengan kembali mengerjakan apa yang Dia suruh, tinggal apa yang Dia larang, dan sentiasa menyedari kewujudan Dia sebagai Tuhan kita yang satu. 

Selamat Hari Raya Aidilfitri, jomlah kita pakat pulang kepada-Nya. Semoga kita tergolong sebagai hamba yang tahu bahawa Tuhanlah satu-satunya tempat dia pulang.

"Maka apakah kamu mengira, bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (sahaja), dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?"

Surah al-Mukminun, 115

Comments

Popular Posts

Terima Kasih Followers